Fasa Baru Reformasi Demokratik Di Malaysia:
Dilemma
Mobilisasi Untuk Perubahan
Tukar
Najib – Tukar Rejim – Tukar Sistem?
S.Arutchelvan
Pendahuluan
[Nota Editor] Makalah ini merupakan teks penuh ucapan wakil seketeriat Gabungan Kiri Malaysia, S. Arutchelvan yang turut merupakan ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia dalam Forum "Fasa Baru Reformasi Demokratik di Malaysia" anjuran Sahabat Rakyat pada 6hb September 2015 di Restoran DeFortune, Kulai, sempena ulang tahun ke-14 Sahabat Rakyat. Berikut adalah teks asal penuh, penterjemahan dalam bahasa Cina akan dipaparkan kemudian.
Terlebih
dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Sahabat Rakyat kerana
terus mempertengahkan isu-isu pokok untuk diperbincangkan dan dianalisa dalam
zaman dimana rakyat lebih gemar untuk berdiskusi dengan ayat-ayat pendek dan
hujah singkat dalam media sosial seperti FB dan twitter. Sahabat Rakyat adalah
antara sedikit kumpulan di Negara kita yang masih mengambil masa yang panjang
dan lama untuk membincangkan isu-isu teori dan praktik, isu-isu objektif dan
subjektif secara teliti dan teratur.
Semasa
dokumen asas Forum Fasa Baru Reformasi
Demokratik di Malaysia ditulis oleh Sahabat Rakyat, beberapa perkara seperti dibawah belum
mengambil tempat antaranya:
i. Najib masih belum pecat timbalannya Muhyuddin Yassin dan juga
orang-orang lain seperti Peguam Negara,
Pegawai tertinggi dalam Jabatan Cawangan Khas Polis, beberapa tangkapan keatas
MACC, Pasukan siasatan MDP telah ditangguhkan tugasnya dan pergantungan EDGE.
ii. Parti Amanah Negara (PAN) masih belum diumumkan lagi.
iii. Perhimpunan BERSIH belum mengambil tempat lagi.
Sehingga tulisan ini, Najib masih belum digulingkan lagi sebagai Perdana
Menteri Malaysia dan ramai menanti Mesyuarat Supreme Council UMNO pada 9
September 2015.
Lima Pemerhatian atau kritikan terhadap tulisan asas Fasa Baru
Reformasi Demokratik di Malaysia
1. Fasa Baru atau kesenimbungan Fasa Sebelumnya
Perkataan
pokok yang digunakan dalam forum ini adalah Fasa Baru dan saya menimbulkan persoalan samada kita berada dalam
Fasa Baru atau hanya sekadar projek pemulihan perjuangan terbengkalai Fasa
Sebelum itu – iaitu Fasa Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat dalam PRU yang lalu
mengajukan slogan UBAH dan Ini
Kalilah. Ia juga menampilkan diri sebagai Pakatan Harapan Rakyat-Manifesto PRU yang yang lalu. Walaupun
berjaya memenangi undi popular dan menang lebih kerusi Parlimen dari PRU
sebelumnya tetapi PR terkubur begitu sahaja dan dengan begitu cepat sekali.
Ia juga
mendedahkan kelemahan yang ada dalam PR sebagai alternative kukuh kepada
UMNO-BN. Saya melihat ini sebagai satu penderhakaan kepada rakyat kerana
kepercayaan yang diberikan oleh rakyat telah dihancurkan dengan begitu senang
sekali dan tanpa usaha yang banyak untuk mencari penyelesaian. Terdapat lebih
usaha untuk menguburkan PR daripada menyelamatkannya.
Maka samada
Fasa Baru atau Fasa Lama amat bergantung kepada Parti Amanah Negara(PAN) @
Gerakan Harapan baru (GHB) @ Pakatan Rakyat 2.0. Jika saya meneliti kenyataan
Lim Kit Siang, maka saya hanya boleh mengandaikan bahawa agenda mereka adalah
sama, iaitu PAN akan mengantikan PAS dan bersama dengan PKR dan DAP akan cuba
memenangi PRU ke 14. Ini bagi saya adalah agenda lama dengan perlawanan yang
sama. Kita juga tahu andaikata satu persefahaman tidak boleh dicapai dengan
PAS, maka pertandingan tiga penjuru akan menyebabkan UMNO terus memerintah.
