Bagilah peluang kepada
Anwar dan Pakatan Harapan,
Harap Anwar jelas bezakan kawan dan lawan,
serta mempertahankan hajat asal
(Bahagian pertama)
Dialog Hassan Karim dengan Sahabat Rakyat
▲ Pada 12 Disember 2020, pukul 2.00 hingga 4.30 petang, pewakilan dari Sahabat Rakyat telah mengadakan wawancara berkaitan perkembangan terkini En. Hassan Karim, Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di pejabat Ahli Parlimen Pasir Gudang.
Hassan Karim (tengah berhadapan dengan kamera) diiringi oleh Nor Nazura - Setiausaha Biro Kebajikan Parlimen Pasir Gudang (bertudung kuning), Murad bin Jailani - Penolong Peribadi Hassan Karim merangkap Timbalan Ketua Cabang PKR Pasir Gudang (baju korporat hitam) dan Halil bin Razman - Pegawai Pejabat Parlimen merangkap AJK Angkatan Muda PKR Pasir Gudang (baju korporat putih).
9 wakil dari Sahabat Rakyat termasuk Nyam Kee Han (moderator, kemaja-t kuning), Goh Chee Horng (kemaja-t biru), Liang Peck Kuan (kemaja-t hitam), Ngo Jian Yee (kemaja-t biru berkolar putih), Tan Sin (Chen Xin @ Tan Seng Hin, kemaja putih), Cheng Lee Whee (berambut panjang), Chan Jock Lan (berambut pendek dengan pelitup muka), Mohd Nasir Thum dan Ang Pei Shan (kedua-dua tiada dalam gambar).
Berikut ialah teks penuh wawancara (Bahagian 1). Semua keterangan dan ilustrasi dimasukkan oleh editor.
Sahabat Rakyat terdiri daripada sekumpulan sukarelawan yang berminat dalam mendorong maju gerakan demokratik di negara kita. Tujuan kami hadir ke sini adalah untuk memahami dengan tepat sebab dalaman dan luaran yang menyumbang kepada interaksi dinamik antara anda dan Anwar Ibrahim. Pada masa yang sama kami juga ingin berkongsi pendapat kami mengenai isu ini secara terus terang. Oleh kerana isu ini adalah isu politik semasa yang berkaitan rapat dengan reformasi demokratik dan kepentingan rakyat, ada baiknya kandungan dialog kita diumumkan kepada rakyat semua bangsa, supaya masyarakat umum dapat memahami pendapat kita dan seterusnya melaksanakan seruan kita. Kita pula dapat menguji sama ada pendapat dan seruan masing-masing betul atau tidak melalui praktik sosial. Melalui tindakan sendiri, khalayak ramai juga boleh mengenali dan mengenal pasti pendapat dan seruan yang selaras dengan kepentingan dan aspirasi majoriti rakyat. Kami percaya bahawa ini adalah pendekatan paling tepat yang harus diamalkan oleh semua pertubuhan dan individu demokratik di negara kita untuk mendorong maju gerakan reformasi demokratik tulen negara kita.
(1) Dua kenyataan Hassan Karim dan balasan utama Sahabat Rakyat
Hassan Karim: Biar saya jawab begini. Saya merupakan ahli berdaftar seumur hidup Parti Keadilan Rakyat (PKR). Saya juga adalah ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) dan PKR. Sebelum meletak jawatan dalam parti, jawatan terakhir saya ialah pengerusi PKR Johor. Saya dilantik oleh Saudari Wan Azizah dan Saudara Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PKR Johor. Selepas pilihanraya umum ke-14, Anwar lanjutkan lantikan saya sebagai pengerusi PKR Johor.
Setahun yang lepas, saya sudah melepaskan jawatan pengerusi PKR Johor. Jawatan ini kini disandang oleh orang muda, iaitu ahli parlimen Ledang, Saudara Syed Ibrahim Syed Noh. Semenjak saya meletak jawatan parti, saya tidak lagi memegang apa-apa jawatan di peringkat negeri mahupun peringkat cabang Pasir Gudang. Saya hanya sebagai ahli parlimen Pasir Gudang PKR kerana parti yang memilih saya bertanding di kawasan ini dan saya menang.
Maka, harus jelas disini bahawa segala kenyataan saya tidak mewakili pihak parti kerana saya bukan pemimpin rasmi parti. Akan tetapi, sebagai ahli parlimen Pasir Gudang, saya boleh bagi pandangan sebab saya mewakili rakyat di kawasan Pasir Gudang.
Kedua, mengenai pandangan saya terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim. Dari segi politik, dia adalah presiden PKR. Dari segi peribadi, dia adalah sahabat saya. Kami kenal sejak di universiti semasa dia masih bujang dan muda lagi. Hubungan saya dengan dia bagus. Dia menghormati saya sebagai sahabat, sebagai ahli parlimen Pasir Gudang; Saya menghormati dia sebagai presiden PKR. Kami mempunyai banyak persamaan dari segi prinsip-prinsip seperti reformasi dalam institusi-institusi di negara kita termasuk SPRM, undang-undang hak asasi manusia dan sebagainya. Saya berkongsi pandangan yang sama dengan dia sejak 20 tahun yang lalu. Saya sokong dia dalam usaha dia menentang politik perkauman yang sempit. Dia percaya kepada demokrasi, kepelbagaian budaya, kepelbagaian kepercayaan. Hanya ada sedikit perbezaan yang bukan perkara yang asas sangat di antara saya dengan dia.
