Deklarasi Penubuhan "Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM" Negeri Johor
9 September 2001
["Suara Rakyat Malaysia" (SUARAM) cawangan Johor Bahru mengumumkan penubuhan rasmi Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM Negeri Johor pada 9 September 2001. Seramai 22 orang ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) penggal pertama telah mengangkat sumpah secara rasmi dan membaca teks penuh Deklarasi berikut. Kesemua AJK bersedia untuk membaktikan diri dalam usaha menggerakmajukan demokrasi dan hak asasi manusia di Malaysia mulai saat ini.]
Gerakan hak asasi manusia yang terhad kepada negara-negara kapitalis utama di Eropah dan Amerika pada abad ke-18 dan ke-19 telah menyebar luas ke negara-negara seluruh dunia terutamanya di negara-negara membangun pada abad ke-20. Sejak diumumkan pada tahun 1948, "Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia" telah menjadi satu panji gerakan hak asasi manusia antarabangsa. Ia menggabungkan gerakan-gerakan hak asasi manusia yang berkepelbagaian dalam satu arus yang kuat. Selama setengah abad yang lepas, sebahagian parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) di negara kita telah mengusahakan berbagai-bagai kerja dan perjuangan menuntut hak asasi manusia dalam bidang masing-masing. Akhirnya pada tahun 1994, lebih daripada 50 NGO yang progresif dan aktif di negara ini akhirnya bersatu menandatangani "Piagam Hak Asasi Manusia Malaysia" dan berjuang bersama dalam mempertahankan dan memajukan hak asasi manusia di Malaysia.
13 Feb 1965 merupakan tarikh yang sukar dilupai bagi generasi progresif lebih tua yang mempertahankan demokrasi dan hak asasi manusia terutamanya bekas anggota Parti Buruh. Ramai di kalangan generasi tersebut masih ingat bahawa kerajaan Parti Perikatan pada masa itu, demi mempertahankan dan mengukuhkan pemerintahannya di Malaysia, bertalu-talu mencabuli hak asasi manusia rakyat, membuat penangkapan dan menindas kekuatan pembangkang. Oleh itu, Barisan Sosialis Rakyat Malaya (dirujuk sebagai " Barisan Sosialis") yang terdiri daripada terutamanya Parti Buruh dan Parti Rakyat pada ketika itu telah menetapkan 13 Feb sebagai "Hari Tuntutan Hak Asasi Manusia" untuk bersesuaian dengan keperluan keadaan semasa. Barisan Sosialis telah melancarkan dan mengetuai ahli dan kader parti dan rakyat jelata dari seluruh negara untuk berhimpun dan berarak di Kuala Lumpur pada hari tersebut. Perarakan demonstrasi yang begitu memberangsangkan telah meluahkan ketidakpuasan dan kebencian yang sudah lama disimpan dalam hati rakyat. Perjuangan "Hari Tuntutan Hak Asasi Manusia" tersebut telah mencipta satu teladan perjuangan massa Malaysia yang cemerlang.
Pada akhir 1960-an, kerajaan Perikatan berusaha penuh menumpaskan segala kekuatan pembangkang. Parti Buruh yang merupakan pemimpin utama dalam gerakan reformasi telah membuat keputusan memboikot pilihanraya umum yang diadakan pada tahun 1969. Walaupun tiada penjelasan rasmi, keputusan dan tindakan tersebut sebenarnya bermaksud haluan perjuangan berparlimen telah ditinggalkan. Pada dasarnya, gerakan reformasi di Malaysia telah memasuki satu peringkat merosot yang agak lama selepas insiden "Mei 13". Tempoh ini adalah peluang keemasan bagi kerajaan BN melaksanakan dasar perkauman dan diskriminasi kaum dalam bidang politik, ekonomi, budaya, pendidikan dan sosial. Tempoh hampir 30 tahun inilah "Dasar Ekonomi Baru" dilaksanakan dan diteruskan oleh golongan pemerintah yang didominasi oleh UMNO.
