UNITED FRONT, PRU 14 DAN ILUSINYA
联合阵线与第14届大选以及对它的幻想
S.Arutchelvan (PSM)
S.Arutchelvan (PSM)
【《人民之友》编者按语】 本文是马来西亚社会主义党中委阿鲁哲文(S.Arutchelvan)应邀在今年9月25日人民之友15周年纪念举办的“认清斗争敌友,埋葬巫统霸权”论坛上,按照提纲发表演讲之后,用马来文撰写的文稿,并改了标题。这篇论文提及马哈迪最近在希望联盟的代表大会上提出以一个政党、一个旗帜及一对一的方式对抗巫统国阵的建议是论坛时未发生的事。
因阿鲁事务繁忙以至这篇文稿延迟至今(12月2日)方送达人民之友秘书处。《人民之友》编辑部随即将此马来文原稿全文刊出如下,至于此文的华文译稿,一俟翻译校阅完成之后贴出。
尽管这篇文稿姗姗来迟,人民之友还是欣赏和赞扬阿鲁在事务繁忙的情况下努力践行其作为论坛主讲人提呈论文的承诺的负责任精神。
[Nota Editor Sahabat Rakyat] Makalah ini ditulis oleh ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan, dalam bahasa Melayu (dengan sedikit pengubahsuaian dalam tajuk) berdasarkan ucapan beliau dalam Forum sempena Ulang Tahun ke-15 Sahabat Rakyat yang bertema “Membezakan Sekutu dan Musuh Perjuangan, Menguburkan Hegemoni Umno” yang diadakan pada 25 September 2016. Saranan Mahathir di konvesyen Pakatan Harapan untuk "melawan BN dengan satu lawan satu, satu calon, satu Parti dan satu logo" yang disebut oleh penulis dalam makalah ini berlaku selepas forum diatas berlangsung.
Disebabkan oleh jadual kerja penulis yang terlalu sibuk, makalah ini hanya diserah kepada Sekretariat Sahabat Rakyat pada 3 Disember 2016. Editorial blog Sahabat Rakyat seterusnya menerbitkan teks penuh makalah ini seperti di bawah. Penterjemahan makalah ini dalam Bahasa Cina akan diterbitkan sebaik sahaja kerja terjemahan dan semakan siap.
Sungguhpun tertangguh lama, Sahabat Rakyat menghargai dan memuji semangat tanggungjawab Arutchelvan yang berusaha sedaya upaya untuk menunaikan janji sebagai seorang penceramah forum untuk menghantar makalah ucapan dalam kesibukan beliau.
[Nota Editor Sahabat Rakyat] Makalah ini ditulis oleh ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan, dalam bahasa Melayu (dengan sedikit pengubahsuaian dalam tajuk) berdasarkan ucapan beliau dalam Forum sempena Ulang Tahun ke-15 Sahabat Rakyat yang bertema “Membezakan Sekutu dan Musuh Perjuangan, Menguburkan Hegemoni Umno” yang diadakan pada 25 September 2016. Saranan Mahathir di konvesyen Pakatan Harapan untuk "melawan BN dengan satu lawan satu, satu calon, satu Parti dan satu logo" yang disebut oleh penulis dalam makalah ini berlaku selepas forum diatas berlangsung.
Disebabkan oleh jadual kerja penulis yang terlalu sibuk, makalah ini hanya diserah kepada Sekretariat Sahabat Rakyat pada 3 Disember 2016. Editorial blog Sahabat Rakyat seterusnya menerbitkan teks penuh makalah ini seperti di bawah. Penterjemahan makalah ini dalam Bahasa Cina akan diterbitkan sebaik sahaja kerja terjemahan dan semakan siap.
Sungguhpun tertangguh lama, Sahabat Rakyat menghargai dan memuji semangat tanggungjawab Arutchelvan yang berusaha sedaya upaya untuk menunaikan janji sebagai seorang penceramah forum untuk menghantar makalah ucapan dalam kesibukan beliau.
1. Pendahuluan
Kertas ringkas ini ditulis untuk forum “Membezakan sekutu dan Musuh Perjuangan, menguburkan hegemoni UMNO” yang telah diadakan pada 25hb. September 2016 di Hotel Crystal Crown di Johor Bharu.
Saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana menjemput saya dan pada masa yang sama melafazkan ucapan maaf kerana semasa Forum yang diadakan tempoh hari saya tidak sempat menulis kertas ini kerana terlibat dalam satu kemalangan motosikal kecil dan ini diikuti pula kesibukan saya dalam menganjurkan Program Perhimpunan seribu pejuang di Ipoh pada 2hb Oktober 2016 dan kemudiannya saya ke luar Negara ke Hungary dan Slovakia dari 8hb sehingga 15hb Oktober 2016.
Sebelum saya ke Forum, saya sudahpun membaca dokumen dari penganjur Sahabat rakyat dan juga analisa mereka. Saya tidak mempunyai banyak perbezaan dari pandangan Sahabat Rakyat yang melontarkan ide bahawa hegemoni Melayu kini sudah beralir kepada hegemoni Islam dan merupakan agenda UMNO untuk terus berkuasa. Bagi saya kedua-dua perkara ini sebenarnya ada perpaduannya apabila kita melihat dalam Negara kita, istilah “Melayu” dan “Islam” digunakan secara liberal seolah-olah Islam itu adalah Melayu dan Melayu itu adalah Islam. Maka agenda mengislamkan sebenarnya bukan satu agenda baru dan ia adalah sebahagian daripada idelogi pemerintah UMNO untuk berpaut kepada kuasa dengan menggunakan polisi perkauman.
