Sunday, 6 September 2015

Fasa Baru Reformasi Demokratik Di Malaysia: Dilemma Mobilisasi Untuk Perubahan Tukar Najib – Tukar Rejim – Tukar Sistem? (kemaskini gambar pada 7 Sep 2015)

Fasa Baru Reformasi Demokratik Di Malaysia:
Dilemma Mobilisasi Untuk Perubahan
Tukar Najib – Tukar Rejim – Tukar Sistem?

S.Arutchelvan


[Nota Editor] Makalah ini merupakan teks penuh ucapan wakil seketeriat Gabungan Kiri Malaysia, S. Arutchelvan yang turut merupakan ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia dalam Forum "Fasa Baru Reformasi Demokratik di Malaysia" anjuran Sahabat Rakyat pada 6hb September 2015 di Restoran DeFortune, Kulai, sempena ulang tahun ke-14 Sahabat Rakyat. Berikut adalah teks asal penuh, penterjemahan dalam bahasa Cina akan dipaparkan kemudian. 

Pendahuluan

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Sahabat Rakyat kerana terus mempertengahkan isu-isu pokok untuk diperbincangkan dan dianalisa dalam zaman dimana rakyat lebih gemar untuk berdiskusi dengan ayat-ayat pendek dan hujah singkat dalam media sosial seperti FB dan twitter. Sahabat Rakyat adalah antara sedikit kumpulan di Negara kita yang masih mengambil masa yang panjang dan lama untuk membincangkan isu-isu teori dan praktik, isu-isu objektif dan subjektif  secara teliti dan teratur.

Semasa dokumen asas Forum Fasa Baru Reformasi Demokratik di Malaysia ditulis oleh Sahabat Rakyat, beberapa perkara seperti dibawah belum mengambil tempat antaranya:

i. Najib masih belum pecat timbalannya Muhyuddin Yassin dan juga orang-orang  lain seperti Peguam Negara, Pegawai tertinggi dalam Jabatan Cawangan Khas Polis, beberapa tangkapan keatas MACC, Pasukan siasatan MDP telah ditangguhkan tugasnya dan pergantungan EDGE.
ii. Parti Amanah Negara (PAN) masih belum diumumkan lagi.
iii. Perhimpunan BERSIH belum mengambil tempat lagi.

Sehingga tulisan ini, Najib masih belum digulingkan lagi sebagai Perdana Menteri Malaysia dan ramai menanti Mesyuarat Supreme Council UMNO pada 9 September 2015.

Lima Pemerhatian atau kritikan terhadap tulisan asas Fasa Baru Reformasi Demokratik di Malaysia

1. Fasa Baru atau kesenimbungan Fasa Sebelumnya

Perkataan pokok yang digunakan dalam forum ini adalah Fasa Baru dan saya menimbulkan persoalan samada kita berada dalam Fasa Baru atau hanya sekadar projek pemulihan perjuangan terbengkalai Fasa Sebelum itu – iaitu Fasa Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat dalam PRU yang lalu mengajukan slogan UBAH  dan Ini Kalilah. Ia juga menampilkan diri sebagai Pakatan Harapan Rakyat-Manifesto PRU yang yang lalu. Walaupun berjaya memenangi undi popular dan menang lebih kerusi Parlimen dari PRU sebelumnya tetapi PR terkubur begitu sahaja dan dengan begitu cepat sekali.

Ia juga mendedahkan kelemahan yang ada dalam PR sebagai alternative kukuh kepada UMNO-BN. Saya melihat ini sebagai satu penderhakaan kepada rakyat kerana kepercayaan yang diberikan oleh rakyat telah dihancurkan dengan begitu senang sekali dan tanpa usaha yang banyak untuk mencari penyelesaian. Terdapat lebih usaha untuk menguburkan PR daripada menyelamatkannya.

Maka samada Fasa Baru atau Fasa Lama amat bergantung kepada Parti Amanah Negara(PAN) @ Gerakan Harapan baru (GHB) @ Pakatan Rakyat 2.0. Jika saya meneliti kenyataan Lim Kit Siang, maka saya hanya boleh mengandaikan bahawa agenda mereka adalah sama, iaitu PAN akan mengantikan PAS dan bersama dengan PKR dan DAP akan cuba memenangi PRU ke 14. Ini bagi saya adalah agenda lama dengan perlawanan yang sama. Kita juga tahu andaikata satu persefahaman tidak boleh dicapai dengan PAS, maka pertandingan tiga penjuru akan menyebabkan UMNO terus memerintah. Mereka yang akan cedera dalam perlawanan ini nanti mungkin PAS, PKR dan PAN. DAP dengan agenda bertanding di kawasan majority Bukan Melayu akan terus memerintah Pulau Pinang dan terus akan menjadi parti pembangkang paling kuat.

