Thursday, 16 July 2015

Persediaan majlis ulang tahun ke-14 Sahabat Rakyat Tema: Fasa Baru Reformasi Demokratik di Malaysia

Persediaan majlis ulang tahun ke-14 Sahabat Rakyat
Tema: Fasa Baru Reformasi Demokratik di Malaysia
Tarikh: 6 Sep 2015 (Ahad)    Program: Forum dan jamuan makan tengah hari

Mukadimah

(Kenyataan versi Bahasa Melayu ini diterjemah daripada teks asal dalam Bahasa Mandarin yang dikeluarkan oleh Sahabat Rakyat pada 13 Julai 2015. Sekiranya terdapat perbezaan, versi Bahasa Mandarin adalah muktamad.)


Pada Pertengahan tahun 1960-an, generasi terdahulu dalam gerakan demokrasi di Asia Tenggara menyifatkan “Malaysia” sebagai hasil “kolonialisme baru”. Fakta sejarah selama setengah abad membuktikan bahawa: Malaysia merupakan negara dimana penjajah British mengaturkan wakilnya untuk mewarisi pemerintahan jajahan dan melaksanakan penindasan bangsa. UMNO, selama ini mewakili kelas memerintah dalam bangsa Melayu (pokoknya kelas bangsawan feudal Melayu, kelas kapitalis birokrasi dan kelas kapitalis besar) untuk melaksanakan pemerintahan dan penindasan ke atas kelas kapitalis kecil dan kelas pekerja dalam bangsanya sendiri (Melayu), dan melaksanakan pemerintahan dan penindasan ke atas semua kelas kapitaslis kecil/sederhana dan kelas pekerja semua bangsa lain yang tertindas dalam negara ini (terutamanya Cina dan India di semenanjung, Dayak-Iban dan Kadazan-Dusun di Sarawak dan Sabah). Oleh kerana semua orang Melayu menganut agama Islam seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Sultan setiap negeri dan YDP Agong merupakan ketua-ketua Agama Islam, untuk menguatkan dan mengukuhkan kedudukan memerintah selepas negara mencapai kemerdekaan, klik pemerintah Melayu yang diwakili oleh UMNO, bertambah-tambah melaksanakan asimilasi paksaan dan penganiayaan kediktatoran melalui memelayukan negara (tekan kepada kedudukan orang Melayu dan ketuanan Melayu) dan mengislamkan negara. Oleh itu, klik pemerintahan hegemoni Melayu yang diwakili oleh UMNO sudah barang tentu menjadi sasaran utama perjuangan reformasi demokrasi rakyat semua bangsa di Malaysia.

Malaysia: Dari Pemelayuan Kepada Pengislaman Negara

Fakta sejarah Malaysia turut menunjukkan bahawa Mahathir Mohamad merupakan pengasas dan pendorong penting dalam “mengislamkan Malaysia”. Kerajaan UMNO-BN di bawah kuasa Mahathir telah giat melaksanakan siri dasar pengislaman yang penting pada awal 1980-an hingga tahun 1990-an. Antaranya, yang paling utama ialah dari segi perundangan iaitu dengan memadankan sistem perundangan negara supaya lebih serasi dengan konsep undang-undang Syariah; kedua, dari segi ekonomi, menukarkan sistem ekonomi negara secara beransur-ansur kepada sistem ekonomi Islam; ketiga, dari segi pendidikan, mewujudkan Universiti Islam, Maktab Perguruan, institusi penyelidikan, pusat-pusat latihan dan lain-lain institut; keempat, dari segi sosio-budaya, mengharamkan sama sekali propaganda agama bukan Islam di media massa, membina masjid dalam semua penempatan perumahan baru secara meluas, menyekat pembinaan bangunan keagamaan bukan Islam dan sebagainya. Justeru, Mahathir juga telah mengumumkan bahawa Malaysia adalah Negara Islam pada 29 September 2001 dalam Perhimpunan Agung Parti Gerakan, sekaligus menafikan pendirian seumur hidup Bapa Kemerdekaan Tanah Air dan bekas pengerusi UMNO Tunku Abdul Raman dan menyangkal pemahaman bersama sekian lama rakyat semua bangsa dan pemimpin parti-parti politik dimana Malaysia merupakan Negara sekular bukannya Negara Islam.