Isu bagaimana kita menangani polisi perkauman UMNO? Disini mungkin ada perbezaan taktikal bagaimana kita berdepan dengan persoalan perkauman – adakah kita bertembung secara terus atau kita mengambil peringkat “stages” strategi berperingkat untuk menangani isu yang amat pokok ini.
Kami berpendirian bertembung secara terus isu perkauman adalah pendekatan yang diambil oleh beberapa pihak termasuk mungkin DAP, Hindraf dan penganjur Forum ini. Ini memang tidak ada salahnya dari segi prinsip tetapi mungkin akan mengundang reaksi dari puak kanan seperti PERKASA dan Baju Merah Jamal yang menunggu-menungu untuk mencetuskan perbalahan perkauman.
Namun kertas ini akan memberi tumpuan kepada bagaimana sukarnya menumpaskan UMNO-BN dalam PRU yang akan datang dan seterusnya menghujah bahawa satu gabungan menyeluruh dan besar perlu dibentuk. Malah gabungan baru ini tidak boleh sementera, untuk jangkamasa pendek dan perlu menangani isu-isu pokok yang melanda rakyat Negara ini.
2. Jangkaan saya mengenai PRU ke 14
i. UMNO-BN akan meneruskan pemerintahan mereka
ii. Pakatan Harapan dan PAS akan kalah di Kelantan dan Selangor
iii. UMNO-BN akan dapat balik 2/3 majoriti di Parlimen
Sebab-sebab kepada jangkaan saya
i. Perpecahan dalam Pembangkang
Perpecahan dalam Pembangkang atau Pakatan Rakyat (PR) membawa erti bahawa dalam PRU yang akan datang maka semua kerusi akan memperlihatkan pertandingan 3 penjuru atau lebih. Kita sudahpun melihat ini di pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala kangsar. Dalam kedua-dua pilihanraya ini, wujud pertandingan 3 penjuru. Di Sungai Besar, BN menang dengan undi majoriti 1,191 ribu manakala di Kuala kangsar, calon UMNO menang dengan majoriti 6969. Kedua-dua kerusi ini ada pertandingan tiga penjuru antara AMANAH dan PAS selain UMNO.
Perkara yang sama boleh dilihat di Pilihanraya Negeri Sarawak. Maka tren ini nampaknya akan berlarutan sehingga ke PRU 14 bila tidak ada kerjasama.
Ada pula pihak yang cuba memberi gambaran pertandingan tiga penjuru ini adalah sementera dan menjelang PRU 14, semua parti akan setuju dengan 1 lawan 1. Ini adalah satu pemikiran yang terlalu naif. Bagaimanakah PAS akan memberi laluan untuk AMANAH iaitu parti serpihannya bertanding di kerusinya? Mesti tidak ada akan kompromi disini. Malah dalam keadaan ini, adakah AMANAH akan dimangsakan atau parti lain seperti DAP atau PKR akan memberi laluan kepada AMANAH untuk bertanding di kawasan mereka. Dalam persoalan ini jika undi diambil dalam Pakatan Harapan, sudah tentunya DAP dan AMANAH akan bersatu manakala PKR menentang. Maka saya melihat langsung tidak ada kompromi dan kita kena juga faham bahawa puak yang menerima PAS iaitu puak Azmin nampaknya lebih kuat dan berpengaruh dalam PKR buat masa kini.
Walaupun Tun Mahathir, Muhyuddin Yassin semua bercakap pasal satu lawan satu, ini nampaknya tidak akan berlaku. Dalam PRN Sarawak baru-baru ini, antara parti komponen Pakatan Harapan iaitu DAP dan PKR sendiri tidak dapat bersetuju dan mereka bertembung bersama mereka di tujuh kerusi. Jika bersama PH sendiri mereka tidak dapat bersatu, bagaimana pula dengan parti-parti diluar seperti parti Bersatu dan PAS. Ini masih belum ambil kira parti seperti PSM, PRM dan parti-parti di Sabah dan Sarawak
ii. Peratus keluar mengundi kurang
Dua PRU umum sebelum ini memperlihatkan kemenangan luarbiasa kepada Pembangkang kerana jumlah mereka yang keluar mengundi adalah amat tinggi. Maka faktor perpecahan pembangkang akan mengakibatkan rakyat berasa jemu untuk keluar untuk mengundi dalam PRU ini. Dalam PRU sebelum ini dengan slogan Ini Kalilah!, maka ramai pengundi yang dari luar Negara telah pulang untuk mengundi. Mereka begitu yakin boleh membawa perubahan, namun PRU lalu berakhir dengan Ini kalilah menjadi Lain kalilah sehingga apa yang dicetuskan sebagai Blackout 505.