Hassan Karim: Perkara ini tidak akan terjadi secara begitu saja tetapi ada alasan sejarahnya. PKR (sambil tunjuk ke arah logo PKR di atas dinding pejabatnya) merupakan gabungan dua parti. Dua palang merah di kiri kanan logo PKR melambangkan Parti Rakyat Malaysia (PRM), manakala mata putih dengan dasar biru di tengah-tengah logo melambangkan Parti Keadilan Nasional (PKN).
Jadi, PKR sekarang merupakan gabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia. Pada awalnya saya tidak berminat untuk bergabungkan PRM dengan Parti Keadilan Nasional. Saya rasa perlu kekalkan PRM dan menegakkan prinsip-prinsip PRM. Sebelum pembentukan PKR, Anwar masih berada dalam penjara. Dia tulis sepucuk surat sepanjang 3-4 muka surat kepada saya. Dia beritahu adalah penting supaya Parti Rakyat Malaysia dan Parti Keadilan Nasional bergabung supaya satu platform politik berbilang kaum dapat diwujudkan. Anwar berasal dari UMNO, kekuatan utama yang menyokong dia pada masa itu adalah dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), orang Melayu di kawasan bandar dan sebilangan badan bukan kerajaana (NGO) yang progresif. Tetapi NGO bukan parti. Jadi, Anwar berpendapat platform politik yang baru itu mesti merupakan sebuah parti politik berbilang kaum. Dia nampak parti yang ada prinsip dan asas ini PRM. Dia bincang dengan Dr Syed Husin Ali dan menulis surat kepada saya. Akhirnya, saya turut setuju kedua-dua parti ini bergabung selepas berfikir lama.
Balik kepada tindakan saya di Dewan Rakyat. Sebenarnya saya sendiri pun tidak sangka. Saya ingat kalau mahu lawan, lawan sajalah. Apabila saya bangun, saya tengok tiada ahli parlimen PKR lain yang berdiri. Selain kumpulan Mahathir dan Parti Amanah Negara, hanya seorang ahli parlimen DAP dari Sarawak yang berdiri. Walaupun hanya saya seorang dari PKR yang berdiri, saya tetap teguh kepada pendirian saya. Pada saat itu, saya tidak mewakili PKR, saya berdiri atas diri sendiri. Masa saya bangun, puak-puak UMNO hingar bingar dan mengecam kita. Sebaik sahaja keluar dari Dewan Rakyat, saya terus menghantar mesej kepada Anwar dan Parti. Saya kata tadi saya sudah berdiri, ia mungkin melanggar disiplin parti kerana saya masih ahli PKR, saya beritahu bahawa saya sedia diambil tindakan disiplin. Tiga hari kemudian, 38 ahli parlimen PKR termasuk Anwar, Wan Azizah dan saya bermesyuarat di Ibu Pejabat PKR. Salah satu perkara yang dibincangkan di peringkat awal ialah tentang isu saya tidak mengikut arahan. Mesyuarat memberi peluang kepada saya untuk bercakap. Saya berkata saya serah kepada parti untuk mengambil tindakan sewajarnya. Saya mempertahankan pendirian saya. Apa yang saya lakukan itu adalah betul dan saya yakin pada pendirian saya. Ini bermakna saya menghormati pendirian parti, pendirian presiden tetapi saya mempertahankan kebebasan saya.
Anwar merupakan orang yang demokrat. Dalam mesyuarat itu, dia kata dia kenal Hassan dan Hassan konsisten terhadap prinsipnya. Maknanya dia faham langgam saya dan dia menghormati saya. Akhirnya tiada apa-apa tindakan ke atas saya.
Hassan Karim: Saya boleh berkongsi maklumat tentang perkara ini. Tindakan kenyataan bersama kami bertiga bukan satu rancangan untuk sengaja berbeza pandangan dengan parti. Kami percaya bahawa PKR ialah parti yang adil, menghormati perbezaan fikiran dan pendapat. Kita percaya selagi tidak merosakkan parti, PKR mampu memberi ruang untuk pandangan-pandangan yang berbeza. Walaupun pandangan berbeza hanya seorang, dua orang atau tiga orang, tetapi ia tetap ada tempat dalam PKR. Perkara ini dijamin, Anwar juga menghormatinya. Sebagai ahli parlimen, kami bertiga ingin menyumbang sesuatu. Kami ingin membentuk satu Kaukus Parlimen untuk Reformasi Ekonomi, Sosial dan Kebajikan. Antara kami bertiga, hanya Saudara Akmal sahaja yang ada jawatan dalam parti, iaitu sebagai Ketua Pemuda PKR. Kami percaya bahawa sebagai ahli parlimen, kami mempunyai tugas-tugas tertentu di dalam parti. Kami perlu memperjuangkan isu-isu tertentu seperti isu masalah pekerja, khususnya mereka yang tidak dibayar KWSP, Perkeso dan berada dalam kesusahan sekarang. Ketiga-tiga kami mempunyai persefahaman untuk membentuk kaukus yang fokus kepada isu rakyat dan rakyat ini adalah melangkaui batasan kaum termasuk Melayu, Cina, India, Kadasan-Dusun, Iban-Dayak dan lain-lain.
