Tuesday, 11 March 2014

Menyokong Wan Azizah Bertanding di PRK Kajang; Mengharap Pakatan Rakyat Menerima Tuntutan Rakyat

Kenyataan Akhbar Sahabat Rakyat Working Committee pada 11hb Mac
Menyokong Wan Azizah Bertanding di PRK Kajang
Mengharap Pakatan Rakyat Menerima Tuntutan Rakyat

支持旺阿兹莎出征加影补选; 期望民联接纳民间所提诉求


Kami, Sahabat Rakyat Working Committee, mengeluarkan kenyataan seperti dibawah selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan (pada 9hb Mac) Presidennya Wan Azizah Ismail akan menggantikan Anwar Ibrahim sebagai calon baru untuk pilihan raya kecil (PRK) Kajang ekoran keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar Ibrahim kerana pertuduhan meliwat.

1. Pada 7hb Mac (Jumaat lepas), iaitu satu hari bekerja sebelum tarikh penamaan calon PRK Kajang pada 11hb Mac (Selasa), Mahkamah Rayuan tergesa-gesa menerima rayuan pendakwaan dan menetapkan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar yang telah bersedia untuk bertanding dalam PRK Kajang.

Perkembangan ini mendedahkan klik UMNO-BN, demi melindungan pemerintahan hegemoninya, sekali lagi menganiayai Anwar Ibrahim dengan kasar melalui badan kehakiman dan menafikan hak Anwar untuk menyertai pilihan raya. Rakyat turut menyaksikan bagaimana klik pemerintah UMNO-BN menggunakan jentera kerajaan untuk menindas pemimpin-pemimpin yang mampu mengancam kedudukan pemerintahan mereka dan melakukan sabotaj ke atas gerakan massa yang mampu menggugat hegemoni pemerintahan mereka.

Rakyat semua bangsa, terutamanya pengundi Kajang, harus membuangkan segala khayalan terhadap klik pemerintah yang telah menipu rakyat sekian lama, dan dengan tegasnya mengenakan tamparan hebat kepada klik pemerintah UMNO-BN tanpa was-was dalam PRK Kajang kali ini serta memberi pengajaran pahit kepada calon MCA Chew Mei Fun.

2. Kami menghargai dan menyokong keputusan terbaru PKR meletakkan Presiden Parti Wan Azizah Ismail sebagai calon PRK Kajang dan melancarkan aksi boikot sehari sidang Parlimen. Kami percaya bahawa keputusan terbaru ini mempunyai dua maksud yang penting:

(1) Ini mencerminkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mencapai kata sepakat dalam memilih calon yang paling sesuai untuk menggantikan Anwar Ibrahim dalam PRK Kajang;
(2) Ia juga menggambarkan tiga parti Pakatan Rakyat (PR) akan bersama-sama mematuhi kehendak dan aspirasi rakyat, bersatu di luar mahupun di dalam Parlimen, dalam perjuangan terhadap pemerintahan hegemoni UMNO-BN dan segala jenis dasar-dasar perkaumannya.

Kami berpendapat bahawa selagi kemungkinan perjuangan berparlimen masih wujud, maka perjuangan memperbaiki kehidupan rakyat dan menuntut pembaharuan politik tidak boleh mudah tertipu dan jatuh ke dalam perangkap musuh rakyat yang beria-ia dengan idea "tak mahu pilihan raya" atau "tinggalkan pilihan raya". Oleh itu, kami bersetuju dengan dan menyokong keputusan terbaru pemimpin PR ini yang bersesuaian dengan kepentingan dan aspirasi Rakyat.

3. Memandangkan pemimpin tiga parti PR masih meneruskan garis perjuangan asal Anwar Ibrahim, iaitu "membendung serangan perkauman dan keagamaan daripada BN" dan "mengukuhkan Selangor supaya menjadi batu loncatan untuk menuju ke Putrajaya, kami dengan ikhlas berharap agar para pemimpin PR, terutamanya Wan Azizah yang memikul misi pentinguntuk bertanding dalam PRK Kajang ini dapat mendengar suara rakyat tertindas semua bangsa semua lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang paling tertindas dan paling didiskriminasi dengan jujur dan ikhlas. Di samping itu, kami juga berharap mereka akan menerima dan melaksanakan secara berperingkat tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh pertubuhan-pertubuhan masyarakat, termasuk “Tuntutan-tuntutan PRK Kajang 2014” yang dimulakan oleh Sahabat Rakyat Working Committee dan diendos bersama oleh Pemuda Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Bahagian Belia Dewan Perhimpunan China Melaka dan 15 individu demokrat.

Sekiranya para pemimpin PR dapat memperjuangkan pembaharuan demokratik berdasarkan aspirasi dan kepentingan rakyat semua bangsa, PR sudah tentu akan mendapat sokongan daripada rakyat. Dengan itu, mereka bukan sahaja dapat mencapai kemenangan besar dalam PRK Kajang, malah akan mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya kecil lain yang mungkin berlaku mahupun pilihan raya umum dan dalam perjuangan pelbagai bidang kelak. Sebaliknya, PR tetap tidak dapat elak daripada musibah ditolak oleh rakyat.

0 comments:

通告 Notification




Malaysia Time (GMT+8)