Tafsiran dan pandangan Sahabat Rakyat terhadap perkembangan baharu Anwar - Dialog dengan seorang pemimpin politik
-Editorial Sahabat Rakyat-
Teks di bawah diterjemahkan dari versi asal dalam bahasa Cina yang diterbitkan pada 27 Februari 2021. Sekiranya terdapat apa-apa percanggahan antara versi Bahasa Melayu dengan versi asal Bahasa Cina, versi Bahasa Cina akan diguna pakai.
(1) Hasrat Anwar untuk membentuk kerajaan Melayu-Islam adalah bertentang dengan hajat asalnya
Berhubungan dengan pendapat dan persoalan yang dikemukakan, kami memberi balasan awal seperti berikut untuk dijadikan bahan tatapan demokrat pelbagai kaum:
Pemimpin politik tersebut menggunakan ayat “Anwar lari tergelincir” atau “tergelincir jauh dari perjuangan reformasi yang betul”. Dari sudut kami, Anwar kini sudah lupa akan hajat asal reformasi yang dilaung-laungkannya ketika dia ditimpa malepetaka semasa Mahathir menguasai UMNO dan negara, dia juga lupa akan hajat asal rakyat semua bangsa yang selama ini menyokong kepimpinannya dalam reformasi negara. Kami lihat dari 3 aspek berikut:
Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 (sebenarnya ini adalah rancangan Mahathir untuk menyingkirkannya dari klik pemerintah UMNO). 10 hari kemudian, Anwar cuba melancarkan satu gerakan reformasi aman yang bertujuan untuk membantah pemerintahan kuku besi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan mengumumkan Deklarasi Permatang Pauh yang menggariskan 7 agenda reformasi (seperti ditunjuk dalam gambar di atas). Pada akhir bulan September 1998, selepas memimpin satu himpunan raksasa di Dataran Merdeka, Anwar ditahan pada malam tersebut dan dipenjarakan selama 6 tahun. Gerakan reformasi semakin hilang momentum selepas itu, tetapi berjaya melahirkan Parti Keadilan Nasional (PKN), sebuah parti yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada PKR sekarang.
Selepas berembuk selama 2 hingga 3 tahun, PKN dan Parti Rakyat Malaysia (PRM, sebuah parti politik bersejarah yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam sebelum kemerdekaan dengan nama asal Parti Rakyat Malaya) akhirnya setuju untuk bergabung menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Ogos 2003.
- Hujah dan tingkah laku Anwar kini sudah membelakangi sepenuhnya deklarasi perjuangan awalnya, iaitu tujuh agenda “Deklarasi Permatang Pauh” pada 12 September 1998: (1) Ketinggian martabat insan; (2) Keadilan untuk semua; (3) Pendaulatan kuasa rakyat; (4) Kesamarataan agihan ekonomi; (5) Membenteras rasuah dan salahguna kuasa; (6) memperkukuh jatidiri budaya yang dinamis; (7) Bina bangsa yang bertamadun dan beradab dengan kompetensi masa kini.
- Haluan Anwar kini jelas telah membelakangi matlamat bersama pembentukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Keadilan Nasional (PKN). Sifat-sifat progresif asal PRM telah tenggelam sedikit demi sedikit sehingga hampir hilang semua sekali dalam PKR. Nampaknya pemimpin dalam PKR yang masih berpegang kepada ideologi dan prinsip PRM kini tinggal amat sedikit sahaja!
- Hasrat Anwar hendak membentuk sebuah kerajaan yang majoriti Melayu-Islam, telah membelakangi matlamat perjuangan asal PH iaitu “menjaga kebahagian rakyat tidak kira kaum dan agama” yang dihebah dalam “Buku Harapan” dan membelakangi sokongan dan usaha habis-habisan rakyat semua bangsa (termasuk masyarakat bukan Melayu- bukan Islam) dalam membantu PH menggulingkan pemerintahan hegemoni UMNO-BN supaya “sebuah negara yang memastikan pengagihan hasil ekonomi yang adil kepada semua orang, bukannya sekadar mengemukkan kroni-kroni berkuasa dan berdarjat” dapat dibina.
Selama lebih kurang 10 tahun sebelum PH menjadi kerajaan pada tahun 2018, Anwar menekankan fikiran progresif “konsep ketuanan Melayu salah”. Pandangan Anwar seperti “Isu ketuanan Melayu hanya menguntungkan segelintir golongan tertentu, tetapi sebilangan besar orang Melayu lain terbiar dalam keadaan menyedihkan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima” selalu boleh dilihat dalam media massa.
Dalam satu perhimpunan yang dihadiri 20 ribu orang untuk meraikan kembalinya Anwar ke arena politik arus perdana pada tahun 2008, dia mengumumkan konsep progresif “ketuanan rakyat” untuk menggantikan politik perkauman “ketuanan Melayu” yang sekian lama ini digembar-gembur dan dilaksanakan oleh klik pemerintahan hegemoni UMNO. Oleh yang demikian, rakyat semua bangsa (terutamanya orang bukan Melayu-bukan Muslim) menaruh harapan tinggi ke atas Anwar dan memberi sokongan padu kepada PKR dibawah pimpinan dia.
