Allah Milik Semua
Satu Perspektif Sabah
~ Dr. Jeffrey Kitingan ~
Penterjemah: Sahabat Rakyat Editorial
[Nota Editor] Makalah ini merupakan teks penuh ucapan Pengerusi Parti STAR, Dr. Jeffrey Kitingan yang turut merupakan seorang penganut Roman Katolik dan pemimpin kaum Kadazan-Dusun, dalam Forum "Krisis perkataan Allah • Hak berperlembagaan • Kebebasan beragama" anjuran bersama Sahabat Rakyat Working Committee dan Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Johor pada 4hb Mei 2014 di Auditorium JOTIC, JB. Makalah ini adalah penterjemahan daripada versi asal dalam Bahasa Inggeris. Sekiranya terdapat perbezaan, versi Bahasa Inggeris adalah dianggap muktamad.
Isu agama tidak pernah menjadi isu di Sabah sehingga baru-baru ini. Begitu juga dengan perkataan "Allah" boleh dirujuk kepada “God”. Ia bukan satu isu.
Agama adalah di antara Allah dan individu. Ia adalah satu perkara peribadi; pilihan peribadi. Banyak keluarga di Sabah mempunyai ahli keluarga yang menganut agama dan mempunyai kepercayaan yang berbeza; Dalam keluarga saya sendiri pun, kami mempunyai penganut Kristian, penganut Islam dan penganut Buddha. Ini langsung tidak menjadi masalah kerana kami menghormati kepercayaan masing-masing.
II. Kebebasan Beragama
Kami percaya kepada kebebasan beragama yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara II)
Petikan...
"Tiap-tiap Orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya ....."
Perkara 3 (1) juga menyatakan bahawa ...
"Islam ialah agama Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan ini..."
Sekatan atau larangan ke atas penggunaan perkataan “Allah” kepada umat Kristian, kita percaya, menyalahi Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama dan ini sama seperti penindasan agama dan mencabuli hak asasi manusia.
III. Sabah/Sarawak Tiada Agama Rasmi
Sabah & Sarawak tidak mempunyai agama rasmi semasa pembentukan Malaysia. Malah perkara pertama dalam perjanjian 20/18 perkara (syarat minimum untuk Borneo bersetuju untuk membentuk Malaysia) adalah mengenai agama.
Poin # 1 : Agama
"Sementara tidak ada bantahan terhadap Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia, tidak harus mengadakan agama rasmi Negeri di Borneo Utara dan sebarang peruntukan yang berkaitan dengan Islam dalam perlembagaan Malaya sekarang, tidak harus berkuatkuasa di Borneo Utara ( Sabah) ..... "
Peruntukan ini turut diukir dalam “Batu Sumpah” di Keningau sebagai tanda "Ugama Bebas" di Sabah.
Oleh itu, rampasan Al-Kitab Kristian di dalam Bahasa Iban dan Bahasa Malaysia dianggap sebagai provokasi kepada masyarakat bukan Islam, terutamanya Kristian.
Kami di Sabah tidak faham mengapa Al-kitab dalam Bahasa Malaysia tidak dibenarkan dan sekarang ada pula kumpulan tertentu menyeru untuk tidak membenarkan Bahasa Malaysia di Gereja-gereja hanya kerana perkataan “Allah”. Apa yang kecoh sangat ini? Kami telah menggunakan perkataan “Allah” selama ini. Menurut Sarjana Islam (Tariz), perkataan “Allah”, yang bermaksud Tuhan, adalah bahasa Arab, bukan perkataan Melayu. Ia bukan nama untuk Tuhan.
IV. Perkahwinan campur biasa di Sabah
Oleh kerana agama dianggap sebagai perkara peribadi, ia tidak menghalang hubungan antara setiap individu. Oleh itu, tidak hairan untuk melihat perkahwinan campur di Sabah, termasuk di antara penganut Islam dan Kristian. Kami saling menghormati agama masing-masing. Saya ada seorang kawan dan rakan sekerja yang menghantar isterinya ke Gereja pada hari Ahad dan isteri menghantarnya ke Masjid pada hari Jumaat. Saya dapati ini keunikan orang Sabah. Tetapi hari ini orang bukan Islam dipaksa untuk menukar agama sebelum perkahwinan boleh berlangsung. Keadaan ini merosakkan suasana yang saling menghormati seperti sebelum ini. Ini bermakna, agama, apabila dipaksa ke atas seseorang, mewujudkan halangan psikologi dan ketegangan antara individu yang akhirnya kepada masyarakat umum.
V. Saling menghormati merupakan dasar kepada keamanan dan keharmonian
Tiada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa “Allah” atau “God” adalah milik dia. “Allah” dimiliki semua. Jika anda menghormati Tuhan/Allah, maka kita harus menghormati satu sama lain sebagai anak kepada Allah. Jika kita benar-benar mengamalkan kebebasan beragama dan kebebasan pilihan, sudah tentu keamanan dan keharmonian juga wujud. Saya percaya agama harus menggalakkan keamanan, cinta dan pemahaman di kalangan manusia, bukannya benci-membenci atau salah faham. Masalahnya berlaku apabila agama telah dipolitikkan dan fikiran hodoh pelampau agama dibenarkan untuk berkembang.
Kesimpulan
Agama tidak boleh dipolitikkan. Kebebasan beragama dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan diamalkan. Agama dan kepercayaan adalah pilihan peribadi. Ia juga perlu dihormati. Sabah & Sarawak adalah contoh terbaik suasana bertolak ansur antara agama berlainan, saling hormat-menghormati dan harmoni, walaupun dalam sebuah keluarga.
Berikut merupakan pautan ke versi asal dalam Bahasa Inggeris dan penterjermahan dalam Bahasa Cina:
1. Allah is for All - A Sabah Perspective
2. 从沙巴人民角度看 阿拉是全体人民的
No comments:
Post a Comment