Mereka yang akan cedera dalam perlawanan ini nanti mungkin PAS, PKR dan PAN.
DAP dengan agenda bertanding di kawasan majority Bukan Melayu akan terus memerintah
Pulau Pinang dan terus akan menjadi parti pembangkang paling kuat.
Maka Fasa
Baru hanya akan menjadi kenyataan jika politik baru yang dibawa oleh PAN dapat
menembusi politik perkauman dan memberi alternatif progresif yang menjurus kepada pertukaran sistem dan
sebagainya. Maka saya merasakan ini adalah sesuatu yang mustahil dan maka saya
melihat Fasa ini sebagai kesenimbungan Fasa sebelum ini. Proses memulihkan
Projek terbengkalai.
Maka saya rumuskan Fasa sekarang adalah Fasa mengantikan UMNO-BN
dan mewujudkan sistem 2 parti. Pandangan saya adalah Fasa Baru bermula setelah
UMNO-BN sudah digantikan.
2. Siapa musuh utama
– UMNO atau Sistem Kapitalis?
Reformasi
demokratik yang digariskan sebagai tajuk memberi interpretasi bahawa matlamat
akhir adalah untuk menukar rejim UMNO-BN yang dilihat sebagai musuh utama dan
bukan pertukaran sistem pemerintahan ekonomi politik Negara. Peranan UMNO dan
hegemoni UMNO dilihat sebagai isu pokok. Dimana UMNO menjadi masalah utama yang mempromosi sistem perkauman dan
Institusi perkauman. Maka UMNO perlu dihapuskan dulu. Walaupun saya boleh
setuju dengan pandangan ini tetapi persoalan wujud- siapakah kelas pemerintah?
Apakah
peranan orang seperti Robert Kuok dan Anatha Krishna – dua orang paling kaya
dalam Negara dalam dalam konteks ini . Apakah peranan Institusi Raja – Raja
Perlembagaan (boneka) atau pesaing kepada kelas pemerintah. Tidak boleh
dinafikan bahawa kebanyakan Raja dalam Negara kita terlibat secara langsung
dalam perniagaan dan mereka menjadi sebahagian daripada kelas kapitalis.
Adakah
dengan mengantikan UMNO, maka Institusi Perkauman dan Diskriminasi akan
berakhir? Pecah dan perintah memang telah membantu kelas pemerintah untuk
berkuasa? Adakah kelas memerintah akan mengantikan UMNO dengan parti baru
dengan matlamat mengekalkan status quo pecah dan perintah.
Saya mengakui wujudnya Gajah dalam bilik tetapi adakah Gajah itu
UMNO atau Institusi Perkauman ? Adakah UMNO adalah masalahnya atau ia hanyalah
proksi kuasa yang lebih besar.
3. Proses Pengislamisasi
Malaysia
Hujah penganjur menyatakan Dr Mahathir Mohamad merupakan pengasas dan pendorong penting
dalam “mengislamkan Malaysia”. Kerajaan UMNO-BN di bawah kuasa Mahathir telah
giat melaksanakan siri dasar pengislamisasi yang penting pada awal 1980-an
hingga tahun 1990-an.
Saya melihat Mahathir sebenarnya membawa Islam
liberal berbanding dengan PAS. Dan kita juga tidak boleh lupa bahawa antara orang yang dibawa khas oleh Dr Mahathir
untuk melakukan proses pengislaman
adalah Datuk Sri Anwar Ibrahim sendiri. Anwar sendiri telah melakukan banyak
perkara termasuk mewujudkan Universiti Islam, Unit pendakwaan dan Bank Islam.
Proses Pengislaman sistem pendidikan, Pembankan dan lain-lain banyak wujud
melalui pengaruh dan Inisiatif DSAI. Dalam
konteks ini adalah menarik untuk melihat brand apa yang akan dibawa oleh PAN.
