CABARAN PKR
MENJELANG PRU-16
Oleh Hassan Abdul Karim
哈山卡林在脸书撰文:
第16届全国大选,
公正党的挑战
[ 原文(全部)内容 ]
由于国内各种媒体对公正党元老哈山卡林在其脸书上发表的元旦献词,几乎都是根据他们各自的判断和选择,作出内容重点各不相同的报道,为了让读者准确了解哈山卡林发表这篇献词的本意,《人民之友》编辑部决定,迅速将它转载于此,让网民方便阅读参考。以下是原文的全部内容——
CABARAN PKR MENJELANG PRU-16
SUATU PANDANGAN
⬤ 1)Tahun baru 2024 seharusnya
menjadi tahun bermulanya bagi PKR membuat persiapan rapi untuk menghadapi
Pilihanraya Umum Malaysia kali ke-16 (PRU16).
⬤ 2) Rekod pencapaian PKR dalam
PRU15 pada November 2022 tidaklah memuaskan jika dibanding dengan PRU14
pada tahun 2018. PKR menang 49 kerusi parlimen dalam PRU14.Tetapi dalam
PRU15, PKR kalah sebanyak 18 kerusi yang pernah dimenanginya pada
PRU14.
⬤ 3) PKR kalah teruk di
negeri-negeri di Utara Semenanjung dan juga di Pantai Timur.Misalnya PKR
kalah di parlimen Kangar, Perlis. Turun ke Kedah, PKR kalah di
parlimen-parlimen Kulim Bandar Baru, Merebok, Kuala Kedah, Padang Serai
dan Alor Setar.Kecuali di Alor Setar, semua calon- calon yang kalah di
Kedah dan Kangar, Perlis itu adalah calon Melayu PKR.Mujurlah Dr Taufik
Johari dapat mempertahankan kerusi parlimen Sungai Petani.Itu pun
kemenangan dengan majoriti yang tipis.
⬤ 4) Prestasi PKR juga jatuh merosot
di Pulau Pinang. PKR kalah buat pertama kali di kubu kuatnya di Permatang
Pauh. Mujurlah Fadhlina Sidek menang di Nibong Tebal dengan merampas
kembali kerusi parlimen Nibong Tebal yang pernah dikhianati dalam episod
Langkah Sheraton pada tahun 2020. Mujur juga Bakhtiar dan Sim Tze Sin
masing-masing berjaya mempertahankan kerusi parlimen Balik Pulau dan Bayan
Baru. Tetapi kekalahan Nurul Izzah, anak sulung kepada Anwar Ibrahim dan
Dr Wan Azizah di Permatang Pauh merupakan satu kejutan kepada PKR.
⬤ 5) Di Selangor yang menjadi
benteng kebal PKR sejak PRU tahun 2008 sehingga berjaya mengetuai kerajaan
negeri selama tiga penggal telah menerima tamparan di mana PKR telah kalah
di dua kerusi parlimen yang selama ini dianggap kebal iaitu parlimen Kuala
Langat dan Kapar. Kedua-dua kerusi parlimen itu tewas kepada calon-calon
professional (doktor perubatan) dari PAS ( Perikatan Nasional). Namun
begitu, PKR masih dapat menarik nafas lega kerana Amiruddin Shaari berjaya
merampas kembali kerusi parlimen Gombak dari Azmin Ali (
Bersatu/PN).
⬤ 6) Sejak 2008 PKR telah memenangi
dua kerusi parlimen di Pahang iaitu parlimen Kuantan dan Indra Mahkota.
Rekod itu PKR dapat kekalkan pada PRU13 dan PRU14. Tetapi kedua-dua kerusi
parlimen tersebut telah tumbang kepada PN pada PRU15. Kini tidak ada
seorang pun ahli parlimen PKR dari Pahang yang merupakan negeri terbesar
di Semenanjung Tanah Melayu.
