Friday, 9 September 2016

Kerja Tempoh 5 Tahun Lepas Mendalamkan 4 Pemahaman Politik Kami -- Kesimpulan Kerja Sahabat Rakyat 2011 Hingga 2016


Kesimpulan Kerja Sahabat Rakyat 2011 Hingga 2016
Kerja Tempoh 5 Tahun Lepas 
Mendalamkan 4 Pemahaman Politik Kami

Sekretariat: Ang Pei Shan, Yong Siew Lee, Cheng Lee Whee

[Laporan versi Bahasa Melayu ini merupakan penterjemahan daripada teks asal Bahasa Cina yang telah dikeluarkan pada 1 September 2016. Sekiranya terdapat sebarang percanggahan antara versi Bahasa Melayu dan Bahasa Cina, versi Bahasa Cina adalah muktamad.]



Sahabat Rakyat Working Committee (Sahabat Rakyat) telah mengeluarkan satu kesimpulan kerja pada 9 September 2011, sebagai sebahagian usaha kami meraikan ulang tahun ke-10. Kini, 5 tahun sudahpun berlepas. Kami memutuskan untuk membuat kesimpulan pengalaman kerja berdasarkan kerja kami dalam tempoh lima tahun yang lepas, sebagai hadiah daripada Sahabat Rakyat sempena ulang tahun ke-15 kami. Kami mengalu-alukan penelitian dan kritikan daripada parti-parti politik dan organisasi demokratik serta semua demokrat di negara kita. Kesimpulan ini mengandungi 4 bahagian berikut:
1. Dari dibawah naungan SUARAM hingga merdeka untuk meneruskan perjuangan
2. Menentang pemerintahan hegemoni UMNO-BN dan memperjuangkan hak samarata semua bangsa menjadi fokus utama kerja kami
3. Pendalaman 4 pandangan politik berdasarkan kerja tempoh 5 tahun yang lalu
4. Harapan kami terhadap pergerakan reformasi demokratik fasa semasa di negara kita

1. Dari dibawah naungan SUARAM hingga merdeka untuk meneruskan perjuangan

Mulai dari 9 September 2001 hingga 31 Disember 2012, Sahabat Rakyat working committee (ketika itu atas nama Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM atau dalam Bahasa Inggerisnya FOS Working Committee) adalah cawangan SUARAM yang melakukan kerja-kerja hak asasi manusia di negeri Johor. SUARAM atas pertimbangannya sendiri, telah mengambil keputusan untuk berhenti melantik koordinator negeri Johor dan menamatkan operasi pejabatnya di Johor Bahru mulai 1 Januari 2013. Sahabat Rakyat, sebagai sebuah organisasi akar umbi yang telah aktif di Johor dalam kerja-kerja hak asasi manusia selama 12 tahun, telah memilih untuk meneruskan operasi kami. Sejak itu, kami mula bekerja atas nama Sahabat Rakyat atau nama penuhnya Sahabat Rakyat Working Committee dan segala kerja-kerja kami tidak lagi terhad di dalam negeri Johor. Di bawah merupakan logo baru Sahabat Rakyat: 


Walaupun operasi kami menjadi lebih sukar kerana tidak lagi menerima sebarang bantuan kewangan (dalam bentuk elaun), dari aspek lain, kami mempunyai prospek yang lebih cerah selepas membebaskan diri daripada kongkongan bidang kerja yang ditentukan dan konsep demokrasi dan hak asasi manusia ala Barat. Sejak dari itu, kami bebas dan berotonomi untuk terus berusaha membina fahaman demokrasi dan hak asasi manusia sejati, dan melanjutkan perjuangan demi merealisasikan dasar demokrasi dan hak asasi manusia sejati negara kita.

Sejak dari 1 Jan 2013, Sahabat Rakyat juga mula beroperasi tanpa bantuan kakitangan sepenuh masa yang dibayar gaji, semua ahli jawatankuasa merupakan sukarelawan, perbelanjaan setiap aktiviti sama ada ditanggung oleh peserta secara sukarela atau ditaja oleh penyokong berahi.

Dalam pemilihan Jawatankuasa Sahabat Rakyat pada bulan September 2013, kami telah memansuhkan status Ahli Perhubungan Kawasan dan semua Ahli Perhubungan Kawasan adalah ahli jawatankuasa, dengan harapan dapat meningkatkan penyertaan dan membangkitkan semangat ahli-ahli jawatankuasa dari seluruh Negeri Johor. Mulai tahun 2015, lokasi mesyuarat bulanan Sahabat Rakyat yang berpusat di Pusat Perhubungan Sahabat Rakyat di Skudai, diperluaskan ke bandar-bandar sekitar Johor yang mempunyai AJK Sahabat Rakyat. Sekretariat juga meningkatkan usaha dan kekerapan penyebaran maklumat melalui media elektronik terkini, dengan harapan bahawa ahli-ahli jawatankuasa akan lebih aktif dalam menyebarkan maklumat, pertukaran idea, merumuskan pengalaman, membangunkan teori ideologi serta lain-lain aspek. 

Semasa penubuhannya, Sahabat Rakyat berikrar akan berpandu kepada "Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia", "Piagam Hak Asasi Manusia Malaysia", dan kertas kerja bertajuk "Menentang Fahaman Perkauman dan Diskriminasi Bangsa di Malaysia, Menuntut Cara Penyelesaian Bukan Berteraskan Bangsa" sebagai dokumen panduan asas kami. Pada bulan Mac 2013, Sahabat Rakyat bersetuju dengan dan telah menandatangani "20 tuntutan pilihan raya pertubuhan-pertubuhan masyarakat". Kami berpendapat dokumen ini merupakan susulan dan perkembangan daripada kertas kerja "Menentang Fahaman Perkauman dan Diskriminasi Bangsa di Malaysia, Menuntut Cara Penyelesaian Bukan Berteraskan Bangsa". Maka, kami menggunakan ia sebagai salah satu dokumen panduan asas dalam peringkat perjuangan masa depan. "Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia" dan "Piagam Hak Asasi Manusia Malaysia" tetap dijadikan dokumen panduan asas dalam usaha kami mendorong maju pergerakan demokrasi dan hak asasi manusia di Malaysia.

2. Menentang pemerintahan hegemoni UMNO-BN dan memperjuangkan hak samarata semua bangsa menjadi fokus utama kerja kami

Berikut adalah kesedaran politik yang kami simpulkan dalam tempoh 10 tahun pertama (2001-2011) kerja kami:
(1) Rejim bobrok merupakan punca kepada penyalahgunaan kuasa dan keganasan yang berleluasa oleh pihak polis; 
(2) penindasan dan diskriminasi pendidikan bahasa ibunda bukan isu "penyelewengan pentadbiran" tetapi isu politik; 
(3) pergerakan demokrasi dan hak asasi manusia adalah gerakan pembaharuan sosial, maka juga adalah gerakan reformasi politik; 
(4) rakyat mesti bersatu-padu dari perpecahan untuk kuburkan pemerintahan hegemoni UMNO-BN.

Dalam "kesimpulan kerja 10 tahun", kami menyimpulkan bahawa: Jika mana-mana parti memerintah hanya melindungi kepentingan segelintir kroni, mengabaikan luka dan duka rakyat semua bangsa,  atau sekiranya mana-mana parti pembangkang menuju ke kuku besi, kekerasan dan anti rakyat selepas mengambil alih kuasa pemerintah, rakyat mesti bangkit untuk menentang rejim sebegini sehingga akhirnya menguburkannya. Maka, badan-badan bukan kerajaan perlu berdampingan dengan rakyat, bertindak sebagai sokongan terkuat rakyat, bersatu-padu untuk menumbangkan rejim yang bobrok itu. Oleh itu, "NGO sentiasa berdampingan dengan rakyat" telah menjadi panduan amalan kerja kita dalam 5 tahun yang lepas (2011-2016).

Berdasarkan kesedaran politik dan kesimpulan kerja yang dinyatakan di atas, juga kerana Sahabat Rakyat tidak lagi mempunyai pekerja sepenuh masa selepas terpisah dari naungan SUARAM pada 1 Januari 2013, semua ahli kami adalah sukarelawan yang hanya boleh mengambil bahagian dan menguruskan aktiviti dan hal ehwal Sahabat Rakyat apabila ada masa lapang, "jawatankuasa sokongan hak asasi manusia" telah dibubarkan. Sahabat Rakyat tidak lagi menghabiskan sumber dan tenaga yang banyak dalam menangani kes-kes pencabulan hak asasi manusia (terutamanya kes kematian dalam tahanan polis) yang akhirnya hanya dihubungkaitkan dengan penyalahgunaan kuasa pihak polis. Tumpuan utama kerja Sahabat Rakyat beralih kepada penyebaran dan meningkatkan kesedaran fahaman politik berkaitan menentang pemerintahan hegemoni UMNO-BN dan memperjuangkan hak samarata rakyat semua bangsa. Isu-isu yang dipilih adalah isu teras yang boleh meningkatkan kesedaran politik rakyat semua bangsa dengan lebih berkesan seterusnya menggoncang asas pemerintahan UMNO-BN.