Apakah itu
Islam Progresif? Sejauh mana progresifnya PAN? Jika dilihat debat antara Kaum
Tua yang konservatif (1906-1926) dan Kaum Muda yang progresif (1926-1938)
sehingga tertubuhnya KMM. Kaum Muda pada masa itu memfokus kepada isu
sosia-ekonomi rakyat berbanding dengan kaum Tua yang hanya fokus kepada isu
agama. Selain itu kaum Muda juga begitu progresif sehingga memberi hak
kebebasan untuk wanita. Ada juga cerita mereka membawa anjing semasa roadshow
untuk menunjukkan perbezaan dan progresifnya mereka.
Atau adakah
PAN akan progresif seperti Hizbul Muslimin yang diasaskan dari Gunung Semanggol. Tujuan Hizbul Muslimin pada
masa itu adalah untuk membincangkan masalah ekonomi yang dihadapi oleh golongan
Melayu-Muslim dan pada masa yang sama membawa bersama gerakan-gerakan dan
pemikir-pemikir Islam yang lebih aktif dan progresif bersama. UMNO pada masa
itu memang berasa tidak selesa dengan Hizbul Muslimin yang dirasakan terlalu berunsur revolusi dan militan.
Pemimpin UMNO Dato' Onn Jaafar pada masa itu mula mengeluarkan amaran mengenai
"ancaman bahaya dari gunung", yang merujuk kepada Gunung Semanggol.
Maka sejauh manakah PAN akan membawa Islam progresif dan sejauh manakah
Progresifnya?
4. Keadaan Ekonomi
adalah faktor wujudnya keadaan Objektif untuk berjuang
Saya setuju dan berpendapat Hindraf adalah satu faktor utama
Tsunami 2008 berlaku tetapi ia bukan faktor terpenting atau terulung. Saya
masih mengariskan isu ekonomi adalah isu utama dan kondisi objektif yang
membawa kepada kebangkitan rakyat. Ini Konsisten dengan masa-masa kebangkitan
rakyat sebelum itu pada tahun 1969, 1974, 1978, 1987, 1998, 2008 dan sekarang
2015. Semua zaman berlakunya perlawanan atau ancaman kepada Pemerintah adalah
zaman-zaman dimana wujud krisis ekonomi yang serius. Pada masa-masa ini ada krisis ekonomi seperti
kemelesetean ekonomi, krisis matawang, krisis imbangan perdagangan,
pengganguran dan lain-lain. Krisis Politik dan krisis ekonomi mempunyai
hubungan langsung. Kehadiran ramai orang untuk BERSIH 4 juga mempunyai hubungan
langsung dengan masalah ekonomi yang melanda Negara dan memberi kesan kepada
rakyat biasa.
5. Apakah yang
diharapkan dari Harapan Baru ?
Pasca
Pakatan Rakyat. Saya juga telah menulis satu kritikan mengenai Gabungan
Harapan baru
dalam article saya berjudul Harapan Baru
- Masalah lama. Ada juga terdapat pertindihan
dalam article ini. Diharap para pembaca mempunyai peluang untuk membaca article
tersebut. Ramai yang menuduh PAS sebagai punca keretakan dalam PR tetapi maaf
saya juga perlu mengatakan DAP juga mempunyai peranan dalam kehancuran PR. Peranan DAP membuat kutukan bertubi-tubi
keatas team Ulamak PAS dan Hadi mempercepatkan proses perpecahan PR. Mungkin ia
ada baiknya tetapi cara agresif yang digunapakai oleh DAP tidak baik untuk
politik negara kita dalam konteks polarisasi kaum. Sudah tentunya style DAP
akan membuatkan orang Melayu dan Islam marah dan terasa tergugat. Pandangan ini
juga dikongsi oleh rakan-rakan dalam GHB kepada saya. Pada satu ketika , nampak
sangat bahawa DAP mahu PAS disingkirkan dan semua kenyataan DAP bertujuan
memastikan matlamat ini tercapai. Dengan cara ini, DAP terus menjadi hero
masyarakat Bukan Islam yang memang mempunyai
sentimen benci kepada PAS dan program islam konservatif yang dibawanya.