⬤ 7) Rekod buruk PKR di Terengganu
dan Kelantan kekal berlarutan hingga ke tahun 2024. Pada PRU tahun 1999,
PKR (ketika itu bernama Parti Keadilan Nasional, PKN) telah memenangi tiga
kerusi Parlimen di Kelantan iaitu di parlimen Kota Bahru, Ketereh dan
Tanah Merah.Ada dua sebab utama kemenangan itu.Pertama kerana berlakunya
kebangkitan reformasi bermula pada akhir tahun 1998 di mana Anwar Ibrahim
dizalimi dan di penjara. Sebab kedua adalah atas sokongan PAS ketika itu
kepada calon-calon Parti Keadilan (PKN).Calon PKN yang menang di Kota
Bahru ialah Ustaz Ramli Ibrahim. Calon yang menang di Ketereh ialah
Muhammad Mustapha.Manakala calon yang menang di Tanah Merah ialah Hj
Saufi).
⬤ 8)Di Terengganu pula, Parti
Keadilan (PKN) pernah menang di parlimen Kemaman dalam PRU tahun
1999.Calonnya ialah Abdul Rahman Yusof (arwah). Tetapi dalam PRU15 pada
November 2022 PKR telah kalah di semua kerusi yang ditandingi di
Terengganu dan Kelantan.
⬤ 9) Trend merosot sokongan terhadap
PKR kini menjalar ke negeri-negeri di selatan Semenanjung, misalnya
Melaka. Kerusi parlimen Tangga Batu yang PKR menangi dalam PRU tahun 2018
telah kalah di tangan calon PAS (PN). Nasib baik parlimen Hang Tuah Jaya
masih dapat dipertahankan oleh Adam Adli, Ketua AMK PKR.
⬤ 10) Keputusan pilihanraya PRU15
untuk PKR juga merosot di Sabah dan Sarawak. Di Sabah, PKR tewas di
parlimen Ranau, Putatan, dan Tawau yang pernah dimenangi pada PRU14.
Mujurlah Mustaffa Sakmud calon PKR berjaya merampas kerusi parlimen
Sepanggar dari Warisan.
⬤ 11) Begitu juga prestasi PKR buruk
di Sarawak dalam PRU15. PKR kalah di parlimen Selangau, Saratok dan juga
Puncak Borneo.Ketiga-tiganya tumbang kepada Gabungan Parti Sarawak
(GPS).
⬤ 12) Mujur juga prestasi PKR di
negeri Sembilan secara relatifnya masih baik kerana dapat mempertahankan
kerusi parlimen Port Dickson.Itupun disebabkan faktor calonnya ialah
Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan.
⬤ 13) Hanya di Johor PKR dapat
mengekalkan kekuatannya dengan dapat mempertahankan kesemua tujuh kerusi
parlimen yang pernah dimenangi pada PRU14.Dalam PRU15, PKR di Johor
berjaya menang di Segamat, Ledang, Sekijang, Batu Pahat, Johor Bahru,
Tebrau dan Pasir Gudang. Pada PRU15, PKR juga berjaya merampas kembali
tiga kerusi parlimen yang dikhianati dalam Langkah Sheraton iaitu Segamat,
Batu Pahat dan Tebrau.Namun percubaan PKR untuk merampas parlimen Sembrong
dan Tenggara masih gagal.
APA YANG PATUT PKR LAKUKAN?
⬤ 14) Ada tiga perkara
sekurang-kurangnya yang PKR patut lakukan untuk kembali kuat sesuai
Presidennya kini Anwar Ibrahim adalah seorang Perdana Menteri.
⬤ 15) Pertama, PKR perlu merampas
kembali semua kerusi parlimen yang telah tewas dalam PRU15.Senarainya agak
panjang dari Kangar Perlis hingga ke Tawau Sabah dan Puncak Borneo di
Sarawak.
