Sunday, 4 May 2014

Kalimah Allah dan Hujahan [Kemaskini Nota Editor dan pautan pada 19hb Mei]

Kalimah Allah dan Hujahan

~ Dr. Mujahid Yusof Rawa ~

(Kemaskini Nota Editor dan pautan pada 1am, 19 Mei 2014)

阿拉字眼及其论证

[Nota Editor] Makalah ini merupakan teks penuh ucapan wakil rasmi yang dilantik oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dr. Mujahid Yusof Rawa yang turut merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pusat, dalam Forum "Krisis perkataan Allah • Hak berperlembagaan • Kebebasan beragama" anjuran bersama Sahabat Rakyat Working Committee dan Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Johor pada 4hb Mei 2014 di Auditorium (Tingkat 5) JOTIC, Johor Bahru. 

Oleh kerana makalah ini hanya diterima oleh Sekreteriat Sahabat Rakyat Working Commitee apabila forum bermula, maka makalah ini tidak disediakan dalam booklet yang diedarkan semasa forum. Berikut adalah teks asal penuh, penterjemahan dalam bahasa Cina akan dipaparkan kemudian. 

Maklumat yang diperolehi daripada laman web menunjukkan bahawa makalah ini telah disiarkan di blog pengarang (http://drmujahid.com/blog/kalimah-allah-episod-penggulungan-hujah/) dan The Malaysian Insider (http://www.themalaysianinsider.com/opinion/mujahid-yusof-rawa/article/kalimah-allah-episod-penggulungan-hujah) pada bulan Oktober 2013.



1. PREMIS TEOLOGI

Dari sudut teologi ataupun disiplin kajian tentang Ketuhanan/Aqaid maka kalimah Allah adalah perdebatan antara konsep ketuhanan yang dipakai oleh penganut masing-masing. Secara asasnya perdebatan tentang ketuhanan dalam teologi Kristian ditegakkan atas konsep Triniti. Walaupun berbagai mazhab muncul dalam konflik intra mazhab Kristian tentang lambang nabi Isa atau Jesus sebagai tuhan atau manusia namun mereka mempunyai kepercayaan yang sama tentang Jesus sebagai penebus dosa asal manusia dan bahawa Jesus ada unsur ketuhanan dan Jesus adalah penyelamat. Konsep ketuhanan bagi mereka adalah dalam peribadi Jesus dan mulai tahun 325,  Konstantin seorang Raja Rom telah menganut agama Kristian dalam sidang Nicea telah menyatukan doktrin Kristian di atas triniti maka tersebarlah ajaran Roman Katolik dengan Gereja sebagai institusi yang mengawal doktrin in sampai ke saat ini.

ISLAM MENOLAK KETUHANAN TRINITI

Sejak dari zaman nabi Muhammad s.a.w lagi, iaitu jarak 600 atau 500 tahun dari kedatangan nabi Isa (a.s) kefahaman Triniti telah menular dan al Quran telah menyebut tentang kesesatan triniti yang dikaitkan dengan Allah. dalam surah al Kahfi:

'Dan memberi peringatan kepada mereka yang berkata: ambillah Allah sebagai anak, mereka tiada ilmu (yang benar) dan begitu juga dengan nenek moyang mereka, besarlah kemusnahan apa yang keluar dari mulut mereka, mereka hanya mengatakan kepalsuan ' (Al Kahfi: 4,5)

Islam menegaskan Allah dalam nada ketauhidan mutlak sedangkan nabi Isa (a.s) hanyalah rasul seperti Muhammad (s.a.w). Nabi Muhammad menegaskan Tauhid berasaskan surah Ikhlas iaitu: 'katakanlah Allah itu itu Tunggal...' Umat Islam diajar untuk senantiasa mensucikan Allah daripada apa yang menodaiNya daripada unsur syirik dengan menyatakan: 'Maha suci Allah dari apa yang mereka sekutukan...( Al Hasyr: 23)

RUMUSAN PREMIS TEOLOGI

Dari sudut teologi premis perbahasan tentang 'Allah'adalah atas asas pertembungan antara ketauhidan mutlak melawan syirik dalam segala bentuknya termasuklah triniti yang menjadi doktrin aqidah Kristianiti sehingga kini. Sebagai umat yang meyakini ketauhidan mutlak ini, tidak mungkin mana-mana muslim boleh menerima 'allah'yang dicemari dengan konsep triniti. Dari sudut ini adalah betul untuk kita menerima bahawa Allah samasekali tidak ada kena mengena dengan fahaman triniti dan perkara ini mesti dijelaskan dari sudut pandang sisi Islam.

2. PREMIS PRINSIP HAK

Prinsip yang dimaksudkan ialah asas yang membentuk hubungan Islam dengan bukan Islam di mana prinsip-prinsip ini memantulkan  kerahmatan Islam dan komitmen Islam kepada hak beragama. Prinsip inilah yang telah membawa Islam menjadi peneraju kepada tamadun manusia dan telah mengasaskan fondasi yang kukuh untuk dijadikan rujukan kepada manusia.