Pendirian mendukung “ketuanan rakyat”, membantah “ketuanan Melayu” dan “hegemoni Melayu” sememangnya sejajar dengan kepentingan dan aspirasi rakyat semua bangsa negara kita, juga sejajar dengan keperluan perkembangan dan hukum objektif gerakan roformasi demokratik negara kita! Semoga Anwar akan terus mengorak ke hadapan mengikut garis politik yang betul ini.
Semua orang tahu, selepas “rampas kuasa Sheraton” berlaku, Anwar membuat pengumuman bahawa dia hendak membentuk sebuah kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu-Islam, rakyat semua bangsa sudah mula khuatir dan bimbang (terutamanya kegelisahan dan ketidakpuasan di kalangan orang bukan Melayu-Bukan Islam). Walaupun Anwar telah memberi “penjelasan” dan “jaminan”, akan tetapi, “penjelasan” dan “jaminan” dia langsung tidak memberi keyakinan kepada rakyat jelata di mana perbezaan antara Anwar dengan golongan pemerintah Melayu yang berkuasa dan berdarjat serta politikus yang mempertahankan pemerintahan bangsawan feudal.
Dari perspektif khalayak ramai, hujah dan tindakan Anwar hendak membentuk kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu-Islam nyata menunjukkan dia sudah meninggalkan pendirian asalnya iaitu “Ketuanan Rakyat” dengan tujuan: (1) bersedia mengemis sokongan dari bangsawan feudal yang mempunyai hubungan rapat dengan klik pemerintahan hegemoni Melayu dan kuasa keagamaannya; (2) merebut lebih ramai sokongan dari ahli parlimen dan bakal ahli parlimen Melayu-Islam; (3) meraih lebih banyak sokongan undi Melayu dalam pilihanraya (kerana terlalu banyak parti politik Melayu telah memecahkan undi Melayu) supaya dia dapat menawan Putrajaya dalam masa terdekat demi menyempurnakan impiannya hendak menjadi Perdana Menteri selama 20 tahun. Siapa yang dapat menjamin Anwar pasti akan “menunaikan janjinya”? Siapa lagi dapat menjamin kerajaan Melayu-Islam yang diterajui olehnya pasti akan menjaga “semua rakyat”?
Tidak jauh beza jika dilihat dari sudut PKR dan PH. Malaysia merupakan sebuah negara pelbagai kaum, pelbagai budaya. UMNO pula ialah sebuah parti perkauman yang extrimistik dan konservatif. Kerajaan Parti Perikatan dan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO selama ini melaksanakan dasar-dasar yang bersifat diskriminasi kaum dan penindasan kaum untuk mencapai penindasan dan eksploitasi ke atas kelas pekerja. Akibatnya, ia bukan sahaja mengakibatkan konflik yang semakin meruncing di antara klik pemerintah dengan rakyat jelata, oleh kerana sikap tamak haloba dan kejadian saling mendesak di antara puak-puak dalam klik pemerintah, ia turut mengakibatkan konflik yang semakin meruncing di dalam klik pemerintah sendiri (sehingga berlakunya insiden di mana TPM Anwar dipecat oleh PM Mahathir pada tahun 1998). Pendek kata, di bawah pemerintahan hegemoni UMNO, pegawai kerajaan korup, rakyat hidup melarat.
Seperti apa yang diketahui, PKR merupakan hasil gabungan PKN, iaitu sebuah parti yang dilahirkan daripada “gerakan reformasi” ekoran pemecatan Anwar (dari jawatan TPM) yang kemudiannya menjadi pemimpin spiritual PKR, dengan PRM, iaitu sebuah parti yang mempunyai latar belakang sejarah dan ideologi progresif menentang kolonialisme. Lebih tepat jika sejarah PRM tidak dilihat hanya selepas pembentukan Malaysia, malah ia sepatutnya diteliti sejak tahun 1955 dimana Malaya masih dibawah penjajahan Inggeris. Ini kerana Parti Rakyat Malaya (PRM) merupakan sebuah parti yang ditubuhkan oleh Ahmad Boestamam, seorang pemimpin politik Melayu yang jelas mempunyai latar belakang perjuangan menentang penjajahan dan berideologi nationalisme Melayu. Selepas kemerdekaan Malaya pada tahun 1957 sehingga bergabung dengan PKN, PRM sudah mempunyai ramai ahli bangsa Cina dan melahirkan ramai pemimpin bangsa Cina yang berfikiran progresif di sekitar kawasan bandar.