Aktiviti kami dalam tempoh 5 tahun yang lepas boleh dikategorikan kepada empat aspek berikut:
(1) Menyatakan pendirian menentang pemerintahan hegemoni UMNO-BN dan menentang dasar-dasar pengislaman negara;
(2) Mengemukakan tuntutan PRU ke-13 pada tahun 2013 dan tuntutan pilihan raya kecil Kajang pada tahun 2014;
(3) Menyatakan pendirian mengenai isu-isu pendidikan bahasa ibunda dan menaruh perhatian pada pergolakan dalaman Dong Zong dan Kolej Universiti Selatan (SUC);
(4) Mengkaji dan belajar dari pengalaman sejarah pergerakan sayap kiri di Singapura dan Malaya serta meneroka haluan baru pergerakan reformasi demokratik.

3. Pendalaman 4 pandangan politik berdasarkan kerja tempoh 5 tahun yang lalu

Melalui amalan tempoh lima tahun yang lalu, kami telah meningkatkan lagi pemahaman politik kami mengenai perjuangan demokrasi dan hak asasi manusia seperti berikut:

1. Dasar "pengislaman negara" merupakan satu strategi pemerintahan dan cara klik hegemoni UMNO-BN untuk mencerai-belaikan rakyat

Dalam kesimpulan kerja 10 tahun, kami menyatakan bahawa selepas kemerdekaan, klik pemerintah UMNO telah mewarisi warisan penjajah British. UMNO bukan sahaja meneruskan dasar 'pecah dan perintah', malah telah melaksanakan politik perkauman yang mengagung-agungkan Bangsa Melayu serta dasar asimilasi dan penindasan kaum. Selepas insiden 13 Mei 1969, mereka menguatkan lagi diskriminasi dan eksploitasi ke atas etnik Cina, India dan etnik minoriti lain dengan berdadihkan "Ketuanan Melayu" dan menyebabkan kehidupan rakyat yang tertindas semakin melarat. Disini, kami khususnya menyatakan bahawa, sejak Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1981, beliau telah melaksanakan dasar "pengislaman negara" secara besar-besaran, ataupun dalam istilah rasminya, "Dasar Penerapan Nilai Islam". Pada 29 September 2001, selepas 20 tahun memerintah negara ini, dan 2 tahun sebelum dia bersara, semasa berucap di Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Dasar pengislaman negara yang dimulakan oleh Mahathir ini masih giat dilaksanakan sehingga kini.

Peratusan Rakyat Malaysia mengikut kumpulan etnik (%)
TahunMelayuCinaIndiaPribumi bukan melayuBangsa lain
197044.3234.348.9911.690.66
201055.0724.347.3511.941.3
*Jadual ini berdasarkan laporan banci penduduk tahun 1970 dan 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Berdasarkan jadual di atas, pada tahun 1970, penduduk Islam di Malaysia adalah 44%, dan telah meningkat kepada 55% pada tahun 2010, tetapi masih terdapat 45% Rakyat bukan Islam di Malaysia. Di kalangan rakyat bukan Islam, kebanyakan rakyat berbangsa Cina beragama Buddha, kebanyakan rakyat berbangsa India beragama Hindu, manakala kebanyakan rakyat pribumi bukan Melayu adalah orang Kristian. Terdapat juga ramai rakyat pelbagai etnik yang menganut pelbagai "kepercayaan rakyat" (folk beliefs). Pada hakikatnya, Malaysia merupakan sebuah negara berbilang agama berbilang bangsa, Mahathir pula mengabaikan aspirasi rakyat bukan Islam yang membentuk hampir separuh daripada jumlah penduduk dan melaksanakan dasar pengislaman negara secara paksaan dan sesuka hatinya.

Dalam tempoh 5 tahun yang lepas ini, pengislaman negara telah semakin runcing sehingga isu pencabulan hak kebebasan beragama orang bukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan semakin menonjol, serta menyebabkan masyarakat berbilang bangsa dan agama negara kita berada di ambang berpecah sepenuhnya. Antara peristiwa yang jelas membuktikan situasi ini adalah seperti pada bulan Oktober tahun 2013, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan bahawa akhbar "Herald" tidak mempunyai hak untuk mengguna perkataan "Allah"; pada 2 Januari 2014, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menyerbu Persatuan Bible Malaysia (BSM) dan merampas 320 naskhah Bible Melayu dan 10 naskah Bible Iban. Dua pegawai BSM juga disaman ke balai polis untuk membantu siasatan. Tuntutan yang dikemukakan oleh Hindu Rights Action Force (Hindraf) pula merupakan satu lagi contoh yang paling tipikal.

Pada akhir tahun 2011, Waytha Moorthy, seorang pemimpin masyarakat India yang majoriti beragama Hindu, yang terpaksa mengusing di luar negara, selaku pengerusi Yayasan Hak Asasi Manusia Malaysia telah mengemukakan satu laporan bertajuk "Keinstitusian Perkauman dan Kebebasan Beragama di Malaysia" yang melaporkan dilema masyarakat India yang terpinggir di Malaysia terutama berkaitan pencabulan hak kebebasan beragama kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Amerika Syarikat dan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Lantos Tom. Laporan ini melaporkan bahawa Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan membahagikan rakyat kepada 2 kelas, iaitu "Melayu" yang menikmati "hak istimewa" dan "bukan Melayu" (termasuk Cina, India, pribumi bukan Melayu dan kumpulan etnik yang lain) yang tidak menikmati "hak istimewa". Fasa ini adalah punca kepada keinstitusian perkauman di Malaysia. Masyarakat India yang terpinggir dan terjebak ke dalam dilema dan pemimpin mereka amat merasakan bahawa "tiada kesamarataan, tiada maruah", oleh itu telah mengemukakan tuntutan adil "memansuhkan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan".

Kami berpendapat bahawa laporan ini adalah satu dokumen yang sangat penting, oleh itu telah menterjemahkannya daripada Bahasa English kepada Bahasa Cina dan dimuat naik ke blog Sahabat Rakyat pada awal bulan Februari 2012. Pada 18 Mac 2012, kami bersama-sama dengan Hindraf Johor dan Persahabatan Semparuthi telah menganjurkan forum yang bertema "Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Kesamarataan Masyarakat Semua Etnik"; pada 4 Mei 2014, kami dan Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Johor telah menganjurkan forum bertema “Krisis perkataan Allah • Hak berperlembagaan • Kebebasan Beragama”. 

Sayang sekali, walaupun pemimpin Hindraf dan kadernya telah berkempen ke sana ke mari, walaupun Sahabat Rakyat dan parti-parti politik dan pertubuhan demokratik yang mewakili kumpulan minoriti di Sabah dan Sarawak telah memberikan kerjasama dan sokongan, kami tetap gagal menarik perhatian dan meraih simpati daripada barisan pimpinan tiga parti politik Pakatan Rakyat yang mensasarkan penukaran kerajaan. Yang lebih menyedihkan, pakatan politik yang dibentuk oleh PAS, PKR dan DAP ini akhirnya perpecah, selepas kegagalan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13, ekoran daripada perbalahan berkaitan Hukum Hudud. Pada ketika rejim korup dibawah pengeloraan Najib menghadapi krisis keruntuhan, tiga parti PR kini bergerak secara berasingan untuk mengejar impian masing-masing. Situasi ini sudah tentu menyebabkan rakyat semua bangsa yang ghairah dengan perubahan rejim berasa sedih, marah dan kecewa.

Pada bulan Jun 2016, mufti Pahang, Abdul Rahman tiba-tiba mengeluarkan kenyataan-kenyataan provokatif. Dia melabel DAP sebagai "kafir harbi", dan mengatakan bahawa" orang Islam wajib memerangi "kafir harbi". Tindakan provokatif luar jangkaan ini telah menimbulkan rasa amat tidak puas hati dan bantahan keras daripada orang bukan Islam terutamanya dikalangan mereka yang beragama lain. Oleh itu, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) telah menaja satu kenyataan bersama yang bertajuk "Semua Warganegara, Tiada Kafir Harbi Atau Kafir Dhimmi" untuk menyatakan posisi dan pendirian bersama. Kenyataan ini disokong oleh 44 pertubuhan masyarakat.

Kenyataan tersebut menyatakan: 
1. Semua rakyat di Malaya, Sabah dan Sarawak, tidak kira Muslim atau bukan Muslim, berhak untuk memberi pandangan mereka terhadap sebarang penggubalan dan pertukaran undang-undang, terutamanya perubahan yang akan mempengaruhi semangat dan prinsip-prinsip dasar negara yang tersurat dan tersirat dalam Persetujuan Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan; 
2. Perbuatan menidakkan pihak lain yang tidak bersependapat tentang Islam atau Islamisasi, sama ada mengkafirkan orang Muslim, atau mengkafirharbikan orang bukan Muslim, hanya akan memecahkan umat Muslim dan masyarakat Malaysia;
3. Kenyataan bahawa darah kafir harbi halal malah membuka pintu untuk keganasan dan persengketaan antara komuniti/wilayah;
4. Sesiapa yang berniat memecahkan rakyat mengikut agama, malah sanggup menuduh pihak lain yang menolak pelaksanaan hukuman Hudud sebagai "kafir harbi" untuk dihalalkan pembunuhan mereka, tidak layak untuk memegang jawatan awam. Mereka mesti dipecat supaya fahaman merbahaya mereka tidak merebak.