Pemerintahan Hegemoni UMNO Menghebatkan Pelbagai Pertempuran Percanggahan

Hasil daripada perlaksanaan menyeluruh dasar pengislaman negara yang dimulakan oleh Mahathir dan diteruskan oleh penggantinya Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, akibatnya: (1) UMNO menjadi klik hegemoni yang kian bongkak dan merajalela, dan melaksanakan pemerintahan hegemoni ke atas seluruh rakyat dengan bersewenang-wenang; (2) UMNO menjadi syarikat kepunyaan parti-kerajaan tunggal di Malaysia yang berkelakuan sewenang-wenang tanpa halangan. Tirani dalam kaum, politik wang, rasuah dan salahguna kuasa semakin berleluasa; (3) mewujudkan kelas kapitalis Melayu baru yang saling bergantung dan bersubahat dengan elit politik UMNO untuk melaksanakan penindasan dan eksploitasi kejam ke atas rakyat semua bangsa (termasuk kelas kapitalis sederhana/kecil dan kelas pekerja bangsa Melayu). Pendek kata, pelaksanaan dasar pengislaman negara bukan sahaja menajamkan percanggahan antara klik pemerintah dengan rakyat semua bangsa, ia juga menajamkan percanggahan antara puak-puak dalam klik pemerintah UMNO. Pada tahun 2007, masyarakat India (Tamil) yang sekian lama mengalami penindasan yang amat teruk akhirnya melancarkan demonstrasi besar-besaran untuk meluahkan perasaan marah dan aspirasi mereka dengan berani. Aksi ini memberi inspirasi kepada rakyat semua bangsa untuk bersatu membawa ribut pembaharuan dalam pilihan raya umum 2008 yang memberi hentaman kuat kepada klik hegemoni UMNO (BN hilang kuasa di Negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan, dan juga hilang penguasaan dua pertiga kerusi di Parlimen buat kali pertama), dan menyebabkan klik pemerintah berpecah-belah dan saling bertengkar kerana mengalami kegagalan. Saiz peserta “demonstrasi 709” pada tahun 2011 bertambah daripada 50 ribu kepada 200 ribu dalam “demonstrasi 428” pada tahun 2012 memberikan impian indah tidak realistik “Ubah kerajaan” kepada ramai pemimpin dan anggota parti politik/pertubuhan demokratik serta rakyat jelata dalam PRU 2013, tetapi terbukti impian naïf itu tidak mampu tercapai.

