Prospek Gerakan Reformasi Demokratik Negara Kita
•Teks ucapan sidang presidium Sahabat Rakyat sempena Majlis Ulang Tahun ke-14•
(Teks Bahasa Melayu ini diterjemah daripada teks asal dalam Bahasa Mandarin. Sekiranya terdapat perbezaan, versi Bahasa Mandarin adalah muktamad)
Terima kasih kepada pengerusi majlis. Selamat petang saya ucapkan kepada para penceramah, pemimpin-pemimpin parti politik dan badan bukan kerajaan demokratik, dan rakan-rakan yang prihatin terhadap masa depan reformasi demokratik Malaysia.
Sahabat Rakyat telah ditubuhkan pada 9 September 2001. Pada hari ini, kami menganjurkan forum bertema “Fasa Baru Reformasi Demokratik di Malaysia” sempena sambutan ulang tahun ke-14 berdasarkan faktor berikut:
Dalam tempoh kurang daripada 8 tahun sejak PRU ke-12, kita melihat bagaimana Pakatan Rakyat (PR) yang memimpin gerakan reformasi demokratik pada peringkat kini telah mengalami suatu proses dari penubuhan hingga kehancuran. Proses tersebut melambangkan perjuangan menentang pemerintahan hegemoni UMNO oleh pakatan politik pelbagai kaum acuan PR berakhir dengan kegagalan. Proses ini menjanakan ilham yang amat penting kepada gerakan reformasi demokratik seterusnya.
Pakatan Rakyat pada asalnya merupakan pakatan parti politik yang ditubuhkan bagi membentuk kerajaan peringkat negeri berdasarkan aspirasi rakyat untuk menentang pemerintahan Barisan Nasional (BN). Kehancuran PR pula berpunca daripada pemimpin puak konservatif dalam PAS yang diketuai oleh Hadi Awang yang bersikeras dalam melaksanakan Hukum Hudud yang sejajar dengan pengislaman negara yang menghakis kebebasan beragama rakyat berbilang kaum terutamanya hak rakyat bukan muslim.
Ini adalah akibat daripada pemimpin puak konservatif dalam PAS yang diketuai oleh Hadi Awang yang membelakangi keinginan rakyat menentang pemerintahan hegemoni UMNO dan mengambil pendirian politik yang bersedia menerima tawaran pengampunan dari hegemoni UMNO.
Selama tempoh pembangunan PR, selain bekas pemimpin DAP mendiang Karpal Singh telah mengambil pendirian yang jelas dan tegas dalam isu Hukum Hudud, ramai pemimpin kanan dalam parti komponen PR seboleh-bolehnya hendak elak daripada isu ini dan menutup mata terhadap masalah realiti “pengislaman negara”. Fakta telah membuktikan bahawa kaedah ketepikan kontradiksi utama sebegini adalah salah.
Kami berpendapat bahawa penindasan kaum dan asimilasi kaum yang dilaksanakan oleh klik pemerintah UMNO terhadap kaum minoriti dalam negara dicerminkan menerusi perlaksanaan dasar "pemelayuan negara" dan "pengislaman negara". Pelaksanaan dasar "pemelayuan negara" dan "pengislaman negara" turut berfungsi mengalihkan fokus perjuangan bangsa Melayu dan menyekat serta memecahkan perpaduan antara kaum pekerja berbangsa Melayu yang berkedudukan tertindas dengan bangsa tertindas yang lain kerana telah menutupi hakikat bahawa disamping kaum minoriti bukan Melayu, kaum pekerja berbangsa Melayu turut ditindas dan diperas oleh kelas pemerintah. Dengan itu, klik pemerintah UMNO dapat meneruskan pemerintahannya terhadap rakyat berbilang kaum.
Ketidakpuasan kaum minoriti dan rakyat bukan muslim terhadap pemerintahan hegemoni UMNO semakin kuat selepas mengalami pemerintahan dan penindasan di bawah dasar "pemelayuan negara" dan diikuti "pengislaman negara". Mereka mengharapkan PR dapat mengambil pendirian mempertahankan hak dan kepentingan kaum minoriti dan rakyat bukan muslim dengan membantah sistem ketuanan Melayu dan pengislaman negara yang dilaksanakan oleh hegemoni UMNO. Apabila PR bersikap mengetepikan kontradiksi utama tersebut, pihak yang melindungi hak dan kepentingan kaum minoriti dan rakyat bukan muslim pasti akan meragui keikhlasan PR dalam melaksanakan reformasi demokratik. Ini akan memberi impak negatif terhadap usaha menyatupadukan rakyat majoriti.
Selain daripada itu, apabila PR mengetepikan kontradiksi utama tersebut, pihak yang sebenarnya setuju dengan ketuanan Melayu dan sistem pengislaman negara yang bersembunyi dalam PR akan memainkan peranan sebagai musuh dalam selimut rakyat (the fifth column) apabila masanya sudah sampai. Kuasa ini memecah-belahkan PR agar memanjangkan hayat pemerintahan hegemoni UMNO dan ekoran itu, rakyat semua bangsa akan terus ditindas dan dihambakan.