Dalam suasana politik sekarang, dimana kita sedikit sebanyak boleh melihat tren dalam dua PRK ini, bahawa peratus orang yang keluar mengundi sudah turun. Tren ini nampaknya akan berlarutan sehingga PRU 14 selagi rakyat tidak yakin dengan iklim politik. Jika pengundi melihat bahawa pembangkang tiada peluang untuk menang kerana pertandingan tiga penjuru dan sebagainya, maka sudah tentulah mereka tidak akan mengambil usaha untuk turun mengundi. Ini akan memberikan satu tamparan besar kepada keputusan PRU kelak. Apabila peluang untuk menang Parlimen tipis, lebih baik mengundi BN kerana sedikit sebanyak boleh mendapat sedikit habuan.
iii. Penukaran sempadan oleh SPR (delination exercise by SPR)
Saya selama ini begitu yakin bahawa proses gerrymandering hanya boleh dilakukan jika BN mempunyai 2/3 kerusi di Parlimen. Namun hari ini, saya sedar bahawa mereka jauh lebih pandai. Tindakan SPR yang baru-baru ini telah membuat pertukaran sempadan adalah amat jelas satu manipulasi sistem pilihanraya dimana ia telah memastikan kawasan yang sebelum ini adalah kawasan campuran kaum kini dijadikan kawasan perkauman untuk memberikan kemenangan kepada pihak UMNO untuk menang dan kekal memerintah.
Walaupun semua pihak menentang pensempadanan semula ini termasuk pihak BN, tetapi ia hanyalah satu sandiwara dan satu permainan lama yang terus dimainkan untuk memastikan kemenangan pintu belakang kepada UMNO-BN.
Semua norma atau prinsip persempadan semula tidak diikuti seperti biasa. Dengan pertukaran sempadan ini, akan memperlihatkan bahawa parti DAP boleh terus menang kerusi tetapi akan memberi kesan kepada kawasan undi campuran yang ditandangi oleh pihak PKR, DAP dan PAS.
iv. Najib ditukar menjelang PRU atau selepas ?
Ini hanyalah satu spekulasi yang bukan mustahil. Memandangan semua sasaran serangan keatas UMNO tertumpu kepada Najib maka untuk UMNO mengantikan Najib menjelang PRU bukan sesuatu yang mustahil. Majlis tertinggi UMNO boleh membuat keputusan ini setelah berunding dengan Najib supaya beliau dibenarkan meletak jawatan dengan syarat beliau tidak akan dikenakan tindakan undang-undang selepas beliau melepaskan jawatan. Jika kepercayaan dan keyakinan ini boleh diberikan kepada Najib, maka beliau boleh meletak jawatan dan ini akan melemahkan musuh-musuh UMNO dimana sasaran mereka selama ini hanyalah Najib. Ini juga akan membuatkan sebahagian rakyat Malaysia akan kembali kepada BN kerana yakin pemimpin UMNO baru akan lebih baik.
Pembangkang No 1 Najib Tun Mahathir juga mungkin akan kembali kerana bagi beliau, musuh adalah Najib dan bukan UMNO. Maka Parti Pribumi Bersatu dan lain-lain kumpulan yang anti Najib tetapi bukan UMNO akan terus berdiri dibelakang UMNO baru tanpa Najib. Ini juga akan menyambung jangka hayat UMNO-BN dan menjadikan Pakatan Harapan (PH) kecundang sekali lagi. Politik PH yang hanya melihat kemenangan jangkamasa pendek akan sekali akan menjadi kelemahan jangkamasa panjang pembangkang.
3. 3 senario menjelang PRU 14
Saya menjangkakan 3 scenario menjelang PRU seperti dibawah:
• A – BN lawan Pembangkang satu lawan Satu
• B – Bergantung kepada Negeri – Selangor, Kelantan, Pusat & Negeri
• C – Semua masuk lawan
Jika kita mengambil scenario A, maka ia adalah seperti ucapan Mahathir di konvesyen PH baru-baru ini dimana beliau menyarankan satu lawan satu, satu calon, satu parti dan satu logo. Untuk membolehkan ini berlaku maka perlu adanya satu logo tetapi nampak gaya ini adalah mustahil sekali. Dengan keengganan Muhyuddin Yassin tidak mahu menyertai PH dalam gabungan PH buat masa ini, ia lebih melihat kepada situasi selepas UMNO baru iaitu dimana Semangat 46 dibawah Tengku Razaleigh membuat dua gabungan iaitu Gagasan Rakyat dan Angkatan perpaduan Ummah. Namun ini tidak boleh menjamin 1 lawan 1 kerana faktor Amanah vs PAS, dan PAS vs DAP. Maka nampaknya ini hanya dapat mengurangkan pertandingan tiga penjuru tetapi 3 penjuru akan terus dan tetap berlaku.
Selain itu, selagi parti-parti di Semenanjung tidak menghormati kedaulatan kebebasan parti-parti di Sabah dan Sarawak, mustahil untuk pertandingan satu lawan satu.
Senario B- Ini bergantung dimana ada kerjasama Negeri seperti di Selangor PAS dan PH bersama dan juga kerjasama di Kelantan. Scenario ini untuk menyelamatkan kerajaan negeri tetapi sekali lagi adalah sukar kerana ia akan digunakan untuk menunjukkan betapa rapuhnya kerjasama antara pembangkang bahawa mereka tidak dapat bekerjasama. Ini akan menyebabkan kempen pembangkang berbeza ikut kawasan dan manifesto berbeza.