Kenyataan bersama 44 pertubuhan masyarakat ini patut dihargai dan dipuji. Kami mengharapkan pendirian pertubuhan masyarakat mengenai isu membantah pengislaman negara boleh lebih tegas dan jelas, sebagai contoh, berani berpegang teguh bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular berbilang bangsa dan agama dan bukannya sebuah negara Islam; berpegang teguh bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia, ia menetapkan Agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia, pada masa yang sama melindungi hak kebebasan beragama rakyat semua bangsa ("kebebasan beragama" bererti kebebasan dalam pilihan untuk menganut atau tidak menganut mana-mana agama termasuk Islam, Buddha, Hindu, Kristian atau mana-mana kepercayaan soleh yang lain).

Kami berharap barisan pimpinan DAP akan meneruskan semangat berjuang mendiang Karpal Singh, bekas presiden mereka dalam menentang pengislaman negera, mengambil posisi jelas dan tegas yang selari dengan kepentingan dan aspirasi semua bangsa tertindas di Malaysia. Dalam menghadapi cabaran daripada klik hegemoni perkauman UMNO atau kumpulan pelampau agama dan perkauman, kami juga berharap para pemimpin DAP akan memimpin rakyat semua bangsa, terutama mereka yang terpinggir, untuk mempertahankan sistem sekular negara sedia ada di Malaysia. Karpal Singh pernah menyatakan sekitar pilihan raya umum 1990 bahawa, “jika mahu laksana hukum Hudud, langkah mayat aku (Karpal Singh) terlebih dahulu.” Semangat gagah Karpal Singh dalam perjuangan untuk memelihara hak-hak kebebasan beragama rakyat semua bangsa negara kita amat dikagumi dan dihormati!

2. Mendorong maju perpaduan dan kerjasama antara bangsa dan menggalakkan gerakan reformasi demokrasi negara adalah bergantung pada kebijaksanaan dan kekuatan massa, dan bukannya bergantung semata-mata kepada "kewibawaan" atau "arahan" daripada beberapa orang "pemimpin politik" atau "elit politik"

Dalam kesimpulan kerja 10 tahun kami, kami telah menyimpulkan bahawa "pertubuhan masyarakat dan NGO perlu berpegang teguh pada pendirian non-partisan dan sentiasa berdamping dengan rakyat". Dalam kesimpulan kerja tersebut, kami memuji tinggi perhimpunan aman ‘perarakan demokrasi’ (yang kemudiannya bertukar menjadi demonstrasi spontan orang ramai kerana penangkapan yang tidak munasabah dan tindakan keras daripada pihak berkuasa) yang ditaja oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil 2.0 (BERSIH2.0) yang diketuai oleh Ambiga pada 9 Julai 2011. Tindakan ini telah menunjukkan aspirasi kuat rakyat menuntut perlaksanaan 8 tuntutan pembaharuan pilihan raya dalam Pilihan Raya Umum ke-13. Pada 15 Julai 2011, kami menerbitkan satu rencana bertajuk “Makna dan Pengaruh Mendalam "Perarakan Tunjuk Perasaan 709"” menggariskan pengaruh dan makna perjuangan ini seperti berikut:
1. Rakyat jelata telah sedar akan ketidakadilan dan penipuan "peraturan" sistem pilihanraya, 
2. Rakyat sedar bahawa helah dan ugutan perkauman UMNO akan ditumpaskan dengan perjuangan berani, 
3. "Perarakan Tunjuk Perasaan 709" mempertingkatkan kesedaran massa dan memajukan kerjasama dan perpaduan pelbagai bangsa, 
4. "Perarakan Tunjuk Perasaan 709" menggalakkan perkembangan gerakan NGO kearah yang betul

Pada 28 April 2012, BERSIH 2.0 yang diketuai oleh Ambiga sekali lagi berjaya melancarkan perjuangan politik yang mempunyai rancangan, teratur, mempunyai objektif dan mempunyai kepimpinan serta disertai oleh rakyat semua bangsa dan kelas secara spontan untuk menuntut reformasi pilihan raya dan untuk membantah kecelakaan alam sekitar. Sahabat Rakyat telah mengeluarkan satu lagi kenyataan panjang bertajuk "Duduk Bantah 428 - Makna Positif dan Petunjuk Mendalam" pada 20 Mei 2012. Dalam kenyataan itu, kita menegaskan bahawa: 
1. "Duduk Bantah 428" adalah Kesinambungan dan Perkembangan daripada Perarakan Tunjuk Perasaan 709, 
2. "Duduk Bantah 428" merupakan penggabungan kuasa gerakan sosial yang sangat baik pada masa kini, 
3. Pimpinan "tidak berpartisan" (non-partisan) memainkan peranan proaktif dalam menyatupadukan semua rakyat, 
4. Kuasa rakyat akhirnya mendedahkan muka pemerintah yang hodoh, dan 
5. Perjuangan 428 yang agung merupakan kemuncak baru gerakan demokrasi dan hak asasi manusia di negara kita

Kami berpendapat bahawa "Perarakan Demokrasi 709" dan "Duduk Bantah 428" yang dilancarkan dan dipimpin oleh BERSIH 2.0, khususnya aksi "Duduk Bantah 428", telah memberi petunjuk yang mendalam kepada rakyat semua bangsa di negara kita. Ia merupakan kemuncak baru dalam gerakan demokrasi dan hak asasi manusia di negara kita. Ia dicerminkan terutamanya dalam perkara-perkara berikut:

(1) Duduk Bantah 428 telah disertai oleh kira-kira 250, 000 orang. Ia berjaya mencipta rekod baru, iaitu bilangan pesertanya terbanyak dan terbesar dalam sejarah perjuangan massa di negara kita. Walaupun parti pemerintah atau parti pembangkang dalam negeri pernah melancarkan begitu banyak perhimpunan politik sebelum itu, pencapaian Duduk Bantah 428 tetap tiada bandingannya;

(2) Dengan tuntutan sistem pilihanraya bersih dan adil yang berpatutan, munasabah dan tidak menyalahi undang-undang dan publisiti yang begitu meluas dan mendalam sehingga dapat meningkatkan kesedaran massa terhadap kesahihan memakai baju kemeja-T kuning BERSIH dan berani memperkecilkan "perintah larangan" yang dikenakan oleh kerajaan dan polis. Duduk bantah 428 membuka halaman baru dalam perjuangan berdasarkan undang-undang dimana rakyat telah mencapai kemenangan gemilang dengan memperkecilkan "perintah larangan"; 

(3) Kepimpinan Bersih 2.0 berpegang tegas kepada prinsip perjuangan yang munasabah, bermanfaat dan terkawal. Apabila matlamat tindakan telah dicapai, kepimpinan BERSIH 2.0 sewajarnya menangguhkan perjuangan untuk sementara waktu, agar mengelakkan kejadian huru-hara dan perosakan yang mungkin timbul ekoran dari tindakan berlebihan atau melampau yang dilakukan oleh massa. Pendekatan kepimpinan BERSIH 2.0 tersebut mewujudkan keadaan yang lebih baik demi melaksanakan perjuangan yang lebih besar di peringkat yang lebih tinggi pada masa depan. Dengan itu, mereka telah menunjukkan teladan yang baik untuk NGO berpegang kuat kepada prinsip berdikari dan autonomi dalam perjuangannya.

Walau bagaimanapun, selepas aksi 428, gerakan politik yang menuntut refomasi demokrasi di Malaysia bukan sahaja tidak bergerak ke hadapan, tetapi semakin mundur bahkan mengalami kemerosotan teruk. Kita menyedari bahawa keadaan ini adalah disebabkan oleh faktor-faktor berikut:

(1) Para pemimpin parti-parti PR dan golongan elit politik yang mengekori mereka berasa puas dan bangga menyaksikan keadaan aksi 428, dan berbesar kepala dengan impian manis mereka untuk "menawan Putrajaya". Tetapi selepas impian ini gagal dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei, pakatan politik yang terdiri daripada 3 parti politik ini berkecai dan hancur disebabkan oleh penajaman percanggahan kepentingan politik antara parti, parti masing-masing pula susah untuk memainkan peranan yang sepatutnya kerana percanggahan dalaman antara puak yang semakin meningkat;

(2) Ramai pemimpin utama dan kader aktif badan bukan kerajaan juga menyetujui bahawa masa keemasan untuk "menawan Putrajaya" sudah tiba dan memilih untuk menyertai parti politik (dalam PR) dan berkhidmat kepada politik parti yang mereka idamkan. Keadaan politik ini pasti akan menyebabkan banyak badan bukan kerajaan terganggu atau dikuasai oleh sifat berpatisan dan dengan itu kehilangan kebebasan, autonomi dan inisiatif mereka;

(3) massa semua bangsa menyaksikan pemimpin-pemimpin parti politik dan gabungan politik (Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan) yang sedang membuat persediaan untuk membentuk kerajaan alternatif, bersikap pekak dan bisu terhadap tuntutan teras rakyat semua bangsa sebelum pilihan raya umum, dan berbalah antara satu sama lain untuk merebut kuasa selepas pilihan raya. Pelbagai tanda menunjukkan massa pelbagai bangsa mula hilang keyakinan kepada pemimpin-pemimpin parti politik yang memimpin reformasi demokrasi semasa.

