Tuntutan-Tuntutan
Pilihan Raya Kecil Kajang 2014
8 Mac 2014
(Kemaskini gambar sidang akhbar pada 5pm, 8 Mac 2014)
(Kemaskini gambar sidang akhbar pada 5pm, 8 Mac 2014)
Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Kajang akan berlangsung pada 11 Mac, manakala hari pengundian pula jatuh pada 23 Mac. PRK luar jangkaan ini harus diberi perhatian khas oleh rakyat seluruh negara. Kami, semua pertubuhan dan individu yang endos dokumen ini dengan ini menyampaikan hasrat kami kepada semua calon PRK ini, para pemimpin parti-parti politik dan pertubuhan masyarakat, serta rakyat semua lapisan semua bangsa yang prihatin terhadap masa depan politik negara kita.
Klik pemerintah Barisan Nasional (BN) yang didominasi oleh UMNO meneruskan pemerintahan selepas PRU 13. Ketidakpuasan dan emosi penentangan rakyat makin hari makin membara kerana kehidupan rakyat semakin menderita, sementara harga barangan melambung tinggi. Klik pemerintah hegemoni UMNO-BN yang berniat untuk mengelirukan kesedaran rakyat terhadap punca kesengsaraan kehidupan dan mengalihkan tumpuan rakyat terhadap matlamat reformasi demokratik masyarakat terus mengapi-apikan dan membesar-besarkan isu perkauman dan agama sehingga mencetusnya krisis larangan penggunaan perkataan “Allah” oleh penganut bukan Islam.
Konflik sosial tersebut semakin kritikal dan matlamat perjuangan juga semakin jelas. Pada saat-saat genting sebegini, Anwar Ibrahim sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) dan pemimpin ‘de facto’ Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah merancangkan PRK Kajang dengan sengajanya. PRK ini sangat penting sama ada dalam perjuangan politik dalaman parti mahupun diluar parti bagi pihak Anwar dan elit politik PKR tertentu. Malah, Anwar sanggup meletakkan dirinya sebagai calon dalam PRK ini dan memimpin rakyat seluruh negara menuju satu medan perjuangan yang dianggapnya mempunyai makna politik nasional. Maka, tidak hairan isu kewujudan dan makna PRK ini diambil berat atau dipersoalkan oleh rakyat semua kaum di samping dibincang atau dikritik oleh individu-individu demokratik dan NGO-NGO.
Memandangkan PKR memberi dua alasan iaitu, (i) untuk membendung serangan perkauman dan keagamaan daripada BN, dan (ii) menjadikan Selangor sebagai batu loncatan untuk menuju ke Putrajaya untuk membalas keraguan rakyat semua bangsa terhadap makna dan keperluan PRK Kajang ini; Parti-parti lain dalam PR iaitu Democratic Action Party (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) turut menyokong pendirian Anwar Ibrahim dan PKR terhadap PRK Kajang yang dinyatakan di atas, kami berpendapat rakyat semua bangsa seluruh negara dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat (termasuk pertubuhan tradisional seperti pertubuhan perniagaan, kesatuan sekerja, pertubuhan yang berdasarkan asal-usul, pertubuhan kebudayaan dan pendidikan dan lain-lain) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) moden seperti pertubuhan yang memperjuangkan and melindungi hak asasi manusia, wanita, alam sekitar, agama dan sebagainya harus menyertai PRK ini dengan aktif. Pertubuhan-pertubuhan tersebut boleh menyertai PRK ini, secara bebas dan berotonomi, dengan menyuarakan tuntutan-tuntutan yang melindungi hak dan kebajikan asas masyarakat yang mereka wakili yang seiring dengan kepentingan bersama rakyat semua bangsa. Pada masa yang sama, pertubuhan-pertubuhan tersebut harus menggemblengkan rakyat untuk menunjukkan kuasa rakyat bagi mendesak calon dan parti atau barisan yang diwakili oleh calon tersebut menerima dan kemudiannya menunaikan tuntutan-tuntutan tersebut. Kita berharap gerakan reformasi demokratik yang dipelopor oleh rakyat jelata akan mencapai satu milestone yang baru. Kami percaya bahawa rakyat merupakan kuasa utama yang mencipta sejarah.
Kami berpendapat bahawa Anwar Ibrahim selaku calon PRK Kajang dan Perdana Menteri in waiting yang bersedia menawan Putrajaya dan PR yang dipimpin oleh beliau, tidak harus bersikap sepertimana dalam PRU 13 yang mengagungkan pemimpin politik dan golongan elit politik. Mereka tidak harus menggunakan deklarasi yang berbunga-bunga tetapi tidak praktikal dan membawa makna yang samar-samar, sebaliknya harus endos tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh pertubuhan masyarakat (tidak terhad kepada tuntutan ini) secara ikhlas. Dengan itu, barulah dapat menunjukkan keikhlasan PR dalam mereformasikan sistem sedia ada dan seterusnya memenangi keyakinan rakyat seluruh negara terhadap mereka. Jika tidak, pengundi-pengundi Kajang mahupun pengundi seluruh negara pasti akan membuat keputusan dan balasan yang bijak dalam PRK Kajang dan PRK-PRK lain, malahan dalam pilihan raya umum yang akan datang!