Oleh sebab itu, pada peringkat awal penubuhan PKR, parti ini sudah mempunyai syarat yang cukup baik untuk berkembang menjadi sebuah parti pelbagai kaum yang menegakkan keadilan untuk rakyat semua bangsa. Oleh itu, rakyat jelata semua bangsa, tidak kira orang Melayu atau bukan Melayu termasuk orang Cina, orang India, Orang Asli dan sebagainya semua menyokong idealogi PKR. Perkembangan pantas PKR sudah mengancam kedudukan pemerintahan UMNO selepas ledih daripada 60 tahun berkuasa. Penubuhan dan perkembangan PKR menghidupkan harapan rakyat semua bangsa terhadap pergerakan reformasi demokratik. Namun malangnya, dengan meneliti desas-desus yang sedang timbul, nampaknya Anwar tidak sudi bersama rakyat semua bangsa untuk meneruskan jalan yang betul dalam menentang pemerintahan hegemoni UMNO, bahkan menuju ke arah yang bertentangan untuk mengemis kerjasama dan sokongan dari ahli parlimen klik pemerintahan hegemoni dan golongan berkuasa dan berdarjat bangsawan feudal, yang mempunyai pendirian bertentangan dengan kem rakyat.
Fakta ini jelas, demi mencapai impiannya menawan Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri dalam masa tersingkat, Anwar memilih untuk membelakangi aspirasi sekian lama rakyat Malaysia (terutamanya masyarakat bukan Melayu-Islam yang tertindas khususnya orang Cina, orang India, orang Iban-Dayak dan orang Kadasan-Dusun) untuk membina sebuah negara pelbagai bangsa, pelbagai agama dan pelbagai budaya.
Anwar sekarang hendak membentuk sebuah kerajaan yang dikatanya “majoriti Melayu-Islam” (Anwar tidak memberitahu sama ada masih punyai atau tidak sejengkal tanah untuk orang bukan Melayu bukan Islam dalam kabinet dan institusi kerajaannya). Seluruh masyarakat bukan Melayu bukan Islam tertanya-tanya bahawa adakah Anwar masih merupakan pemimpin gerakan “reformasi”? Adakah dia masih meneruskan reformasi demokratik sebenar yang dinanti-nantikan oleh rakyat jelata? Adakah dia masih boleh mendakwa dia mewakili seluruh rakyat Malaysia (terutamanya orang bukan Melayu-Islam seperti orang Cina, orang India, orang Iban-Dayak dan orang Kadasan-Dusun), sedangkan Anwar telah secara terbuka menyatakan kerajaan yang bakal dibentuknya ialah kerajaan Melayu-Islam, juga boleh dikatakan sebagai Kerajaan Islam. Dalam hati rakyat jelas, jawapannya “tidak”. Apakah rakyat tidak berasa kecewa terhadap Anwar? Apakah kami sebagai sukarelawan yang ingin mendorong maju gerakan reformasi demokratik sebenar tidak kecut hati terhadap Anwar kerana membelakangi aspirasi sekian lama rakyat?
Berkenaan dengan pengumuman Anwar untuk membentuk kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu-Islam, kami sudah mengemukakan tiga motif utama dia iaitu (1) berusaha mendapat sokongan Institusi Raja-raja Melayu; (2) berusaha mendapat sokongan ahli parlimen UMNO; dan (3) berusaha mendapat sokongan undi Melayu yang lebih banyak. Pada pandangan kami, tanggapan Anwar bahawa haluan baharunya ini ialah peluang terakhir bagi dirinya, bagi PKR dan bagi PH adalah tidak pratikal dan salah sama sekali!
Dua aspek kesilapan pokok Anwar adalah seperti berikut:
(I) Anwar sudah meninggalkan garis juang tepat “percaya pada rakyat, bergantung pada rakyat” yang suatu ketika pernah membawa sokongan padu rakyat dan kemenangan demi kemenangan dalam perjuangan kepada dia selepas dia dianiaya oleh Mahathir.
(II) Sifat heroism dan pemikiran politik elit sedia ada dalam Anwar telah memainkan peranan dominasi pada saat genting dan serius dimana dia rasakan peluang untuk menawan Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri sudah wujud. Sifat dan pemikiran ini mendorong Anwar cuba bergantung kepada sokongan Instituti Raja-raja Melayu dan sesetengah ahli parlimen UMNO untuk mencapai cita-citanya.
Kami berpendapat, Anwar dan PKR di bawah pimpinannya, harus melupakan khayalan terhadap musuh politik mereka (iaitu musuh yang sentiasa cuba memusnahkan Anwar dan PKR), dan kembali ke pangkal jalan bersama rakyat semua bangsa (termasuk orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban-Dayak, orang Kadasan-Dusun) untuk meneruskan reformasi demokrasi sebenar, demi membina masa depan yang cerah!
Kami senantiasa melihat Mahathir sebagai musuh yang paling bahaya bagi gerakan reformasi demokratik negara ini (termasuk bagi Anwar dan PKR)! Akan datang, tetap sama!