Oleh sebab itu, semua pemimpin parti pembangkang negara kita sepatutnya mengambil iktibar daripada kehancuran Pakatan Rakyat. Mereka sepatutnya menentang "pemelayuan negara" dan "pengislaman negara" dengan teguh dan berusaha menyedarkan kaum pekerja berbangsa Melayu yang berkedudukan tertindas agar bersatu padu dengan rakyat semua kaum lain untuk menentang pemerintahan hegemoni UMNO dengan tegas supaya kegagalan PR tidak berulang. Pemimpin politik Melayu yang komited menubuh sebuah parti baru setelah berpecah dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS), pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bercadang menubuhkan satu perikatan yang meliputi lebih banyak parti politik dan badan-badan bukan kerajaan, serta pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang tengah berusaha menjayakan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 sepatutnya mengumumkan pendirian politik yang jelas terhadap “pemelayuan negara” dan “pengislaman negara”.
Ciri utama pengislaman negara adalah tekad dan kehendak agama Islam dilaksanakan oleh kerajaan, doktrin agama Islam dipaksakan ke atas rakyat pelbagai bangsa seluruh negara yang asalnya menganut agama lain dan meletakkan penubuhan negara Islam sebagai matlamat muktamad. Masyarakat Malaysia merupakan masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama. Tindakan klik pemerintah UMNO mengislamkan negara secara paksaan, terutamanya tindakan Mahathir mengisthiharkan Malaysia sebagai “negara Islam” sesuka hati, jelas tidak sejajar dengan kepentingan dan aspirasi rakyat semua bangsa negara kita. Oleh itu, bagi rakyat bukan muslim, bantahan terhadap pengsilaman negara adalah tindakan memelihara kebebasan beragama dan berkepercayaan rakyat berbilang kaum dan merupakan tindakan menuntuk hak asasi manusia yang munasabah, rasional dan sah dari sisi undang-undang. Dengan itu, pendirian membantah pengislaman negara adalah berbeza sekali dengan pendirian anti-Islam yang mencabuli hak asasi manusia. Jelas sekali, dua pendirian ini sememangnya tidak boleh disamakan. Jika ada pendapat yang sengaja menyamakan pendirian membantah pengislaman negara dengan pendirian anti-Islam sebenarnya merupakan tomahan dan fitnah berniat jahat yang memutarbelitkan fakta.
Demi merealisasikan impian kendiri untuk berkongsi kuasa rejim, terdapat sesetengah pemimpin parti pembangkang berpendirian bahawa “parti pembangkang boleh bekerjasama dengan pemimpin UMNO-BN atau parti komponen BN untuk ‘Selamatkan Malaysia’ ”, terutamanya cadangan menubuhkan kerajaan campuran dengan sebahagian klik mahakuasa UMNO yang diketuai oleh Mahathir Mohamed yang merupakan punca kepada “pengislaman negara” sejak tahun 1980-an. Perkara yang aneh bin ajaib ini telah menarik perhatian dan perbincangan di kalangan parti politik, pertubuhan dan individu demokratik di dalam negara. Rata-rata berpendapat bahawa pendirian tersebut tidak mengambil iktibar daripada kegagalan Pakatan Rakyat dan merupakan suatu cadangan yang mengkhianati kepentingan dan aspirasi rakyat.
Kami berpendirian bahawa, atas matlamat bersama mengkuburkan pemerintahan hegemoni UMNO, semua parti politik dan badan bukan kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat dalam negara, termasuk DongZong yang selama ini memelihara hak pendidikan bahasa Ibunda masyarakat Cina, HINDRAF yang komited dalam memperjuangkan hak dan kepentingan komuniti beragama Hindu, dan parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan dari Sabah dan Sarawak yang memperjuangkan hak dan kepentingan kaum utama di negeri-negeri tersebut, perlu membangkitkan tuntutan rakyat semua kaum (termasuk menentang “pemelayuan negara” dan menentang “pengislaman negara”) untuk dibincang secara demokratik sehingga satu tuntutan umum dalam fasa baru reformasi demokratik dapat dicapai. Dengan ini, barulah majoriti rakyat boleh bersatu padu dan mendorong perjuangan mengkuburkan pemerintahan hegemoni UMNO ke hadapan.
Inilah pandangan cetek kami untuk renungan kalian semua. Kami amat mengalu-alukan pertukaran pandangan ikhlas dalam perkara ini. Sekian, terima kasih.
Moderator forum Ang Pei Shan mengiringi ahli sidang presidium Sahabat Rakyat Chan Jock Lan, Choo Shinn Chei dan Nyam Kee Han untuk menyampaikan cendera hati kepada para penceramah. (Dari kiri gambar atas) Ang Pei Shan, Nyam Kee Han, Waytha Moorthy, Firdaus Husni, Chan Jock Lan, Lina Soo, S.Arutchelvan, Dzulkefly Ahmad dan Choo Shinn Chei.
Pautan yang berkaitan:
1. Persediaan majlis ulang tahun ke-14 Sahabat Rakyat Tema: Fasa Baru Reformasi Demokratik di Malaysia
2. Sahabat Rakyat meraikan ulang tahun ke-14 Mengundang pakar meneroka fasa baharu refomasi demokratik
3. Forum dan jamuan ulang tahun ke-14 Sahabat Rakyat lima pakar dan dua tetamu kehormat dijemput berucap
0 comments:
Post a Comment