Hassan Karim: Sepakat Menentukan Ketua Pembangkang
Fokus Pada PRU Selepas Gagal Menyekat Belajawan 2021
Artikel ini adalah wawancara dengan Hassan Karim, Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, yang diterbitkan oleh Malaysiakini pada 16 Disember 2020. Tajuk asalnya ialah "Tetap sokong Anwar, Hassan mahu pembangkang sepakat calon PM". Bagi Hassan Karim, Presiden PKR Anwar Ibrahim masih calon perdana menteri yang paling sesuai.
Kenyataan Hassan Karim di atas jelas berkaitan dengan keadaan dimana kewibawaan Anwar semakin terjejas dalam PKR dan komponen parti Pakatan Harapan serta antara rakyat semua bangsa yang prihatin terhadap gerakan reformasi demokratik susulan kata-kata dan kelakuan Anwar mutakhir ini.
Namun, waktu Hassan Karim membuat kenyataan ini memberi gambaran bahawa dia mahu menjarakkan dirinya dengan tindakan Akmal Nasir, seorang pemimpin muda PKR yang juga merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru, yang mengkritik Anwar dengan hebat dalam perbualan aplikasi whatsapp yang tular dalam media sosial dan kenyataan Rafizi Ramli yang "memberi peringatan" kapada Anwar agar berwaspada pada golongan pembodek dalam parti. Ini kerana sebelum ini Hassan Karim pernah mengeluarkan kenyataan bersama yang mengkritik Anwar dengan Nurul Izzah dan Akmal Nasir.
Barisan Perwakilan Sahabat Rakyat telah mengunjungi Hassan Karim dan mengadakan dialog mesra selama dua jam pada hari Sabtu lalu (12 Disember 2020). Dalam dialog tersebut, Hassan Karim dengan ikhlas mengatakan bahawa baginya, Anwar tetap adalah pemimpin tertinggi PKR dan calon perdana menteri terbaik Pakatan Harapan.
Berdasarkan perbincangan tempoh hari dan perkembangan terkini, Sahabat Rakyat sedia berkongsi beberapa pandangan utama kami dalam hubungan dengan kenyataan Hassan Karim diatas seperti berikut:
1. Sebagai mantan pemimpin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan ahli PKR, Hassan Karim tampil untuk melindungi kepimpinan Anwar Ibrahim dan imej Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas memerhatikan kemerosotan kewibawaan Anwar Ibrahim di dalam dan luar parti, merupakan tindakan yang beretika. Ini juga merupakan tindakan yang akan dilakukan oleh mana-mana ahli politik yang serius.
2. Kami menghormati pendirian dan pendapat Hassan Karim bahawa "Anwar tetap adalah pemimpin tertinggi PKR dan calon perdana menteri terbaik Pakatan Harapan". Kami ingin meyatakan bahawa kami masih menaruh harapan tinggi terhadap PKR dan dua komponen parti Pakatan Harapan! Namun, kami suka mengingatkan En. Hassan Karim, barisan pemimpin PKR dan parti-parti dalam Pakatan Harapan bahawa dalam detik-detik kritikal terkini, Anwar telah membelakangi pendirian politik yang dia laungkan sejak melancarkan gerakan "reformasi" iaitu "Melayu, Cina, India, Ibandayak, Kadasan Dusun dan lain-lain, kita semua satu keluarga". Dia kini berubah menuruti keperluan klik hegemoni UMNO yang mewakili kepentingan golongan borjuasi monopoli Melayu dan bangsawan feudal dengan mendakwa bahawa kerajaan yang akan dibentuknya merupakan kerajaan majoriti orang Melayu-Islam, dan bertungkus-lumus mahu memancing ahli parlimen UMNO untuk membentuk kerajaan gabungan. Sekiranya Anwar tidak membuangkan kata-kata dan kelakuannya yang semakin terjebak dalam lumpuh perkauman hegemoni Melayu, ini pasti akan menimbulkan rasa marah dan reaksi hebat dari rakyat semua bangsa. Akibatnya hanya akan merugikan PKR dan parti-parti dalam Pakatan Harapan, bahkan membawa bencana besar!
