Kenyataan Akhbar 11 November 2008
Kami merupakan satu jawatankuasa kerja yang menganjurkan kempen “Rakyat Pengayuh Perubahan” JERIT dalam kawasan negeri Johor. Kempen Rakyat Pengayuh Perubahan adalah satu inisiatif oleh Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) iaitu satu jaringan yang terdiri daripada gabungan pekerja kilang, masyarakat ladang, petani, peneroka bandar dan anak muda dan pelajar. Kempen ini dianjurkan bersama dan turut disertai oleh sesetengah kumpulan-kumpulan masyarakat, kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, NGO, kesatuan sekerja dan parti-parti Politik.
Kempen ini akan dilancarkan pada 3 Disember 2008 di Kedah, Johor dan Kelantan, dan seterusnya berbasikal dari negeri-negeri ini menuju ke Kuala Lumpur. Kami akan melalui pekan-pekan dan bandar-bandar utama dengan membawa mesej tentang isu-isu semasa yang memberi tekanan kepada kehidupan rakyat. Antaranya adalah isu kenaikan harga minyak, penggunaan akta zalim seperti ISA ke atas rakyat, isu global seperti krisis makanan yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia. Kami akan mengadakan pelbagai aktiviti seperti ceramah, teater jalanan dan persembahan di tempat persinggahan dengan penglibatan masyarakat setempat. Pengayuhan di peringkat Johor bermula pada 6 Disember 2008 dari Skudai menghala ke utara.
Secara amnya, perhatian rakyat Malaysia kini dialihkan dengan pelbagai isu lain yang berlaku tanpa memberi penekanan isu yang memberi kesan kepada rakyat. Maka, kempen berbasikal Nasional ini adalah satu cara untuk fokuskan pandangan rakyat terhadap masalah sebenar yang dihadapi dan bagaimana ianya boleh diatasi. Masalah rakyat hanya dapat diatasi dengan perubahan yang berdasarkan tuntutan rakyat. Kempen ini akan diikuti dengan menghantar memorandum ke parlimen pada 18 Dis 2008 untuk tuntut perubahan.
Tuntutan kempen “Rakyat Pengayuh Perubahan” JERIT dalam peringkat nasional adalah seperti berikut:
a) Mansuhkan ISA
b) Kawal Harga Barangan
c) Gubal Akta Gaji Minima
d) Perumahan Selesa untuk Rakyat
e) Kembalikan Pilihanraya Majlis Tempatan
f) Hentikan Penswastaan Perkhidmatan Asas
Manakala dalam peringkat negeri Johor, kami akan memberi tumpuan dalam tiga perkara berikut:
a) Mansuhkan ISA
b) Hak berpersatuan dan pengharaman Hindraf
c) Kenaikan harga barangan dan kos sara hidup
Di negeri Johor, kempen kami akan bermula dari Johor Bahru, melalui Skudai, Simpang Renggam, Kluang, Labis, dan Segamat sebelum sampai ke Negeri Sembilan. Kami mengambil kesempatan di sini untuk menyeru supaya sesiapa warga Johor yang berminat untuk:
• sertai Jawatankuasa Kempen Basikal dalam Peringkat Nasional / Tempatan
• menjadi pengayuh basikal dalam negeri Johor atau dari Johor ke Kuala Lumpur
• memberi sumbangan dalam bentuk wang atau barang lain yang diperlukan seperti basikal, makanan dan minuman dll
• menyeru pertubuhan/parti yang disertai untuk meluluskan resolusi menyokong tuntutan JERIT
Jawatankuasa kerja kami terdiri daripada sebilangan NGO dan parti politik yang bergiat aktif di negeri Johor. Senarai ahli jawatankuasa kerja ini termasuk:
• Persahabatan Semparuthi Johor
• National Union of Plantation Workers (NUPW) Cawangan Johor
• A// Liberty Collective
• Kelab Penyokong PAS
• SUARAM Cawangan Johor Bahru
• Friends of SUARAM Johor
• Parti Sosialis Malaysia (Johor)
• Perjuangan Masyarakat Setinggan
• Angkatan Muda Keadilan Simpang Renggam
• Persatuan Tamil Neri Cawangan Johor
• Persatuan Telugu Johor
• MTUC Johor
• PAS Kawasan Johor Bahru
• Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
• Makka Sakti Johor
• Aktivis Bebas
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :-
Saudara Zaaba : 019 – 7320177
Saudara Sidiqin : 013 – 7056243
Saudara Rajandran : 016 – 7521848
Saudara Nyam : 016 – 7782707