Pada awal tahun 2014, Anwar Ibrahim, sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat dan ketua umum PKR, sengaja mengujudkan pilihan raya kecil Kajang untuk memenuhi agenda sendiri. Pada masa itu, alasan yang dikata-katakan oleh PKR adalah untuk menyekat keadaan dimana "isu manipulasi perkauman dan agama akan dicipta untuk mewujudkan ketidakpercayaan dan kekecewaan kepada kerajaan negeri Selangor" dan "sebagai batu loncatan kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam usaha merampas pentadbiran Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN)" namun khabar yang tersebar di kalangan orang ramai adalah "pilihan raya kecil ini telah dicipta supaya Anwar dapat menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor". Walau bagaimanapun, pada 7 Mac, Anwar yang telah bersedia untuk bertanding dikejutkan dengan hukuman penjara lima tahun kerana disabit kesalahan meliwat. Ini sekaligus menyebabkan dia kehilangan kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang. 

Maka, tidak hairanlah pilihan raya kecil ini telah menarik perhatian atau menimbulkan keraguan rakyat seluruh negara dan mengundang kritikan atau perbincangan antara demokrat dan NGO.

Oleh itu, pada 8 Mac 2014, kami, bersama-sama dengan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Melaka, Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dan 15 demokrat, telah mengemukakan "Tuntutan-Tuntutan Pilihan Raya Kecil Kajang 2014" yang mengandungi 4 tuntutan dan diacukan khususnya kepada calon DUN Kajang PKR dan umumnya kepada Pakatan Rakyat: (1) menghapuskan penindasan agama, melaksanakan kesamarataan bangsa, (2) pilihan raya yang adil dan bersih, (3) mansuhkan "dasar ekonomi baru" (DEB) dan "sistem kuota bumiputera", (4) layanan samarata kepada pendidikan bahasa ibunda semua bangsa. Kami juga menyatakan secara terbuka dalam kenyataan tersebut bahawa:

"Anwar Ibrahim selaku calon PRK Kajang dan Perdana Menteri in waiting yang bersedia menawan Putrajaya dan PR yang dipimpin oleh beliau, tidak harus bersikap sepertimana dalam PRU 13 yang mengagungkan pemimpin politik dan golongan elit politik. Mereka tidak harus menggunakan deklarasi yang berbunga-bunga tetapi tidak praktikal dan membawa makna yang samar-samar, sebaliknya harus endos tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh pertubuhan masyarakat (tidak terhad kepada tuntutan ini) secara ikhlas. Dengan itu, barulah dapat menunjukkan keikhlasan PR dalam mereformasikan sistem sedia ada dan seterusnya memenangi keyakinan rakyat seluruh negara terhadap mereka. "

Pada 9 Mac 2014, PKR mengumumkan Wan Azizah sebagai pengganti suaminya untuk bertanding di pilihan raya kecil Kajang. Namun, perkara yang mengecewakan ialah Anwar Ibrahim, Wan Azizah dan pemimpin-pemimpin PR telah mengabaikan semua tuntutan yang dibangkitkan oleh NGO ketika itu. Hakikat akhirnya membuktikan bahawa, "Langkah Kajang" atau "Kajang Move" merupakan suatu tindakan yang mensia-siakan tenaga dan wang rakyat, yang semata-matanya berpunca daripada berpecahan dalaman PKR. Hasil "langkah Kajang" memperlihatkan walaupun Wan Azizah memenangi pilihan raya, tetapi yang menggantikan Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor pula ialah Azmin Ali. Ini merupakan permulaan kepada satu perebutan kuasa yang lebih sengit dan lebih rumit bagi pemimpin PKR. Kita tunggu dan lihat!

Pada 4 Mac 2016, Maria Chin Abdullah yang menggantikan Ambiga sebagai Pengerusi BERSIH 2.0 telah menyokong "Deklarasi Rakyat" yang disediakan dan dikeluarkan oleh Mahathir dengan "kapasiti peribadi". Walupun selaku Pengerusi BERSIH 2.0, Maria, sebagai seorang individu, mempunyai "kebebasan bersuara", namun cara beliau mengendalikan perkara ini telah mengundang pelbagai kecaman dan kutukan oleh lebih daripada separuh NGO endorsee BERSIH 2.0 dan telah menimbulkan tindak balas keras bahawa "Dana BERSIH 2.0 tidak boleh digunakan untuk sebarang aktiviti berhubung dengan ‘Deklarasi Rakyat’". Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 turut mengeluarkan kenyataan pada 12 Mac untuk menyatakan: (1) BERSIH 2.0 sebagai sebuah organisasi tidak akan terlibat dengan "Deklarasi Rakyat" dan BERSIH 2.0 juga tidak akan menggunakan dana mereka untuk aktiviti-aktiviti "Deklarasi Rakyat"; (2) BERSIH 2.0 menghormati keputusan Maria Chin Abdullah, Pengerusi BERSIH 2.0 untuk menandatangani "Deklarasi Rakyat" dalam kapasiti peribadinya.

Bagi organisasi yang berwibawa seperti BERSIH 2.0, insiden ini merupakan insiden dimana pemimpin mengetepikan prinsip perbincangan demokratik, mengabaikan aspirasi rakyat dan membuat keputusan penting berkenaan isu-isu kepentingan keseluruhan rakyat berdasarkan keperluan peribadi. Ini dicerminkan dalam dua aspek berikut:

(1) Keputusan dua pilihan raya umum yang lepas iaitu 308 dan 505 yang memihak kepada parti-parti pembangkan menunjukkan bahawa adalah hasrat umum rakyat semua bangsa di negara kita dalam menentang malahan menguburkan pemerintahan hegemoni UMNO-BN. Akan tetapi, ketika Mahathir mempelopori Deklarasi Rakyat, dia mendakwa hanya mahukan Najib berundur dan tidak berniat untuk menumbangkan rejim UMNO. Lebih 22 tahun pemerintahan Mahathir, dia melaksanakan pengislaman negera secara paksaan, membenarkan puak berkuasa Melayu dan klik memerintah untuk merompak kekayaan dan sumber, melajukan kejatuhan rejim UMNO yang autokratik dan bermaharajalela ke arah rasuah dan bobrok. Mahathir jelas merupakan sasaran perjuangan rakyat semua bangsa menentang hegemoni UMNO. Namun begitu, Maria Chin dan beberapa "pemimpin politik" dan "elit politik" pula menganggap Mahathir sebagai sekutu dalam perjuangan rakyat semua bangsa menentang hegemoni UMNO.

(2) Tidak ada perbincangan demokratik yang mencukupi diadakan antara semua NGO yang mengendos BERSIH 2.0 sebelum membuat keputusan sama ada menerima dan menyokong atau tidak menerima dan tidak menyokong Deklarasi Rakyat. Hanya sebahagian kecil organisasi (kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan endorsee BERSIH 2.0) yang sempat menghadiri mesyuarat yang diadakan di Kuala Lumpur, endorsee lain yang tidak sempat hadir turut tidak mempunyai peluang untuk mengundi dalam proses membuat keputusan. Dalam keadaan tidak mendapat sokongan dan pengiktirafan daripada majoriti endorsee, Maria Chin sudah tidak sabar dan tergesa-gesa untuk menandatangani Deklarasi Rakyat dengan kapasiti peribadinya. Manalah tidak parti-parti politik demokratik, pertubuhan demokratik dan demokrat serta rata-rata rakyat biasa yang tidak lagi mempunyai khayalan terhadap Mahathir dan klik hegemoni UMNO berasa bimbang mengenai masa depan reformasi demokratik dan masa depan negara sedangkan Maria Chin selaku pengerusi BERSIH 2.0, bertegas mahu berpakat dengan Mahathir yang licik dan berakal kancil?