3. Rakyat semua bangsa memuji dan menghargai tindakan Anwar dan PKR untuk memutuskan hubungan dengan Mahathir dan konco-koncunya serta Parti Pejuang Tanah Air yang masih belum mendapat pendaftaran! Rakyat semua bangsa menyedari bahawa Mahathir pada dasarnya adalah seorang politikus yang berambisi liar yang pandai menggunakan tipu daya dan merosakkan perpaduan nasional demi mencapai pemerintahan hegemoni Melayu yang dikuasai olehnya dan keluarganya. Rakyat semua bangsa turut menyedari bahawa dalam pilihan raya umum yang lepas, Mahathir dengan tipu muslihatnya berjaya memperoleh kepercayaan para pemimpin Pakatan Harapan dan sokongan pengundi sekaligus merampas hasil perjuangan sekian lama rakyat semua bangsa dalam menentang pemerintahan hegemoni dan menyebabkan kebinasaan pada gerakan reformasi demokratik negara kita! Mahathir jelas merupakan musuh dan bukan sekutu rakyat semua bangsa dalam perjuangan menentang pemerintahan hegemoni, apatah lagi "penyelamat bangsa dan negara"! Parti baru yang ditubuhkannya itu menuntut bahawa ia akan "berjuang untuk mempertahankan hak dan kepentingan Orang Melayu", padahal semua ini adalah pembohongan semata-mata! Pemimpin PKR dan parti-parti Pakatan Harapan tidak seharusnya "menganggap musuh sebagai sahabat" buat kali kedua dan membawa kebinasaan yang lebih teruk kepada gerakan reformasi demokratik yang memikul harapan tinggi rakyat semua bangsa!
4. Pendek kata, Anwar harus membuangkan "angan-angan" untuk membentuk kerajaan gabungan antara Pakatan Harapan dan UMNO dengan memancing ahli parlimen UMNO supaya mendapat bilangan yang cukup untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dibawah penguasaan Muhyiddin Yassin. Kami menyifatkan usaha ini sebagai "angan-angan" kerana UMNO (tidak kira siapa yang memimpinnya) tetap menganggap Roket (DAP) sebagai musuh ketat dan tidak mungkin akan melayani DAP sebagai rakan (lain cerita sekiranya pemimpin DAP membenamkan konsep "Malaysian Malaysia" dan menerima tawaran pengampuan dan melutut kepada klik pemerintah hegemoni Melayu). Sekiranya Anwar dan PKR memimpin Pakatan Harapan untuk berbaik-baik semula dan bekerjasama dengan klik Mahathir serta koncu-koncunya dalam pilihan raya umum akan datang, musibahnya tidak dapat dibayangkan!
Nota ini adalah penterjemahan daripada teks asal dalam Bahasa Cina. Sekiranya terdapat perbezaan antara teks asal Bahasa Cina dan penterjemahan dalam Bahasa Melayu, teks Bahasa Cina akan diguna pakai.
Berikut adalah dua laporan berita berkaitan dengan isu ini yang diterbitkan oleh Malaysiakini. Subtitle ditambah oleh editor "Sahabat Rakyat":
Ketika pilihan raya umum (PRU) akan datang semakin menghampiri, seorang ahli parlimen PKR berkata, pemimpin pembangkang perlu mencari kesepakatan mengenai calon perdana menteri untuk ditawarkan kepada rakyat.
Kenyataan Hassan Abdul Karim itu dibuat selepas pembangkang sekali lagi gagal menyekat Perikatan Nasional daripada terus menjadi kerajaan dengan lulusnya - walaupun sangat tipis - Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam.
Kata ahli parlimen Pasir Gudang itu pemimpin pembangkang perlu mengadakan perincangan untuk menentukan siapa yang wajar dipilih.
"Tidak boleh tunggu lama-lama... kena selesaikan segera," katanya kepada Malaysiakini.
Anwar Calon Paling Sesuai Menjadi Perdana Menteri
Pakatan Harapan Perlukan Naratif Baharu yang Jelas
Pun begitu bagi Hassan calon yang terbaik untuk ditawarkan sebagai calon perdana menteri dari blok pembangkang ialah Presiden PKR Anwar Ibrahim.
"Anwar selaku ketua pembangkang wajar diangkat sebagai calon perdana menteri gahungan besar PH Plus dan parti-parti pembangkang lain," katanya.
Semalam belanjawan yang dibaca untuk kali ketiga cuba digagalkan melalui undian belah bahagi diminta pembangkang.
Selepas undian dikira sebanyak 111 ahli parlimen menyokong manakala 108 menolak. Kelmarin bekas perdana menteri bersama Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah memberi bayangan PN akan tumbang melalui undian tersebut.
Tengku Razaleigh sendiri tidak hadir di Dewan Rakyat semasa undian dilangsungkan.
Untuk membolehkan Belanjawan 2021 ditolak melalui undian semalam, pembangkang yang bersatu sepenuhnya masih perlu mengharapkan sokongan segelintir ahli parlimen kerajaan.
Ketika ada beberapa ahli parlimen Umno sebelum ini membayangkan rasa kurang senang mereka kepada belanjawan dibentangkan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 6 Nov lalu itu, keputusan semalam menunjukkan semua ahli parlimen kerajaan yang ada sepakat untuk menerimanya.