Selepas Impian “PRU13 Ubah Kerajaan” Berkecai

Selepas PRU13, keadaan politik mempunyai dua ciri khas: (a) dalam klik pemerintah, puak utama dalam UMNO terlibat dalam persengketaan sengit bersifat hidup mati yang memperlihatkan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad membidas berhabis-habisan ketidakcekapan pentadbiran Najib dengan memberi tumpuan khas kepada hutang lebih daripada 40 billion ringgit yang ditanggung oleh syarikat 1 Malaysia Development Bhd (1MDB) yang ditubuhkan oleh Najib sebagai Perdana Menteri; Selepas berita 3 Julai (Jumaat) Wall Street Journal (WSJ) yang melaporkan hampir AS$700 juta (bersamaan dengan 2.6 bilion ringgit) wang 1MDB dideposit ke dalam akaun bank peribadi yang disyaki kepunyaan Najib, Mahathir mendesak Najib untuk menyangkal dakwaan tersebut dengan mendedahkan akaun peribadinya untuk disiasat. Nampaknya Mahathir, yang sudah bersara tetapi masih sangat aktif, berazam kuat untuk menjatuhkan Najib dalam jangka masa pendek bagi menaikan pengikut puaknya sendiri untuk mengawal semula kuasa kerajaan. Tidak dapat dinafikan, percanggahan dalaman UMNO ternyata tiada tolak ansur lagi; (b) dalam kem Pakatan Rakyat (PR) pula, selepas impian pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan PKR) untuk mengambil alih kuasa pemerintahan melalui PRU13 tidak kesampaian, tiga parti ini berpecah-belah kerana perselisihan ketara dari segi pendirian politik, idea dan kepercayaan serta golongan yang mereka khidmat. Keadaan ini dibuktikan dengan wujudnya "Kajang Move", penggantian Menteri Besar Selangor, PAS berkeras hati melaksanakan undang-undang syariah di Kelantan walaupun dibantah oleh sekutunya, Muktamar PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP, DAP putus hubungan dengan PAS dan mengisytiharkan bahawa “PR sudah tidak wujud lagi”. Terbukti perpecahan kem PR juga adalah fakta yang tidak dapat dinafikan. Pergelutan dalaman antara klik pemerintah serta pembelahan dan penstrukturan semula Pakatan Rakyat merupakan kewujudan objektif yang tidak akan berubah mengikut kemahuan sesiapa pun, ia mesti akan terus berkembang mengikut hukum objektif.

Parti politik, pertubuhan dan individu demokratik negara kita pernah menaruh harapan tinggi terhadap gerakan “reformasi” dan PKR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim, juga menaruh harapan tinggi terhadap kewujudan pemimpin dan pandangan yang progresif dalam PAS, tetapi kurang mengenali ciri khas kedua-dua parti ini yang berasaskan masyarakat Melayu dan mengimbau melalui Islam. Sesungguhnya, Anwar bersama dengan pemimpin-pemimpin PKR lain yang memisah dari UMNO dan pemimpin PAS yang berfikiran progresif tidak pernah mengutarakan pendirian dan sikap yang jelas apabila Mahathir mengistiharkan Malaysia sebagai Negara Islam, dan terhadap pengislaman Negara secara menyeluruh yang dilaksanakan oleh Klik hegemoni UMNO. Keadaan semasa perkembangan politik masyarakat Melayu nampaknya semakin mundur. Ini boleh dibuktikan dengan: apabila Anwar disabit salah dan dipenjara selama lima tahun, gelombang “reformasi” seperti tahun 1998 gagal dicetuskan selain terdapat beberapa aksi kecil-kecilan oleh penyokong setia Anwar dan Melayu yang radikal; juga terdapat pemimpin yang berasal dari UMNO sibuk dengan perebutan kuasa dan menyingkirkan orang yang berbeza pendapat; kumpulan progresif dalam PAS mengalami kegagalan yang menghancurkan manakala puak konservatif yang diketuai oleh Hadi Awang berjaya menguasai penuh AJK PAS pusat dalam pilihan PAS Jun 2015. Berdasarkan situasi ini, pelaksanaan Undang-undang Syariah di Kelantan oleh PAS dibawah pimpinan Hadi Awang akan mendapat sokongan kuat daripada UMNO, manakala pengislaman Negara yang terus dilaksanakan oleh UMNO akan mendapat sokongan kuat daripada PAS sudah boleh diagak. Lebih buruk lagi, apabila keadaan matang nanti, pemimpin PKR yang terpisah dari UMNO dan puak ulama PAS akan menerima pengampunan yang ditawarkan oleh klik memerintah UMNO dan masuk ke UMNO. Mungkin juga PKR dan PAS, dibawah penguasaan pemimpin konservatif parti masing-masing, akan menubuhkan pakatan Islam atau membentuk kerajaan campuran Islam negeri mahupun pusat dengan UMNO. Jika ini berlaku, masa depan masyarakat bukan Melayu bukan Islam di Malaysia akan menjadi lebih teruk dan melana.