(2) Tindakan Anwar membuang khayalan terhadap Mahathir selepas kerajaan PH tumbang harus dipuji
Kami memuji Anwar kerana telah membuang khayalan terhadap Mahathir selepas kerajaan PH tumbang. Semua orang tahu Mathathir umpama lanun di Malaysia. Demi mengukuhkan kedudukan dan pendiriannya, samaada semasa menjadi kerajaan atau ketika sibuk merampas balik kuasa selepas hilang kuasa, Mahathir sering kali mengangkat-angkat diri seolah-olah dia seorang yang berusaha “menjaga kepentingan orang Melayu”. Selepas Mahathir hilang kuasa, dia mengutuk “Pemerintahan PH tidak dapat menjaga kepentingan Melayu atau Muslim”. Ini adalah fitnah kepada PKR dan PH. Akan tetapi, orang Melayu percayakan fitnah Mahathir. Ini satu masalah yang amat membimbangkan kami. Pemimpin negara menceracam, ke mana hala tuju rakyat jelata? Statistik menunjukkan, majoriti orang Melayu-Islam memerlukan bantuan, akan tetapi, terdapat juga majoriti orang bukan Melayu bukan Islam yang memerlukan bantuan. Oleh sebab itu, Anwar dan PKR tidak sepatutnya bertindak seperti parti dan politikus perkauman Melayu yang suka menegaskan “kerajaan yang dibentuk mesti melindungi hak orang Melayu dan menjaga kepentingan orang Melayu-Islam.” Bukankah itu benar?
Pemimpin tersebut memberi balasan beliau bahawa: i) Anwar sebagai pemimpin Melayu berani mengatakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu gagal. Dia berkata sistem kuota orang Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini gagal. Hanya golongan elit yang mendapat faedah dari DEB. Anwar berpendirian bahawa Malaysia memerlukan dasar ekonomi yang betul-betul berasas kepada keperluan di mana semua rakyat yang miskin mesti mendapat bantuan bukan hanya orang Melayu sahaja yang dapat bantuan. Adakah anda semua atau masyarakat Cina sudah melupakan jasa Anwar? ii) Anwar bukan pura-pura mahu membentuk negara dan masyarakat berbilang kaum, berbilang agama, tidak! Dia bukan berpura-pura mengatakan “kita hendak membentuk negara dan masyarakat berbilang kaum, berbilang agama” untuk menipu sokongan orang bukan Melayu bukan Islam, tidak! iii) Dari segi ekonomi, pendirian Anwar adalah konsisten sejak gerakan “reformasi” sehingga dia kembali ke parlimen. Dia prihatin kepada masalah golongan bawahan, apabila kita kata golongan bawahan, ianya merangkumi orang Melayu, Cina, India dan sebagainya.
(3) Membentuk Kerajaan yang didominasi orang Melayu-Muslim adalah bertentangan dengan arus
Kami mengaku bahawa apa yang disebut oleh pemimpin tersebut ialah pendirian Anwar sebelum ini. Pendirian ini selaras dengan aspirasi rakyat jelata. Inilah sebab rakyat jelata memberi sokongan kepada Anwar. Akan tetapi, selepas dia mengumumkan kerajaan yang akan dibentuknya ialah kerajaan majoriti Melayu-Islam, rakyat jelata khususnya orang bukan Melayu bukan Islam rata-rata berasa bimbang dan gusar terhadap “haluan baharu” Anwar memancing ahli parlimen UMNO dan memikat hati golongan berkuasa dan berdarjat feudal kerana bertekad hendak merampas balik kuasa dan menjadi Perdana Menteri. Bukankah segelintir pemimpin PKR juga membangkitkan persoalan ini kepada Anwar? Ketika ini, sudah tentu kami sebagai sukarelawan yang berusaha dalam mendorong maju gerakan demokratik sebenar akan mengambil pendirian teguh rakyat untuk mempersoalkan dan mengecam “haluan baharu” Anwar ini.
Sebenarnya kami tidak hairan dengan “haluan baharu” Anwar ini kerana ia bukan kesilapan pertama yang dilakukan oleh PKR dan PH yang dipimpin oleh Anwar. Kami berpendapat kesilapan pertama yang mendatangkan bencana kepada gerakan reformasi demokratik yang dilakukan oleh PKR dan PH dibawah pimpinan Anwar berlaku semasa Anwar yang masih dalam belenggu penjara, mungkin merasakan kekuatan rakyat tidak cukup kuat, lalu membenarkan atau menyetujui dengan diam-diam, taktik pemimpin PH dan penasihat-penasihat mereka yang kononnya mahu “memperalatkan Mahathir untuk menumbangkan Najib demi menjayakan pertukaran regim”, pada hakikatnya taktik ini “tersilap anggap lawan sebagai kawan dan memberi peluang kepada musuh untuk memusnahkan masa depan PH”.
