Wednesday, 11 March 2015

Air mata seorang Ahli Parlimen Kadazan dari BN

Air mata seorang Ahli Parlimen Kadazan dari BN

Penulis / Sumber : Joe Leong / The Ant Daily

Mojigoh : Apa yang dimahukan warga Sabah adalah mengkaji semula Perjanjian Malaysia yang ditandatangani ketika membentuk Malaysia.

Joseph Leong Sai Ho adalah anak Sarawak yang tinggal dan bekerja di Sabah sejak 1966. Impian dan misinya ialah supaya suara-suara orang Borneo boleh menyebar secara meluas. Ini merupakan satu makalah yang baru-baru ini disiarkan dalam The Ant Daily. Makalah ini jelas mencerminkan suara rakyat Sabah.

Di sebuah negeri yang jauh iaitu Sabah, tinggal seorang Ahli Parlimen Kadazan daripada parti komponen Barisan Nasional yang ingin berkhidmat dengan penuh bangga dan menjadi suara sebenar kepada rakyat.

Akibatnya, beliau berhadapan masalah, digesa untuk berhenti dan menjadi pembangkang.

Fahamkan ini, kehidupan seorang wakil rakyat bukanlah semudah dan sehebat seperti yang dlihat secara permukaan. Anda perlu sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga, terutama bagi seorang MP daripada parti komponen kecil dalam BN.

MP yang meresai tekanan, kesusahan dan kesakitan dalam perjuangan itu adalah Datuk Dr Marcus Mojigoh, yang kini berkhidmat untuk penggal ketiga di Putatan. Beliau membuat pengakuan yang rohani dan jasmaninya kian lelah, dan serius membayangkan untuk berhenti sahaja.

Baru-baru ini, selepas mempersoalkan tindakan pihak berkuasa negeri yang melarang pemimpin DAP Teresa Kok daripada memasuki Sabah, beliau telah didesak oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin agar berhenti dan menyertai pembangkang. Hanya kerana mempersoalkan dasar kerajaan.

Mojigoh bukanlah pemimpin biasa dalam Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), sebaliknya adalah Naib Presiden dan juga Bendahari Agung. Beliau juga pengerusi Lembaga Koko Malaysia dan Saham Sabah Berhad. Beliau juga kini menjadi presiden Asia-Pacific Senate of the Junior Chamber International (JCI).

Di sebalik jadualnya yang padat dan ulang-alik ke Kuala Lumpur untuk menghadiri persidangan Parlimen, saya sempat ber-“yumcha” dengannya. Saya bertanya apakah yang mencetuskan tindakannya mempersoalkan keputusan kerajaan, di saat pemimpin BN lain lebih suka berdiam diri.

“Pertama, sebagai pemimpin BN, kita perlu patuh, bukan? Namun ingat, saya adalah wakil rakyat, maka saya adalah suara, mata dan telinga kepada rakyat. Anda juga perlu menjadi otak kepada rakyat,” katanya.

“Jika anda tiada dalam kategori ini, anda tidak layak menjadi wakil rakyat.

“Ada yang fikir menjadi MP ini glamour. Apa, adakah anda fikir kami datang ke Parlimen untuk panaskan tempat duduk, angguk sana, angguk sini?

“Adakah itu wakil yang rakyat mahukan?” beliau bertanya kembali.

Menurut Mojigoh, hari-hari tersebut sudah berlalu. Sekarang, rakyat lebih kuat memerhati tentang apa yang dikatakan dan dibuat wakil yang mereka pilih.

“Orang memerhati gerak-geri anda, sama ada anda benar-benar mewakili mereka. Dan kita juga perlu tanya diri sendiri, adakah kita berhubung, mendengar dan membawa suara rakyat.”

Menjelaskan mengapa beliau mempersoalkan halangan ke atas Teresa Kok, Mojigh berkata ini kerana orang ramai meminta beliau berbuat demikian.

“Saya membuat kenyataan terbuka yang saya tidak takut kepada Teresa Kok, dan bertanya mengapa pihak berkuasa negeri takutkannya? Itulah soalan saya. Mungkin beliau merbahaya dari segi politik, namun generasi muda sudah lain cara pemikirannya.”

Menurut pandangannya, suasana politik negara sudah jauh berubah berbanding zaman dahulu.

Mojigoh berkata kepada saya, “Beliau adalah seorang MP di Malaysia, maka berhak untuk datang ke sini dan mendengar suara rakyat. Saya tidak rasa tujuan beliau untuk menghancurkan keharmonian warga Sabah.

“Beliau datang ke Sabah untuk melihat bagaimana kita hidup dengan harmoni. Jika Teresa Kok datang ke sini untuk menyebarkan apa-apa budaya buruk dari Semenanjung, kita selaku MP dari Sabah bertanggungjawab mengecamnya. Setakat ini, saya tidak dengar atau lihat yang beliau adalah seorang yang berbahaya.”