LA IKRAHA FID DIN

Prinsip ini mencakupi makna yang luas termasuklah tidak ada hak untuk kita umat Islam menentukan apa yang betul dan tidak dalam urusan ibadat mereka. Implikasi prinsip ini juga menetapkan bahawa bukan Islam mereka ada kebebasan untuk beribadat dan beramal dan faham agama mereka cara mereka serta menjadi tanggungjawab kepimpinan negara menyediakan keperluan mereka. Rasulallah dilarang oleh Allah untuk menggunakan taktik 'paksa' dalam apa jua bentuknya walaupun dengan niat yang baik supaya mereka menerima Islam. Allah menegaskan:

'Jika Tuhanmu berkehendakan, maka berimanlah setiap jiwa kesemuanya di muka bumi ini, apakah engkau wahai Muhammad mahu memaksa manusia sehingga mereka menjadi orang yang beriman?' (Yunus: 99)

KEPELBAGAIAN

Islam memperakui kepelbagaian dan kerencaman kerana itu adalah tanda kebesaran Allah. Allah berkemampuan menjadikan semua manusia berada di atas agama yang sama tetapi Allah mahu menetapkan satu tanda kebesaranNya iaitu manusia berterusan berbeza-beza agama:

' Jika Tuhanmu berkehendakan, niscaya dijadikan kamu semua di atas agama yang satu(sama) , namun hakikatnya mereka akan berterusan berbeza-beza (agama)' (Hud: 119)

Prinsip kepelbagaian ini menjadi teras kepada kekuatan Islam tersebar dengan cara yang terhormat dan jambatan yang menyambungkan antara kepelbagaian dan risalah Islam ialah jambatan kedamaian yang dihulurkan oleh Islam dengan penuh keikhlasan. Islam meraikan kepelbagaian ini dalam segala bentuknya bagi mengelak konflik yang berpotensi tercetus atas nama kaum, bangsa dan agama yang mewarnai hubungan antara kuasa pada waktu itu, lantas mesej Kedamaian atau As Salam yang dipelopori oleh Islam telah menjadikan agama ini sangat dihormati oleh kawan dan lawan.

DIALOG DAN PERDEBATAN SEHAT

Prinsip ini menjadi rahsia Islam dapat diterima oleh berbagai kaum dan manusia kerana asas menerima atau menolak adalah atas kesedaran dan keyakinan melalui dialog dan perdebatan yang sehat. Dialog membuka ruang untuk masing-masing mempertahankan kekuatannya dan dari sini terserlah siapa yang lebih mantap hujahannya lalu memberi ruang kepada semua pihak untuk membuat penilaian. Sebagai agama yang benar, Islam tidak sama-sekali melarikan diri dari berhadapan dengan hujahan agama lain, malah al Quran menggalakkan pendekatan dialog dan debat dengan berhemah dengan penentang-penentangnya.

'Serulah kamu ke jalan Tuhan mu dengan penuh hikmah dan memberi nasehat yang baik, dan debatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik, Sesungguhnya Tuhan mu mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan dia mengetahui siapa di kalangan yang mendapat petunjuk' (an Nahl: 125-126)

'Janganlah kamu berdebat dengan Ahlul Kitab melainkan dengan cara yang baik (berhemah), kecualilah mereka yang menzalimi kamu'
( Al Ankabut: 46)

RUMUSAN PREMIS PRINSIP

Dari keterangan yang diberikan melalui prinsip tiada paksaan, prinsip kepelbagaian dan prinsip dialog jelaslah bahawa di sebalik kesesatan teologi triniti pada hemat perdebatan premis teologi, prinsip besar Islam tidak pernah menghalang apa juga keyakinan agama lain walaupun mereka mengaitkan doktrin mereka dengan perkataan Allah. Prinsip ini lebih besar untuk dipelihara dari kesesatan mereka kerana ruang yang diberikan oleh Islam untuk membetuli salah faham tentang Allah ialah melalui perdebatan sehat dan dialog bukan pendekatan ketetapan melarang kerana itu sudah masuk dalam daerah memaksa yang ditegah oleh prinsip La Ikraha. Kisah Kristian Najran yang mengunjungi Nabi Muhammad s.a.w di Madinah menjadi dalil betapa Rasulallah membela prinsip-prinsip di atas walaupun sudah berdebat dan berdialog dengan Nabi, mereka tetap dengan pendirian mereka dan Nabi membiarkan mereka malah mengirim pulang bersama mereka seorang sahabat untuk meneruskan usaha berdialog dengan Kristian Najran.  Nabi berbuat demikian sebagai ikutan kepada kita bahawa prinsip besar  Rahmatan Lil Alamin mesti dipelihara bukan melalui larangan kepada agama lain tetapi melalui dialog dan terserahlah kepada Allah ketentuan hidayahnya. Inilah kekuatan Islam!