Maka Fasa Baru hanya akan menjadi kenyataan jika politik baru yang dibawa oleh PAN dapat menembusi politik perkauman dan memberi alternatif progresif   yang menjurus kepada pertukaran sistem dan sebagainya. Maka saya merasakan ini adalah sesuatu yang mustahil dan maka saya melihat Fasa ini sebagai kesenimbungan Fasa sebelum ini. Proses memulihkan Projek terbengkalai.

Maka saya rumuskan Fasa sekarang adalah Fasa mengantikan UMNO-BN dan mewujudkan sistem 2 parti. Pandangan saya adalah Fasa Baru bermula setelah UMNO-BN sudah digantikan.
           
2.         Siapa musuh utama – UMNO atau Sistem Kapitalis?

Reformasi demokratik yang digariskan sebagai tajuk memberi interpretasi bahawa matlamat akhir adalah untuk menukar rejim UMNO-BN yang dilihat sebagai musuh utama dan bukan pertukaran sistem pemerintahan ekonomi politik Negara. Peranan UMNO dan hegemoni UMNO dilihat sebagai isu pokok. Dimana UMNO menjadi masalah utama yang mempromosi sistem perkauman dan Institusi perkauman. Maka UMNO perlu dihapuskan dulu. Walaupun saya boleh setuju dengan pandangan ini tetapi persoalan wujud- siapakah kelas pemerintah?

Apakah peranan orang seperti Robert Kuok dan Anatha Krishna – dua orang paling kaya dalam Negara dalam dalam konteks ini . Apakah peranan Institusi Raja – Raja Perlembagaan (boneka) atau pesaing kepada kelas pemerintah. Tidak boleh dinafikan bahawa kebanyakan Raja dalam Negara kita terlibat secara langsung dalam perniagaan dan mereka menjadi sebahagian daripada kelas kapitalis.

Adakah dengan mengantikan UMNO, maka Institusi Perkauman dan Diskriminasi akan berakhir? Pecah dan perintah memang telah membantu kelas pemerintah untuk berkuasa? Adakah kelas memerintah akan mengantikan UMNO dengan parti baru dengan matlamat mengekalkan status quo pecah dan perintah.

Saya mengakui wujudnya Gajah dalam bilik tetapi adakah Gajah itu UMNO atau Institusi Perkauman ? Adakah UMNO adalah masalahnya atau ia hanyalah proksi kuasa yang lebih besar.

3.         Proses Pengislamisasi Malaysia

Hujah penganjur menyatakan Dr Mahathir Mohamad merupakan pengasas dan pendorong penting dalam “mengislamkan Malaysia”. Kerajaan UMNO-BN di bawah kuasa Mahathir telah giat melaksanakan siri dasar pengislamisasi yang penting pada awal 1980-an hingga tahun 1990-an.  Saya melihat Mahathir sebenarnya membawa Islam liberal berbanding dengan PAS. Dan kita juga tidak    boleh lupa bahawa antara orang yang dibawa khas oleh Dr Mahathir untuk         melakukan proses pengislaman adalah Datuk Sri Anwar Ibrahim sendiri. Anwar sendiri telah melakukan banyak perkara termasuk mewujudkan Universiti Islam, Unit pendakwaan dan Bank Islam. Proses Pengislaman sistem pendidikan, Pembankan dan lain-lain banyak wujud melalui pengaruh dan Inisiatif DSAI. Dalam konteks ini adalah menarik untuk melihat brand apa yang akan dibawa oleh PAN.

Apakah itu Islam Progresif? Sejauh mana progresifnya PAN? Jika dilihat debat antara Kaum Tua yang konservatif (1906-1926) dan Kaum Muda yang progresif (1926-1938) sehingga tertubuhnya KMM. Kaum Muda pada masa itu memfokus kepada isu sosia-ekonomi rakyat berbanding dengan kaum Tua yang hanya fokus kepada isu agama. Selain itu kaum Muda juga begitu progresif sehingga memberi hak kebebasan untuk wanita. Ada juga cerita mereka membawa anjing semasa roadshow untuk menunjukkan perbezaan dan progresifnya mereka.