Bukankah rakyat jelata semua bangsa (termasuk orang Melayu-Islam dan orang bukan Melayu bukan Islam) sudah meluah kesedihan dan kegusaran mereka? Rakyat semua bangsa sudah nampak Anwar menjadi mangsa terbesar akibat daripada pelaksanaan taktik “memperalatkan Mahathir untuk menumbangkan Najib” dan sudah sedar akan kesilapan tersebut, akan tetapi, masih ada pemimpin-pemimpin dalam PH yang telah merasai kuasa terus mahu bermesra-mesra dengan Mahathir (membentuk gabungan dengan Mahathir) atas alasan “demi kebaikan semua.”
Anwar berharap boleh mendapat sokongan daripada kuasa-kuasa yang mewakili golongan berkuasa dan berdarjat feudal dan masyarakat muslim dengan mengumumkan kerajaan yang dibentuknya adalah kerajaan yang didominasi orang Melayu-Islam. Harapan ini hanya merupakan satu impian fantasi yang tidak akan tercapai! Ia juga bertentangan dengan arus! Sekiranya Anwar berjaya, sudah pasti ia merupakan satu lagi bencana besar yang memundurkan pergerakan reformasi demokratik rakyat semua bangsa, bahkan ia adalah kemunduran bererti penanda aras. Biar kami menjelaskan secara berfokus seperti berikut:
Pertama, tentang “impian fantasi mustahil” Anwar. Berdasarkan Sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan sejak kemerdekaan Malaya sehingga pembentukan Malaysia, pada hakikatnya negara kita merupakan sebuah negara semi-feudal semi-kapitalis. Di bawah sistem sekarang, klik pemerintah selama ini dibentuk daripada pakatan kelas bangsawan feudal Melayu dan Dewan Rakyat yang saling bekerjasama dalam melaksanakan pemerintahan dan pemerasan ke atas rakyat semua bangsa. Institusi raja-raja Melayu yang menguasai segala hal-ehwal agama Islam (agama rasmi negara), telah lama membentuk dominasi “teokrasi” yang kukuh di kalangan Melayu-Islam melalui penguasaannya ke atas kekuatan kebiasaan (force of habit) di kalangan penganut Islam. Kedudukan institusi Raja-raja Melayu dan kelas bangsawan feudal Melayu yang diwakilinya adalah bertentangan dengan rakyat jelata semua bangsa (termasuk orang Melayu-Islam). Mereka selama ini ialah sekutu andal dan penyokong paling kuat pemerintahan hegemoni perkauman Melayu. Insiden “rampas kuasa Sheraton” merupakan bukti yang paling jelas dan nyata. Harapan Anwar mencari sokongan Institutsi Raja-raja Melayu untuk menguasai kerajaan, sememangnya adalah satu “impian fantasi mustahil”, jikalau bukan kerana dia sudah bersedia untuk menerima pengampunan.
Kedua, tentang “bertentangan dengan arus”. Pengetahuan am memberitahu kami, dari sudut perkembangan sosial, kapitalisme lebih progresif berbanding dengan feudalisme. Negara kita masih berada dalam peringkat semi-feudal semi-kapitalis. Hak istimewa bangsawan feudal dan sistem hak milik tanah feudal telah mengkongkong (atau lebih tepat lagi menghadkan) perkembangan ekonomi dan kemajuan sosial negara kita. Apabila Mahathir berniat untuk terus mendorong perkembangan ekonomi kapitalis, supaya kuasa dirinya, keluarganya dan kroni-kroninya diperluaskan, satu persengketaan sengit yang tidak boleh dielakkan telah berlaku di antara Institutsi Raja-raja Melayu dan Sultan di beberapa negeri dengan Mahathir berambisi liar yang menerajui pemerintahan UMNO selama 22 tahun, suatu tempoh yang amat kritikal, yang telah menghasilkan kelas kapitalis Melayu baharu serta ramai ahli korporat berjaya. Walaupun Mahathir tidak berbuat demikian demi rakyat semua bangsa, sebaliknya untuk menjaga kepentingan dirinya dan keluarganya serta kroni-kroninya, tindakan Mahathir menentang feudal boleh dikira progresif dilihat dari sudut perkembangan sosial, oleh sebab itu dia mendapat pujian dan sokongan sesetengah rakyat. Sekiranya Mahathir yang terkenal dengan kejahatannya pun mengkibarkan panji menentang feudal, Anwar yang rakyat menaruhi harapan besar pula mengemis sokongan atau menunggu pengampunan daripada golongan ini, apa yang boleh dirumuskan jika bukan “bertentangan dengan arus”?
Selepas mendengar penjelasan kami, pemimpin tersebut membalas bahawa, “jikalau itu menjadi isu kapada kawan-kawan NGO, persatuan-persatuan masyarakat, dan orang ramai berasa tidak puas hati dengan Anwar, semua pihak berkenaan boleh tolong dia (Anwar) dalam hal tersebut.” Respon kami seperti berikut.