'Bagi Allah itu hujjah yang kukuh, jika dikehendaki maka akan diberi hidayah kepada kamu semua' ( al An'am: 149)

3. PREMIS PERUNDANGAN

Undang-undang diperlukan untuk menyelesaikan konflik antara rakyat dan kerajaan.     Dari sudut perkataan 'Allah' yang menjadi konflik, ketetapan undang-undang diperlukan bagi mendamaikan pihak yang berkonflik. Dalam hal ini ialah pihak Gereja dan Kerajaan dan isunya ialah adakah perkataan Allah boleh digunakan oleh majalah Herald Christian dalam penerbitannya. Ia akan menjadi kes duluan kepada apa sahaja isu yang asasnya ialah apakah kristian boleh menggunakan perkataan Allah atau tidak? Bagaimana jika digunakan dalam injil? Bagaimana jika penganut Kristian menggunakan perkataan Allah dalam perbualan mereka dengan rakan muslim mereka? Bagaimana dalam nyanyian lagu negeri yang ada perkataan Allah dinyayikan oleh penganut Kristian? Bagaimana lambang Allah dalam emblem yang dipakai oleh penganut  Kristian yang memakainya? Jikalau alasan Allah adalah milik eksklusif umat Islam, maka bagaimanakah kes-kes yang disebutkan di atas?

Asas penghujahan ialah berpandukan kepada Artikel 3(1) yang mengatakan Islam adalah agama resmi Persekutuan dan agama lain bebas untuk diamalkan. Artikel 11 yang secara khusus bercakap tentang kebebasan beragama untuk lain daripada Islam dengan kawalan dalam fasal 4. Sebenarnya keputusan Mahkamah Tinggi 31 Dis 2009 telah meletakkan asas perundangan yang cuba memahami kerangka peruntukan di atas dan dengan jelas menunjukkan keterbatasan edaran Herald untuk penganut Kristian sahaja malah melarang edarannya kepada umat Islam. Walaupun Herald boleh diakses melalui portal internet namun persoalannya jika umat Islam membacanya adakah umat Islam akan keliru?

MAHKAMAH RAYUAN

Namun Mahkamah Rayuan 4 tahun kemudian telah menambahkan unsur lain yang lebih meluas dengan membuat andaian teori kekeliruan, keresahan kristianisasi dan asas ketidaksepakatan Katolik pada perkataan Allah. Mahkamah Rayuan telah membawa isu kalimah Allah kepada satu tahap perbahasan yang mendedahkan dirinya kepada perdebatan teori konspirasi dan kebimbangan yang tidak berasas sekaligus tanpa disedari menceroboh premis prinsip Islam dalam melihat hubungan antara agama yang mesti diasaskan atas prinsip kedamaian.

FORMULASI PENDEKATAN

Isu kalimah Allah perlu dilihat secara objektif kerana kerapuhan isu ini berupaya menimbulkan ketegangan hubungan antara agama dan menggadaikan cita-cita negara yang berasaskan kematangan dan objektiviti dalam menyelesaikan konflik sebegini. Kejelasan antara premis-premis yang dikategorikan dalam artikel ini bukan menggambarkan ia bercanggah antara satu sama lain tetapi ia melambangkan inisiatif untuk mencari formula pendekatan kepada masalah secara matang.

Oleh kerana itu, semua pihak perlu menjauhi sentimen dan semua kepimpinan politik harus mencari jalan satu dasar baru perpaduan nasional yang sudah tidak boleh lagi beroperasi atas kebencian dan prejudis tetapi sebagai warganegara yang yakin dengan kerangka yang telah dibina oleh semua pemimpin awal yang berbincang panjang tentang apakah bentuk negara yang kita ingin wariskan kepada generasi akan datang. Cara berfikir dan mengendalikan situasi seperti kalimah Allah seolah-olah kita berada dalam negara yang baru sahaja merdeka sedangkan ada cara lain yang lebih menggambarkan kematangan berfikir pemimpin dan rakyatnya.

Kita juga tidak boleh membiarkan golongan sempit menentukan masadepan negara ini dalam konteks hubungan antara agama, tetapi ia mesti ditentukan oleh kejelasan prinsip dan ketelusan kita menyelesaikan masalah.

MARA KE HADAPAN

Jalan ke hadapan bukan pilihan tetapi satu kemestian untuk mereka yang mahu melihat negara ini melonjak dari tahapnya hari ini. Isu kalimah Allah benar jika umat Islam berhujah atas premis Teologi yang amat bercanggah dengan Tauhid yang diimani oleh umat Islam, tetapi ia salah apabila umat Islam menyatakan Allah hanya khusus untuk umat Islam dalam premis Prinsip kerana tiada perenggan dari Al Quran atau Sunnah yang mengizinkan larangan ini diwajarkan supaya prinsip besar dalam hubungan dengan bukan Islam tidak dicerobohi. Adapun atas premis perundangan, Mahkamah Rayuan pada hemat saya terlepas pandang kerangka negara ini dibina dan dikukuhkan lagi dengan percanggahan ketara prinsip Islam yang mahu membuka ruang berdialog dan bukan peluang untuk melarang dalam konteks hubungan dengan bukan Islam.

'Tidak kami utuskan dikau melainkan untuk membawa Kerahmatan kepada semua' (al Anbiya': 107)

0 comments:

通告 Notification




Malaysia Time (GMT+8)