Selepas krisis kewangan pada tahun 1997, masyarakat Melayu secara umum memperolehi kesedaran yang baru. Mereka mula sedar bahawa elit pemerintah dan kroni-kroninya merupakan golongan yang menikmati kepentingan paling besar selepas Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan selama 30 tahun. Klik tersebut yang menguasai sumber-sumber negara telah mempergunakan peluang terbaik untuk menimbunkan kekayaan besar-besaran tanpa mempedulikan kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat. Lapisan tengah dan bawahan kaum Melayu seperti rakyat kumpulan etnik lain makin hari makin menderita. Mereka terpaksa meraung! Asas UMNO semakin tergoncang!
Kerajaan BN yang didominasi oleh UMNO sedang menghadapi cabaran dan berada dalam keadaan yang sangat sukar pada hari ini. Terdapat tanda-tanda yang menunjukkan golongan elit pemerintah sedang mengaturkan corak pemerintahan ke arah bentuk diktator langkah demi langkah. Pemimpin negara yang giat "melawan hegemoni" di pentas antarabangsa telah mula mendedahkan sifat hegemoni sebenarnya. Baru-baru ini, orang ramai sentiasa diberitahu bahawa "membantah kerajaan adalah salah di sisi undang-undang" , "perarakan demonstrasi bukan budaya negara kita", "pihak tertentu bermuslihat menggulingkan kerajaan" dan sebagainya. Boleh dijangkakan bahawa banyak lagi tindakan yang serasi dengan hujah-hujah tersebut akan menyusur kemudian. Sudah pasti Rakyat Malaysia tidak ingin menyaksikan penumpasan menyeluruh dan penutupan ruang politik berperlembagaan yang berlaku pada tahun 1960-an berulang sekali lagi di negara kita.
Pihak berkuasa cuba memperdayakan, mengugut dan menipu rakyat. Taktik begini boleh berkesan dalam keadaan tertentu. Namun, dasar perkauman dan diskriminasi kaum pemerintah yang bertentangan dengan kepentingan rakyat semua bangsa pasti menimbulkan tentangan dan perjuangan yang semakin meluas dan sengit. Maka, usaha pihak pemerintah tentu gagal pada akhirnya. Ini adalah fakta yang objektif dan hukum pembangunan yang tidak akan berubah mengikut keinginan sesiapa pun.
Berkaitan dengan fahaman perkauman dan diskriminasi kaum di Malaysia, pengarah "Suara Rakyat Malaysia" (SUARAM), Dr. Kua Kia Soong telah membentangkan satu kertas kerja dalam mesyuarat yang diadakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam negeri. Kertas kerja tersebut telah dibahagi kepada dua bahagian dan dimuatnaik di laman web Malaysiakini.com dengan tajuk berbunyi "Racial eyesores on the Malaysian landscape" pada 27 dan 28 Mac.
Kertas kerja Dr. Kua Kia Soong dihasilkan sempena Persidangan Sedunia Menentang Fahaman Perkauman anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Durban, Afrika Selatan. Tujuan utama adalah menyampaikan keinginan dan tuntutan rakyat negara kita yang jelas dan munasabah kepada setiap negara dan rakyat di seluruh dunia. Dr. Kua menyatakan dengan jelas dalam kertas kerjanya bahawa "sistem kuota berdasarkan kaum" yang lama diamalkan oleh pihak berkuasa adalah dasar yang bertentangan sepenuhnya dengan semangat perlembagaan negara kita. Dr. Kua turut menyenaraikan sebanyak 35 poin pandangan dan pendirian yang melibatkan sistem politik, pembangunan ekonomi, pembangunan sosial, pendidikan, dan kebudayaan. Harapannya adalah semua rakyat Malaysia yang mendambakan keamanan dan kebebasan boleh sama-sama berusaha menentang fahaman perkauman dan diskriminasi kaum dan menuntut cara penyelesaian yang bukan berteraskan kaum.