Semua ini menunding jari kepada “free for all” iaitu Scenario C dimana akan wujud pelbagai pertandingan, pelbagai penjuru. Ini nampaknya scenario yang mungkin berlaku. Dalam situasi ini, rakyat akan bosan. Mereka mungkin tidak keluar mengundi atau mengundi BN kerana ia lebih mantap. Ia juga mungkin melihat rakyat mengundi kepada individu seperti yang berlaku di Indonesia dan tidak mengundi mengikut parti tetapi calon. Scenario ini lebih mesra kepada calon individu popular dan parti kecil.
4. Gabungan yang kukuh perlu ada kerjasama kukuh
Semua parti pembangkang berkata mengenai gabungan yang luas “broad coalition” tetapi nampaknya pada realitinya mereka hanya melihat satu gabungan 3 atau 4 parti kerana mereka masih bergelut untuk kerusi pilihanraya dan tidak melihat lebih daripada itu.
JIka kita melihat gabungan-gabungan politik pembangkang sebelum ini. Kita boleh rumuskan seperti carta dibawah
Jika kita melihat semua gabungan baik gabungan haluan kiri seperti PUTERA-AMCJA , Barisan Sosialis mahupun Gabungan Pembangkang Kanan seperti Gagasan Rakyat & APU, Barisan Alternatif dan sehinggalah Pakatan Rakyat, maka satu perkara yang cukup nyata dan ketara adalah mereka tidak dapat menyelesaikan isu-isu berjurus kepada persoalan nasional dan perkauman; mungkin parti-parti ini sendiri selesa memainkan agenda perkauman untuk mendapatkan sokongan di kawasan pengaruh masing-masing.
Sejarah mengajar kita bahawa Pakatan Pembangkang pecah kerana isu bahasa, isu sekolah Vernakular , isu hudut dan isu Negara Islam.
Contohnya kalau kita mengambil Barisan Sosialis Rakyat Malaya atau (MALAYAN PEOPLE SOCIALIST FRONT) sebagai satu contoh. Ia merupakan pada awalnya satu gabungan yang cukup kuat dengan kombinasi Parti Buruh dan Parti Rakyat. Mereka juga mempunyai satu program yang cukup hebat. Antara dasar perjuangan mereka yang penting adalah Semua perbezaan mengikut perkauman adalah salah. Rakyat hanya harus dipisahkan antara penindas dan mereka yang ditindas. Mereka juga mengusulkan Satu bahasa untuk menyatukan kaum pekerja dan Membina satu Bangsa Malaya melalui budaya, seni dan kesusasteraan yang mempunyai kaitan langsung dengan massa dan rakyat
Namun demikian Fron Barisan Sosialis mengalami pelbagai masalah dalam persoalan bahasa dan budaya. Pada tahun 1965, wujud perpecahan antara Parti Rakyat(PR) dan Parti Buruh(PB) atas isu budaya dan bahasa. 4 isu yang menjadi konflik dua parti ini adalah i) Isu bahasa dan budaya. Bahasa kebangsaaan vs bahasa ibunda. PR setuju dengan Laporan Rahman Talib dimana ia dibantah oleh PB. ii) Isu kesamarataan dan hak ethnik iii) Isu hak keistmewaan orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan iv) Menghakmilikan ekonomi negara. Disebabkan gagal mengatasi masalah ini, Barisan Sosialis berpecah pada tahun 1966.
Namun selepas Mei 13 dan Dasar Ekonomi Baru(DEB), parti-parti baru yang wujud terus membentuk gabungan tetapi kesemua gabungan ini berpecah kerana isu agama dan bahasa. Malah gabungan parti selepas DEB pula tidak berlandaskan perjuangan kelas seperti dalam era sebelum kemerdekaan atau dalam tahun 1960an.
Konflik yang tidak dapat diselesaikan oleh Gagasan Rakyat&APU, kemudiannya Barisan Alternatif dan sekarang Pakatan Rakyat adalah isu mengenai isu Negara Islam dan Hudud.
Maka apabila semua parti dewasa ini berhujah mengenai gabungan yang luas maka mereka juga harus serius menangani isu-isu pokok. Jika kita melihat masalah-masalah pokok apakah yang menajdi isu percanggahan utama antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebelum mereka berpecah , maka ia adalah tiga isu dibawah :
i) Hudud
ii) Pilihanraya Kerajaan Tempatan
iii) Siapa calon Perdana Menteri
Isu hudud adalah jelas, ia adalah percanggahan agama. Bagi isu kedua Pilihanraya Kerajaan tempatan sebenarnya PAS tidak setuju kerana jika ada pilihanraya PBT, maka disebabkan kebanyakan kerusi adalah kerusi bandar maka ramai orang Bukan Melayu/Islam akan menang, maka ia sekali lagi adalah isu perkauman yang menghalang mereka menyokong manakala isu ketiga adalah bangkangan kepada Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri adalah kerana isu moral dan ini sekali lagi berkait rapat dengan persoalan agama.