Rakyat semua bangsa pelbagai lapisan faham bahawa terdapat banyak perbezaan dari segi polisi antara tiga komponen parti PR. Antaranya yang paling ketara adalah sikap terhadap pelaksanaan pengislaman negara oleh UMNO dan pelaksanaan Undang-undang Syariah di Kelantan oleh PAS, serta isu menukarkan Malaysia daripada negara sekular ke negara Islam. Dalam hal-hal ini, hanya DAP yang telah mengambil pendirian yang memihak kepada kepentingan dan aspirasi bangsa tertindas dalam Negara iaitu membantah dengan jelas dan tegas. Mendiang pengerusi DAP Karpal Singh dalam pilihanraya tahun 1990 pernah berkata, "Mahu bentuk negara Islam? Langkah mayat saya dulu." Kata-kata yang gagah dan berani ini mungkin membuat sejumlah muslim yang menyokong negara Islam tidak selesa, tetapi ia akan mengharukan dan menyentuh hati orang yang memelihara kebebasan beragama. Keunggulan pencapaian dalam dua pilihan raya yang lepas dan kedudukan politik yang semakin berkembang maju oleh DAP tidak boleh dipisahkan dengan usaha dan keberanian sekian lama mereka dalam menolak pembentukan negara Islam, menolak pengislaman negara, membantah rasuah dan salahguna kuasa serta bersuara bagi pihak kelas kapitalis nasional sederhana/kecil yang tumpu di bandar dan kelas pekerja yang meluas.

Bagaimana Kita Mengenal Fasa Baru Reformasi Demokratik Di Malaysia

Khabar angin bahawa pemimpin progresif PAS yang kalah teruk dalam pemilihan parti akan menubuhkan parti baru telah disahkan oleh laporan Malaysiakini pada 13 Julai. Laporan tersebut mendedahkan: -
• Pertama, Mohamad Sabu mengumumkan penubuhan "Gerakan Harapan Baru" untuk mengasaskan penubuhan satu parti politik baru berteraskan Islam.
• Kedua, Mohamad Sabu berkata bahawa "Gerakan Harapan Baru" bukan sebuah NGO sebaliknya hanya sebagai wadah kepada kumpulan progresif PAS memperjuangkan penubuhan parti baru.
• Ketiga, Mohamad Sabu berkata bahawa "Gerakan Harapan Baru" berasaskan Islam, akan mendukung Islam yang syumul dengan pendekatan yang inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat, mendukung nilai-nilai demokratik dan menghormati kedudukan semua kaum, agama dan budaya.

Sesetengah parti politik, pertubuhan dan individu demokratik mungkin menaruh harapan kepada pemimpin-pemimpin politik Melayu dalam PAS yang saling bersaing dengan puak ulama yang dipimpin oleh Hadi Awang. Bagaimanapun, pemimpin politik Melayu yang berfikiran terbuka Zaid Ibrahim telah berkata dalam blognya pada 27 Jun, bahawa parti baru ini mesti memberi penampilan yang lain daripada PAS, dan membawa masuk mentaliti baru yang mepersembahkan nilai murah hati dan bertoleransi Islam dalam mengendalikan hal ehwal awam. Oleh itu, adakah parti baru yang bakal ditubuhkan oleh puak progresif PAS ini mempunyai perbezaan dengan PAS asal dan apakah perbezaan asas dari segi sifat dan perwatakannya dengan PAS asal? Persoalan sama ada parti baru ini akan benar-benar menghormati dan menerima aspirasi bersama dan tuntutan tegas “membantah pengislaman negara” rakyat tertindas semua bangsa (terutamanya masyarakat bukan Islam), dan sama ada parti baru akan saling bekerjasama dengan parti politik, pertubuhan dan individu demokratik lain yang berpegang teguh dengan pendirian jelas tegas “menolak pengislaman negara, kuburkan pemerintahan hegemoni UMNO” sudah barang tentu mendapat tumpuan khas daripada pelbagai parti politik, pertubuhan dan individu demokratik. Adakah hala tuju masa depan puak progresif PAS akan membawa manfaat kepada reformasi demokrasi negara kita? Parti politik, pertubuhan dan individu demokratik serta masyarakat semua kaum harus menaruh perhatian saksama dan pertimbangan mendalam supaya dapat membuat satu keputusan yang tepat tentang bagaimana mengenal mereka dengan tepat dan dengan itu bersikap tepat terhadap mereka.