SUARAM merupakan hasil ekoran dari tindakan keras kerajaan menahan seramai 106 orang (iaitu "Operasi Lalang") pada tahun 1987. SUARAM yang ditubuhkan oleh kumpulan sokongan ahli keluarga tahanan politik bersama-sama sebahagian tahanan politik yang telah dibebaskan dan aktivis hak asasi manusia pada tahun 1989 bermatlamat untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Selepas berusaha dan diuji melebihi 10 tahun, SUARAM yang bermula dengan program berdasarkan satu isu, kini telah berkembang menjadi salah satu organisasi pimpinan dalam kerja hak asasi manusia dan gerakan sosial yang diiktiraf di dalam dan luar negeri.
Tahun 1970-an adalah tempoh kemuncak gerakan mahasiswa di negara kita. Mereka membuat rayuan bagi pihak golongan kurang bernasib baik dan tertindas dengan penuh semangat dan keazaman pada waktu itu. Namun, gerakan tersebut mengalami kegagalan apabila ditumpaskan oleh kerajaan Barisan Nasional. Akta Universiti dan Kolej Universiti tahun 1974 merupakan produk era tersebut dan menanda penamatan gerakan mahasiswa tersebut. Pada masa itu, gerakan mahasiswa adalah gerakan spontan untuk meluahkan perasaan tidak puas hati. Kekurangan strategi organisasi jangka panjang menyebabkan gerakan tersebut tidak dapat terus berkembang dan akhirnya hilang kesinambungan. Semenjak itu, gerakan mahasiswa telah melalui satu tempoh hibernasi yang berpanjangan, sehingga kewujudan beberapa pertubuhan mahasiswa yang lebih progresif pada beberapa tahun kebelakangan ini. Pertubuhan-pertubuhan tersebut keluar dari menara gading untuk berhubungkait dengan masyarakat, lalu memberi kritikan sosial dan membuat kerja membina masyarakat. Generasi ini secara umumnya terpengaruh dengan kebangkitan dan perkembangan gerakan NGO semasa. Pertubuhan-pertubuhan mahasiswa ini telah mencadangkan pembentukan gerakan masyarakat sivil yang sedar diri dan berautonomi untuk memperkasakan kuasa rakyat, menyekat dan mengimbangkan kerajaan. Sesetengah pertubuhan akar umbi mahasiswa yang mempercayai keutamaan kepada rakyat komuniti mula ditubuhkan dan aktif mempromosikan gerakan rakyat yang sedar dan berautonomi untuk menyelamatkan diri di dalam komuniti.
Gerakan reformasi pada tahun 1998 meningkatkan lagi perpaduan di kalangan pertubuhan mahasiswa pelbagai bangsa yang berani mengkritik gejala rasuah dan penyelewengan kuasa yang melanda di negara kita. Ciri anti-demokrasi kerajaan yang mencabuli hak asasi manusia dan menyalah guna perundangan telah didedahkan apabila mahasiswa menyaksikan bagaimana klik berkuasa memperalatkan jentera negara (polis, mahkamah, media massa, dan sebagainya) untuk menumpaskan musuh politik dalam insiden 1998. Mahasiswa juga sedar bahawa kepentingan mengukuhkan kerja mengorganisasi rakyat (termasuk mahasiswa sendiri) sebagai syarat asas yang wajib demi mempromosikan gerakan masyarakat untuk jangka panjang. Sesetengah pertubuhan mahasiswa membentangkan keperluan penggabungan gerakan mahasiswa dengan gerakan sosial apabila mereka kembali ke kampus. Mereka juga percaya bahawa gerakan mahasiswa harus mengutamakan rakyat dan berasaskan komuniti demi menunjukkan kekuatan sebenar.