Maka walaupun ada pelbagai isu dimana Pembangkang tidak boleh bersatu tetapi akhirnya semua isu berkisar mengenai isu agama dan kaum. Maka adakah isu-isu ini langsung tidak boleh diselesaikan atau tiada usaha ikhlas untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu ini memandangkan ada juga parti pembangkang yang turut bermain perkauman dan agama untuk berkuasa di kalangan mereka. Mungkin sesuatu boleh dibelajar dari hubungan antara PUTERA-AMCJA – gabungan yang paling luas dan penyeluruh yang pernah ditubuhkan dalam negara kita
Keistimewaan PUTERA -AMCJA
Namun dalam situasi hari ini, Anwar Ibrahim dan PH sering mengatakan bahawa gabungan baru ini adalah gabungan parti politik dan NGO. Beberapa nama NGO juga dilontarkan seperti BERSIH, IKRAM, ABIM dan lain-lain. Namun demikian, tidak ada setakat ini sebarang perbincangan atau dokumen yang dibincangkan. Semuanya samar-samar sahaja dan seolah-olah hanya tipu muslihat untuk menang dalam pilihanraya. Sering kali orang seperti Ambiga dan Maria Chin marah dengan parti politik kerana mereka dipergunakan untuk kepentingan parti-parti ini dan cadangan mereka yang lain tidak diambil.
Maka adalah penting kita cuba belajar dari gerakan PUTERA-AMCJA sebagai satu gabungan kerana ia juga adalah kombinasi parti politik dan NGO. Bezanya adalah mereka mengambil masa yang begitu lama, mengadakan diskusi di pelbagai peringkat, di kawasan kampung dan Bandar untuk mengeluarkan satu dokumen yang dipanggil Perlembagaan Rakyat. Selain itu mereka juga berjaya menganjurkan hartal SeMalaya pada 20 Oktober 1947. Tindakan ini tidak ada lagi bandingan kuasa rakyat yang ditunjukkan oleh mereka pada masa itu berbanding dengan kita. BERSIH walaupun dapat turunkan ribuan rakyat tetapi ia lebih fokus kepada Lembah Klang dan Bandar-bandar sahaja.
PUTERA-AMCJA Berjaya mengabungkan pelbagai gerakan yang radikal, nasionalis dan Islam dalam satu program yang dapat menangani isu perkauman dan agama. Mereka mendapat sokongan kuat dari bandar dan luar Bandar. Antara organisasi dibawah AMCJA adalah Kesatuan Kekeranian, Dewan Perniagaan India, Kesatuan Sekerja Nasional PMFTU yang mengorganisasi dua pertiga keseluruhan kaum pekerja berbanding dengan MTUC yang hanya mempunyai sokongan 6% kaum pekerja hari ini; manakala PUTERA pula diwakili oleh API, AWAS, BATAS (Barisan tani) , HIZBUL MUSLIMIN dan GERAM (Gerakan Angkatan Muda)
Antara pencapaian mereka ialah persetujuan 10 prinsip rakyat yang mereka terbitkan. Yang lebih anih adalah Gabungan AMCJA yang majoritinya bukan Melayu telah mengusulkan antaranya usul mengenai agama Islam dan adat perlu dibawa orang Melayu sendiri dan mereka juga usulkan perhatian khas harus diberi kepada kemajuan orang Melayu dan jika dilihat usul yang dibawa oleh PUTERA yang boleh diterima oleh AMCJA adalah Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan dan Kerakyatan Malaya harus dinamakan “Melayu”.
Jika kita meninjau pada ketika itu, dua isu menjadi isu pertelingkahan iaitu isu soal kerakyatan (Jus Soli) yang AMCJA sokong tetapi PUTERA keberatan dan begitu juga isu nama kerakyatan dimana PUTERA mengusulkan Melayu manakala AMCJA pula Malayan.
Namun atas kebijaksanaan Dr. Burhanuddin Helmy, Tan Cheng Lock dan Ahmad Boestaman mereka berjaya mencapai satu kompromi dimana kerakyatan dibuka kepada semua dengan syarat semua menerima konsep Negara sebagai Melayu. Dengan kompromi dan tolak ansur, mereka berjaya menyelesaikan satu isu perkauman dengan amat bijak sekali. Penyelesaian mereka bukan pecah masyarakat kepada dua golongan tetapi mencari penyatuan bersama.
JIka PUTERA-AMCJA tidak dihancurkan melalui Darurat 1948 yang dibawa oleh British untuk membolehkan UMNO memerintah, maka kita akan berdiri dibawah Perlembagaan Rakyat dimana kita tidak lagi dipanggil Melayu, Cina, India dan lain-lain dan kita semua akan mempunyai satu identiti.
Maka apa yang kita perlukan hari ini adalah perbincangan serius isu-isu utama dan perbincangan isu-isu pokok supaya masalah yang melanda kita tidak berulang dan berulang dan berulang.
United Front (Barisan bersatu)
Kebelakangan ini perkataan United Front – Barisan Bersatu sering dihujahkan oleh pelbagai pihak tanpa memahami erti atau kondisi sejarahnya. Pada asalnya Teori Barisan bersatu United Front (UF) telah diperkenalkan oleh Lenin sebagai satu langkah untuk mengabungkan kumpulan-kumpulan revolusionery dengan kumpulan-kumpulan kiri(non revolusionery). Namun Trotsky pula berkata jika parti-parti berprinsip tidak menjadi tunjang utama maka matlamat perjuangan tidak boleh dilakukan secara berkesan. Kebanyakan Barisan Bersatu yang kita kenali hari ini mengikut istilah Trotsky adalah apa yang dikatakan sebagai Popular Front (PT) atau Pergabungan berdasarkan satu isu yang kepentingan bersama.
