Kenyataan Sahabat Rakyat Working Committe 8 Mei 2024
Wahai pengundi Kuala Kubu Bharu:
Jom mengundi, Undi rosak,
Menyanggah PH! Menolak PN!
▲ Kartun: Nilai dan Makna Mendalam Undi rosak
"Gerakan demokratik dan hak asasi manusia negara kita hanya dapat maju ke hadapan dengan kesatuan rakyat semua bangsa; Sekiranya rakyat sekadar mengikut skrip dan rentak “elit politik”, aspirasi umum “reformasi demokratik” akan menjadi angan-angan sahaja.
Wahai para pengundi Kuala Kubu Bharu, membuang undi rosak adalah tindakan adil yang wajar, munasabah, dan sah! Biarlah ahli politik gentar dalam kelantangan suara hati rakyat!"
Hari ini, Sahabat Rakyat Working Committee mengemukakan kenyataan berkenaan PRK DUN Kuala Kubu Bharu seperti berikut:
Berpandukan pandangan lepas Sahabat Rakyat mengenai Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri serta keadaan politik selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan, kami, sebagai pendokong demokrasi dan hak asasi manusia, ingin menyatakan pandangan dan pendirian kami mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) yang menjadi persaingan utama antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Pernyataan ini diberikan sebagai panduan kepada para pengundi di KKB pada 11 Mei, serta sebagai panduan untuk tindakan masa depan rakyat Malaysia secara amnya.
Pada 6 Mei, kami menerbitkan rencana berkartun yang bertajuk: Daripada "Itik diajar berenang" kepada "Nilai dan makna mendalam undi rosak", suatu pemahaman tentang "Undi Rosak" di blog Sahabat Rakyat. Rencana ini merupakan pandangan awal kami mengenai PRK DUN KKB.
Setelah berfikir secara mendalam, kami ingin mengusulkan slogan tindakan berikut kepada pengundi di KKB: Jom Mengundi, Undi Rosak, Menyanggah PH! Menolak PN!
Jom mengundi, Undi rosak,
Menyanggah PH! Menolak PN!
Sebab-sebab keluar mengundi:
❶Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang menetapkan mengundi adalah kewajipan warganegara, maka marilah kita mengundi!
❷Dengan mengundi, kita dapat menghindari fitnah dan serangan pihak yang berniat jahat daripada menuduh kita sebagai “tidak patriotik” dan pelbagai tomahan palsu.
❸Pengundi dapat menggunakan undi sebagai alat yang berguna untuk menyuarakan hasrat mereka mengenai dugaan kehidupan dan masa depan negara.
Sebab-sebab membuang undi rosak:
❶Rakyat perlu menyuarakan ketidakpuasan terhadap sistem pilihan raya “wakil rakyat” yang dilaksanakan oleh kerajaan dan parti-parti politik.
❷Rakyat perlu menyuarakan ketidakpuasan terhadap penindasan kaum dan dasar-dasar diskriminasi kaum yang berterusan.
❸Rakyat perlu menyuarakan ketidakpuasan terhadap politikus yang terlalu taksub dengan mengejar kuasa dan kepentingan peribadi, yang menyebabkan rakyat hidup dalam penderitaan.
Sebab-sebab menyanggah Pakatan Harapan (PH):
❶Anwar dan PKR telah membelakangkan semangat asal “reformasi” dan konsep “kita satu keluarga”.
❷Untuk memegang tampuk kuasa, Anwar membentuk “Kerajaan Perpaduan” dengan UMNO dan membelakangkan kehendak dan kepentingan rakyat.
❸Pemimpin-pemimpin PH yang dibawah kepimpinan Anwar tidak menunjukkan tekad untuk melaksanakan janji-janji pilihan raya mereka.
❹Kerajaan Perpaduan tidak berdaya untuk membangunkan ekonomi dan mengurangkan hutang negara, malah gaji penjawat awam pula dinaikkan.
Sebab-sebab menolak Perikatan Nasional (PN):
❶PAS dan Bersatu adalah parti politik berbaur perkauman yang mengamalkan fahaman ‘Ketuanan Melayu’”
❷PAS dan Bersatu adalah parti politik berbaur keagamaan yang memperjuangkan pemerintahan negara berdasarkan prinsip-prinsip Islam.
❸Pandangan ‘Ketuanan Melayu’ pasti akan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat majmuk; dan pemerintahan berdasarkan prinsip agama akan mengubah sistem sekular yang sedia ada.
❹Walaupun dua parti utama dalam PN mempunyai sokongan akar umbi yang meluas, pemimpin mereka kebanyakannya mempunyai pemikiran hegemoni yang kuat.
Kami ingin menekankan bahawa: Gerakan demokratik dan hak asasi manusia negara kita hanya dapat maju ke hadapan dengan kesatuan rakyat semua bangsa; Sekiranya rakyat sekadar mengikut skrip dan rentak “elit politik”, aspirasi umum “reformasi demokratik” akan menjadi angan-angan sahaja.
Wahai para pengundi Kuala Kubu Bharu, membuang undi rosak adalah tindakan adil yang wajar, munasabah, dan sah! Biarlah ahli politik gentar dalam kelantangan suara hati rakyat!
0 comments:
Post a Comment