Tuntutan pertama : menghapuskan penindasan agama, melaksanakan kesamarataan bangsa
Klik pemerintah Barisan Nasional (BN) telah menunjukkan wajah sebenar hegemoni perkauman mereka yang menyalahgunakan jentera negara dan menindas hak asasi rakyat semua kaum hanya 9 bulan selepas PRU13. Insiden menghalang rakyat bukan Muslim di Semenanjung Malaysia mengguna perkataan “Allah” dan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke Persatuan Bible Malaysia (PBM) dan merampas lebih daripada 300 buah bible versi Bahasa Melayu dan Bahasa Iban serta menahan dua pegawai PBM ke balai polis untuk siasatan akhir-akhir ini jelas merupakan tindakan klik pemerintah BN membelakangkan hak bebas beragama yang diperuntukkan dalam “Perlembagaan Persekutuan” dan memperalatkan sistem keagamaan yang telah mengalami pengislaman yang lengkap, untuk mengukuhkan sumber undi dan kedudukan memerintah mereka. Klik pemerintah BN turut cuba menindas mana-mana kuasa politik yang berani untuk menentang dalam hal ini melalui ugutan perkauman mereka.
Oleh itu, parti dalam Pakatan Rakyat (PR) harus menyahut ugutan perkauman UMNO dengan balasan secara terus dan terbuka. Sebaliknya, jika membenarkan klik hegemoni UMNO untuk terus berleluasa, adat resam dan agama rakyat semua kaum terutamanya kaum minoriti pasti akan terus dihakis dan ditindas.
Oleh itu, kita menuntut calon-calon untuk mempertahankan hak kebebasan beragama orang bukan Islam dengan menentang secara jelas dan terbuka undang-undang Islam diguna pakai ke atas orang bukan Islam, langkah-langkah khusus seperti berikut:
(1) Menyokong cadangan pindaan ke atas Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang dikemukakan oleh tiga ADUN DAP Selangor.
(2) Memelihara kepercayaan, agama dan adat resam bangsa minority, memastikan penganut semua agama mempunyai hak yang sama untuk menganut mana-mana agama, dan menyediakan dana untuk membantu mereka mengikut keperluan bagi pengubahsuaian, pengembangan atau memperuntukkan tanah untuk membina tempat ibadat baru.
(3) Melayan tempat ibadat semua agama dengan adil dan saksama, seperti menyenaraikan dengan jelas dan terbuka syarat-syarat dan garis panduan bagi lokasi dan bangunan yang hendak dijadikan atau menukar menjadi tempat-tempat ibadat. Meluluskan permohonan yang telah memenuhi syarat kelayakan untuk bertukar daripada tujuan bukan agama untuk tujuan agama.
Tuntutan kedua : Pilihan raya yang Adil dan Bersih
Berbanding dengan pilihan raya yang lepas, masih banyak aduan tentang penipuan dalam PRU 13. Ini menunjukkan kedegilan dan keangkuhan klik pemerintah BN yang terus mengabaikan tuntutan reformasi sistem pilihan raya yang dikemukakan oleh rakyat. Selepas PRU, BERSIH 2.0 telah menubuhkan ‘Tribunal rakyat’ yang terdiri daripada enam orang pakar dari dalam dan luar negeri. Tribunal ini bertanggungjawab menjalankan siasatan sama ada penyelewengan dalam pengendalian kerangka perundangan, manipulasi undi dan prosedur pentadbiran berlaku dalam PRU 13. Tribunal rakyat juga akan melihat dalam ketepatan peranan SPR dalam PRU kali ini. Keputusan dan cadangan siasatan dan analisis diumumkan oleh BERSIH 2.0.
Namun, SPR yang dikuasai oleh klik pemerintah BN terus memperkecilkan Tribunal rakyat yang mempunyai perwakilan dan yang berwibawa ini. SPR enggan menghantar wakil untuk menghadiri sidang Tribunal yang berlangsung selama lima hari dengan alasan bahawa terdapat agenda politik di sebalik Tribunal tersebut. Ini membuktikan klik pemerintah UMNO-BN tidak ikhlas langsung untuk mereformasi sistem pilihan raya negara kita.