Rasa
insecure atau tergugat Kaum Majoriti Melayu tidak harus diambil ringan. Ia pada
pandangan kami adalah satu ketakutan yang berasas. Itu sebabnya UMNO terus
mendapat sokongan orang Melayu manakala begitu sukar untuk PR menembusi
pengaruh UMNO ini. Untuk memperdalamkan isu ini, saya
ingin membuat perbandingan Malaysia dengan negara lain di Asia Tenggara. Di
Filipina, 80% populasi adalah Roman Katholik, 10 % kristian Protestan manakala
hanya 5% adalah Islam. Di Indonesia, perangkaan 2000 adalah 86.1% adalah
beragama Islam manakala 8.7% adalah kritian, 3% Hindu dan 1.8% Buddhist. Di
Thailand, 94.7% populasi adalah Buddhist manakala 4.6% adalah Islam. Singapore
pula adalah 75% Cina, Melayu 13% dan India 9%. Sekarang keadaan di Malaysia
pula adalah, 60 % beragama Islam, 19% Buddhist, 9% kristian dan 6% Hindu. Ratio
golongan Majoriti dengan lain hanyalah 1.5:1 dan
ini berbeza dengan negara lain di Asia Tenggara. Maka apabila tidak adanya satu
majoriti yang jelas maka mereka akan terasa lebih tergugat. Itulah sebabnya
rusuhan Mei 13 berlaku di Pantai Barat dan Bukan Pantai Timur.
James
Puthucheary pernah mengutarakan bahawa Sebuah Negara majmuk seperti Malaya
mengutarakan pelbagai masalah yang tidak boleh difahami atau diselesaikan
dengan pengalaman sosialis di Negara-negara lain. Pengalaman golongan sosialis
di lain negara kemungkinan tidak relevan langsung kepada kita kerana pengalaman
mereka tidak berkisar daripada permasalahan pembentukan satu masyarakat majmuk.
Insecurity kebimbangan ini terus
dimanupulasi untuk memastikan rakyat terus mengundi UMNO. Strategi DAP bagus
untuk kemenangan kerusi untuk DAP tetapi bagaimana pula untuk satu Negara?
Dua cabaran utama di Malaysia
Apakah
agenda kita di Malaysia? Adakah agenda kita untuk turunkan Najib, turunkan
rejim UMNO-BN atau turunkan Sistem Ekonomi Kapitalisma yang merupakan pertuanan
1% keatas 99%.
Jika dilihat
tajuk kita hari ini Fasa Baru Reformasi demokratik di Malaysia membawa
pengertian bahawa kita membincangkan tentang penukaran rejim UMNO kepada satu
parti pemerintah baru tanpa menukar sistem ekonomi politik Negara. Maka
perkataan reformasi sendiri membawa maksud tukar rejim dan bukan tukar sistem.
Untuk sebuah
parti sosialis dan berhaluan kiri seperti PSM dan Gabungan kiri, dua isu pokok
yang harus ditangani oleh Negara adalah.
i. Isu Persoalan
nasional. Isu berkaitan dengan bahasa, agama, budaya bangsa. Ia juga meliputi
isu-isu berkenaan dengan diskriminasi kaum, Perkara 153 dan sebagainya
ii. Isu kedua adalah
persoalan kelas. Isu dan polisi yang melibatkan nasib 99%. Melibatkan masalah
rakyat seperti gaji, rumah selesa, kesihatan dan pendidikan, sistem percukaian
dan sebagainya.
Kedua-dua persoalan ini mempunyai hubungan dialetikanya .
Contohnya sistem kapitalisma memerlukan percanggahan dalam perpaduan kaum untuk
terus memerintah dan memastikan hegemoni 1% terus dikawal. Namun untuk
menyelesaikan kesengsaraan rakyat berkait langsung dengan sistem ekonomi acuan
neo-liberal kapitalisme yang dianuti di negara kita dan dipegang kuat sama ada
oleh BN ataupun PR. Sistem ini mementingkan kepentingan pelabur,
mengagung-agungkan penswastaan, mempromosi percukaian regresif seperti GST,
meminggirkan isu alam sekitar dan sering setuju dengan perjanjian
perdagangan bebas seperti TPPA.