Dari tahun 1950-an hingga akhir tahun 1990-an, gerakan pendidikan Bahasa Cina di negara kita merupakan teras kepada masyarakat Cina dalam menentang pemerintahan hegemoni perkauman UMNO. "Dong Jiao Zong", yang terbentuk daripada gabungan "Dong Zong" dan "Jiao Zong" adalah pertubuhan pimpinan yang paling penting. Tetapi, kekuatan ini kini menghadapi krisis berkecai sepenuhnya akibat daripada sifat dan tingkah laku “menyombongkan diri”, “menyingkirkan orang yang berbeza pendapat”, “gila kuasa dan jawatan” dan “kasar dan bengis sampai akhir” yang diamalkan oleh Yap Sin Tian dan Chow Siew Hon yang memimpin Dong Zong sejak tahun 2005. Sebagai pertubuhan pimpinan dalam pergerakan pendidikan Bahasa Cina, jawatankuasa pusat Dong Zong yang dikawal oleh Yap Sin Tian dan Chow Siew Hon tidak mengendahkan kerosakan teruk yang dialami oleh rakyat semua bangsa (selain bangsa cina) akibat dasar asimilasi dan penindasan bangsa yang berteraskan "pengislaman Negara" yang dilaksanakan oleh klik pemerintah UMNO-BN; Pemimpin-pemimpin utama yang berkuasa mencetuskan satu demi satu persengketaan dalaman yang menghauskan sejumlah besar sumber dan tenaga masyarakat Cina demi kekal dalam kuasa, atau lebih tepat lagi, untuk menjawat jawatan pimpinan tertinggi dalam organisasi pendidikan Bahasa Cina supaya dapat mengambil kesempatan daripada kedudukan yang dihormati ramai ini untuk memperoleh peluang perniagaan dan mengaut keuntungan. Sesungguhnya, ini ialah perihal yang amat "menyedihkan kawan dan mengembirakan lawan". Kini, persoalan sama ada pergerakan pendidikan Bahasa Cina boleh bangkit semula dan kembali ke haluan yang dipimpin oleh mendiang Lim Lian Geok untuk "tegas menentang dasar asimilasi bangsa dan memelihara kedudukan sah pendidikan Bahasa Cina", pada masa yang sama bergabung dalam arus perkasa perjuangan semua bangsa menentang pengislaman negara dan menguburkan pemerintahan hegemoni UMNO merupakan isu yang harus diperhatikan oleh kalangan orang yang cinta kepada pendidikan bahasa ibunda dan budaya bangsa. Ia juga harus menjadi isu pemerhatian parti politik, pertubuhan dan individu demokratik seluruh Negara.