Mojigoh juga bersuara ketika Sembilan warga Sabah ditahan polis di Tamu (pasar) Ahad di Tuaran, kerana didakwa menjalankan kempen tandatangan bagi mengumpul sokongan terhadap kempen Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).


Menurutnya, punca mengapa isu SKMM timbul adalah kerana rakyat di dua negeri Borneo itu merasa tidak dilayan secara saksama.

Beliau bertanya, “Di mana lagi mereka boleh suarakan isu seumpama itu. Nampaknya wakil rakyat tidak mampu untuk menyuarakannya. Dan anda tahu apa yang akan terjadi kepada wakil rakyat jika dia bersuara? Anda tahu apa yang boleh berlaku?”

Berikutan penangkapan di Tuaran itu, katanya lagi, orang ramai mula menganggap Malaysia sudah menjadi negara polis.

“Saya tidak pernah lihat percubaan kerajaan untuk mendengar dan mengambil hati mereka. Bagi saya, 30 peratus daripada permintaan mereka akan dapat diselesaikan serta-merta jika kerajaan berbuat demikian.”

Mojigoh percaya apa yang dimahukan warga Sabah adalah melihat kembali Perjanjian Malaysia yang ditandatangani ketika membentuk Malaysia.

Beliau merujuk kepada Batu Sumpah Keningau yang dismikan pada 31 Ogos 1964, ketika ulang tahun pertama penubuhan Malaysia, di mana kerajaan persekutuan telah memberi jaminan yang peribumi Sabah akan menikmati kebebasan beragama dan pengekalan adat dan tradisi mereka, serta kerajaan negeri mempunyai hak terhadap tanah negeri.

“Jika kerajaan persekutuan mengiktiraf sumpah itu dan menunaikannya, maka DAP tidak akan lagi boleh mempolitikkannya untuk manfaat mereka. Dan orang kampung akan melihat BN akan kekal selama-lamanya,” kata Mojigoh lagi.

Menurutnya, warga Sabah turut menganggap semuanya di bawah kawalan Kuala Lumpur.

“Saya cenderung untuk estuju kerana hampir setiap keputusan dibuat Kuala Lumpur. Peluang perniagaan perlu dirujuk ke sana, projek serta dana pembangunan negeri juga dikawal mereka. Apa sudah jadi kepada perjanjian yang kita tandatangani ketika menubuhkan Malaysia?”

Selepas sekian lama bersama BN, bukankah beliau sepatutnya sudah terbiasa dengan budaya BN. Mengapa Mojigoh mula mengkritik kerajaan sekarang?

Jawabnya, ini kerana keadaan semasa yang cukup melukakan. Soal agama, misalnya. Isu tersebut tidak pernah muncul pada waktu dahulu.

“Mengapa hanya sekarang? Mengapa kerajaan seperti tidak bertindak kepada pihak yang mencetuskannya? Pembangunan adalah satu perkara, namun sensitiviti rakyat juga perlu dijaga,” katanya lagi.

Mojigoh turut memberikan contoh, berhubung dakwaan seorang pelajar sekolah di Kinarut yang menukar agama, serta kenyataan oleh seorang menteri yang menyalahkan orang Cina dalam soal kenaikan harga barang.

Sebelum ini, beliau telah mengumumkan bahawa ini adalah penggal terakhirnya sebagai MP Putatan, dan tidak akan bertanding pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14. Saya bertanya sama ada beliau benar-benar serius untuk berhenti.

Saya lelah, secara rohani dan jasmani. Apa yang anda inginkan tidak berlaku, Apa yang anda ingin siapkan, tidak siap. Kami ingin konsep perkongsian kuasa dilaksanakan secara saksama. Saya dari parti kecil. Jika kita buka mulut sedikit, mereka akan mengancam kita. Jika anda tidak gembira, mereka suruh keluar. Jadi, saya keluarlah!”

Amat jelas sekali. Mojigoh adalah seorang MP yang menderitai kekecewaan dan putus asa yang teruk. Beliau tahu apa yang boleh dan patut dibuat oleh kerajaan BN, namun tidak boleh melakukan apa-apa sebagai Adun kerjaan.

Saya merenungnya yang duduk di hadapan saya. Saya tidak lihat ada air mata. Namun terang lagi bersuluh, beliau tidak gembira. Memang Mojigoh masih ada banyak tenaga dan semangat, namun beliau tahu ia tidak mampu melawan “abang besar” Umno di Sabah yang menetapkan setiap perkara.

Seperti ramai lagi dalam BN yang menderita dalam diam; beliau sudah banyak mengalirkan air mata, jauh daripada penglihatan orang ramai.

Baru-baru ini, kita mendengar berita tentang figura Virgin Mary di Sebuah kampung di Penampang, kawasan utama Kadazan di Sabah, yang menumpahkan air mata.

Adakah ia satu petanda, bahawa “langit” pun dapat melihat air mata peribumi ini, dan merasai kesedihan dan kedukaan yang ditanggung mereka?

Saya tertanya-tanya…

0 comments:

通告 Notification




Malaysia Time (GMT+8)