Atau adakah PAN akan progresif seperti Hizbul Muslimin yang diasaskan dari Gunung Semanggol. Tujuan Hizbul Muslimin pada masa itu adalah untuk membincangkan masalah ekonomi yang dihadapi oleh golongan Melayu-Muslim dan pada masa yang sama membawa bersama gerakan-gerakan dan pemikir-pemikir Islam yang lebih aktif dan progresif bersama. UMNO pada masa itu memang berasa tidak selesa dengan Hizbul Muslimin yang dirasakan  terlalu berunsur revolusi dan militan. Pemimpin UMNO Dato' Onn Jaafar pada masa itu mula mengeluarkan amaran mengenai "ancaman bahaya dari gunung", yang merujuk kepada Gunung Semanggol. Maka sejauh manakah PAN akan membawa Islam progresif dan sejauh manakah Progresifnya?

4.         Keadaan Ekonomi adalah faktor wujudnya keadaan Objektif untuk berjuang

Saya setuju dan berpendapat Hindraf adalah satu faktor utama Tsunami 2008 berlaku tetapi ia bukan faktor terpenting atau terulung. Saya masih mengariskan isu ekonomi adalah isu utama dan kondisi objektif yang membawa kepada kebangkitan rakyat. Ini Konsisten dengan masa-masa kebangkitan rakyat sebelum itu pada tahun 1969, 1974, 1978, 1987, 1998, 2008 dan sekarang 2015. Semua zaman berlakunya perlawanan atau ancaman kepada Pemerintah adalah zaman-zaman dimana wujud krisis ekonomi yang serius.  Pada masa-masa ini ada krisis ekonomi seperti kemelesetean ekonomi, krisis matawang, krisis imbangan perdagangan, pengganguran dan lain-lain. Krisis Politik dan krisis ekonomi mempunyai hubungan langsung. Kehadiran ramai orang untuk BERSIH 4 juga mempunyai hubungan langsung dengan masalah ekonomi yang melanda Negara dan memberi kesan kepada rakyat biasa.

5.         Apakah yang diharapkan dari Harapan Baru ?

Pasca Pakatan Rakyat. Saya juga telah menulis satu kritikan mengenai Gabungan     
Harapan baru dalam article saya berjudul Harapan Baru - Masalah lama. Ada juga terdapat pertindihan dalam article ini. Diharap para pembaca mempunyai peluang untuk membaca article tersebut. Ramai yang menuduh PAS sebagai punca keretakan dalam PR tetapi maaf saya juga perlu mengatakan DAP juga mempunyai peranan dalam kehancuran PR.  Peranan DAP membuat kutukan bertubi-tubi keatas team Ulamak PAS dan Hadi mempercepatkan proses perpecahan PR. Mungkin ia ada baiknya tetapi cara agresif yang digunapakai oleh DAP tidak baik untuk politik negara kita dalam konteks polarisasi kaum. Sudah tentunya style DAP akan membuatkan orang Melayu dan Islam marah dan terasa tergugat. Pandangan ini juga dikongsi oleh rakan-rakan dalam GHB kepada saya. Pada satu ketika , nampak sangat bahawa DAP mahu PAS disingkirkan dan semua kenyataan DAP bertujuan memastikan matlamat ini tercapai. Dengan cara ini, DAP terus menjadi hero masyarakat Bukan Islam yang  memang mempunyai sentimen benci kepada PAS dan program islam konservatif yang dibawanya.

Rasa insecure atau tergugat Kaum Majoriti Melayu tidak harus diambil ringan. Ia pada pandangan kami adalah satu ketakutan yang berasas. Itu sebabnya UMNO terus mendapat sokongan orang Melayu manakala begitu sukar untuk PR menembusi pengaruh UMNO ini. Untuk memperdalamkan isu ini, saya ingin membuat perbandingan Malaysia dengan negara lain di Asia Tenggara. Di Filipina, 80% populasi adalah Roman Katholik, 10 % kristian Protestan manakala hanya 5% adalah Islam. Di Indonesia, perangkaan 2000 adalah 86.1% adalah beragama Islam manakala 8.7% adalah kritian, 3% Hindu dan 1.8% Buddhist. Di Thailand, 94.7% populasi adalah Buddhist manakala 4.6% adalah Islam. Singapore pula adalah 75% Cina, Melayu 13% dan India 9%. Sekarang keadaan di Malaysia pula adalah, 60 % beragama Islam, 19% Buddhist, 9% kristian dan 6% Hindu. Ratio golongan Majoriti dengan lain hanyalah 1.5:1      dan ini berbeza dengan negara lain di Asia Tenggara. Maka apabila tidak adanya satu majoriti yang jelas maka mereka akan terasa lebih tergugat. Itulah sebabnya rusuhan Mei 13 berlaku di Pantai Barat dan Bukan Pantai Timur.