3. Perpaduan bangsa yang berusaha ke arah reformasi demokrasi tulen hanya boleh menjadi kenyataan sekiranya kelas tertindis dalam masyarakat Melayu telah sedar

Pada 19 Oktober 2012, menjelang PRU 13, kami (ketika itu masih lagi dibawah nama Jawatankuasa FOS) dan Hindraf Johor telah mengutarakan Seruan NGO-NGO negeri Johor kepada rakyat sempena PRU ke-13 yang bertajuk "Memecahkan Hegemoni UMNO, Menubuhkan Barisan Persatuan Demokratik; Menyatukan Rakyat Seluruh Negeri, Merealisasikan Tiga Tuntutan yang Mendesak!" (selepas ini dirujuk sebagai "Seruan"). Tiga tuntutan yang dikemukakan ialah: (1) hapuskan penindasan kaum, tegakkan kesamarataan kaum, (2) membantah program "pemutihan pendatang asing (6p) ", memerangi punca korupsi agensi penguatkuasa, (3) membantah ‘pengambilan tanah’ mendalihkan pembangunan di pengerang; memastikan kepentingan rakyat Johor terjamin di dalam Projek PIPC. Tuntutan pertama yang merupakan tututan teras mengandungi isi seperti berikut: mansuhkan perkara-perkara ketidaksamarataan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, mansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan "sistem kuota bumiputera", mansuhkan seksyen 17(1), Akta Pendidikan 1996 dan dasar yang berkaitan, kepercayaan agama dan adat resam kaum minoriti harus dihormati dan dilindungi.

Kami dengan ikhlas mengemukakan tuntutan tersebut kepada pemimpin pusat daripada ketiga-tiga parti komponen PR (DAP, PKR dan PAS) yang datang ke negeri Johor untuk berkempen dan calon-calon PR yang bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri. Kesemua tuntutan ini merupakan tuntutan yang mencerminkan aspirasi utama bangsa tertindas di Malaysia, tuntutan ini juga merupakan tuntutan yang berpatutan, munasabah dan tidak menyalahi undang-undang. Bagaimanapun, kami tidak mendapat sebarang maklum balas positif. Pemimpin-pemimpin parti dan calon-calon pilihan raya mengambil sikap mengelak dan acuh tak acuh terhadap tuntutan yang dikemukakan ini. Satu insiden yang kami tidak boleh terima ialah apabila sukarelawan kami mengedarkan risalah "Seruan" ini pada perhimpunan yang dianjurkan oleh PR di sebuah tempat letak kereta awam, petugas parti pembangkang, tanpa dijangka, cuba untuk menegur, mengusir kami dari kawasan itu malahan cuba untuk merampas risalah kami.

Selain itu, terdapat juga beberapa petugas parti politik cuba memberikan pelbagai penjelasan. Ada yang berkata bahawa "Tuntutan itu tidak sesuai untuk dibangkitkan semasa pilihan raya umum", Ada pula yang berterus terang berkata "Tuntutan itu tidak boleh dibangkitkan kepada masyarakat Melayu" dan sebagainya. Sudah tentu, sesiapa sahaja yang mempunyai keupayaan berfikir yang normal akan menyedari dan memahami bahawa matlamat utama parti-parti politik berperlembagaan dan pemimpin parti-parti politik yang aktif di negara kita pada masa kini bermatlamat untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya umum untuk cuba memenangi kuasa memerintah; Hasrat pemimpin-pemimpin parti PR dan calon-calon mereka serta petugas kempen pilihan raya mereka adalah untuk memenangi seberapa banyak undi yang mungkin supaya dapat menukar kerajaan. Memandangkan pengundi Melayu menyumbang kepada lebih daripada separuh undi keseluruhan (mengikut nisbah pengundi dalam PRU ke-13 mengikut kumpulan etnik, pengundi Melayu 53%, pengundi Cina 30%, pengundi India 7%, Pribumi bukan Melayu 9%, kaum-kaum lain 1%), maka fokus mereka pada dan hanya pada meraih undi Melayu.

Demi meraih undi Melayu, kesemua parti komponen PR berusaha mengelakkan diri daripada tuntutan adil dan saksama rakyat bukan Melayu. Mereka sama ada langsung tidak menyentuh atau menyatakan pendirian samar-samar dengan kata yang berbunga-bunga apabila berdepan dengan isu-isu teras yang berkaitan dengan "hak istimewa Melayu" dan "pengislaman negara". Dibawah dalih "memupuk perpaduan antara bangsa", mereka sibuk mengampu masyarakat Melayu, dan mengelirukan atau memaksa masyarakat bangsa lain yang didiskriminasi dan terpinggir untuk bertolak ansur dalam kesengsaraan. Namun begitu, seperti biasa, majoriti orang Melayu masih memberikan undi mereka kepada UMNO-BN dalam PRU 13 yang lepas. Maka impian untuk menukar kerajaan yang diimpi-impikan oleh barisan pimpinan parti-parti PR itu tidak menjadi kenyataan.

Selepas gagal dalam pilihan raya, gabungan politik bersifat sementara yang dibentuk untuk merealisasikan impian "menukar kerajaan dan memenuhi hasrat masing-masing" ini telah berpecah secara rasmi kerana percanggahan asas dan konflik kepentingan antara 3 pihak (terutamanya DAP dan PAS) yang tidak dapat berkompromi lagi dan tindakan berkesan UMNO untuk memecah-belah pembangkang dan menawarkan pengampuan.

Chow Yu Hui, seorang pemimpin muda DAP (penyandang Ketua Pengarang Rocket News, organ rasmi DAP, merangkap ADUN DAP kawasan Bilut, Pahang) telah mengemukakan pendapat dan idea-idea berikut sebagai tindak balas kepada keadaan perpecahan PR: (1) hanya dengan mempunyai azam yang kuat, memutuskan segala hubungan dengan PAS, bekerja keras membangunkan Parti Amanah Nasional, membentuk haluan ke tiga di antara politik perkauman dan agama di Malaysia serta sedar bahawa pertukaran kerajaan hanyalah satu sarana dan bukannya matlamat, kekuatan pakatan pembangkang barulah dapat dikembalikan dan dapat mencari peluang dalam keadaan krisis sekarang bagi mengwujudkan politik baru pasca PRU 308 dan 505 di negera kita; (2) Pakatan Harapan mesti "menyingkirkan amalan hanya menyasarkan untuk menggulingkan kerajaan", mesti "mementingkan ideologi berbanding undi, mementingkan cita-cita berbanding kepentingan" untuk kembali semula ke landasan yang betul, kembali menjadi parti pembangkang tulen, kembali menegakkan yang betul dan hindari yang pesong serta bergerak ke arah kesederhanaan, progresif, sekular dan kemajmukan. Pandangan Chow Yu Hui ini patut diberi perhatian dan dikaji dengan serius oleh parti-parti politik, pertubuhan dan individu demokratik.

Kami tidak tahu kandungan khusus kenyataan Chow yang menyatakan "memutuskan segala hubungan dengan PAS, bekerja keras membangunkan Parti Amanah Nasional, membentuk haluan ke tiga di antara politik perkauman dan agama di Malaysia", maka kami sedia membuka telinga tentang butiran selanjutnya. Kami juga bersedia untuk berkongsi pandangan politik yang kita belajar dari amalan perjuangan reformasi demokrasi di negara kita dari 308 hingga 505 seperti di bawah:

(1) Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa berbilang agama yang berasal dari negeri-negeri yang diperintah oleh sultan-sultan Melayu, berkembang menjadi Persekutuan Tanah Melayu dan terus berkembang untuk membentuk "Persekutuan Malaysia" (termasuk Sarawak dan Sabah). Ditinjau dari sudut sejarah, negara kita merupakan tanah jajahan British sebelum mencapai kemerdekaan. Sejak abad ke-18, penjajah British telah menakluki Pulau Pinang, Melaka dan Singapura secara berturut-turut, dan menjadikan 3 negeri ini sebagai "Negeri-negeri Selat". Dalam usaha untuk merompak sumber-sumber, kekayaan dan kepentingan ekonomi dengan lebih berkesan, penjajah British seterusnya telah menawan kesemua 9 negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Selepas perang dunia kedua, berdepan dengan tamparan gelombang perjuangan anti-penjajahan oleh rakyat di Asia, Afrika dan Amerika Latin, British terpaksa menamatkan penjajahan mereka di Semenanjung Tanah Melayu, Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Penjajah British telah menopang rejim yang boleh mewarisi warisan penjajah untuk meneruskan pelaksanaan dasar penindasan bangsa pecah dan perintah, iaitu rejim Parti Perikatan (pendahulu kepada rejim Barisan Nasional) yang didominasi oleh UMNO, dan disertai oleh MCA dan (kemudiannya) MIC semasa memberikan kemerdekaan kepada "Persekutuan Tanah Melayu" pada tahun 1957.

(2) Parti Perikatan yang didominasi oleh UMNO dilanda dengan tamparan hebat dalam pilihan raya umum 1969, di mana ia hanya memenangi 90 daripada 144 kerusi Parlimen. Oleh itu "Perikatan" telah dinamakan semula kepada "Barisan Nasional (BN)" pada tahun 1974 setelah menyerap masuk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang pada asalnya membantah pembentukan Persekutuan Malaysia, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) iaitu parti memerintah di Pulau Pinang ketika itu, Parti Progresif Rakyat (PPP) yang berkuasa di Majlis Bandaraya Ipoh dan PAS yang telah memerintah Kelantan selama 10 tahun. Walaupun sejak zaman kerajaan Perikatan dahulu dan kerajaan BN sekarang, UMNO telah menerima "pemimpin politik" dan "elit pemerintah" daripada parti-parti bangsa utama, klik pemerintah UMNO sebenarnya melaksanakan penindasan bangsa seperti ayam putih terbang siang ke atas rakyat semua bangsa (terutamanya rakyat kelas bawahan). Helah mereka adalah dengan mewujudkan syak wasangka dan memecah-belahkan rakyat semua bangsa serta mempergunakan masyarakat Melayu untuk menindas kumpulan etnik minoriti lain (termasuk Cina, India, Dayak, Dusun Kadazan dan kumpulan etnik lain), ini hanya gejala luaran yang ditayangkan oleh pemerintah untuk mengelirukan rakyat.

