Video Ucapan Ulang Tahun Kelahiran ke-80 Lim Lian Geok
(Pengalihan Suara dalam Bahasa Melayu)
Penterjemah: Ngo Jian Yee / Pengalih Suara: Goh Chee Horng
Rakaman di atas adalah ucapan mendiang En. Lim Lian Geok (19 Ogos 1901 - 18 Disember 1985) dalam Majlis Sambutan Hari Lahir ke-80 beliau. Majlis ini dianjurkan khas oleh Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina (Jiao Zong).
Sempena peringatan hari kematian ke-35 mendiang Lim Lian Geok, Sahabat Rakyat menghasilkan video pengalihan suara rakaman tersebut dalam Bahasa Melayu supaya masyarakat bukan Cina berpeluang memahami mendiang Lim Lian Geok dan mempelajari semangat Lim Lian Geok.
Berikut adalah ucapan penuh beliau yang diterjemahkan dari Bahasa Cina:
Tuan pengerusi majlis, para hadirin sekalian, saya sebenarnya tidak bercadang untuk berucap dalam majlis perayaan JiaoZong ini. Tetapi saya faham bahawa terlalu ramai orang yang mengambil berat dan menyayangi saya, saya harus bertemu dengan anda semua, jadi izinkan saya memberikan sepatah dua kata.
Para hadirin sekalian, saya berada di sini adalah untuk membuktikan satu perkara. Apa yang hendak dibuktikan? Buktikan bahawa Lim Lian Geok dapat bertahan dalam menghadapi dugaan! Saya mengalami tamparan hebat selama dua puluh tahun sejak 1961 hingga sekarang. Tahun ini, umur saya sudah 80. Bertuah sekali saya berumur panjang dan layak digelar "dewa umur panjang". Masa yang saya ada tidak lama lagi. Saya telah mengharungi cabaran masa yang begitu lama. Sekarang, saya berani nak cakap, langit dijunjung bumi dipijak, saya Lim Lian Geok tetap berdiri tegak dengan gagah perkasa, jujur dan bermartabat! Mengkhianat tidak, tunduk pun tidak; kecewa tidak, patah semangat pun tidak; mengelak tidak, berundur pun tidak!
Semua orang tahu yang saya tidak bersalah. Bak kata cendekiawan dulu, “tidak mengalah kepada hina-dina, tidak menunduk kepada kekerasan”. Kita adalah keturunan orang TiongHua. Saya telah dididik oleh budaya cemerlang yang diwarisi dari 5000 tahun dahulu. Saya bukan pembelot, saya tidak mengelak tanggungjawab. Kata-kata cendekiawan dulu mendidik saya, “tidak mengalah kepada hina-dina; tidak menunduk kepada kekerasan”. Sekarang, saya tidak malu nak mengangkat diri, saya berjaya mengamalkan pengajaran nenek moyang! Saya tidak pernah tunduk kepada kekerasan!
Malam ini, saya amat terharu dengan suasana yang megah ini. Ternyata kedudukan Jiao Zong dalam hati orang-orang Cina adalah begitu tinggi dan dihormati. Kami beberapa orang tua ini turut berasa bangga. Alang berjawab, tepuk berbalas, saya mesti balas balik layanan meriah ini. Pelukis terkenal En. Lee Kah Yeow turut menghadiahkan kaligrafi beliau kepada hadirin. Sedihnya saya hanya datang dengan tangan kosong. Saya seorang yang miskin papa, saya rasa kalian tentu akan memaafkan saya. Namun, bagi saya, orang miskin juga ada cara orang miskin. Saya boleh lakukan satu jual beli tanpa modal. Apa maksudnya? Biar saya hadiahkan pepatah cendekiawan dulu, "tidak mengalah kepada hina-dina; tidak menunduk kepada kekerasan" kepada cucu-cicit kita. Saya harap ada ramai orang yang menerima hadiah ini, tidak cukup setakat "ribuan", tetapi "puluhan ribu" orang. Saya lebih mengharapkan bahawa orang Cina yang berhati nurani sentiasa tangan di tangan, hati ke hati, menunjang panji keadilan bangsa, menegakkan keadilan bangsa, serta membela maruah bangsa kita.
Saya ingin memberitahu anda bahawa budaya bangsa adalah jiwa bangsa, nilainya setanding nyawa. Demi mempertahankan budaya kita, kita sanggup mengorbankan nyawa. Tapi, kita tidak akan membenarkan hak keramat kita dicabuli, tidak akan membiarkan harga diri bangsa kita dilukai. Malaya dan Malaysia adalah negara berbilang bangsa. Siapa-siapa yang berbicara tentang keadilan dan perpaduan, pegangan kami adalah "Hidup berbilang, makmur bersama". Barang siapa yang melanggar prinsip ini hanyalah pembohongan dan kami tidak akan mempercayainya!
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada sanak-saudara semua yang mengasihi saya. Ketika saya hilang mata pencarian dan tulisan saya diharamkan, punca hidup saya terputus sepenuhnya. Saya hampir mati kebuluran. Sekiranya saya benar-benar mati kebuluran, maka senang hatilah musuh kita. Nasib saya akan dijadikan contoh untuk menakut-nakutkan orang lain. Namun, sanak-saudara senusa sebangsa sangat menyayangi dan menyokong saya dari segi mental dan kebendaan. Saya berasa amat kaya. Hari ini, selepas dua puluh tahun, badan saya masih sangat sihat. Saya bertuah menjadi "dewa umur panjang" dan bertemu dengan anda semua di sini. Ini adalah hadiah dari rakan senusa sebangsa yang menyayangi dan menyokong saya. Oleh itu, saya ingin mengatakan: "Terima kasih! Terima kasih! Terima kasih!".
Selamat Malam semua!
0 comments:
Post a Comment