Dua isu kaum dan agama ini merupakan faktor penghalang paling
serius dalam usaha kita mencapai satu Negara dimana rakyat bersatu dibawah satu
program perjuangan kelas. Ia merupakan
faktor penghalang paling serius yang telah melemahkan gerakan kiri mahupun
Gabungan Pembangkang sejak itu. Jika dihujah maka gajah dalam bilik adalah
Institusi perkauman dan kita tidak boleh lari daripada ini.
Tiga dilemma untuk memajukan
perjuangan Demokratik Negara ke depan
Maka
dipertengahkan tiga persoalan atau dilemma untuk kita maju kedepan. Ketiga isu
ini cukup penting dan merupakan isu-isu strategi dan juga melibatkan isu-isu
principal, idelogi pemikiran dan persoalan relevan
1. Adakah kita
membina satu Gabungan Baru Populis untuk gantikan PR dan menang PRU ke 14 atau
membina satu Gabungan Baru yang kuat dan jitu yang dapat duduk membincangkan
isu-isu susah seperti Persolan nasional , isu agama dan Hudud.
Jika kita meneliti semua gabungan ini, baik gabungan berhaluan
kiri seperti PUTERA-AMCJA dan Barisan Sosialis mahupun Gabungan pembangkang
berhaluan kanan seperti Gagasan Rakyat & APU, Barisan Alternatif dan
sehinggalah Pakatan Rakyat, maka satu perkara yang cukup nyata dan ketara
adalah mereka tidak dapat menyelesaikan isu-isu menjurus kepada persoalan nasional
dan perkauman. Mungkin parti-parti ini sendiri selesa memainkan agenda
perkauman untuk mendapatkan sokongan di kawasan pengaruh masing-masing.
Bagi
pandangan saya, agama tidak pernah dapat menyatupadukan rakyat dalam satu
masyarakat majmuk jika hanya pandangan satu agama sahaja diambil sebagai
rujukan. Maka ini akan merupakan satu masalah utama kepada PAN dan Pakatan 2.0.
Jadi, apa yang kita perlukan hari ini adalah perbincangan serius
tentang isu-isu pokok utama supaya masalah yang melanda kita tidak berulang dan
berulang dan berulang… Ini adalah cabaran untuk PAN@ Harapan Baru dan Pakatan
rakyat 2.0. Harapan baru harus berani menghadapi masalah lama dan cuba
mengatasinya. Jadi, tiada gunanya untuk kita mengatakan bahawa kita adalah
harapan baru jika isu-isu asas dan fundamental ini tidak ditangani. Contohnya,
isu Hudud dan pilihanraya tempatan . Alasan mengapa tidak ada persefahaman
dalam Pakatan Rakyat dalam isu-isu ini sebelum ini adalah kerana ia
berakarumbikan isu perkauman. Maka Pakatan 2.0 harus mempunyai posisi tentang
isu-isu ini dan mereka tidak boleh mengambil langkah pintas dengan berkata,
“kami setuju untuk tidak setuju.” (We agree to disagree)
PSM berpendirian satu Gabungan Baru harus mempunyai posisi dan
penglibatan ramai dalam mengariskan isu-isu kepentingan Nasional. Maka adalah
penting untuk kita cuba belajar daripada gerakan PUTERA-AMCJA sebagai satu
gabungan, kerana ia juga adalah kombinasi parti politik dan NGO. Bezanya adalah
mereka mengambil masa yang begitu lama, mengadakan diskusi di pelbagai
peringkat, di kawasan kampung dan bandar untuk mengeluarkan satu dokumen yang
dipanggil Perlembagaan Rakyat. Selain itu, mereka juga berjaya menganjurkan
Hartal Se-Malaya pada 20 Oktober 1947. Tindakan dan kuasa rakyat yang
ditunjukkan oleh mereka ini masih tiada lagi bandingannya sehingga kini. BERSIH
walaupun dapat turunkan ribuan rakyat, tetapi ia lebih fokus kepada Lembah
Klang dan bandar-bandar utama sahaja.
PUTERA-AMCJA berjaya mengabungkan pelbagai gerakan yang radikal,
nasionalis dan Islam dalam satu program yang dapat menangani isu perkauman dan agama.