Kami berpendapat bahawa untuk memahami seseorang ahli politik, kita tidak boleh melihat apa yang dia cakap semata-mata. Orang Cina ada pepatah yang bermaksud "Dengar apa yang dikatakan dan perhatikan apa yang dilakukan". Dengan kata lain, jangan hanya mendengar pada percakapan, tetapi tindakan sebenarnya juga harus dipantau.
Seperti yang kami sebutkan tadi, demi mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri Malaysia, Anwar mengemis sokongan Istana dan cuba memancing sokongan daripada ahli parlimen UMNO. Bagi rakyat semua bangsa yang telah diperintah oleh hegemoni Melayu begitu lama, tindakan ini merupakan langkah politik yang bertentangan dengan reformasi demokratik dan membelakangi kepentingan rakyat. Akibatnya, rakyat biasa tidak dapat menerimanya dan berasa kecewa, manakala rakyat yang mempunyai kesedaran politik pula tidak mahu bertoleransi dan memberi reaksi yang hebat.
Dari perspektif rakyat, tindakan Anwar mengemis sokongan Istana dan cuba memancing sokongan ahli parlimen UMNO untuk merampas balik regim menunjukkan bahawa demi memperoleh kuasa pemerintahan, Anwar sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja, walaupun prinsip tergadai. Adakah ajaran pahit akibat berkompromi dengan Mahathir dan Muhyiddin yang akhirnya membinasakan dirinya dan kem Pakatan Harapan serta seluruh gerakan reformasi demokratik telah dilupakan?
Kami fokus kepada Anwar sebab dia merupakan ketua atau pemimpin PH dan bakal menjadi Perdana Menteri. Perkara yang sama juga berlaku kepada DAP Perak yang hendak bekerjasama dengan UMNO negeri Perak untuk menubuhkan kerajaan negeri. Rakyat jelata turut mengecam Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming. Dialah orang yang aktif menganjurkan dan giat menggerakkan usaha "kerjasama dengan UMNO" yang tidak disenangi oleh orang ramai.
Selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang, Anwar sibuk dengan meraih sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan dibawah pimpinan dia. Sasaran utama dia ialah ahli parlimen UMNO. Khabar angin yang hangat diperkatakan ini boleh disahkan melalui wawancara Hassan Karim ini. Hassan turut mendedahkan bahawa Anwar sebenarnya bertindak melaksanakan keputusan bersama yang dibuat oleh Majlis Presiden PH.
Apa yang berlaku sekarang menunjukkan bahawa keputusan dan tindakan bekerjasama dengan UMNO (atau lebih tepat disebut sebagai memancing sokongan ahli parlimen UMNO) telah menimbulkan keraguan, kekecewaan dan ketidakpuasan dikalangan ahli akar umbi PH dan massa akar umbi diluar parti, sehingga ada yang memberi reaksi yang hebat. Pertubuhan, parti politik dan individu-individu demokratik negara kita wajib mengemukakan isu serius yang berkait rapat dengan kepentingan rakyat seluruh negara dan masa depan reformasi demokratik ini kepada Anwar untuk dipertimbangkan semula dengan serius.
Pada 24 Sep 2020, China Press melaporkan terdapat sekurang-kurangnya 10 Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar untuk membentuk sebuah kerajaan majoriti Melayu-Islam semasa rundingan antara PKR dengan UMNO. Sumber dalaman UMNO juga mengesahkan maklumat ini. Sumber UMNO turut mendedahkan adalah lebih menuntungkan sekiranya UMNO menyokong Anwar kerana UMNO akan dapat mendominasi kerajaan Anwar berbanding dengan keadaan janggal sekarang dalam kerjasama dengan Mahyuddin dan PN.
(4) Kesimpulan: Membantu Anwar mengalahkan musuh umum rakyat semua bangsa
Berhubungan dengan isu Anwar bekerjasama dengan UMNO, pemimpin politik tersebut memberi penjelasan seperti berikut:
i) Sepanjang PH memerintah sehingga hilang kuasa, Anwar tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan. Yang pegang jawatan Wan Azizah selaku Timbalan Perdana Menteri, Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan, dan Mat Sabu selaku Menteri Pertahanan, di mana jawatan mereka besar-besar belaka.
ii) Anwar jadi ketua PH melalui mesyuarat dalam majlis presiden PH selepas puak Mahathir keluar dari PH sekaligus menyebabkan kerajaan PH tumbang. Pengerusi DAP, Pengerusi Amanah dan menteri-menteri dari PKR sendiri yang memberi mandat kepada Anwar untuk mencari jalan mengambil semula kuasa pemerintahan. Mereka tidak kenakan sebarang syarat, termasuk jangan jumpa UMNO!
iii) Kumpulan dalam DAP, Amanah dan PKR yang telah menikmati rasa sebagai menteri, kini beria-ia hendak menjadi menteri semula telah meletakkan tugas ini ke atas bahu Anwar. Tugas ini mereka bagi kepada Anwar, tetapi sekarang Anwar seorang yang disalahkan dan menanggung akibatnya! Ini tidak adil sama sekali.
iv) Anwar memang ada berhubung dengan ahli-ahli parlimen UMNO. Namun, ahli-ahli parlimen UMNO memang tidak boleh dipercaya! Apabila ahli-ahli parlimen UMNO melihat Agong macam tidak mahu berjumpa dengan Anwar atau cuba mengambil masa atau cuba melambatkan proses, mereka membuat pusingan-U. Anwar sudah dimain oleh UMNO. Tetapi, dari perspektif Anwar, hendak dapat balik kerajaan tanpa sokongan puak Mahathir, tiada cara lain selain daripada meraih sokongan ahli parlimen UMNO.