Sebenarnya itulah kandungan utama kenyataan bersama tersebut. Apa yang media tonjolkan hanya bahagian permulaan kenyataan bersama itu, iaitu “arahan pemimpin pembangkang supaya tidak menuntut undian belah bahagi dalam peringkat dasar Belanjawan 2021 mengecewakan banyak pihak”. Tetapi apa yang lebih penting ialah kami menyeru menubuh satu kaukus yang fokus kepada isu-isu rakyat. Ini tidak menjadi isu dalam parti. Mungkin yang menarik adalah Nurul Izzah turut menyertai kenyataan bersama tersebut. Ini hanya satu kebetulan, mungkin kerana ketiga-tiga kami mengambil berat tentang isu-isu rakyat.
Bagi saya, saya tidak ada masalah sangat bahawa pimpinan parti hendak mengadakan kerjasama (dengan ahli-ahli parlimen parti lain) untuk ambil alih kerajaan pusat. Dari segi prinsipnya, saya rasa kerajaan Muhyiddin adalah tidak sah. Jadi kalau kita boleh ambil balik mandat rakyat, saya sokong. Bagi kami, kami hanya ingin menyelesaikan isu-isu rakyat di kawasan yang kami berkhidmat. Kami serahkan kepada pemimpin jika barisan pimpinan parti berfikir hendak mengambil alih kerajaan pusat. Walau bagaimanapun, kami hanya berharap usaha melobi ahli-ahli parlimen dari parti lain untuk membentuk kerajaan perpaduan harus diurus dengan baik.
▲3 ahli parlimen PKR dari parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir (kiri), parlimen Pasir Gudang Hassan Karim (tengah) dan parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Binti Anwar (kanan) berasa kecewa dengan keputusan presiden PKR untuk membenarkan bacaan kedua belanjawaan 2021 diluluskan dengan mudah tanpa melakukan undian belah bahagi. Mereka mengeluarkan satu kenyataan bersama menyeru supaya sebuah kaukus parlimen yang mengambil berat tentang masalah kehidupan rakyat jelata ditubuhkan. Mereka berpendapat PKR tiada masalah langsung dengan usaha ini.
Hassan Karim menegaskan dalam wawancara ini bahawa isi utama kenyataan bersama mereka bertiga adalah seruan untuk menubuhkan kaukus parlimen untuk menangani masalah kehidupan rakyat, tetapi laporan media cenderung mengabaikan tujuan utama ini sebaliknya berfokus kepada kritikan terhadap Anwar.
(2) Harap PKR amalkan demokrasi dan kepelbagaian sebenar
Sahabat Rakyat: Kami percaya bahawa tindakan anda bertiga membawa makna yang positif. Parti politik sememangnya wajib membenarkan kebebasan bersuara dan kepelbagaian pendapat wujud. Walaupun anda mengatakan bahawa PKR adalah parti demokratik yang berbilang kaum, kami berterus-terang bahawa kami berpendapat demokrasi dalaman PKR masih tidak sempurna sehingga menyebabkan hubungan antara Anwar dan PKR dengan rakyat semua bangsa semakin berjauhan. Jika melihat kepada pendirian dan perilaku Anwar selepas PRU ke-14 serta pendekatan PKR dan Pakatan Harapan menghadapi "Rampasan Kuasa Sheraton", ada tanda-tanda yang menunjukkan Anwar kini berada di jalan yang semakin menjauhi rakyat semua bangsa (terutamanya masyarakat bukan Melayu bukan Islam dan orang Melayu lapisan bawahan yang tertindas) demi mengecapi impian indah menjadi Perdana Menteri. Bagi kami, jika PKR ingin maju ke depan, ia mesti:
(1) Melaksanakan pendemokrasian sebenar organisasi parti. Pengerusi peringkat negeri mesti dipilih oleh ahli akar umbi melalui pemilihan parti, bukan dikuasai oleh orang kepercayaan yang dilantik oleh Anwar atau Presiden nasional. Sistem sedia ada yang memberi kuasa kepada Presiden untuk melantik pengerusi setiap negeri akan menghalang perkembangan berterusan PKR;
(2) Melaksanakan pemajmukan sebenar organisasi parti. Kepelbagaian organisasi parti tidak mungkin tercapai hanya dengan mengangkat seorang dua pemimpin popular kaum lain untuk dijadikan sebagai lambang seperti apa yang dilakukan oleh parti-parti lain. Kepelbagaian kaum sebenar mesti diamalkan dalam struktur organisasi parti termasuk organisasi asas keahlian, barisan pimpinan cabang, Majlis Pimpinan Negeri dan Majlis Pimpinan Pusat.
Apakah pendapat anda mengenai perkara ini?