Popular Front (PF) bererti menggabung dengan mana-mana parti termasuk parti haluan kanan yang tidak berpendirian kelas yang sama untuk mencapai satu kemenangan. Stalin (1930an) ini telah mengadakan pelbagai PF dengan gerakan-gerakan kanan dan dalam sejarah negara Cina, Gabungan seperti ini pernah dilakukan antara tahun 1924–27 iaitu dimana parti Komunis bergabung dengan parti Koa Min Tang KMT manakala antara tahun 1937–1943 iaitu melawan Negara Jepun.
Yang sedihnya adalah Barisan Bersatu yang sering disebut hari ini oleh Hishamuddin Rais dan lain-lain langsung tidak menepati sebarang indipati dan langsung tiada kemantapan atau disiplin dalam membentuk satu Barisan Bersatu. Barisan bersatu hari ini adalah mereka yang berdiri dengan Tun Mahathir yang nampaknya hanya satu agenda sempit dan agenda tersebut pun tidak didokumen atau dimeterai dalam satu perjanjian yang serius.
Barisan Bersatu yang dikokok di Negara kita mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
- Barisan bersatu Sidang akhbar tetapi tidak berorintasi membina satu gabungan yang kuat berdasarkan prinsip
- Tidak mempunyai garis jelas antara kawan dan lawan – contohnya PAS boleh jadi kawan di Selangor dan musuh di Pulau Pinang
- Tidak serious, diistiharkan secara tiba-tiba tanpa perbincangan menyeluruh
- Tidak ada posisi jelas tentang pelbagai isu pokok seperti Hudud, Pilihanraya dan calon Perdana metneri mahupun Kabinet bayangan
- Berorintasi Top down. Atas ke bawah dimana keputusan tidak diambil secara demokratik dari bawah tetapi hanya diambil segelintir orang dari atas.
- Gabungan luas melibatkan pelbagai pihak termasuk NGO, Kesatuan Sekerja, Badan perniagaan dan lain
- Dapat duduk dan cari persamaan mengenai isu-isu besar seperti kerakyatan, Bangsa Melayu
- Banyak penglibatan bersama rakyat untuk menerangkan konsep dan aktiviti politik – hartal 1947
- Mendapat sokongan massa semua negeri, bandar dan desa, semua kaum
5. Dua isu utama
PSM melihat ada dua isu utama yang harus selesaikan iaitu isu pertama - Sistem kapitalis - bagaimana menyelesaikan kesengaraan rakyat dan isu kedua yang begitu penting di Negara kita iaitu isu Persoalan Nasional iaitu isu-isu yang melibatkan persoalan bahasa, budaya dan agama.
Sebenarnya PSM melihat dua isu sebagai isu utama dimana dibawah isu Sistem kapitalisma, maka kita boleh ungkitkan isu-isu seperti Perkhidmatan Kesihatan, polisi percukaian macam GST, pendidikan, kemiskinan, polisi gaji, pengangguran,perumahan dan keselamatan manakala dibawah Perkauman pula, wujud persoalan Diskriminasi, Bahasa Ibuanda, peluang pekerjaan, kegusaran, isu bumiputera dan bukan, undang-undang syariah, perceraian dan lain-lain.
Namun isu pertama iaitu untuk menyelesaikan kesengaran rakyat berkait langsung dengan sistem ekonomi acuan neo-liberal kapitalisma yang dianuti di Negara kita dan yang dipercayai oleh BN dan juga PR. Sistem ini mementingkan kepentingan Pelabur, mengagungkan pengswastaan, mempromosi percukaian regresif seperti GST, meminggirkan isu alam sekitar dan sering setuju dengan perjanjian antarabangsa seperti TPPA.
Namun perjuangan rakyat melawan sistem ini dilemahkan pula oleh perpaduan rapuh kerana kita sering bertelingkah dalam isu-isu perkauman seperti isu hudud, Negara Islam, bahasa ibunda, isu penukaran agama dan sebagainya.
Kadangkala orang bertelingkah manakah isu paling pokok – isu sistem kapitalis atau isu Nasional seperti perkauman. Sebenarnya kedua-duanya mempunyai hubungan dialetikalnya. Sistem kapitalis mempromosi sistem perkauman untuk berkuasa.
Dalam banyak isu, terutamnya isu-isu pokok, memang PR mempunyai kontradiksi yang serius. Contohnya dalam isu TPPA, posisi PR adalah lebih kepada mahu transparensi tetapi tidak ambil posisi membantah sepenuhnya TPPA kerana mereka masih mahu berjinak dengan kapitalis Amerika Syarikat dan antarabangsa. Dalam isu gaji minima, contohnya Lim Guan Eng meminta pekerja asing dikecualikan dari diberi gaji minima dan posisi ini bercanggah pula dengan PKR. Begitu juga ada kerajaan Negeri PR yang mempromosi Pelancongan kesihatan (health tourism) walaupun langkah tersebut akan melemahkan Institusi hospital awam. Bagaimana pula dengan polisi alam sekitar?