Minggu lalu Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal secara terbuka menyarankan pembangkang memilih kepemimpinan baru menghadapi PN pada PRU ke-15.
Menurut Hassan pemilihan pemimpin pembangkang itu adalah proses demokrasi dan dia sekadar mengangkat pandangan dan pendiriannya sendiri apabila menamakan Anwar.
"Pemimpin-pemimpin utama parti politik dalam PH (Pakatan Harapan) dan blok pembangkang perlu menyelesaikan hal calon ketua gabungan besar pembangkang serta bakal calon perdana menteri segera," katanya.
Hassan menambah kerjasama PH dengan parti pembangkang lain juga perlu dimantapkan serta wadah bersama perlu dirangka.
"Bina naratif yang jelas mengapa dalam PRU ke-15 nanti rakyat Malaysia patut sokong PH dan gabungan baru yang berteraskan PH dengan Anwar sebagai calon PM," katanya.
Pemimpin Veteran DAP Lim Kit Siang Menjelaskan
DAP Tidak Pernah Cadang Tukar Ketua Pembangkang
Artikel ini diterbitkan oleh Malaysiakini pada 20 Disember 2020. Tajuk asalnya ialah "Lim: DAP tak pernah cadang tukar Anwar ketua pembangkang".Subtitle ditambah oleh editor "Sahabat Rakyat"
Veteran DAP Lim Kit Siang bertemu dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim pada hari Jumaat dan memberi jaminan kepimpinan DAP tidak pernah mencadangkan pertukaran ketua pembangkang parlimen.
MP Iskandar Puteri itu juga berkata dia terkejut dengan kenyataan terbaru Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution.
"Masa tidak menunggu sesiapapun, dan masa untuk membentuk sebuah konsensus kebangsaan yang baru adalah sekarang memandangkan Malaysia mesti diselamatkan daripada nasib menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal menjelang 2040," tambahnya.
Ini, kata Lim supaya Malaysia tidak terjerumus menjadi negara gagal seperti Zimbabwe atau Venezuela.
"Terdapat segolongan mereka yang tidak mahu wujudnya konsensus kebangsaan yang baru ini dan mereka cuba sedaya upaya untuk mensabotaj usaha ini.
"Semasa saya berjumpa dengan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim pada hari Jumaat yang lepas, saya telah memberikan jaminan kepada beliau yang pimpinan DAP tidak pernah mencadangkan penukaran ketua pembangkang, tetapi, kumpulan pembangkang perlu mara ke hadapan dan arah yang baru yang berfokuskan kepada keperluan untuk menguatkan dan merapatkan semua blok pembangkang dalam negara kita dengan sebuah konsensus kebangsaan yang baharu.
Lim Kit Siang terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung PH
"Saya terkejut dengan kenyataan terkini Setiausaha Agung Pakatan Harapan (Saifuddin Nasution), kerana beliau perlulah bercakap bagi pihak ketiga-tiga parti dalam PH dan bukannya untuk hanya sebuah parti politik.
"Setiap hari, kita dikejutkan dengan bukti baru yang menunjukkan negara kita kembali ke arah sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal menjelang 2040," kata Lim pada satu kenyataan hari ini.
Pimpinan DAP dan Amanah Mengetengahkan Gabungan Besar Pembangkang
Ini berlaku setelah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan presiden Amanah, Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan bersama berkata kegagalan pembangkang menolak Belanjawan 2021 sekali gus menjatuhkan PN mengajar PH agar mereka tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang atau membuang masa dengan ahli parlimen oportunis.
Sejak itu, beberapa pihak daripada Amanah mengetengahkan gagasan gabungan besar untuk menyatukan kembali pembangkang Malaysia.
Sementara itu, AMK Selangor berkata walaupun terbuka untuk membincangkan kemungkinan tersebut tetapi menegaskan menolak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ke dalam gabungan besar berkenaan.
Bagaimanapun, semalam Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata dia percaya ketua pembangkang yang juga presiden partinya, Anwar masih mampu mendapatkan nombor MP yang diperlukan bagi membentuk kerajaan baru.
Saifuddin berkata Anwar sentiasa memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu kepada kepimpinan tertinggi PH.
"Saya tidak bersedia berkongsi jumlahnya (SD). Saya tahu siapa yang kita jumpa, berapa yang kita dapat dan sebagainya," katanya.
Saifuddin juga berkata presiden PKR telah diberi mandat untuk mendapatkan jumlah sokongan bagi membentuk kerajaan dan tidak seharusnya dipersalahkan.
"PH telah calonkan Anwar (sebagai ketua pembangkang) untuk ambil semula mandat (kerajaan). Bukan dosa untuk seorang yang telah dicalonkan berusaha," katanya.