Hassan Karim: Saya boleh menjawab dari sudut seorang ahli PKR. Jawatan Presiden nasional dan Pengerusi negeri adalah jawatan yang penting dalam parti. Di dalam perlembagaan Parti, memang telah ditetapkan bahawa kuasa melantik pengerusi setiap negeri tertakluk pada tangan Presiden Nasional PKR. Mungkin ini tidak begitu demokratik, tetapi ia perlu diimbangi bahawa pemilihan Presiden PKR adalah secara langsung oleh keseluruhan ahli parti dengan satu orang satu undi. Iaitu semua ahli biasa termasuk ahli yang baru masuk parti boleh memilih Presiden Nasional PKR secara langsung tiga tahun sekali. Tidak ada mana-mana parti di dalam Malaysia yang melaksanakan sistem pemilihan terus ini. Jadi Anwar dipilih oleh seluruh anggota biasa dalam parti. Ini tidak berlaku dalam UMNO bahkan DAP.
Anwar menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti yang lalu. Oleh sebab dia dipilih oleh setiap anggota, maka, perlembagaan parti meletakkan kuasa untuk melantik pengerusi di peringkat negeri-negeri kepada Presiden yang mendapat sokongan ramai, saya rasa ia tidak bercanggah. Saya ingin menjelas di sini bahawa bukannya saya mahu membela Anwar tetapi dia seorang yang demokrat, akan tetapi dia tetap tegas ke atas pendiriannya. Dalam perihal pelantikan pengerusi negeri, dia tidak gunakan kuasa itu ikut suka hati dia. (Dia baru menjadi pengerusi PKR lebih kurang 2 tahun sahaja selepas dia keluar dari penjara. Bayangkanlah PKR sudah berumur 20 tahun tetapi baru-baru ini sahaja dia menjadi pengerusi PKR. Semasa dia berada dalam penjara, isteri dia yang jadi pengerusi PKR.) Mengikut pengetahuan saya, Anwar turun ke setiap negeri untuk memberi peluang kepada semua pengerusi cabang-cabang untuk menyatakan siapakah pengerusi negeri yang mereka sokong. Contohnya di negeri Johor ada 26 cabang. Anwar memberi peluang kepada semua ketua cabang untuk menyatakan siapakah yang patut menjadi pengerusi negeri Johor. Undian dengan kertas diambil daripada semua ketua cabang, daripada jumlah ini, barulah Anwar memilih pengerusi negeri Johor. Ada juga keadaan yang berkecuali. Misalnya apabila pengkhianat telah menguasai sesebuah negeri, takkan nak pilih orang yang salah. Sudah terbukti pada suatu ketika parti dikuasai oleh golongan pengkhianat Azmin. Jadi semasa memilih pengerusi negeri, walaupun golongan Azmin lebih banyak dalam sesuatu negeri itu, Anwar akan menggunakan kuasanya sebagai Presiden parti untuk memilih seorang pengerusi negeri yang benar-benar taat kepada parti (bukannya menyokong Anwar).
Contohnya pelantikan di negeri Johor. Saya dilantik oleh Anwar kerana pada pilihan raya yang lepas, di antara lapan kerusi parlimen yang ditanding oleh PKR, kami menang tujuh kerusi. Manakala di antara 12 DUN yang kami tanding, kami menang lima. Jadi dianggap bahawa semasa saya memimpin PKR Johor telah membawa kemenangan kepada PKR. Maka saya dilantik sebagai pengerusi PKR Johor oleh Anwar kerana telah membawa kemenangan kepada PKR dalam PRU. Akan tetapi, tetap ada orang mempertikaikan pelantikan saya itu.
Ketika dia hendak melantik saya, dia turun ke Senai. Dia sebenarnya tidak perlu turun ke Senai kerana dia boleh terus melantik saya tetapi dia tetap turun Senai. Saya pula yang tidak datang. Semua ketua cabang PKR negeri Johor berkumpul di sana, hanya saya sahaja yang tidak hadir kerana saya tidak minat dan tidak mahu mempertahankan apa-apa. Saya cuma mahu melihat siapa yang akan dilantik. Jadi, apabila Anwar umumkan dia lantik saya, ada orang pertikaikan. Bila ada orang pertikaikan, saya letak jawatan. Semasa mesyuarat majlis pimpinan Pusat, Anwar dicabar atas pelantikan itu, Anwar keluarkan bukti bahawa Hassan dapat lebih undi dari cabang-cabang PKR, berbanding dengan saudara Rashid (MOHD RASHID HASNON, Ahli Parliament Batu Pahat, PKR tetapi tukar ke Bersatu). Ini maksudnya, Anwar membuat pelantikan dengan mempertimbangkan pandangan akar umbi.
Sahabat Rakyat: Kami tidak menafikan bahawa sistem pemilihan ketua parti yang diamalkan oleh PKR di mana ketua parti dipilih secara langsung oleh semua anggota melalui pemilihan parti adalah lebih demokratik berbanding dengan sistem parti politik lain. Kami juga tidak menafikan bahawa PKR adalah sebuah parti politik majmuk yang terbuka kepada rakyat semua bangsa dan lebih progresif berbanding dengan parti politik lain. Namun, kami percaya bahawa : (1) Setakat mengamalkan sistem pemilihan langsung ketua parti tidak bermaksud PKR telah memulakan proses pendemokrasian yang sebenarnya; (2) Sistem pemilihan langsung Presiden Nasional secara pemilihan parti dan pelantikan pengerusi negeri oleh Presiden parti yang sedang digunapakai tidak dapat mendorong maju demokrasi sebenar dalam parti; Sifat kepelbagaian bangsa PKR hanya tercermin dalam penerimaan ahli akar umbi parti, tetapi tidak dapat dicerminkan sepenuhnya dalam struktur kepimpinan parti di semua peringkat. Jika diteliti dengan tegas, PKR pada tahap ini hanya boleh dianggap sebagai sebuah parti politik yang didominasi oleh orang Melayu-Muslim yang membenarkan penglibatan orang-orang dari pelbagai bangsa, dan masih tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti berbilang bangsa dari segi intipatinya.