6. Menangani 153 – Pendekatan PSM
153 adalah satu isu yang sering tegang kerana ia mempersoalkan hak istimewa untuk orang Melayu dan Bumiputera. Orang melayu melihat hak ini sebagai satu hak mutlak dimana tanpanya kaum pendatang akan mengambilalih ekonomi Negara ini manakala kaum Bukan Bumipuetra yang sudah lama bermastautin dan lahir dinegara ini melihat ini sebagai satu diskrinasi dimana mereka dinafikan hak kesaksamaan dan kesamarataan.
Banyak organisasi sering bertelingkah mengenai perkara 153 dimana ada yang mengusulkan ia hanyalah satu usul yang sementera manakala ada hujah bahawa ia adalah satu hak mutlak untuk kaum Bumiputera.
Kita boleh melihat ada dua cara menangani isu yang sensitive ini. Satu adalah secara Head on secara konfrontasi manakala cara kedua adalah melalui cara berhati-hati. Dibawah cara konfrontasi atau berdepan dengan 153 secara langsung, ia dilihat sebagai melucutkan senjata paling berbisa UMNO. Cara melawan sedemikian pernah diambil oleh Kumpulan Pendidikan Cina dan juga Hindraf. Kedua-dua gerakan ini memang popular di kalangan kaum masing-masing dan mereka berhujah atas kesamarataan dan menentang diskriminasi. Namun kedua organisasi ini juga mengundang reaski dari Parti UMNO dan kumpulan Melayu yang melihat ini sebagai mencabar kedaulatan Bahasa Melayu dan Agama Islam.
Cara kedua adalah melawan 153 secara berhari-hati dan taktikal. Cara berhati amat perlu supaya tidak digunakan oleh pihak luar untuk mengetuskan satu konflik perkauman dimana ia hanya akan menguntungkan kumpulan sayap kanan yang memang mahu rakyat berpecah mengikut kaum masing-masing.
PSM berpendirian adalah amat penting untuk membina satu gerakan pelbagai kuam dan agama berlandaskan perpaduan kelas dan fokus kepada isu-isu yang boleh membawa semua rakyat bersama seperti melawan GST, isu gaji pekerja, perumahan dan lain-lain. Hanya setelah satu erakan ini dapat dibentuk, maka selepas itu gerakan multi racial pelbagai kaum dan agama ini pula akan melawan polisi-polisi diskriminasi.
Peruntukan perlembagaan artikel 153 merujuk kepada 'kedudukan istimewa' orang Melayu dan penduduk asal Sabah dan Sarawak dan mengisytiharkan bahawa ia adalah menjadi tanggungjawab Yang Dipertuan Agong untuk melindungi komuniti ini dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Ia tidak menggambarkan ini 'kedudukan istimewa' kerana status yang istimewa. Kita juga boleh menginterpretasi seperti yang diusulkan oleh Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) bahawa 153 berkata adalah tugas DYMM untuk melindungi kepentingan semua kaum termasuk orang bukan Melayu dan kepentingan mereka.
Mengikut pandangan Imtiaz – seorang Peguam Perlembagaan - Pengasas negara tidak pada bila-bila masa merenung usaha untuk membangunkan masyarakat dua peringkat seperti beberapa mungkin ada yang kita percaya. Mereka yang dipertimbangkan kemungkinan bahawa disebabkan oleh faktor-faktor sejarah mungkin terdapat keperluan untuk memperkenalkan langkah-langkah tertentu supaya tidak membenarkan terkehel atau meminggirkan masyarakat tertentu. Ini tidak bertujuan untuk diterjemahkan kepada promosi komuniti tertentu sehingga menjejaskan orang lain. Atas sebab ini, artikel 153 mengiktiraf kepentingan sah kaum-kaum lain.
Peruntukan yang tersebut di atas adalah sangat jelas mengenai perkara-perkara berikut:
(1) kuota terpelihara mestilah munasabah dan perizaban permit dan lesen bagi orang Melayu dan anak negeri mesti mengandungi apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah.
(2) tempahan khas kuota tidak boleh menjejaskan hak-hak kaum lain.
Selain daripada peruntukan yang dibenarkan di bawah Perkara yang dinyatakan di atas 153, semua rakyat Malaysia mesti diberi layanan yang sama. Ini jelas diperuntukkan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 8
(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama undang-undang.
(2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berkenaan dengan menubuh atau menjalankan apa-apa perdagangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.
Maka PSM melihat ada cara menangani isu ini secara matang dengan menggunakan hujah-hujah perlembagaan.
Pendekatan PSM adalah hanya satu gerakan pelbagai kaum dan agama boleh melawan hegemoni perkauman dan bukan mana-mana inisiatif oleh satu-satu kaum tersendiri. Dalam konteks ini, kami percaya kepada pendekatan 2 langkah.
Langkah pertama adalah membina gerakan dalam isu-isu kepentingan bersama semua kaum dan agama untuk membina perpaduan berlandaskan kelas manakala selepas ini, langkah kedua adalah menggunakan gerakan ini untuk menangani isu perkauman dan diskriminasi.