(3) Walaupun penindasan bangsa digambarkan berlaku diantara bangsa dengan bangsa, bagaimanapun, tidak berlaku keadaan dimana keseluruhan ahli (semua orang) dalam bangsa menindas itu melaksanakan penindasan ke atas bangsa yang ditindas. Sebenarnya, yang giat melaksanakan penindasan bangsa adalah kelas memerintah reaksioner dan puak pemerintah yang mewakili kehendak dan kepentingan kelas tersebut, strata yang benar-benar mengalami penindasan bangsa yang teruk pula ialah kelas tertindas yang dieksploitasi dalam kalangan bangsa yang ditindas terutama kelas pekerja (kelas penindas dalam bangsa yang ditindas turut mengalami penindasan bangsa tetapi dalam batasan dan tahap yang terhad, oleh itu, dalam masa dan isu-isu tertentu mereka juga akan menunjukkan tindakan perjuangan). Realitinya, kelas tertindas yang dieksploitasi dalam kalangan bangsa yang menindas terutamanya kelas pekerja mereka turut merupakan sasaran dan mangsa penindasan dan eksploitasi oleh kelas memerintah reaksioner dan klik pemerintah. Selama ini, segala macam dasar penindasan dan memecah-belahkan rakyat yang dilaksanakan oleh klik memerintah UMNO-BN adalah mensasarkan rakyat bukan Melayu (terutamanya bangsa Cina, India, dan pribumi bukan Melayu di Sabah dan Sarawak) yang membentuk hampir separuh daripada keseluruhan penduduk di Malaysia. Kelas pekerja dan kelas borjuasi kecil dalam masyarakat Melayu juga merupakan mangsa penindasan kelas, namun, mereka lebih cenderung kepada berpuas hati dengan keadaan sedia ada atau tidak jelas dengan hala tuju penambahbaikan kehidupan dan pembaharuan sosial kerana serba sedikit telah menerima manfaat daripada dasar-dasar seperti DEB, sistem kuota bumiputera dan ketuanan Melayu. Oleh itu, adalah satu perjalanan yang jauh dan menjadi tugas berat yang bergantung kepada kebijaksanaan dan kekuatan rakyat semua bangsa supaya dapat mendorong kesedaran kelas tertindas yang dieksploitasi dalam masyarakat Melayu.

4. Mengambil iktibar dari pengalaman sejarah perjuangan kemerdekaan, membezakan lawan dan sekutu kita dalam perjuangan menentang hegemoni UMNO.

Selepas tahun 1969, Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukan sahaja mengujudkan kelas kapitalis Melayu baru, ia juga telah melebarkan jurang kekayaan di dalam masyarakat Melayu seterusnya menghasilkan keadaan tegang dalam masyarakat Melayu sendiri. Oleh itu, Islam yang menitikberatkan fahaman kesaksamaan semakin menarik perhatian tidak kira parti memerintah mahupun pembangkang sebagai satu kekuatan dalam masyarakat Melayu untuk menentang ketidaksaksamaan. Pada tahun 1982 ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri, dia telah merekrut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ketika itu, Anwar Ibrahim untuk menyertai UMNO, dengan harapan mengintegrasikan UMNO dengan Gerakan Renaissance Islam untuk menjadi sebuah kuasa politik yang kuat. Sejak itu, UMNO yang pada asalnya bersifat sekular memulakan evolusi pengislaman mereka, posisi UMNO dalam Gerakan Renaissance Islam telah bertukar dari pasif kepada pro-aktif. Pada tahun 1997, apabila krisis kewangan Asia berlaku, strategi untuk menangani krisis ini, antara Mahathir selaku Perdana Menteri dengan Anwar selaku Timbalan Perdana Menteri yang masing-masing mewakili kumpulan berkepentingan yang berlainan, jauh berbeza. Percanggahan antara mereka bertambah sengit dan akhirnya menyebabkan Anwar dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan oleh Mahathir pada 2 September 1998.

Anwar melancarkan aksi serang balas sejurus selepas dipecat. Dia merantau di seluruh pelusuk negara untuk mendedahkan pelbagai skandal rasuah, salah guna kuasa dan kronisme dibawah pimpinan Mahathir. Tindakan serang balas ini telah menarik perhatian massa, terutama masyarakat Melayu, dan mencetuskan gerakan REFORMASI. Gerakan REFORMASI ini menjadi pemangkin kepada pembentukan Parti Keadilan Nasional yang mendakwa mereka menentang pemerintahan kuku besi dan salah guna kuasa Mahathir, serta berjuang untuk keadilan (parti ini kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia dan nama parti ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat, PKR). Dalam kata lain, PKR merupakan hasil apabila Anwar, dengan sokongan sekumpulan pemimpin ABIM, memimpin satu perjuangan politik (yang berasaskan bangsa Melayu dan bersekutu dengan bangsa lain) anti Mahathir dan anti hegamoni UMNO, selepas ditindas oleh Mahathir ekoran daripada percanggahan teramat sengit antara mereka berdua.

Semasa membincangkan gerakan demokrasi di Malaysia, ramai demokrat yang menerima idea yang ditanam oleh sistem pendidikan kebangsaan sering memisahkan gerakan reformasi demokrasi Malaysia semasa dengan gerakan kemerdekaan nasional dan gerakan revolusi demokratik Malaya (termasuk Singapura) yang berlaku dalam era sebelum merdeka. Mereka hangat membincangkan gerakan "REFORMASI" Anwar yang kemudianya berkembang mengwujudkan PKR pada tahun 1998, tetapi tidak menyebut tentang perjuangan "Malaysia untuk Malaysian" dan "melaksanakan sistem demokrasi sekular, menentang pemerintahan teokratik" yang menjadi ideologi DAP, mereka juga tidak menyebut tentang perjuangan masyarakat Cina dalam memelihara kewujudan dan pembangunan pendidikan bahasa ibunda serta perjuangan masyarakat India terpinggir yang paling miskin dalam melindungi maruah, hak untuk hidup dan kebebasan beragama mereka, seolah-olah cuba memberi gambaran bahawa masyarakat Melayu merupakan peneraju dan kuasa utama dalam reformasi demokratik, juga seolah-olah hendak menyakinkan orang ramai bahawa untuk "selamatkan Malaysia", perlu bergantung kepada "pemimpin politik" yang "berwibawa" dan "elit politik" yang "berkedudukan kepimpinan" untuk tampil dan menonjolkan kehebatan mereka. Fenomena tidak logik ini terus berlaku dan banyak disebarkan oleh arus perdana media menimbulkan tanda soal dan menjadi renungan semua demokrat yang membimbangkan masa depan Malaysia.

Oleh itu, dalam tempoh beberapa tahun yang lepas, kami telah mengusahakan dan memperoleh sejumlah kecil hasil dalam dua bidang berikutnya: (1) mengkaji pengalaman dalam gerakan anti-penjajahan yang menuntut kemerdekaan bangsa dan menuntut demokrasi yang dilancarkan oleh rakyat di Tanah Melayu (termasuk Singapura), (2) mengkaji keadaan masyarakat India yang ditindas dan diperhambakan sebelum kemerdekaan negara dan kesedaran masyarakat India Malaysia dalam dilema selepas kemerdekaan.

Antara usaha dan hasil utama  ialah: Menerbitkan artikel Chng Min Oh yang bertajuk "Mengkaji masalah yang dihadapi dalam gerakan buruh sayap kiri di Singapura pada 1960an" (bhg 1 dan 2) pada bulan Januari dan April 2013 ke Blog Sahabat Rakyat dan dicetak; pada Ogos 2014, kami memuat naik "sebahagian Manuskrip tinggalan Lim Chin Siong (Q & A)" yang telah disimpan bawah laci selama hampir 20 tahun; pada bulan Disember 2014, kami menerbitkan catatan wawancara antara editorial blog Sahabat Rakyat dengan Lim Hock Koon (bhg 1 dan 2), seorang pemimpin utama gerakan pelajar sekolah Cina Singapura membantah kerahan wajib tentera pada tahun 1950-an yang dikenali sebagai insiden “13 Mei”; pada bulan Febuari 2015 pula, kami menerbitkan kertas kerja hasil karangan ahli jawatankuasa Sahabat Rakyat Nyam Kee Han yang bertajuk "Pergerakan HINDRAF merupakan hasil gerakan demokratik semasa Komuniti India Malaysia" (dan dicetak pada bulan September 2015 serta menerbitkan dua bahagian penting kertas kerja tersebut dalam Bahasa Tamil hasil penterjemahan Ravi Sarma); awal tahun 2016, kami memuat naik makalah bertajuk "Cara terbaik untuk mengenang Lim Chin Siong adalah dengan menyebarkan kepercayaan dan fikiran beliau" dan "Part of Lim Chin Siong Q&A Posthumous manuscript" dalam Bahasa Inggeris hasil penterjemahan seketeriat Sahabat Rakyat; pada 20 Mac 2016, Hindraf Johor, Parti Sosialis Malaysia cawangan Nusajaya dan Sahabat Rakyat telah menganjurkan forum bertema "Penghormatan kepada Lim Chin Siong dan S.A. Ganapathy, memgembangkan semangat membaktikan diri pemimpin-pemimpin terkemuka gerakan pekerja Malaya". Kami berharap usaha-usaha kami ini akan menjadi iktibar supaya gerakan reformasi demokratik semasa boleh elak daripada mengulangi kesilapan yang sama.