James Puthucheary pernah mengutarakan bahawa Sebuah Negara majmuk seperti Malaya mengutarakan pelbagai masalah yang tidak boleh difahami atau diselesaikan dengan pengalaman sosialis di Negara-negara lain. Pengalaman golongan sosialis di lain negara kemungkinan tidak relevan langsung kepada kita kerana pengalaman mereka tidak berkisar daripada permasalahan pembentukan satu masyarakat majmuk.

Insecurity kebimbangan ini terus dimanupulasi untuk memastikan rakyat terus mengundi UMNO. Strategi DAP bagus untuk kemenangan kerusi untuk DAP tetapi bagaimana pula untuk satu Negara?
 
Dua cabaran utama di Malaysia

Apakah agenda kita di Malaysia? Adakah agenda kita untuk turunkan Najib, turunkan rejim UMNO-BN atau turunkan Sistem Ekonomi Kapitalisma yang merupakan pertuanan 1% keatas 99%.

Jika dilihat tajuk kita hari ini Fasa Baru Reformasi demokratik di Malaysia membawa pengertian bahawa kita membincangkan tentang penukaran rejim UMNO kepada satu parti pemerintah baru tanpa menukar sistem ekonomi politik Negara. Maka perkataan reformasi sendiri membawa maksud tukar rejim dan bukan tukar sistem.
Untuk sebuah parti sosialis dan berhaluan kiri seperti PSM dan Gabungan kiri, dua isu pokok yang harus ditangani oleh Negara adalah.

i.    Isu Persoalan nasional. Isu berkaitan dengan bahasa, agama, budaya bangsa. Ia juga meliputi isu-isu berkenaan dengan diskriminasi kaum, Perkara 153 dan sebagainya
ii.    Isu kedua adalah persoalan kelas. Isu dan polisi yang melibatkan nasib 99%. Melibatkan masalah rakyat seperti gaji, rumah selesa, kesihatan dan pendidikan, sistem percukaian dan sebagainya.

Kedua-dua persoalan ini mempunyai hubungan dialetikanya . Contohnya sistem kapitalisma memerlukan percanggahan dalam perpaduan kaum untuk terus memerintah dan memastikan hegemoni 1% terus dikawal. Namun untuk menyelesaikan kesengsaraan rakyat berkait langsung dengan sistem ekonomi acuan neo-liberal kapitalisme yang dianuti di negara kita dan dipegang kuat sama ada oleh BN ataupun PR. Sistem ini mementingkan kepentingan pelabur, mengagung-agungkan penswastaan, mempromosi percukaian regresif seperti GST, meminggirkan isu alam sekitar dan sering setuju dengan  perjanjian perdagangan bebas seperti TPPA.

Dua isu kaum dan agama ini merupakan faktor penghalang paling serius dalam usaha kita mencapai satu Negara dimana rakyat bersatu dibawah satu program perjuangan kelas.  Ia merupakan faktor penghalang paling serius yang telah melemahkan gerakan kiri mahupun Gabungan Pembangkang sejak itu. Jika dihujah maka gajah dalam bilik adalah Institusi perkauman dan kita tidak boleh lari daripada ini.

Tiga dilemma untuk memajukan perjuangan Demokratik Negara ke depan

Maka dipertengahkan tiga persoalan atau dilemma untuk kita maju kedepan. Ketiga isu ini cukup penting dan merupakan isu-isu strategi dan juga melibatkan isu-isu principal, idelogi pemikiran dan persoalan relevan

1.         Adakah kita membina satu Gabungan Baru Populis untuk gantikan PR dan menang PRU ke 14 atau membina satu Gabungan Baru yang kuat dan jitu yang dapat duduk membincangkan isu-isu susah seperti Persolan nasional , isu agama dan Hudud.