Pada tahun 2007, masyarakat India (Tamil) di Semenanjung Malaysia telah melancarkan satu demonstrasi besar di Kuala Lumpur. Demonstrasi ini melambangkan satu kebangkitan masyarakat miskin yang sekian lama terpinggir ini. Seperti bangsa lain, mereka juga membentuk sebuah pertubuhan representatif yang bernama "Hindu Rights Action Force" (Hindraf) dan mengemukakan tuntutan konkrit mereka yang menunjukkan semangat "menentang fahaman perkauman Melayu" dan "menentang pengislaman Negara". Tuntutan ini, walau bagaimanapun, telah dilengahkan oleh pemimpin-pemimpin PR secara sengaja atau tidak sengaja. Walaupun pemimpin PR mempunyai sebab tertentu untuk berbuat demikian, keadaan ini tetap "menyedihkan kawan dan mengembirakan lawan". Seperti aktiviti sabotaj dan pemisahan yang dilakukan dalam pergerakan pendidikan Bahasa Cina, klik pemerintah hegemoni UMNO pasti tidak akan meloloskan masyarakat India sebagai antara kekuatan bangsa tertindas dengan menawarkan pengampunan kepada para oportunis dalam masyarakat India untuk memecahkan perpaduan masyarakat India. Oleh itu, dalam keadaan dimana gerakan reformasi demokrasi negara kita mengalami pembelahan dan penstrukturan semula, kedudukan Hindraf dan tuntutan konkrit seluruh masyarakat India yang dikemukakan oleh Hindraf perlu mendapat pemerhatian dan layanan yang sepatutnya daripada semua parti politik, pertubuhan dan individu demokratik supaya Hindraf dan masyarakat India yang terpinggir boleh segera bergabung dalam arus perkasa perjuangan semua bangsa menentang pengislaman Negara dan menguburkan pemerintahan hegemoni UMNO.

Disamping itu, rakyat dan pertubuhan sosial di Sabah dan Sarawak sentiasa memandang klik pemerintah hegemoni UMNO sebagai "pemerintah kolonialisme baru". Oleh kerana tuntutan tentang kebebasan beragama oleh rakyat Sabah dan Sarawak sebelum menyertai gagasan Malaysia telah jelas tercatat dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Perjanjian Malaysia 1963, juga kerana telah mengalami penindasan dan pemerasan yang lebih mendalam oleh klik pemerintah hegemoni UMNO, keazaman dan keberanian rakyat Sabah dan Sarawak yang majoritinya terdiri daripada Cina, Iban-Dayak dan Kadazan-Dusun, kebanyakannya bukan Islam, dalam melawan pemerintahan hegemoni UMNO dan pengislaman Negara sedikit pun tidak kurang daripada bangsa tertindas dan kelas tertindas di Semenanjung Malaysia. Pada bulan April tahun ini, 33 buah pertubuhan sosial Sabah dan Sarawak mengeluarkan kenyataan bersama untuk menyatakan dengan jelas pendirian mereka, iaitu "Merunding semula Perlembagaan Persekutuan jika Kelantan bertegas mahu Undang-undang Jenayah Syariah". Ini menunjukkan bahawa perjuangan melawan pemerintahan hegemoni UMNO dan pengislaman Negara oleh rakyat Sabah dan Sarawak perlu berganding bahu dengan lebih erat lagi dengan perjuangan melawan pemerintahan hegemoni UMNO dan pengislaman Negara oleh rakyat semenanjung supaya dapat menguburkan pemerintahan hegemoni UMNO secepat mungkin.

Forum Dan Jamuan Makan Tengah Hari

Oleh yang demikian, Sahabat Rakyat memutuskan untuk menganjurkan satu forum bertema "Fasa baru reformasi demokratik di Malaysia" sempena majlis ulang tahun ke-14 Sahabat Rakyat pada tengah hari 6 September 2015 (Ahad) bertempat di Kulai, Johor. Majlis menjemput beberapa tokoh yang mempunyai pandangan yang tajam dalam pergerakan reformasi demokrasi untuk menyampaikan pandangan bernilai mereka secara terbuka bagi menyambut fasa baru pergerakan reformasi demokrasi Negara kita. Kami berharap forum ini bertindak sebagai pemangkin bagi mencetuskan lebih banyak idea yang bernas berkenaan tema ini. Sesi bertukar pandangan dan jamuan makan tengah hari akan disusuri selepas forum. Maklumat lanjut akan diumumkan kelak.

0 comments:

通告 Notification




Malaysia Time (GMT+8)