Mereka mendapat sokongan kuat dari bandar dan luar Bandar. Antara organisasi di
bawah AMCJA adalah Kesatuan Kekeranian, Dewan Perniagaan India, Kesatuan
Sekerja Nasional PMFTU yang mengorganisasi dua pertiga daripada keseluruhan
kaum pekerja manakala PUTERA pula diwakili oleh API, AWAS, BATAS (Barisan tani)
, Hizbul Muslimin dan GERAM (Gerakan Angkatan Muda).
Antara pencapaian mereka ialah persetujuan 10 prinsip rakyat yang
diterbitkan oleh mereka. Jika kita meninjau pada ketika itu, dua isu menjadi
isu pertelingkahan iaitu isu soal kerakyatan (Jus Soli) yang AMCJA sokong
tetapi PUTERA keberatan dan begitu juga isu nama kerakyatan dimana PUTERA
mengusulkan Melayu manakala AMCJA pula Malayan.Namun atas kebijaksanaan Dr.
Burhanuddin Helmy, Tan Cheng Lock dan Ahmad Boestaman mereka berjaya mencapai
satu kompromi dimana kerakyatan dibuka kepada semua dengan syarat semua
menerima konsep Negara sebagai Melayu. Dengan kompromi dan tolak ansur, mereka
berjaya menyelesaikan satu isu perkauman dengan amat bijak sekali. Penyelesaian
mereka bukan pecah masyarakat kepada dua golongan tetapi mencari penyatuan
bersama.
Maka jika
Pakatan 2.0 ingin membawa masuk NGO bersama, mereka harus membina satu Gabungan
Baru yang luas (Broad coalition) dan mengajak bersama semua kuasa progresif
termasuk kumpulan macam Sahabat Rakyat untuk sama-sama membentuk Gagasan Rakyat
dengan consensus semua kaum supaya isu perkauman ini dapat dikuburkan melalui
satu program politik yang menyeluruh.
2. Yang manakah Kondradiksi
Utama? Selesaikan isu Persoalan nasional dahulu atau Bina Perjuangan Kelas
dahulu ?
Apakah yang
harus dibina dahulu. Jika diambil persoalan yang diutarakan oleh James
Puthuchuery maka kita harus selesaikan persoalan Nasional sebelum kita ke Fasa
baru memperjuangkan perjuangan kelas.
Isu ini
penting dan merupakan isu pertelingkahan antara kumpulan progresif dalam Negara
kita. Golongan pertama merasakan kita perlu selesaikan isu Nasional dulu maka
segala kempen kita harus kepada melawan kuasa-kuasa yang mempromosi perkauman,
mengutuk undang-undang rasis dan diskriminasi,
Ini adalah isu pokok dan tanpa menyelesaiakan masalah ini, kita tidak
dapat membina massa untuk rakyat untuk membela nasib 99%.
Kumpulan
kedua pula berhujah bahawa kontradiksi utama adalah isu Kelas dimana dengan
penghapusan sistem kelas, maka isu persoalan nasional ini dapat diselesiakan
secara automatik. Ia mengambil teori Base dan super structure dimana isu-isu
bahasa dan agama dilihat sebagai Super struktur yang akan berubah secara
atomatik andaikata sistem ekonomi yang
menjadi landasan utama berubah.
Kedua-dua
hujah ini mempunyai hujah-hujah yang kukuh. Sebagai golongan Marxist, PSM tidak
boleh menafikan kepentingan persoalan ini. Lenin
sendiri mengambil posisi paling kuat
kritikan terhadap segala polisi-polisi diskriminasi berdasarkan bangsa, kaum
dan bahasa seseorang. Lenin pernah
berhujah Sesiapa yang tidak mengakui dan tidak mempertahankan hak sama darjat
antara bangsa-bangsa dan bahasa, tidak berjuang terhadap penindasan
bangsa-bangsa dan ketidaksamaan darjat antara bangsa-bangsa dalam semua bentuk,
dia bukan kaum marxis, bahkan juga bukan kaum democrat. Ini sedikitpun tidak
diragu-ragukan lagi.