Jika kita meneliti semua gabungan ini, baik gabungan berhaluan kiri seperti PUTERA-AMCJA dan Barisan Sosialis mahupun Gabungan pembangkang berhaluan kanan seperti Gagasan Rakyat & APU, Barisan Alternatif dan sehinggalah Pakatan Rakyat, maka satu perkara yang cukup nyata dan ketara adalah mereka tidak dapat menyelesaikan isu-isu menjurus kepada persoalan nasional dan perkauman. Mungkin parti-parti ini sendiri selesa memainkan agenda perkauman untuk mendapatkan sokongan di kawasan pengaruh masing-masing.



Bagi pandangan saya, agama tidak pernah dapat menyatupadukan rakyat dalam satu masyarakat majmuk jika hanya pandangan satu agama sahaja diambil sebagai rujukan. Maka ini akan merupakan satu masalah utama kepada PAN dan Pakatan 2.0.

Jadi, apa yang kita perlukan hari ini adalah perbincangan serius tentang isu-isu pokok utama supaya masalah yang melanda kita tidak berulang dan berulang dan berulang… Ini adalah cabaran untuk PAN@ Harapan Baru dan Pakatan rakyat 2.0. Harapan baru harus berani menghadapi masalah lama dan cuba mengatasinya. Jadi, tiada gunanya untuk kita mengatakan bahawa kita adalah harapan baru jika isu-isu asas dan fundamental ini tidak ditangani. Contohnya, isu Hudud dan pilihanraya tempatan . Alasan mengapa tidak ada persefahaman dalam Pakatan Rakyat dalam isu-isu ini sebelum ini adalah kerana ia berakarumbikan isu perkauman. Maka Pakatan 2.0 harus mempunyai posisi tentang isu-isu ini dan mereka tidak boleh mengambil langkah pintas dengan berkata, “kami setuju untuk tidak setuju.” (We agree to disagree)

PSM berpendirian satu Gabungan Baru harus mempunyai posisi dan penglibatan ramai dalam mengariskan isu-isu kepentingan Nasional. Maka adalah penting untuk kita cuba belajar daripada gerakan PUTERA-AMCJA sebagai satu gabungan, kerana ia juga adalah kombinasi parti politik dan NGO. Bezanya adalah mereka mengambil masa yang begitu lama, mengadakan diskusi di pelbagai peringkat, di kawasan kampung dan bandar untuk mengeluarkan satu dokumen yang dipanggil Perlembagaan Rakyat. Selain itu, mereka juga berjaya menganjurkan Hartal Se-Malaya pada 20 Oktober 1947. Tindakan dan kuasa rakyat yang ditunjukkan oleh mereka ini masih tiada lagi bandingannya sehingga kini. BERSIH walaupun dapat turunkan ribuan rakyat, tetapi ia lebih fokus kepada Lembah Klang dan bandar-bandar utama sahaja.

PUTERA-AMCJA berjaya mengabungkan pelbagai gerakan yang radikal, nasionalis dan Islam dalam satu program yang dapat menangani isu perkauman dan agama. Mereka mendapat sokongan kuat dari bandar dan luar Bandar. Antara organisasi di bawah AMCJA  adalah Kesatuan Kekeranian, Dewan Perniagaan India, Kesatuan Sekerja Nasional PMFTU yang mengorganisasi dua pertiga daripada keseluruhan kaum pekerja manakala PUTERA pula diwakili oleh API, AWAS, BATAS (Barisan tani) , Hizbul Muslimin dan GERAM (Gerakan Angkatan Muda).

Antara pencapaian mereka ialah persetujuan 10 prinsip rakyat yang diterbitkan oleh mereka. Jika kita meninjau pada ketika itu, dua isu menjadi isu pertelingkahan iaitu isu soal kerakyatan (Jus Soli) yang AMCJA sokong tetapi PUTERA keberatan dan begitu juga isu nama kerakyatan dimana PUTERA mengusulkan Melayu manakala AMCJA pula Malayan.Namun atas kebijaksanaan Dr. Burhanuddin Helmy, Tan Cheng Lock dan Ahmad Boestaman mereka berjaya mencapai satu kompromi dimana kerakyatan dibuka kepada semua dengan syarat semua menerima konsep Negara sebagai Melayu. Dengan kompromi dan tolak ansur, mereka berjaya menyelesaikan satu isu perkauman dengan amat bijak sekali. Penyelesaian mereka bukan pecah masyarakat kepada dua golongan tetapi mencari penyatuan bersama.     

Maka jika Pakatan 2.0 ingin membawa masuk NGO bersama, mereka harus membina satu Gabungan Baru yang luas (Broad coalition) dan mengajak bersama semua kuasa progresif termasuk kumpulan macam Sahabat Rakyat untuk sama-sama membentuk Gagasan Rakyat dengan consensus semua kaum supaya isu perkauman ini dapat dikuburkan melalui satu program politik yang menyeluruh.