Pada pendapat anda, berdasarkan perkembangan dan keperluan situasi politik negara kita; berdasarkan aspirasi dan tuntutan mendesak semasa rakyat semua bangsa negara kita, mungkinkah PKR meminda perlembagaan parti secepat mungkin untuk mencapai dua sasaran yang kami sebut sebelum ini, iaitu:
(1) melaksanakan pendemokrasian sebenar organisasi parti – kekuatan PKR hanya akan berkembang apabila barisan pimpinan parti tidak kira Presiden Nasional, Majlis Pimpinan Pusat, pengerusi negeri, majlis pimpinan negeri, pengerusi cabang mahupun jawatankuasa cabang dipilih sepenuhnya oleh ahli-ahli parti melalui pemilihan parti. Kaedah lantikan hanya boleh dijadikan sebagai pendekatan khas untuk menangani keadaan kecemasan. Dalam keadaan biasa, kaedah pemilihan demokratik perlu dilaksanakan untuk memilih pemimpin yang berbakat dan berkebolehan;
(2) melaksanakan pemajmukan sebenar organisasi parti – Masa untuk Anwar dan kem demokratik yang dipimpin oleh PKR menguasai Putrajaya dan melaksanakan reformasi demokratik tulen hanya akan tiba selepas lahirnya pemimpin-pemimpin Cina, India, Iban-dayak dan Kadasan-dusun, disamping pemimpin-pemimpin Melayu yang menonjol, di semua peringkat organisasi parti, yang dapat memobilisasi dan mengerahkan massa semua bangsa, semua lapisan, semua bidang untuk memperjuangkan hak dan kepentingan mereka sendiri.
Di atas adalah kritikan dan harapan kami terhadap organisasi PKR. Jika tidak keberatan, kami harap anda boleh kongsikan pandangan dan pertimbangan anda dalam hal ini.
Hassan Karim: Jika anda memerhati, apabila saya meletak jawatan, Nurul Izzah turut letak jawatan di Pulau Pinang. Saya letak jawatan atas dua sebab. Yang pertama, jika pelantikan saya dipersoalkan, iaitu kalau yang dapat sokongan majoriti tidak dilantik, saya yang minoriti dilantik, saya tidak akan terima pelantikan itu walaupun dilantik oleh Anwar. Keduanya, saya minta PKR pinda perlembagaan supaya pemilihan pengerusi PKR di peringkat negeri dibuat secara telus dan undian. Itu pendirian saya. Perubahan ini mesti diperjuangkan dalam parti. Reformasi dalam PKR mesti ada perjuangan berterusan supaya PKR menjadi parti yang mengamalkan demokratik yang lebih sempurna. Ini perkara yang saya perjuangkan. Oleh sebab saya tidak pegang apa-apa jawatan sekarang dan saya bebas bersuara. Saya tidak mahu dalam PKR semua “orang presiden” yang menjadi pak turut kepada presiden. Anwar memahami saya dan kami saling hormat menghormati atas perkara ini. Saya menghormati pandangan dia tetapi apabila saya tidak setuju, saya akan berterus-terang. Kalau perlukan kata sepakat dan saya tidak setuju, saya minta pendirian saya dicatatkan. Walaupun saya seorang, saya tetap berpandangan sebegitu. Parti perlu menghormati dan Anwar pun setuju. Reformasi dalam parti mestilah tidak boleh hanya saya seorang sahaja, malahan mesti ada lebih ramai berpandangan sedemikian, tetapi dengan niat yang baik. Bukannya hendak mencabar dia atau menjatuhkan dia seperti apa yang dilakukan oleh Azmin. Tidak! Tindakan itu semestinya atas teguran kepada dia. Saya boleh tegur dia sebab kami hubungan yang lama dan dia suka berhujah. Bukan benda yang baru di mana saya berbeza pandangan dengan dia di dalam parti. Tapi kita mesti sanggup berhujah dengan dia dan kita dengarlah apa hujahan dia, sehingga kita setuju kepada tidak setuju dalam sesuatu isu. Kadang-kadang, hujahan seperti ini ada yang masuk akhbar juga. Sacara adil, Anwar tidak sempurna, tetapi apakah pilihan yang ada sekarang? Anwar tidak seperti saya. Saya boleh letak jawatan jika ada orang yang tidak setuju kepada saya. Cuba bayangkan jika kita hentam dia dan suruh dia letak jawatan dan akhirnya dia letak jawatan, habislah. Kalau dia meletak jawatan, siapa yang boleh ganti dia sekarang?
Sahabat Rakyat: Kami telah menyatakan tujuan berjumpa dengan anda adalah untuk memahami dengan tepat sebab dalaman dan luaran yang menyumbang kepada interaksi dinamik antara anda dan Anwar Ibrahim. Pada masa yang sama kami juga ingin berkongsi pendapat kami mengenai isu ini secara terbuka serta bertukar pendapat dengan anda.