Dalam
Konteks Malaysia dan komposisi kaum. PSM mengambil pendekatan bahawa untuk
melawan diskriminasi perkauman maka ia harus diusahakan oleh satu kumpulan atau
gerakan pelbagai kaum (multi racial) kerana pada hakikatnya kumpulan berasaskan
satu kaum pada tendensinya hanya akan memperjuangkan nasib kaum mereka dan ini
sekali gus boleh membawa persaingan daripada kaum lain yang juga membela nasib
kaum mereka.
Maka ini
bagi kita adalah persoalan dialetik dan taktikal dimana kami berpendirian isu
perkauman harus diselesaikan dahulu tetapi ia hanya boleh diselesaikan oleh
satu kumpulan multiracial pelbagai kaum. Hanya satu gerakan pelbagai kaum
sahaja dapat melawan aliran rasis yang dibawa oleh satu kaum. Maka adalah
tugasan kita untuk menyatukan rakyat dalam isu-isu yang dapat membawa mereka
bersama. Isu-isu yang dapat menyatupadukan rakyat adalah isu-isu seperti GST,
isu hospital awam dan isu harga rumah, pendidikan percuma. Maka PSM mengambil
isu-isu ini sebagai asas perjuangan dan cuba menghindar isu-isu yang dapat
memecahbelahkan rakyat.
Ini bukan
bererti PSM menyapu masalah pokok ini dibawa tikar tetapi lebih merupakan
langkah berhati-hati supaya ia tidak membawa kesan negatif kepada objektif
utama menyatukan massa rakyat pelbagai kaum.
Isu-isu sensitif harus dikendalikan secara matang dan terkawal. Kami
juga merasakan mempropagandakan isu-isu satu kaum, akan mewujudkan lebih
masalah dalam masyarkat Malaysia. Maka kita mengambil proses 2 step dimana
langkah pertama adalah membina gerakan rakyat pelbagai kaum dan langkah kedua
melawan polisi rasis dan diskriminasi. Itulah sebab PSM merupakan parti politik
pertama yang setuju dengan tuntutan Hindraf tetapi pada masa yang sama kami
tidak setuju cara pendekatan modus operandi mereka dalam menangani isu-isu ini.
Dalam
konteks yang sama PSM menyokong pengubalan Social Inclusion Act yang diusahakan
oleh Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dimana Dr. Jeyakumar MP ulung PSM telah
cuba membentang satu Private Members Bill(PMB) supaya cara duit dibelanjakan
untuk mengatasi masalah kemiskinan dan pembangunan tidak harus berlandaskan
formula kaum. PMB yang diusahakan oleh
Dr Jeyakumar dapat mengukuhkan perpaduan kaum berbanding dengan PMB yang dibawa
oleh Hadi mengenai enakmen Hudud.
Dalam
Konteks yang sama, PSM menyambut baik
gerakan multiracial macam BERSIH kerana ia dapat sedikit sebanyak membawa semua
orang dan isu-isu yang dibawa juga adalah isu-isu yang melibatkan semua kaum.
PSM melihat BERSIH sebagai satu gerakan demokratik yang mempunyai banyak
potensi dan patut dibina. BERSIH juga semakin mantap menghadapi tekanan
pemerintah dan juga merupakan satu institusi yang agak demokrtik dari segi
membuat keputusan dan sebagainya.
3. ABU atau membina Kuasa ketiga ?
Jika soalan ini ditanya kepada Mat Sabu. Beliau akan berkata kita
kena membina kuasa ketiga tetapi sebelum itu kita kena hancurkan UMNO-BN. Maka
dogma majority rakyat Malaysia dan puak pembangkang adalah ABU dan membina
sistem 2 parti. Sistem dua parti adalah berbeza dengan dua sistem. Ia hanya
membawa perubahan parti pemerintah baru tetapi mendukung sistem ekonomi yang
sama.
Dalam PSM sendiri, ini
adalah satu dilemma besar kerana para veteran dalam parti mengambil pendirian
bahawa kita kena menggunakan teori stages iaitu kita kena habiskan UMNO-BN dan
baru kemudian itu memperjuangkan kuasa ketiga. Posisi ini sebenarnya adalah
posisi yang sering diambil oleh PSM dalam 2 PRU sebelum ini. Namun demikian
hari ini, ia mendapat tentangan yang cukup kuat dari golongan anak muda dalam
PSM. Mereka berpendirian PSM harus mempunyai sikap berprinsip dan melawan musuh
berlandaskan idelogi dan bukan hanya sekadar persefahaman sementara yang
populis.