2.  Yang manakah Kondradiksi Utama? Selesaikan isu Persoalan nasional dahulu atau Bina Perjuangan Kelas dahulu ? 

Apakah yang harus dibina dahulu. Jika diambil persoalan yang diutarakan oleh James Puthuchuery maka kita harus selesaikan persoalan Nasional sebelum kita ke Fasa baru memperjuangkan perjuangan kelas.

Isu ini penting dan merupakan isu pertelingkahan antara kumpulan progresif dalam Negara kita. Golongan pertama merasakan kita perlu selesaikan isu Nasional dulu maka segala kempen kita harus kepada melawan kuasa-kuasa yang mempromosi perkauman, mengutuk undang-undang rasis dan diskriminasi,  Ini adalah isu pokok dan tanpa menyelesaiakan masalah ini, kita tidak dapat membina massa untuk rakyat untuk membela nasib 99%.

Kumpulan kedua pula berhujah bahawa kontradiksi utama adalah isu Kelas dimana dengan penghapusan sistem kelas, maka isu persoalan nasional ini dapat diselesiakan secara automatik. Ia mengambil teori Base dan super structure dimana isu-isu bahasa dan agama dilihat sebagai Super struktur yang akan berubah secara atomatik andaikata  sistem ekonomi yang menjadi landasan utama berubah.

Kedua-dua hujah ini mempunyai hujah-hujah yang kukuh. Sebagai golongan Marxist, PSM tidak boleh menafikan kepentingan persoalan ini. Lenin sendiri mengambil posisi  paling kuat kritikan terhadap segala polisi-polisi diskriminasi berdasarkan bangsa, kaum dan bahasa seseorang.  Lenin pernah berhujah  Sesiapa yang tidak mengakui dan tidak mempertahankan hak sama darjat antara bangsa-bangsa dan bahasa, tidak berjuang terhadap penindasan bangsa-bangsa dan ketidaksamaan darjat antara bangsa-bangsa dalam semua bentuk, dia bukan kaum marxis, bahkan juga bukan kaum democrat. Ini sedikitpun tidak diragu-ragukan lagi.

Dalam Konteks Malaysia dan komposisi kaum. PSM mengambil pendekatan bahawa untuk melawan diskriminasi perkauman maka ia harus diusahakan oleh satu kumpulan atau gerakan pelbagai kaum (multi racial) kerana pada hakikatnya kumpulan berasaskan satu kaum pada tendensinya hanya akan memperjuangkan nasib kaum mereka dan ini sekali gus boleh membawa persaingan daripada kaum lain yang juga membela nasib kaum mereka.

Maka ini bagi kita adalah persoalan dialetik dan taktikal dimana kami berpendirian isu perkauman harus diselesaikan dahulu tetapi ia hanya boleh diselesaikan oleh satu kumpulan multiracial pelbagai kaum. Hanya satu gerakan pelbagai kaum sahaja dapat melawan aliran rasis yang dibawa oleh satu kaum. Maka adalah tugasan kita untuk menyatukan rakyat dalam isu-isu yang dapat membawa mereka bersama. Isu-isu yang dapat menyatupadukan rakyat adalah isu-isu seperti GST, isu hospital awam dan isu harga rumah, pendidikan percuma. Maka PSM mengambil isu-isu ini sebagai asas perjuangan dan cuba menghindar isu-isu yang dapat memecahbelahkan rakyat.

Ini bukan bererti PSM menyapu masalah pokok ini dibawa tikar tetapi lebih merupakan langkah berhati-hati supaya ia tidak membawa kesan negatif kepada objektif utama menyatukan massa rakyat pelbagai kaum.  Isu-isu sensitif harus dikendalikan secara matang dan terkawal. Kami juga merasakan mempropagandakan isu-isu satu kaum, akan mewujudkan lebih masalah dalam masyarkat Malaysia. Maka kita mengambil proses 2 step dimana langkah pertama adalah membina gerakan rakyat pelbagai kaum dan langkah kedua melawan polisi rasis dan diskriminasi. Itulah sebab PSM merupakan parti politik pertama yang setuju dengan tuntutan Hindraf tetapi pada masa yang sama kami tidak setuju cara pendekatan modus operandi mereka dalam menangani isu-isu ini.