Kami ingin menyatakan dengan ikhlas bahawa: ➊ Selama ini, kami menganggap Anwar dan PKR sebagai pemimpin gerakan reformasi demokratik di negara kita dalam 20 tahun kebelakangan ini. Sebagai sukarelawan yang terlibat dalam mendorong maju reformasi demokratik, kami tidak teragak-agak untuk menyokong seruan dan aksi Anwar dan PKR dalam membela kepentingan rakyat semua bangsa; ➋ Dalam PRU ke-14, kami juga mengambil pendirian untuk menyeru rakyat menyokong Anwar dan calon-calon tiga parti asal Pakatan Harapan (iaitu PKR, DAP dan Amanah), tetapi kami berasa amat kecewa dan tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat oleh Anwar dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan kononnya mahu "memperalatkan Mahathir untuk menumbangkan Najib" tetapi sebenarnya " tersilap menganggap lawan sebagai kawan"; ➌ Selepas berlakunya “rampasan kuasa Sheraton” yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, dalam usaha mengambil alih kuasa memerintah dengan segera, Anwar “mengemis sokongan Istana” dan “cuba memancing sokongan ahli parlimen UMNO”. Seperti rakyat seluruh negara, kami turut berasa ragu-ragu dan geram terhadap tindakan oportunistik Anwar yang merugikan rakyat ini.
Pemimpin politik tersebut (atau mana-mana individu lain) memberi penjelasan berkaitan tindakan Anwar cuba berhubung dengan ahli parlimen UMNO, sememangnya mempunyai pertimbangan dan alasan tersendiri, kami pula mempunyai pandangan yang lain. Kami berpendapat:
- (Ⅰ) Sebagai Presiden PKR dan pemimpin utama Pakatan Harapan, Anwar bertanggungjawab mutlak ke atas kesan dan akibat yang terhasil daripada segala hujah dan tindakannya (tidak kira tindakan peribadi atau resolusi kolektif mesyuarat) yang memberi kesan kepada masa depan parti dan kepentingan rakyat.
- (II) Walaupun "memancing ahli parlimen UMNO untuk mendapatkan kembali kuasa" adalah kehendak umum ketiga-tiga ketua parti dalam PH dan merupakan tugasan yang diberikan kepada Anwar, sekiranya Anwar merasakan bahawa pelaksanaan tugas itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan mengundang reaksi hebat rakyat, dia seharusnya bermuhasabah atau memanggil mesyuarat majlis presiden PH untuk menilai balik adakah keputusan ini telah membelakangkan kepentingan dan aspirasi rakyat.
- (Ⅲ) Sekiranya Anwar menyedari bahawa keputusan ini tidak selaras dengan aspirasi dan kehendak rakyat jelata serta tidak diiktiraf dan tidak diterima oleh rakyat jelata semua bangsa, dia harus menghentikan tindakannya serta-merta dan kembali ke mesyuarat majlis presiden PH untuk membuat pertimbangan semula dan keputusan baharu. Anwar ialah pemimpin tertinggi PH. Dia tidak boleh menjadikan kehendak Lim Guan Eng dan Mat Sabu untuk mendapat balik “majoriti” sebagai alasan untuk dia terus menuju ke jalan yang akan mengancam kepentingan rakyat dan mungkin menghancurkan dirinya.
Pemimpin politik tersebut berkata bahawa, walaupun kerajaan sekarang akan menghadapi pilihanraya dalam masa dua tahun dari sekarang, tetapi kedudukan Muhyiddin yang tidak kukuh akan memaksa dia membubarkan parlimen lebih awal untuk memberi laluan kepada pilihanraya umum. Tanda-tanda menunjukkan pilihanraya mungkin diadakan tiga atau empat bulan dari sekarang. Maknanya kem pembangkang tidak perlu tukar pemandu atau pilot. Dia juga berpendapat bahawa, kalau ada kekurangan atau salah silap Anwar, kita boleh tegur. Ini peranan yang harus dimainkan oleh kawan-kawan dalam pertubuhan dan parti demokratik terutamanya kawan dari DAP.