Kami sedia maklum bahawa sejak pengumuman kononnya "Deklarasi Rakyat" pada 4 Mac tahun ini (2016), ia telah menimbulkan banyak kekeliruan dan perdebatan di kalangan parti-parti politik, pertubuhan demokratik, demokrat-demokrat dan orang ramai. Banyak tanda yang menunjukkan bahawa "Deklarasi Rakyat" yang bertujuan untuk "menyingkirkan Najib demi menyelamatkan Malaysia" ini merupakan inisiatif dan usaha Mahathir yang disokong oleh sesetengah pemimpin parti pembangkang dan pemimpin Badan bukan kerajaan (NGO). Oleh itu, dokumen ini sudah pasti merupakan satu kecaman rasmi dari Mahathir bersama dengan kekuatan parti pembangkang terhadap Najib untuk mendesak Najib meletak jawatan serta-merta. Pada 14 Julai, selepas anak kesayangannya Mukhriz Mahathir, dan rakannya Muhyiddin Yassin, masing-masing dilucutkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah dan Timbalan Perdana Menteri serta dipecat daripada UMNO, Mahathir mengesahkan penubuhkan sebuah parti politik baru dan mengumumkan bahawa parti ini akan membentuk satu pakatan dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang menyertai gerakan ‘Deklarasi Rakyat’ untuk menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang. Ini menandakan bahawa kumpulan berkepentingan utama dalam UMNO telah perpecah ekoran daripada percanggahan yang semakin sengit sesama sendiri. 

Tidak menghairankan bahawa sesetengah pemimpin parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan menaruh harapan tinggi kepada "Deklarasi Rakyat" dan parti baru yang dipelopor dan diusahakan oleh Mahathir, selepas kegagalan untuk menukar kerajaan dalam pilihan raya lepas, kerana mereka telah ketandusan idea untuk memaksa Najib berundur dengan kekuatan sendiri setelah berpecah akibat percanggahan yang sengit atau perbezaan pendapat. 

S. Arutchelvan, seorang pemimpin parti pembangkang Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang memperjuangkan "Kuasa Rakyat", membidas secara terbuka 3 tindakan gopoh parti-parti pembangkang di facebook beliau baru-baru ini: 
(1) Pembentukan Pakatan Harapan gopoh-gapah kerana tidak mempunyai pendirian dan posisi bersama. Mereka juga mempunyai rakan kongsi yang berbeza di negeri yang berbeza. Di Pulau Pinang, PAS adalah pembangkang, manakala di Selangor, PAS berada dalam gabungan parti pemerintah;
(2) Terburu-buru mengumumkan sokongan mereka terhadap "Deklarasi Rakyat" yang dipelopor dan dipimpin oleh Mahathir. Tindakan ini telah menyebabkan kekeliruan di kalangan penyokong parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan sekaligus mengakibatkan perpecahan. Pimpinan Pakatan Harapan berharap "Deklarasi Rakyat" akan memecahkan UMNO, tetapi tanpa diduga, parti pembangkang yang berpecah dengan lebih cepat dan lebih teruk. 
(3) Terburu-buru berserta dalam sidang akhbar untuk menunjukkan sokongan pada penubuhan parti baru Mahathir. Tindakan ini memberi gambaran bahawa Mahathir secara rasmi menggantikan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin baru parti pembangkang. 

Kritikan Arutchelvan terhadap pemimpin-pemimpin 3 parti komponen Pakatan Harapan (PKR, DAP, Parti Amanah) ini, pada tahap tertentu, memang mencerminkan pandangan semasa dan perasaan sesetengah parti politik demokratik, pertubuhan demokratik dan demokrat.

Sekalipun terdapat lebih banyak parti politik dan pertubuhan demokratik serta individu tidak setuju untuk terlibat dengan pergerakan "Deklarasi Rakyat" Mahathir, ataupun secara terbuka membantah parti baru Mahathir untuk menyertai pilihan raya umum akan datang, namum, dalam keadaan politik semasa di dalam dan luar negera, pergerakan "Deklarasi Rakyat" yang dikenali dengan tujuannya "untuk menyingkirkan Najib, bukan untuk menumbangkan hegemoni UMNO" dan wujudnya sebuah parti baru yang selari dengan tujuan tersebut untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang, merupakan hal yang pasti berlaku dan tidak akan berubah mengikut kehendak subjektif sesiapa pun. Ekoran daripada perkembangan pergerakan "Deklarasi Rakyat" dan kewujudan parti baru Mahathir, Pakatan Harapan mungkin akan berpecah disebabkan oleh salah sebuah parti komponen atau antara pemimpin-pemimpin parti tertentu akan disogok dan dibeli, juga merupakan perkara yang tidak akan berubah mengikut kehendak subjektif mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun, parti-parti demokratik dan pertubuhan demokratik serta demokrat di Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pengalaman sejarah perjuangan kemerdekaan Malaya (termasuk Singapura), terutamanya pengajaran di mana Lee Kuan Yew menyusup masuk ke dalam gerakan anti-kolonial di Singapura pada tahun 1950-an untuk menipu sokongan rakyat dan menunjukkan muka sebenarnya untuk menghancurkan kekuatan rakyat selepas dapat merampas kuasa. Kita mesti berwaspada bahawa terdapat watak seperti Lee Kuan Yew yang cuba menyusup masuk ke dalam perjuangan menentang pemerintahan hegemoni UMNO untuk menipu sokongan rakyat Malaysia, dan kemudiannya akan menunjukkan muka sebenar untuk menindas perjuangan menentang hegemoni selepas mendapat kuasa pemerintahan.

Adakah kita masih ingat menjelang pilihan raya umum tahun 1999, dibawah desakan keadaan dimana rata-rata rakyat mengharapkan perubahan, untuk memastikan kemengan dalam piliha raya, Mahathir selaku Presiden UMNO dan BN pada ketika itu telah mewakilkan Ling Liong Sik untuk menerima "Rayuan Pilihan Raya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Suqiu)" yang dikemukakan oleh ribuan persatuan Cina di Malaysia melalui Dong Jiao Zong. Pada tahun 2000, selepas mendapat kemenangan dalam pilihan raya, Mahathir dan klik hegemoni UMNO yang dipimpininya telah menunjukkan wajah sebenar dengan menodai nama baik Dong Jiao Zong, menimbulkan ugutan perkauman, seterusnya memaksa jawatankuasa 'suqiu' yang diwakili Dong Jiao Zong untuk mengetepikan tujuh tuntutan yang memusatkan aspirasi semua bangsa tertindas. Pengalaman dan ajaran sejarah persatuan-persatuan Cina 16 tahun dahulu sudah memadai sebagai iktibar kepada semua parti politik demokratik, pertubuhan demokratik, aktivis demokrasi serta rakyat semua bangsa.

Sebelum ini, juru cakap kem Mahathir, A. Kadir Jasin telahpun mendedehkan bahawa "Parti baru Mahathir adalah parti Melayu/Bumiputera (peribumi)", "Parti baru ini berikrar akan berjuang secara menyeluruh demi pembaharuan politik dan berbilang kaum, di samping mengurangkan konfliknya dengan parti-parti pembangkang", " Parti baru juga berharap dalam pilihan raya akan datang, pembangkang akan menentang Barisan Nasional dengan satu-lawan-satu dan menang". Pada 9 Ogos, Muhyiddin Yassin yang telah dipecat keluar dari UMNO mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk mendaftar sebuah parti politik baru atas nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Kami berpendapat bahawa, sama ada parti-parti demokratik, pertubuhan demokratik, demokrat dan rakyat semua bangsa Malaysia menyokong atau tidak menyokong Mahathir dan partinya untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang bergantung kepada sama ada Mahathir akan melakukan 3 perkara berikut terlebih dahulu:

1. Mengaku secara terbuka bahawa mengumumkan "Malaysia merupakan sebuah negara Islam" secara sesuka hatinya merupakan satu keputusan silap yang melanggar "Perlembagaan Persekutuan", dan memohon maaf secara ikhlas kepada rakyat semua bangsa di Malaysia.