Dalam konteks yang sama PSM menyokong pengubalan Social Inclusion Act yang diusahakan oleh Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dimana Dr. Jeyakumar MP ulung PSM telah cuba membentang satu Private Members Bill(PMB) supaya cara duit dibelanjakan untuk mengatasi masalah kemiskinan dan pembangunan tidak harus berlandaskan formula kaum.  PMB yang diusahakan oleh Dr Jeyakumar dapat mengukuhkan perpaduan kaum berbanding dengan PMB yang dibawa oleh Hadi mengenai enakmen Hudud.

Dalam Konteks yang sama, PSM  menyambut baik gerakan multiracial macam BERSIH kerana ia dapat sedikit sebanyak membawa semua orang dan isu-isu yang dibawa juga adalah isu-isu yang melibatkan semua kaum. PSM melihat BERSIH sebagai satu gerakan demokratik yang mempunyai banyak potensi dan patut dibina. BERSIH juga semakin mantap menghadapi tekanan pemerintah dan juga merupakan satu institusi yang agak demokrtik dari segi membuat keputusan dan sebagainya.  

3.  ABU atau membina Kuasa ketiga ?

Jika soalan ini ditanya kepada Mat Sabu. Beliau akan berkata kita kena membina kuasa ketiga tetapi sebelum itu kita kena hancurkan UMNO-BN. Maka dogma majority rakyat Malaysia dan puak pembangkang adalah ABU dan membina sistem 2 parti. Sistem dua parti adalah berbeza dengan dua sistem. Ia hanya membawa perubahan parti pemerintah baru tetapi mendukung sistem ekonomi yang sama.

Dalam PSM sendiri,  ini adalah satu dilemma besar kerana para veteran dalam parti mengambil pendirian bahawa kita kena menggunakan teori stages iaitu kita kena habiskan UMNO-BN dan baru kemudian itu memperjuangkan kuasa ketiga. Posisi ini sebenarnya adalah posisi yang sering diambil oleh PSM dalam 2 PRU sebelum ini. Namun demikian hari ini, ia mendapat tentangan yang cukup kuat dari golongan anak muda dalam PSM. Mereka berpendirian PSM harus mempunyai sikap berprinsip dan melawan musuh berlandaskan idelogi dan bukan hanya sekadar persefahaman sementara yang populis.

Sosial media juga menyebabkan anakmuda hari ini lebih terdedah kepada isu-isu dan mereka juga amat kecewa dengan tindakan PR. Untuk makluman semua, komposisi keahlian ahli baru masuk ke PSM hampir dua tahun berturut –turut adalah ration7-3. Iaitu dari 10 orang ahli yang menyertai, 7 orang adalah anak muda Melayu manakala bukan Melayu hanya 3 orang. Ini juga adalah satu kejutan kepada PSM dimana sebelum ini, orang Melayu jarang mahu menyertai PSM kerana merasakan PSM anti agama dan komunis. Anak-anak muda yang menyertai PSM ini sebenarnya mereka yang bukan mahu menjadi YB kerana jika mereka mahu menjadi YB maka mereka akan menyertai parti lain. Mereka ini adalah anak-anak muda yang berfikiran idealis dan berprinsip. Mereka mahu satu sistem baru yang dapat membela nasib rakyat biasa – kaum pekerja, petani, peneroka, orang asal dan sebagainya.  

Maka PSM mempunyai tanggungjawab dan dilemma besar dimana di satu pihak ia mahu bersama komponen PR untuk jatuhkan BN tetapi di sudut lain, ia perlu membina kuasa ketiga kerana perlawanan sebenarnya adalah perlawanan kelas dan ia tidak boleh ditangguh lagi. Hanya perlawanan kelas dapat membebaskan rakyat dari belenggu kemiskinan dan kesengsaraannya. Justeru PSM mengambil posisi bekerjasama dengan PR tetapi tidak menyertainya. Kami mungkin boleh menyertainya jika satu perbincangan yang lebih menyeluruh melibatkan semua isu-isu pokok dibincangkan dan satu broad coalition ditubuhkan melibatkan banyak kumpulan dan isu-isu pokok dapat dibincang dan satu consensus Nasioanl dapat dicapai. 

Maka PAN juga harus menilai samada ia ingin menjadi satu kumpulan progresif dan berjiwa revolusi seperti Hisbul Muslimin atau hanya sekadar menjadi satu kumpulan untuk disempurnakan stereotaip dalam agenda untuk menang Pilihanraya sahaja. Kami mengalu-alukan Golongan Progresif bersama Gabungan Kiri untuk membina alternative baru yang dapat membebaskan rakyat daripada sistem ekonomi politik yang rakus dan tidak adil.  