Sosial media juga menyebabkan anakmuda hari ini lebih terdedah
kepada isu-isu dan mereka juga amat kecewa dengan tindakan PR. Untuk makluman
semua, komposisi keahlian ahli baru masuk ke PSM hampir dua tahun berturut
–turut adalah ration7-3. Iaitu dari 10 orang ahli yang menyertai, 7 orang
adalah anak muda Melayu manakala bukan Melayu hanya 3 orang. Ini juga adalah
satu kejutan kepada PSM dimana sebelum ini, orang Melayu jarang mahu menyertai
PSM kerana merasakan PSM anti agama dan komunis. Anak-anak muda yang menyertai
PSM ini sebenarnya mereka yang bukan mahu menjadi YB kerana jika mereka mahu
menjadi YB maka mereka akan menyertai parti lain. Mereka ini adalah anak-anak
muda yang berfikiran idealis dan berprinsip. Mereka mahu satu sistem baru yang
dapat membela nasib rakyat biasa – kaum pekerja, petani, peneroka, orang asal
dan sebagainya.
Maka PSM mempunyai tanggungjawab dan dilemma besar dimana di satu
pihak ia mahu bersama komponen PR untuk jatuhkan BN tetapi di sudut lain, ia
perlu membina kuasa ketiga kerana perlawanan sebenarnya adalah perlawanan kelas
dan ia tidak boleh ditangguh lagi. Hanya perlawanan kelas dapat membebaskan
rakyat dari belenggu kemiskinan dan kesengsaraannya. Justeru PSM mengambil
posisi bekerjasama dengan PR tetapi tidak menyertainya. Kami mungkin boleh
menyertainya jika satu perbincangan yang lebih menyeluruh melibatkan semua
isu-isu pokok dibincangkan dan satu broad coalition ditubuhkan melibatkan
banyak kumpulan dan isu-isu pokok dapat dibincang dan satu consensus Nasioanl
dapat dicapai.
Maka PAN
juga harus menilai samada ia ingin menjadi satu kumpulan progresif dan berjiwa
revolusi seperti Hisbul Muslimin atau hanya sekadar menjadi satu kumpulan untuk
disempurnakan stereotaip dalam agenda untuk menang Pilihanraya sahaja. Kami
mengalu-alukan Golongan Progresif bersama Gabungan Kiri untuk membina
alternative baru yang dapat membebaskan rakyat daripada sistem ekonomi politik
yang rakus dan tidak adil.
Kesimpulan
Untuk menyelesaikan masalah politik negara, kita memerlukan satu
pertukaran pemimpin. Untuk menyelesaikan masalah salah tadbir negara, kita
memerlukan satu parti baru tetapi untuk menyelesaikan kesengsaraan rakyat, kita
memerlukan satu sistem baru.
Maka sebagai golongan kiri dan sosialis, perjuangan kami tidak
boleh terhenti sekadar UMNO-BN terkubur. Perjuangan kami kena berterusan
sehingga sistem kapitalisma terkubur dan itulah fasa demokratik baru untuk
kami. Pengalaman rejim change di
Negara-negara jiran kita seperti Phillipines dan Indonesia tidak memperlihatkan
pertukaran sistem selepas pertukaran rejim. Maka dua parti dominan akan
bergilir-gilir memerintah Negara dengan acuan yang sama. Bagi kita pembebasan
rakyat hanya boleh terlaksana apabila acuan yang menindas itu dipecahkan. Jalan
ini mungkin lebih susah tetapi kontradiksi kelas terus semakin hebat diseluruh
dunia dan peluang ini akan terus wujud. Ledakan Informasi Maklumat hari ini
merupakan antara kondisi yang perlu kita teliti dimana mungkin hari ini kita
dapat terus membina kuasa ketiga tanpa melalui proses ABU.
Kuasa Ketiga harus bersedia untuk memantapkan gerakan dan mengisi vakum
ini yang menjadi jeritan ramai anak muda dewasa ini.
*
0 comments:
Post a Comment