Perbincangan kami jelas menghasilkan satu konsensus, iaitu, kaedah pemilihan presiden nasional Parti Keadilan Rakyat oleh semua ahli parti adalah langkah yang progresif, manakala kaedah pemilihan pengerusi peringat negeri yang dilantik oleh president parti, sehingga wujudnya situasi dimana semua pengerusi negeri adalah “orang Anwar”, adalah sistem "tidak demokratik" yang menjadi kritikan awam. Oleh itu, PKR mesti membaharui kelemahan serius sistem organisasi ini sebelum dapat terus maju ke depan.
Kami bukan ahli PKR. Kami adalah sekumpulan sukarelawan yang berminat untuk mendorong maju gerakan reformasi demokratik di negara kita. Hari ini, selain daripada bertukaran fikiran dengan anda, dan menyampaikan rasa kagum dan rasa hormat kami terhadap tindakan adil anda semasa bacaan kedua belanjawan 2021 dan seruan bersama anda dengan Nurul Izzah dan Akmal untuk menubuhkan sebuah kaukus parlimen yang fokus kepada masalah kehidupan rakyat biasa, kami juga ingin memberitahu bahawa:
Sekiranya anda bersedia untuk berusaha menjayakan pindaan perlembagaan PKR untuk mencapai dua tujuan yang kami sebutkan di atas iaitu "melaksanakan pendemokrasian sebenar organisasi parti" dan "melaksanakan pemajmukan sebenar organisasi parti", kami pasti akan menyokong anda dan bersama anda. Sekiranya usaha meminda perlembagaan parti dapat diselesaikan dalam kongres parti akan datang, kami percaya bahawa PKR akan menjadi parti yang lebih progresif berbanding dengan DAP atau parti-parti lain. Selepas mencapai dua perubahan di atas, sudah tentu PKR tidak perlu bimbang tentang kekurangan "kuasa rakyat" lagi.
▲ Walaupun negara kita merupakan sebuah negara berbilang kaum, tetapi selama 64 tahun merdeka, fikiran hegemoni Melayu dan ketuanan Melayu sentiasa menjadi fikiran dominasi pemerintah, keadaan ini bukan sahaja tidak bertambah baik, sebaiknya semakin menjadi-jadi. Walaupun secara subjektifnya, segelintir pemimpin berhasrat murni untuk beralih ke arah demokrasi dan kepelbagaian selepas PH membentuk kerajaan pusat dalam PRU lepas, malangnya kerajaan PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan sebelum realiti objektif ini sempat diubah.
Nampaknya, dalam situasi politik terkini, Anwar patut sedar bahawa hanya selepas PKR dan PH yang dipimpin olehnya merealisasikan “pendemokrasian sebenar” dan “pemajmukan sebenar”: i) pemimpin-pemimpin PKR dan PH akan mampu menggembleng dan mengerahkan tenaga rakyat semua bangsa untuk menghalang serangan daripada kuasa konservatif Melayu-Islam; dan 2) Anwar dan PKR akan mampu membentuk sebuah kerajaan demokrasi dan majmuk yang sejajar dengan kepentingan dan aspirasi rakyat semua bangsa dengan bergantung kepada kekuatan solidariti rakyat semua bangsa untuk menumpaskan kuasa konservatif Melayu-Islam.
Hassan Karim: Saya rasa perkara ini tidak susah sebab saya pernah bersuara tentangnya. Saya rasa ada kelemahan dalam perlembagaan parti, kerana takut nak bagi demokrasi kepada pemilihan peringkat negeri. Kita mesti ingat, parti ini parti baru dan sekarang semua orang boleh memohon menjadi ahli PKR secara atas talian. Saya tidak perlu bawa isu ini ke kongres PKR, tetapi saya boleh mengadakan perbincangan dengan presiden apabila berjumpa dia di dewan parlimen. Saya boleh kemukakan beberapa pindaan dalam perlembagaan dan pindaan ini adalah lebih mudah kalau ia datang daripada Anwar. Maksudnya, saya kemukakan dan berhujah dengan dia. Kalau dia setuju, dia yang bawa cadangan tersebut ke peringkat yang seterusnya.
Sahabat Rakyat: Kami percaya bahawa kaedah terbaik untuk membawa isu ini ialah anda dapat membawa cadangan ini kepada Kongres Parti atau secara terbuka kepada semua anggota Parti. Ini adalah perbezaan pandangan antara kita. Kami tetap percaya bahawa pendemokrasian dan pemajmukan sebenar organisasi PKR harus tersandar pada kesedaran dan kekuatan majoriti ahli akar umbi parti. Sekiranya anda bersedia bertindak sebegini, ia pasti akan membawa manfaat kepada PKR.
Hassam Karim: Saya tidak ada cita-cita besar untuk memimpin parti kerana keadaan umur saya. Saya akan bersuara jika itu akan mendatangkan perubahan-perubahan yang demokratik dalam parti. Saya akan bermula dalam parti secara peribadi dengan presiden. Saya masih berpendapat bahawa adalah mudah kalau presiden sendiri setuju dan bersedia untuk membuat pindaan perlembagaan. Jika saya bercita-cita untuk memimpin PKR, ini bermakna saya mesti bersedia untuk lawan Anwar. Saya tidak sampai ke tahap itu sebab saya percaya tugas sejarah ini adalah tugas dia dan kita kena sokong dia. Kalau dia ada kesilapan, kita sama-sama bantu dia.