⬤ 16) Kedua, calon- calon yang
berpotensi, berkalibar dan berpengalaman seperti Nurul Izzah Anwar perlu
mengetuai usaha untuk menawan balik kerusi-kerusi parlimen yang telah
kalah itu.Jika Nurul Izzah Anwar yang mempunyai watak kepimpinan yang
karismatik seperti Benanzir Bhutto dan Megawati Sukarnoputeri berjaya
dalam mission tersebut, maka tanpa syak lagi Nurul Izzah yang dalam bahasa
Inggeris memiliki " Prime Minister materials " akan muncul kembali sebagai
pemimpin masa depan PKR yang amat menjanjikan.
⬤ 17) Strategi ketiga ialah
pemimpin-pemimpin utama PKR sekarang seperti Rafizi Ramli ( Timbalan
Presiden) dan Nik Nazmi ( Naib Presiden) perlu mencontohi Salahudin Ayob (
arwah). Salahudin Ayob sebagai Ketua Pemuda dan Naib Presiden PAS satu
waktu dahulu pernah menang di kerusi parlimen Kubang Krian di Kelantan
yang merupakan kubu kuat PAS pada tahun 2008.Tetapi Salahudin Ayob
mengambil cabaran dengan pulang ke Johor pada PRU13 Tahun 2013.Beliau
sanggup meninggalkan kerusi selamat di Kubang Krian, Kelantan untuk
bertanding di parlimen Pulai, Johor pada tahun 2013.Salahudin kalah dalam
pilihanraya tersebut. Tetapi Salahudin tidak lari.Beliau terus berkubu di
parlimen Pulai, Johor.Akhirnya pada PRU 14 tahun 2018, Salahudin menang di
Pulai.Pada PRU 15 Salahudin sekali lagi menang di parlimen Pulai. Apabila
Salahudin meninggal dunia pada tahun 2023, satu pilihanraya kecil parlimen
Pulai diadakan.Suhaizan Kayat dari Parti Amanah (PH) telah mencapai
kemenangan di Pulai.
⬤ 18) Jadi moral ceritanya ialah
Rafizi Ramli perlu berani mengambil cabaran dan risiko untuk kembali
bertanding di Terengganu, negeri asalnya.Perlu ingat Parti Keadilan pernah
menang di parlimen Kemaman pada pilihanraya umum 1999.
⬤ 19) Begitu juga, Nik Nazmi juga
perlu berani menerima cabaran dan mengambil risiko untuk pulang ke negeri
asalnya di Kelantan untuk memimpin medan perang pilihanraya di Kelantan
dengan sandaran kesedaran bahawa pada tahun 1999 tigak kerusi Parlimen di
Kelantan iaitu Kota Bahru, Ketereh dan Tanah Merah telah dimenangi oleh
Parti Keadilan.Nik Nazmi adalah Pengerusi Majlis Pimpinan PKR
Kelantan.
KESIMPULAN
⬤ 20) PKR kena sedar satu realiti
realpolitik.Sekarang Anwar Ibrahim jadi ketua Pakatan Harapan dan Ketua
kerajaan perpaduan kerana sekurang-kurangnya Anwar memiliki 31 kerusi
parlimen dari PKR.
⬤ 21) Jika PKR tidak bersedia dengan
strategi ampuh untuk memenangi PRU 16, ada kemungkinan kerusi PKR akan
hilang 50 % dan PKR mungkin akan hanya memiliki sekitar 15 kerusi parlimen
sahaja, mungkin termasuk parlimen Tambun.
⬤ 22) Jika senario seperti itu
benar-benar berlaku, ketika Anwar Ibrahim masih lagi sihat, penuh
idealism, dengan semangat tinggi serta ada perancangan dan komitmen rapi
untuk dilaksanakan demi rakyat dam negara, tetapi Presiden Keadilan Rakyat
itu hanya ada sekitar 15 kerusi parlimen sahaja, maka ketika itu adakah
parti-parti politik lain masih sudi untuk memilih Anwar Ibrahim menjadi
Perdana Menteri bagi penggal keduanya?
Inilah yang perlu direnungkan.
Sekian
Oleh
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR/PH)
Isnin 01 Januari 2024
0 comments:
Post a Comment