Selaras dengan itu, atas inisiatif SABM, PSM telah menyokong AKTA KETERANGKUMAN SOSIAL (Social Inclusuion Act) dalam manifesto pilihanraya parti dan Dr. Jeyakumar, Ahli Parlimen PSM juga mengusulkan satu Private Members Bil di Parlimen tetapi ditolak.
Pengenalan akta ini adalah Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi pembangunan
dan pelaksanaan pelan tindakan bersepadu untuk menangani penyisihan serius dalam masyarakat Malaysia
.
BAHAWASANYA sebuah masyarakat yang terangkum dari segi sosial adalah masyarakat di mana keperluan asas semua ahli masyarakat tersebut dipenuhi agar mereka dapat
hidup sentosa
;
DAN BAHAWASANYA sebilangan besar warganegara Malaysia telah menjadi
masyarakat terpinggir dan dihalang daripada mengambil bahagian dengan sepenuhnya dalam masyarakat, lantas menyebabkan mereka tersisih, antara lainnya, daripada peluang pekerjaan dan pendidikan dan rangkaian sosial dan masyarakat
;
DAN BAHAWASANYA individu tersebut diberikan akses yang amat terbatas kepada kuasa dan badan membuat keputusan, peluang yang terhad untuk mempengaruhi keputusan
atau dasar yang menjejaskan mereka, dan peluang yang tipis untuk meningkatkan standard kehidupan mereka
;
DAN BAWASANYA kekurangan tersebut telah berakar umbi sejak beberapa generasi dan menimbulkan kitaran ketaksamaan turun-temurun
;
DAN BAHAWASANYA pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan bersepadu diakui sebagai amat penting untuk menangani penyisihan ini demi kemajuan dan pembangunan
berterusan negara ini;
Maka antara Strategi PSM adalah
1. Mendefinasasi semula 153 dan membuat gabungan dengan kumpulan macam SABM, Haris Ibrahim dan Imtiaz untuk melawan diskrminasi dengan cara ia dapat menyatukan rakyat dan bukan memecah belahkan rakyat
2. Menentang polisi diskriminasi dan mengusulkan bantuan harus diberikan mengikut keperluan.
Selain itu PSM juga berpendirian isu kemiskinan luar Bandar termasuk majority Kaum Melayu harus ditangani dan ini merupakan satu kelemahan parti pembangkang yang gagal member pencerahan polisi mereka untuk membantu kumpulan ini termasuk masyarakat Melayu di Felda dan Felcra.
PSM juga berpendirian kita harus memperbaiki dan mereformasi bantuan Kerajaan BN untuk kumpulan ini dan bukan mengambil posisi membangkang 100%. Baru-baru ini juga PSM sudah membentuk Biro Baru Jawatankuasa Pantai Timur dimana PSM telah memasuki kawasan-kawasan sasaran baru seperti kawasan petani, pesawah padi dan nelayan.
Kami juga telah mengadakan dialog dengan Parti pembangkang lain termasuk AMANAH mengenai pendekatan ini dimana ia amat penting untuk memenangi hati rakyat miskin dan bependapatan rendah. Malah bagi kami, kerja-kerja ini lebih penting dan bermakna daripada membuat kerja-kerja seperti Deklarsi Rakyat dan menjunjung bekas dictator Tun Mahatir sebagai wira.
Dalam isu yang dibawa oleh Sahabat Rakyat mengenai hegemoni Islam, kami berpendirian ia tidak boleh diketepikan dan kita kena berdepan dengan politik Islam. Dalam konteks yang sama PSM telah menerbitkan dokumen dan buku mengenai Islam dan Sosialisma untuk memberikan satu interpretasi progresif dan luas. Selain itu beberapa seri dialog juga telah diusulkan oleh Ahli Parlimen PSM mengenai isu pertukaran agama termasuk Private members Bill. Mengenai isu RUU 355, kami berpendirian satu dialog yang sihat dan terbuka harus diadakan dan bukan dengan cara sekarang dimana rakyat dipecahkan kerana sentiment perkauman.
7. Kesimpulan
4 rumusan kertas ini adalah
- Kita menyokong Gabungan Luas (broad coalition) berlandaskan satu program minima yang kongkrit
- Barisan Bersatu (United front) harus menangani isu pokok seperti Hudud dan lain lain dan tidak ambil langkah mudah untuk bincang isu ini kemudian hari. Perlu capai consensus dan bukan setuju untuk tidak setuju “agree to disagree”
- Persoalan kemiskinan kaum melayu dan Politik Islam harus ditangani dan tidak berhujah meritokrasi secara militan.
- Satu gerakan berlandaskan kelas dan pelbagai kaum harus dibentuk untuk melawan gerakan-gerakan perkauman dan sayap kanan.
Rakyat yang merana kerana krisis ekonomi berpanjangan dan sistem neoliberal yang mencengkam, sudahpun bosan dengan politik dari atas. Mereka hanya akan terlibat semula secara aktif dalam politik jika mereka menjadi sebahagian daripada perubahan dan bukan pemerhati dari luar. Kita harus memikirkan satu gerakan politik baru yang lebih demokratik dari bawah jika kita mahu membawa perubahan keseluruhan.
0 comments:
Post a Comment