Politik ini persepsi. Orang sudah membuat pembacaan yang berbeza setelah kenyataan bersama dikeluarkan. Kemudian kalau saya buat suatu pengumuan bahawa PKR perlu mereformasikan organisasinya, orang lain akan berfikir apakah agenda Hassan? Kalau saya betul-betul hendak bertanding menjadi presiden dan bersedia untuk melawan Anwar, tindakan itu berbaloi. Tapi saya memainkan peranan sebagai seorang orang tua dalam parti dan pada peringkat akhir-akhir ini saya memang menyokong Anwar. Saya menyokong Anwar bermaksud saya menyokong bukan sahaja kelebihan serta kekuatannya, malahan kelemahan dan kekurangannya. Anwar mesti berasa tertekan jika saya berbuat demikian. Jika parti tidak demokrasi, tidak ramai yang hendak menyertai parti ini. Saya sebagai anggota parti saya berharap parti mesti nampak bersatu.
Sudah dua kali Anwar berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong. Apabila dia gagal, dia seorang sahaja yang dikutuk. Akan tetapi, kalau Anwar berjaya, semua orang akan menumpang menjadi Menteri. Keputusan jangan undi belah bahagi belanjawan 2021 itu bukan keputusan Anwar seorang tetapi itu adalah keputusan PH termasuk keputusan Lim Guan Eng dan Mat Sabu. Anwar merupakan ketua PH. Semua setuju tetapi yang kena kritik dan hentam dia seorang sahaja. Kemudian, YB Pasir Gudang bangun lagi, lagilah kesian Anwar. Apabila saya bangun, suratkhabar sudah anggap ini satu cabaran kepada Anwar. Media yang tidak pernah hubungi saya masing-masing tanya pendapat saya. Saya tegaskan bahawa saya sokong Anwar. Anwar pun tidak ambil apa-apa tindakan terhadap saya. Jadi, pada peringkat ini saya melihat anggota-anggota dalam parti sendiri, kawan-kawan yang menyokong reformasi dan inginkan perubahan pun perlu bersikap adil kepada Anwar.
Adakah kita nak Mahathir balik? Nak biarkan Najib, Zahid berkuasa balik? Kita nak biarkan Muhyiddin, Hamzah Zainuddin semua ini berkuasa balik? Jika orang ini balik berkuasa, saya rasa ISA akan dihidupkan semula. Bagi saya, Anwar tidak berjaya membentuk kerajaan pusat sekarang pun tidak apa, kita bersedialah menghadapi Pilihanraya Umum ke-15. Masalah sekarang tidak ada pemimpin lain yang boleh jadi ketua dalam PH. Mesti ingat Langkawi (Mahathir) masih hendak jawatan Perdana Menteri. Bagi saya, jikalau Anwar menjadi Perdana Menteri pun setakat permulaan kepada reform sahaja. Jika kita tidak setuju dengan cara dia, kita boleh bincang dan bahas dengan dia. PRU-14 yang lepas rakyat terima Pakatan Harapan bukan kerana Mahathir. Ketika itu Anwar masih dalam penjara. Rakyat nampak ada seorang yang tidak sempurna tetapi merupakan simbol yang memimpin perjuangan rakyat terhadap regim UMNO-BN yang korup dan menyalahgunakan kuasa.
Pada PRU-14 yang lepas, Mahathir bersikap tamak. Dia hendak bertanding di 59 kerusi parlimen. Dia mesti lebih daripada PKR di mana PKR diberi 52 kerusi. Dalam pilihan raya, Mahathir menang 13 kerusi sahaja. Pakatan Harapan sudah rugi 46 kerusi. Manakala PKR memang 50 kerusi dan kalah 2 kerusi sahaja. Ketika itu Anwar masih dalam penjara.
Di negeri Johor, Muhyiddin hendak bertanding 18 kerusi iaitu kalau tak tersilap kerusinya lebih daripada DAP. Jadi, Bersatu dapat 18 kerusi, PKR dapat 12 kerusi sahaja. Dalam pilihanraya, Bersatu menang 8 kerusi sahaja iaitu lebih kurang sama dengan PKR. Ertinya, Parti Bersatu dibawah pimpinan Muhyiddin dan Mahathir tidak diterima oleh rakyat. Ini bermakna pada waktu itu orang ramai sokong Anwar Ibrahim sebgai bakal Perdana Menteri.
Saya ingin memberitahu berkenaan dengan pembangunan negara ini. Saya bukan nak puji Anwar tetapi dia tahu macam mana hendak memimpin rakyat berbilang kaum dan berbilang agama. Yang penting ialah kita jangan hilangkan peluang Anwar untuk memimpin negara berbilang kaum ini. Mahathir telah “menghancurkan” semua pemimpin yang mampu mencabar kedudukannya walaupun pemimpin-pemimpin ini dari dalam UMNO. Mahathir “menghancurkan” politik Musa Hitam (dia bijak pandai dan demokrat). Mahathir juga “menghancurkan” politik Tengku Razaleigh Hamzah. Lepas itu Anwar pula dipenjarakan dan dipukul dalam penjara. Semua ini kerja Mahathir. Selepas itu, siapa yang naik menjadi Perdana Menteri? Abdulah Ahmad Badawi dan Najib Razak. Itu salah siapa?