2. Mengaku secara terbuka bahawa cubaan untuk menghancurkan masa depan politik Anwar pada tahun 1998 adalah satu keputusan dan tindakan yang salah, dan meminta maaf kepada keluarga Anwar dan seluruh rakyat.

3. Mengumumkan secara terbuka bahawa parti politik barunya hanya akan bertanding di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang dikuasai penuh oleh UMNO dalam pilihan raya akan datang supaya selaras dengan strategi satu lawan satu pakatan pembangkang (Tidak akan bertanding di kerusi parlimen dan dewan undangan negeri yang telah dimenangi oleh parti-parti pembangkang atau mempunyai harapan untuk menang sama sekali). 

Rakyat semua bangsa pasti akan mengambil iktibar daripada setiap kali perjuangan menentang pemerintahan hegemoni UMNO untuk membezakan siapakah musuh kita, siapakah sekutu kita dalam perjuangan?

*Enam perenggan di atas telah diterbitkan sebagai kenyataan Sahabat Rakyat pada 13 Ogos 2016 berkait dengan tindakan Mahathir mempelopori “Deklarasi Rakyat” dan membentuk parti politik baru.

4. Aspirasi kami terhadap gerakan reformasi demokratik semasa Malaysia

Rakyat semua bangsa di Malaysia tidak harus lupa, klik pemerintah UMNO yang mewakili kepentingan kelas kapitalis-birokrasi dan kelas pemerintah feudal Melayu telah mengenakan pemerintahan hegemoni ke atas rakyat semua bangsa sejak kemerdekaan lagi. Mahathir merupakan perdana menteri yang berkuasa paling lama (1982-2003) dan paling "tinggi pencapaiannya" di antara enam perdana menteri negara kita. Semasa zaman pemerintahan Mahathir, dia telah melaksanakan pelbagai dasar pengislaman negara yang tidak semena-mena, dan telah mengumumkan "Malaysia adalah sebuah negara Islam" 2 tahun sebelum dia berundur, sekaligus menghancur-binasakan semangat Perlembagaan Persekutuan yang dipegang oleh rakyat semua bangsa sepanjang masa. Mahathirlah yang membawa regim UMNO ke arah kuku besi, bermaharajalela, tamak dan bobrok serta membiarkan puak yang berkuasa untuk bersewenang-wenang. Bagi rakyat biasa semua bangsa, Mahathir dan Najib bagai kecubung berulam ganja, sama-sama jahat. Siapa yang boleh menafikan bahawa mereka merupakan ikon tertinggi klik memerintah hegemoni UMNO pada masa yang berbeza?

Sesetengah parti politik, pertubuhan masyarakat dan individu demokratik di negara kita bergembira dengan inisiatif Mahathir untuk menubuhkan parti politik baru. Ada juga yang cukup polos dan naïf dengan menaruh harapan tinggi kepada Mahathir dan percaya bahawa mereka boleh memperalatkan kekuatan politik Mahathir untuk memaksa Najib berundur, menggulingkan klik pemerintah hegemoni UMNO, dan mencapai matlamat "menukar kerajaan" seawal mungkin. Mereka ini telah mengabaikan beberapa faktor penting di bawah:

(1) Selama 22 tahun memerintah, dengan bergantung kepada pembangunan ekonomi barat, Mahathir telah memupuk sejumlah besar kroni dan kelas kapitalis Melayu yang agak kuat. Selepas Mahathir meletak jawatan, kapitalisme Barat mula mengalami kemerosotan, terutamanya selepas Najib mengambil alih kuasa. Kebangkitan negara China telah memaksa pembangunan ekonomi negara kita untuk beralih haluan, seterusnya menyebabkan persenggetan kepentingan antara 2 puak utama di dalam UMNO, iaitu kroni Mahathir yang berkepentingan dan kroni Najib yang sedang menunggu peluang mereka, semakin hebat dan menonjol; pada asalnya Mahathir hendak memaksa Najib untuk berundur melalui laluan dalaman UMNO iaitu dengan menggunakan pengaruhnya dan kuasa-kuasa kroninya. Tetapi tanpa diduganya, Najib disebelah tangan menggunakan kuasa luar untuk menyelamatkan dirinya daripada dilema politik dan ekonomi yang sedang membelenggu dia, disebelah tangan lain dia tidak teragak-agak untuk menggertak kroni Mahathir daripada bertindak terburu-buru dengan tindakan drastik memaksa Mahathir keluar parti, memecat Mukhriz dan Muhyiddin dari UMNO serta melucutkan jawatan rasmi mereka, dengan itu Najib berjaya mengukuhkan kawalannya ke atas UMNO. Mahathir tidak mempunyai pilihan lain tetapi terpaksa membentuk sebuah parti politik baru untuk bersaing dengannya.

(2) Dasar-dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh Mahathir sekian lama ini bukan sahaja memperhebatkan percanggahan antara masyarakat bukan Melayu dan kelas pekerja masyarakat Melayu yang tertindas dengan golongan Melayu yang berkedudukan menindas (iaitu golongan berkuasa feudal Melayu dan kelas kapitalis birokrasi Melayu), ia juga telah melebarkan jurang kekayaan di antara golongan kaya dan golongan miskin dalam masyarakat Melayu itu sendiri. Jurang antara golognan kaya dan golongan miskin dalam masyarakat Melayu, dalam erti kata yang lebih khusus, bermakna golongan birokrasi dan kelas kapitalis Melayu yang hanya terdiri daripada sebahagian kecil daripada keseluruhan penduduk menjadi semakin kaya, manakala kelas pekerja Melayu yang merupakan majoriti penduduk semakin hari semakin miskin. Fenomena ini menyebabkan polalisasi yang ketara di dalam masyarakat Melayu. Niat Mahathir menubuhkan parti politik baru adalah untuk dan hanya untuk berjuangkan kepentingan dirinya, keluarganya, kroninya dan untuk kelas kapitalis Melayu yang dia bangunkan, adalah mustahil bahawa parti itu akan berjuang untuk kepentingan individu lain, keluarga lain, kroni lain, apatah lagi bangsa lain dan kelas-kelas lain (terutamnya kelas pekerja Melayu).

(3) Sekarang, Mahathir tidak lagi memerintah, dia sudahpun kehilangan kewibawaan dan kuasanya seperti mana semasa dia adalah Perdana Menteri dan pengerusi UMNO, dia juga telah hilang pengaruh dan peranan politiknya ke atas rakyat semua bangsa terutamanya orang Melayu. Kini, Mahathir hanya boleh dilihat sebagai wakil kepada kelas kapitalis Melayu yang dia bangunkan dan kroni-kroni dia yang masih setia kepadanya. Sepanjang zaman berkuasanya, Mahathir telah menempatkan dirinya dan puaknya diposisi bertentangan dengan rakyat jelata semua bangsa termasuk rata-rata masyarakat Melayu, melalui pelaksanaan pemerintahan hegemoninya ke atas rakyat semua bangsa, termasuk kelas pekerja Melayu di kawasan bandar dan luar Bandar, sekaligus menentukan Mahathir dan parti barunya tidak akan mendapat sokongan daripada majoriti orang Melayu. Satu-satunya perkara yang dia boleh lakukan ialah bermain dengan politik wang untuk menyogok dan membeli serta menawarkan pengampunan seperti mana yang dilakukan oleh Najib - ini adalah cabaran utama yang dihadapi oleh gerakan reformasi demokrasi semasa di Malaysia.

Harapan kami kepada gerakan reformasi demokrasi semasa Malaysia ialah: Rakyat tertindas seluruh negara tidak terpedaya, parti politik dan pertubuhan demokratik menolak pembelian dan sogokan, sama-sama meneruskan perjuangan membantah pengislaman negara dan menguburkan pemerintahan hegemoni UMNO sehingga kita menang pertarungan ini!

Kami ingin berkongsikan kata-kata berikut dari seorang ahli sosiologi yang terkenal, Lim Teck Ghee, dengan parti politik, pertubuhan dan individu demokratik negara kita:

"Bagi orang bukan Islam dan bukan Melayu, perkembangan baru ini, dan anasir-anasir perkauman dan ekstremisme yang meresap ke dalam pemahaman tentang Islam dikalangan masyarakat Melayu, bukannya sesuatu pekara yang remeh yang boleh diperkecilkan. Ini bermakna, dalam ketika negara Malaysia menjadi semakin hari semakin Islamik, mereka (masyarakat bukan Melayu, bukan Islam) tidak boleh mengharapkan PAS, UMNO, atau mungkin juga Parti Amanah Negara, parti Islam terbaru dan NGO-NGO Islam yang progresif serta cendekiawan yang berkeprihatinan untuk memberi perhatian dan berjuangkan hak sama rata. Mereka hanya boleh bergantung kepada diri sendiri, dan tidak boleh mencontohi anekdot katak di dalam air panas, menangguh terlalu lama untuk bertindak balas kepada kehangatan kebangkitan Islam dan perkauman terkini di negara ini." [Lim Teck Ghee, Rise of Malaysia’s ‘racist’ strain of Islam]

0 comments:

通告 Notification




Malaysia Time (GMT+8)