Kesimpulan

Untuk menyelesaikan masalah politik negara, kita memerlukan satu pertukaran pemimpin. Untuk menyelesaikan masalah salah tadbir negara, kita memerlukan satu parti baru tetapi untuk menyelesaikan kesengsaraan rakyat, kita memerlukan satu sistem baru.

Maka sebagai golongan kiri dan sosialis, perjuangan kami tidak boleh terhenti sekadar UMNO-BN terkubur. Perjuangan kami kena berterusan sehingga sistem kapitalisma terkubur dan itulah fasa demokratik baru untuk kami.  Pengalaman rejim change di Negara-negara jiran kita seperti Phillipines dan Indonesia tidak memperlihatkan pertukaran sistem selepas pertukaran rejim. Maka dua parti dominan akan bergilir-gilir memerintah Negara dengan acuan yang sama. Bagi kita pembebasan rakyat hanya boleh terlaksana apabila acuan yang menindas itu dipecahkan. Jalan ini mungkin lebih susah tetapi kontradiksi kelas terus semakin hebat diseluruh dunia dan peluang ini akan terus wujud. Ledakan Informasi Maklumat hari ini merupakan antara kondisi yang perlu kita teliti dimana mungkin hari ini kita dapat terus membina kuasa ketiga tanpa melalui proses  ABU.  Kuasa Ketiga harus bersedia untuk memantapkan gerakan dan mengisi vakum ini yang menjadi jeritan ramai anak muda dewasa ini.

*

0 comments:

通告 Notification

人民之友对下届大选意见书
英巫文译稿将在此陆续贴出

作为坚守“独立自主”和“与民同在”的立场的一个民间组织,人民之友在上个月对即将来临的第14届全国大选投票,发表了一篇以华文书写的意见书,题为:投票支持"反对国家伊斯兰化的候选人": 反对巫统霸权统治!莫让马哈迪帮派"复辟"!。

这篇意见书的英文译稿,将在近期内在本部落格贴出。马来文译稿将在下个月内贴出。敬请关注!

我们希望,我们在意见书内所表达的对下届大选的立场和观点,能够准确而又广泛地传播到我国各民族、各阶层的人民群众中接受考验,并接受各党派在这次全国大选斗争和今后实践的检验。


The English and Malay renditions of Sahabat Rakyat’s opinions about next election will be published here consecutively

As an NGO which upholds “independent and autonomous” position and "always be with the people" principle, Sahabat Rakyat had released a Chinese-written statement of views with regard to the voting in the upcoming 14th General Election, entitled “Vote for candidates who are against State Islamisation: Oppose UMNO hegemonic rule! Prevent the return to power of Mahathir’s faction!”

The English rendition of this statement will be published in our blog in the near future whereas the Malay rendition will be published next month (November). Please stay tuned!

We hope that our position and views pertaining to the next General Election expressed in the statement will be accurately and widely disseminated and also examined by the popular masses of various ethnicities and social strata through their involvement in the struggle of the next General Election carried out by various political parties and their practices in all fields in future.


Akan datang: Penerbitan penterjemahan pendapat Sahabat Rakyat mengenai pilihan raya ke-14 dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu

Sebagai sebuah pertubuhan masyarakat yang berpendirian teguh tentang prinsip "bebas dan berautonomi" dan “sentiasa berdampingan dengan rakyat jelata”, Sahabat Rakyat telah menerbitkan kenyataan tentang pandangan kami terhadap Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang yang bertajuk "Undilah calon yang menentang Pengislaman Negera: Menentang pemerintahan hegemoni UMNO! Jangan benarkan puak Mahathir kembali memerintah! "

Penterjemahan Bahasa Inggeris kenyataan tersebut akan diterbitkan dalam blog kita dalam waktu terdekat manakala penterjemahan Bahasa Melayu akan diterbitkan pada bulan hadapan.

Kami berharap pendirian dan pandangan kami berkenaan pilihan raya kali ini yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut dapat disebarkan dengan tepat dan meluas untuk diuji dalam kalangan rakyat semua bangsa semua strata sosial melalui penglibatan mereka dalam amalan pelbagai parti politik dalam pertempuran pilihan raya umum kali ini mahupun masa depan.

Malaysia Time (GMT+8)