Jadi, pada pandangan saya, kenapa kita tidak boleh bagi peluang kepada Anwar? Sekarang saya tanya balik kepada kalian semua, kenapa tak nak bagi peluang pada Anwar? Sebelum anda jawab, saya hendak memberitahu satu perkara kepada anda semua. Anwar tidak pernah larang atau kritik saya. Anwar mempunyai hubungan yang baik dengan Sultan Johor. Sultan Johor suka kepada sesiapa sahaja yang lawan Manathir. Sultan Johor menghormati Anwar. Semasa saya menjawat sebagai pengerusi PKR negeri Johor, saya selalu kritik Sultan Johor dalam isu ambil-alih tanah rakyat berdekatan dengan Sungai Pulai. Sultan Johor dan anaknya marah pada saya. Sultan Johor telefon Anwar Ibrahim dan mengadu pada Anwar Ibrahim tentang ahli parlimen Pasir Gudang yang buat kenyataan. Malah Sultan anggap saya ini orang Mahathir. Tetapi Anwar memberitahu kepada Sultan, “Tidak, Tuanku, Hassan ini orang saya (my man).” Sultan lega hati selepas mengetahui ini. Sultan Johor memberitahu Anwar untuk mengajak saya pergi ke Mersing untuk menjamu makan dengan Sultan Johor. Anwar memberitahu perkara ini semasa dia berada dalam parlimen. Anwar tidak kata, “Eh, engkau tolonglah, berhenti sikit, janganlah kritik Sultan”, atau , “Janganlah menyusahkan aku.”
Sahabat Rakyat: Sebentar tadi anda menyoal kenapa kami tidak memberi peluang kepada Anwar. Kami pandang dari segi ini. Rakyat menaruh harapan tinggi terhadap Anwar dan tetap memberi peluang kepada Anwar walaupun semasa dia dalam penjara kerana Anwar dilihat sabagai satu-satunya ketua yang berkarisma untuk memimpin kem pembangkang terutamanya dia menunjukkan pendiriannya sebagai seorang demokrat dan reformis. Rakyat semua bangsa menaruh harapan kepada Anwar untuk membawa perubahan demokratik kepada Negara. Tetapi selepas berlakunya “Rampasan Kuasa Sheraton”, tindakan yang diambil oleh Anwar dan tindakbalasnya terhadap krisis politik terkini telah mengubahkan persepsi Rakyat terhadap dia.
Dalam satu tahun kebelakangan ini, apa yang kami dan rakan-rakan rasa adalah, pendirian dan kelakuan Anwar dalam isu berkaitan kepentingan asas rakyat sejak “Rampasan Kuasa Sheraton” adalah punca rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap Anwar. Jika dilihat dari sudut rakyat semua bangsa yang diperintah, Anwar sendiri yang semakin menjauhkan dirinya daripada pendirian rakyat diperintah, bukan sebaliknya. Walaupun dia memegang teguh pendirian reformasi selama 25 tahun sejak dia dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi sejak dia dianggap sebagai “Perdana Menteri Menanti (prime minister in-waiting)” semua ini telah berubah. Rakyat semua bangsa amat berharap dia akan terus bersama dengan rakyat seperti sebelumnya, dan mempertahankan hajat asal.
Inilah persepsi dan pendirian kami terhadap Anwar.
Pandangan yang menganggap Anwar telah berubah membelakangi kepentingan rakyat yang kini semakin meningkat dalam kalangan rakyat biasa adalah hasil daripada perubahan pendirian dia. Walaupun perubahan pendirian politik Anwar belum pasti tetapi telah ada tanda-tanda awal. Kami melihat ini adalah bahaya yang mungkin dan sedang berlaku dalam gerakan reformasi demokratik negara kita.
– Bahagian pertama tamat –
Bahagian kedua dijangka akan dimuatnaik pada minggu berikutnya.
Penjelasan Editor
Bahagian II artikel "Bagilah peluang kepada Anwar dan Pakatan Harapan, Harap Anwar jelas bezakan kawan dan lawan, serta mempertahankan hajat asal" tidak dapat diterbitkan adalah kerana sebab-sebab berikut:
- Pihak yang ditemubual tidak bersetuju untuk menerbitkannya setelah membaca deraf laporan dan tidak sudi menyatakan sebab sebenar;
- Beliau juga tidak sudi menunjukkan dan berbincang tentang ayat atau hujah mana yang tidak disetujuinya;
- Malah ayat-ayat berat seperti "kalau anda masih nak keluarkan juga wawancara ini, lebih baik bunuh saya sajalah" terhambur keluar daripada mulutnya;
- Beliau akhirnya berkata Sahabat Rakyat bebas menyatakan pandangan politik sendiri, tetapi jangan melibatkannya.
"Sahabat Rakyat" berasa kesal kerana tidak dapat mengubah pendirian pihak yang ditemubual. Kami turut memohon maaf kepada pembaca kerana tidak dapat menerbitkan teks asal wawancara ini!
0 comments:
Post a Comment