Selain itu, dalam waktu yang sangat mencabar ini, dia berasa adalah satu kesilapan jikalau kita terus tidak setuju dengan Anwar, dan membiarkan kerajaan Muhyiddin, Perikatan Nasional atau BN berkuasa. “Adakah reformasi demokratik negara kita akan maju ke hadapan sekiranya kita hanya mencari kelemahan Anwar, sebaliknya biarkan puak-puak Mahathir yang memang hendak menjatuhkan Anwar bertindak sewenang-wenang? Bayangkan Muhyiddin, Azmin dan PPBM satu pihak, Najib, Zahid dan UMNO satu pihak, Mahathir dan Pejuang satu pihak, Anwar dan PH satu pihak, siapa kawan kita, siapa musuh kita?” Sekiranya kita silap menilai, kita akan hilang peluang yang terbaik untuk mendapat balik kerajaan. Dia juga menyeru bahawa, kalau Anwar ada kekurangan atau kami tidak puas hati dengan tindakan atau kenyataan dia, kami boleh ajak Anwar untuk berbahas kerana walaupun dia bakal Perdana Menteri, semestinya harus mendengar teguran kawan-kawan yang progresif.
Sebenarnya, sejak penubuhan Sahabat Rakyat (tahun 2001) 19 tahun dahulu, kami tidak pernah berhenti berhujah tentang menumbangkan pemerintahan hegemoni UMNO dan Mahathir. Hujahan ini dapat dilihat dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Sahabat Rakyat setiap tahun sempena ulang tahun kami. Kenyataan-kenyataan ini walaupun panjang (selalunya mencecah 10 ribu perkataan), kami pastikan ia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. 4 kenyataan berikut merupakan kenyataan yang ingin kami tonjolkan:
1. Berdepan dengan PRU ke-13 pada tahun 2013, kami bekerjasama dengan Hindraf Johor untuk mengeluarkan seruan bersama kepada rakyat yang bertajuk "Memecahkan Hegemoni UMNO, Menubuhkan Barisan Bersatu Demokratik; Menyatukan Rakyat Seluruh Negeri, Merealisasikan Tiga Tuntutan yang Mendesak!" untuk menyatakan pendirian dan seruan kami terhadap PRU yang bakal menjelang.
2. Sebelum PRU Ke-14 tahun 2018, kami keluarkan kenyataan bertajuk "Undilah calon yang membantah pengislaman negara; Menentang pemerintahan hegemoni UMNO! Mencegah ‘puak Mahathir kembali kepada kuasa’!" sempana ulang tahun ke-16 Sahabat Rakyat pada akhir tahun 2017. Kenyataan tersebut menunjukkan pendirian jelas kami dalam menyokong Pakatan Harapan dan menentang Mahathir.
3. Kami keluarkan kenyataan bertajuk "Bersatu padu, Mempertahankan Reformasi Demokratik Tulen! Buangkan Khayalan, Menghalang Pemulihan Mahathirisme!" untuk membentangkan pandangan kami terhadap situasi politik Malaysia selepas PRU ke-14 yang melihatkan Mahathir kembali berkuasa. Kenyataan tersebut menyatakan pendirian nyata dan sikap tegas kami dalam menyokong Pakatan Harapan dan menentang habis-habisan klik Mahathir.
4. Pada 9 September tahun ini (2020) (sempena ulang tahun ke-19 penubuhan Sahabat Rakyat), kami keluarkan satu kenyataan bertajuk "Masa Depan Bangsa-bangsa Tertindas Negara Kita Tertakluk Kepada Penyatuan Semua Bangsa Dalam Menentang Pemerintahan Hegemoni Melayu". Kenyataan tersebut mengemukakan pendapat khusus kami terhadap situasi politik di negara kita pasca "Rampasan Kuasa Sheraton".
Kritikan tajam Sahabat Rakyat terhadap Mahathir dan pemerintahan hegemoni UMNO adalah tegas, jelas dan tidak teragak-agak. Pandangan Sahabat Rakyat terhadap persoalan "Siapa kawan? Siapa lawan?" telah dijelaskan dengan jelas dalam kenyataan-kenyataan tersebut secara terbuka supaya rakyat jelata semua bangsa dapat membuat penilaian sendiri.
Mengenai persoalan pemimpin politik tersebut mengenai isu kawan dan lawan, kami ingin jelaskan bahawa: sejak pembentukan Pakatan Rakyat, Sahabat Rakyat senantiasa menganggap Pakatan Rakyat dan kemudiannya Pakatan Harapan (merujuk kepada tiga parti asal) sebagai sekutu rakyat. Ini adalah pendirian politik kami. Walau bagaimanapun, pendirian Sahabat Rakyat terhadap sekutu adalah: Apabila kami mengetahui bahawa pucuk pimpinan sekutu kami melakukan kesilapan, kami tetap akan mengkritik barisan pimpinan ini, seringkali kritikan yang pedas. Kekecewaan dan rasa tidak puas hati terhadap Anwar dan Pakatan Harapan yang kami bicarakan hari ini bukanlah untuk menjatuhkan Anwar (atau pemimpin PH lain). Kami harap pembaca pelbagai pihak akan jelas dengan pendirian kami ini.
0 comments:
Post a Comment