Di samping usaha SUARAM, suatu kekuatan mahasiswa yang maju dari golongan aktivis mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut memainkan peranan utama dalam menggerakkan SUARAM di Johor. Sejak ditubuhkan, SUARAM Johor Bahru telah menjalankan banyak program berkaitan dengan demokrasi dan hak asasi manusia, dan menolong golongan tertindas berjuang menuntut hak-hak mereka.
Demi memenuhi keperluan semasa dan pembangunan kerja-kerja pertubuhan akar umbi, SUARAM menubuhkan satu "Jawatankuasa Kerja Sahabat SURAM" secara rasmi pada hari ini selepas melalui satu tempoh persiapan dan persediaan. Keahlian Jawatankuasa Kerja tersebut termasuk bekas anggota Parti Buruh, bekas tahanan politik, bekas aktivis kesatuan sekerja, aktivis pendidikan Bahasa Cina, tokoh demokrat sosial dan golongan belia berpengetahuan. Penubuhan Jawatankuasa Kerja tersebut bermakna bahawa ramai aktivis reformasi sosial dari generasi tua yang pernah aktif dan banyak berkorban (sehingga sanggup mengorbankan nyawa) telah bebas dari kesesatan dan kemurungan yang lepas. Mereka telah menentukan hala tuju dan arah ke masa depan dan akan meneruskan kerja yang belum disempurnakan. Ini juga bermakna ramai generasi muda yang berani menuntut keadilan dan reformasi masyarakat memperolehi sokongan dan bantuan daripada generasi tua. Maka, mereka pasti akan maju dan berkembang dengan lagi mantap dan menyerlahkan kebijaksanaan yang lebih matang dan kekutan yang lebih besar.
Dengan ini, SUARAM Johor Bahru mengumumkan bahawa:
- 1. Jawatankuasa Kerja ini akan berusaha menuntut hak asasi manusia dan mempromosikan gerakan hak asasi manusia berdasarkan piawaian dalam "Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia" yang diluluskan oleh PBB dan "Piagam Hak Asasi Manusia Malaysia" yang ditandatangani bersama oleh NGO-NGO dalam negeri, di samping mengikut prinsip panduan yang dibentukkan dalam idealisme hak asasi manusia moden yang dibangunkan dalam proses pelaksanaan rakyat sedunia.
- 2. Jawatankuasa Kerja ini akan menubuhkan beberapa "Pusat Perhubungan Sahabat SUARAM" yang berfungsi sebagai basis penggerak program dan aktiviti berdasarkan keadaan objektif tempatan dalam negeri ini; di kawasan yang belum mempunyai syarat untuk menubuhkan "Pusat Perhubungan" setakay ini, menubuhkan "stesen Perhubungan" (tidak ada pusat, hanya menggunakan rumah, pejabat atau tempat awam) yang berfungsi sebagai pusat pertukaran maklumat bagi para sukarelawan di pelbagai kawasan (pekan, daerah atau kampung); menarik penyertaan orang ramai yang ingin bekerja untuk hak asasi manusia supaya mendaftar (mengisi borang permohonan) sebagai "sukarelawan" agar menjadi kekuatan baru "SUARAM" dan NGO.
- 3. Jawatankuasa Kerja ini menyetujui pendapat dan pendirian dalam kertas kerja bertajuk " Racial eyesores on the Malaysian landscape” yang dibentang oleh Dr. Kua Kia Soong, pengarah "SUARAM"; Jawatankuasa Kerja ini menyokong agar pandangan dan pendirian tersebut dijadikan sebagai pelan dan program tindakan awal "SUARAM", pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penyokong NGO seluruh negara; Jawatankuasa Kerja ini akan terus berusaha membuat sumbangan yang sewajarnya dengan memperkayakan dan memajukan program tindakan awal tersebut bersama-sama dengan semua NGO dan penyokong NGO seluruh negara.
Demikianlah deklarasi kami.
0 comments:
Post a Comment