Peranan Anak Muda dan
Bahasa yang Paling Popular
Ulasan oleh Yau Lop Poon
❝Watak termuda dalam Sidang Kemuncak China-Amerika Syarikat, iaitu X, telah menarik perhatian dunia. Bukan sahaja kerana sifatnya yang comel dan polos, malah kerana bapanya, Elon Musk, mendedahkan bahawa X sedang mempelajari bahasa Mandarin. Sejak kecil lagi, beliau dididik untuk menguasai bahasa yang kini paling mendapat perhatian dunia, iaitu satu “senjata” penting dalam pasaran dan dunia pekerjaan.
Sidang Kemuncak China-Amerika Syarikat di Beijing memperlihatkan gabungan antara watak termuda, X, dan bahasa yang paling popular, iaitu bahasa Mandarin. Gabungan ini melakarkan gambaran masa depan dunia. Ia bukan sekadar kisah kasih sayang antara ayah dan anak, tetapi juga lambang perubahan besar zaman. ❞
Rencana ini ialah ulasan kolumnis media veteran Yau Lop Poon, Ketua Pengarang Yazhou Zhoukan, yang diterbitkan dalam Sin Chew Jit Poh pada 23 Mei 2026.
Pihak editorial Sahabat Rakyat memutuskan untuk menterjemahkan rencana ini ke dalam Bahasa Melayu dengan tujuan supaya masyarakat Melayu di negara ini dapat memahami sikap terbuka dan pendirian realistik golongan elit dunia terhadap Bahasa Mandarin dan pendidikan Bahasa Cina. Pada masa yang sama, ia juga diharap dapat menyedarkan masyarakat tentang sikap sesetengah ahli politik berfahaman perkauman di negara ini yang masih jumud pemikiran dan bagai katak di bawah tempurung. Berikut ialah terjemahan penuh artikel tersebut (sub-tajuk dalam artikel ditambah oleh editor Sahabat Rakyat).
X, anak Elon Musk mula mempelajari bahasa Mandarin secara intensif
Dalam Sidang Kemuncak China-Amerika Syarikat di Beijing, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah menarik perhatian dunia. Beliau ialah X, anak kepada manusia terkaya dunia, Elon Musk. Watak termuda dalam sidang kemuncak itu bukan sahaja kelihatan comel dan polos, malah Elon Musk turut menyampaikan satu mesej yang kuat kepada dunia: anaknya kini sedang mempelajari bahasa Mandarin secara intensif.
Perkara ini menunjukkan bagaimana Musk memberikan perhatian serius terhadap pendidikan generasi akan datang dengan memupuk kebolehan bahasa Mandarin sejak usia kecil lagi. Musk memahami bahawa dalam dunia hari ini, penguasaan bahasa Mandarin bukan sahaja lambang ilmu budaya, malah bahasa yang digunakan oleh kira-kira 1.5 bilion penduduk dunia.
Bahasa Mandarin ialah “pasport” kepada lebih banyak peluang dan kelebihan
Dengan kebangkitan ekonomi China dan peningkatan pengaruh negaranya, bahasa Mandarin kini telah menjadi “mata pelajaran wajib” dalam kalangan elit dunia untuk dipelajari oleh generasi muda mereka. Bahasa ini merupakan bahasa strategik dalam persaingan kuasa besar dunia dan juga alat praktikal dalam era globalisasi ekonomi.
Dari Wall Street ke Silicon Valley, ramai anak kepada pelabur dan usahawan terkenal mampu bertutur bahasa Mandarin dengan fasih. Mereka memahami bahawa bahasa Mandarin ialah kunci untuk memasuki pasaran besar China dan medium penting untuk mencapai kebebasan kewangan. Dalam dunia pekerjaan dan pasaran perniagaan, bahasa Mandarin kini menjadi “senjata” yang tidak boleh diketepikan serta pasport untuk memperoleh lebih banyak peluang dan kelebihan.
Beberapa tahun lalu, ketika Presiden China Xi Jinping melawat Amerika Syarikat, Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump, telah mengatur agar cucunya, Arabella Kushner, mendeklamasikan puisi Tang dalam bahasa Mandarin sebagai tanda persahabatan budaya dan layanan mesra antara kedua-dua negara. Detik itu penuh dengan kemesraan dan makna mendalam, serta melambangkan hubungan sejarah dan budaya yang erat antara China dan Amerika Syarikat.
Kini, dalam sidang kemuncak di Beijing, tindakan Musk memperkenalkan bahasa Mandarin kepada anaknya sejak kecil telah membawa pertukaran budaya ini ke tahap yang lebih tinggi. X bukan sahaja mempelajari bahasa, malah turut mengalami sendiri daya tarikan budaya China.
Bahasa yang digelar “bahasa kuasa” kini menjadi "bahasa ibunda baharu" X
Ibu kepada X ialah seorang wanita cantik yang identitinya sering dirahsiakan oleh Musk. Namun, “bahasa ibunda baharu” X — bahasa yang dipelajarinya secara sistematik sejak kecil — ialah bahasa yang kini semakin mendapat perhatian dunia, iaitu bahasa Mandarin.
Bahasa Mandarin digelar sebagai “bahasa kuasa” kerana ia berkait rapat dengan pengaruh kuasa ekonomi kedua terbesar dunia. Di pentas antarabangsa, sama ada dalam rundingan diplomatik, kerjasama perdagangan mahupun persaingan teknologi, penguasaan bahasa Mandarin semakin menjadi daya saing penting.
Di sebalik bahasa, terdapat budaya. Sepanjang sidang kemuncak itu, X turut memperlihatkan beberapa barangan yang bercirikan budaya China. Antaranya ialah sebuah beg kecil dengan sulaman kepala harimau tradisional China yang melambangkan keberanian dan tuah. Selain itu, terdapat juga hasil sulaman tangan dari Guangxi yang mempamerkan kehalusan seni rakyat China dengan gaya yang sederhana tetapi elegan serta penuh dengan unsur ketimuran.
Semua perincian ini memperlihatkan penghargaan dan penerimaan keluarga Musk terhadap budaya China.
Gambar X membawa beg bercorak kepala harimau itu dengan pantas tersebar di media sosial seluruh dunia dan menjadi detik paling hangat serta paling simbolik dalam sidang kemuncak tersebut.
Bahasa ialah pembawa budaya dan juga lanjutan kepada kuasa lembut sesebuah tamadun. “Ledakan populariti” bahasa Mandarin mencerminkan kebangkitan semula tamadun China dalam dunia moden. Keindahan puisi klasik Dinasti Tang dan Song, ketepatan bahasa Mandarin moden, serta fenomena “demam bahasa Cina” dalam era internet bersama-sama membentuk daya tarikan unik bahasa ini.
Sidang Kemuncak China-Amerika Syarikat di Beijing melakar gambaran masa depan
Sidang Kemuncak China-Amerika Syarikat di Beijing memperlihatkan gabungan sempurna antara watak termuda, X, dengan bahasa yang paling popular masa kini, iaitu bahasa Mandarin. Gabungan ini melakar satu gambaran masa depan dunia.
Ia bukan sekadar kisah kasih sayang antara ayah dan anak, tetapi juga lambang anjakan besar zaman yang sedang berlaku.











0 comments:
Post a Comment