Kami menyokong lapan tuntutan pilihan raya yang adil dan bersih yang disuarakan oleh BERSIH 2.0 mewakili rakyat semua bangsa. Kesemua tuntutan yang adil dan saksama ini masih merupakan aspirasi bersama dan matlamat perjuangan rakyat semua bangsa sehingga kini. Selain itu, kami turut memberi sokongan terhadap seruan BERSIH 2.0 bahawa semua anggota SPR wajib meletak jawatan. Kami menuntut agar SPR yang baru menerima wakil dari BERSIH 2.0 sebagai anggotanya untuk meraih kepercayaan dan sokongan rakyat semua bangsa.
Kami juga menuntut reformasi dijalankan terhadap ketidakadilan dalam persempadanan kawasan pilihan raya dan jumlah pengundi dalam satu-satu kawasan pilihan raya. Peraturan yang ditetapkan semasa kemerdekaan negara iaitu perbezaan jumlah pengundi antara kawasan pilihan raya tidak harus melebihi 15
peratus (%) patut dipulihkan semula.
Tuntutan ketiga : Mansuhkan “Dasar Ekonomi Baru” (DEB) dan “Sistem Kuota Bumiputera”
Selepas Peristiwa “Mei 13” berlaku pada tahun 1969, “institusionalisasi perkauman” telah berakar dan mengujudkan satu keadaan fait akompli di negara kita. Keadaan ini telah memudahkan klik pemerintah hegemoni UMNO melancarkan DEB dan agenda-agenda berkaitan dengan sesuka hati. Selama ini, di sebelah tangan, klik hegemoni UMNO mempergunakan jentera pemerintahan negara dan akta yang zalim seperti ISA (digantikan dengan akta lain walaupun telah dimansuhkan), Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan sebagainya untuk mempertahankan pelaksanaan sistem perkauman negara kita. Penggunaan akta-akta zalim menyebabkan mana-mana pihak yang berbeza pandangan atau berani menentang sentiasa menghadapi risiko ditahan atau didakwa. Di sebelah tangan yang lain, klik hegemoni UMNO secara terang-terang menipu sokongan massa Melayu dengan slogan mempertahankan “Ketuanan Melayu” untuk mengukuhkan kedudukan memerintah mereka. Ini telah menghalang rakyat berbilang bangsa terutamanya massa Melayu dari memahami fenomena dan sifat asas diskriminasi dan penindasan yang berfahaman perkauman Malaysia.
Fakta membuktikan bahawa pelaksanaan DEB sejak tahun 1970-an dan dasar-dasar lanjutan atas nama berlainan hanya merupakan kaedah utama klik pemerintah BN dan kroni-kroninya merampas sumber kekayaan untuk memenuhi kepentingan sendiri. Ia telah menghasilkan satu kelas kapitalis Melayu dan segelintir kapitalis besar Melayu yang kaya-raya manakala massa Melayu umum tetap hidup merana dan menderita. “Sistem kuota bumiputera” pula seolah-olah menawarkan peluang dan kepentingan yang terhad kepada masyarakat Melayu. Sebenarnya, ia hanya alat yang digunakan oleh klik pemerintah hegemoni UMNO untuk membius massa Melayu dan memecahkan perpaduan antara rakyat semua bangsa.
Kami menuntut agar DEB dan “Sistem kuota bumiputera” dimansuhkan. Hanya dengan cara ini, penghijrahan cendekiawan dan modal negara kita ke luar negeri (brain drain) dapat dihentikan, dan sebaliknya cendekiawan dan modal luar negeri akan masuk ke negara kita, untuk memajukan negara dan masyarakat.
Tuntutan keempat : Layanan samarata kepada Pendidikan Bahasa Ibunda Semua Bangsa
Klik pemerintah UMNO-BN melaksanakan dasar penindasan dan asimilasi kaum secara paksaan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 56 tahun yang lepas. Oleh itu, rakyat semua bangsa yang berada di kedudukan diperintah telah dilayan secara tidak samarata dan tidak berpatutan dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, agama, kepercayaan, pembangunan sosial dan sebagainya selama ini. Mereka yang berpendapat berbeza atau yang berani menentang akan ditindas dan dianiaya. Antaranya, perjuangan masyarakat Tiong Hua menuntut menghidupkan dan membangunkan pendidikan Bahasa Ibunda termasuk institusi pendidikan tinggi masih dikenangi, keadaan pendidikan Bahasa Tamil yang semakin merosot pula amat mendukacitakan, pendidikan Bahasa Ibunda kaum minoriti yang lain (contohnya kaum Iban di Sarawak dan kaum Kadazan-Dusun di Sabah) sudah hampir pupus.
Di satu segi, klik pemerintah BN cuba sedaya-upaya untuk menghapuskan pendidikan bahasa Cina dan Tamil demi melaksanakan pendidikan nasional yang hanya mengagung-agungkan Bahasa Melayu secara menyeluruh, di segi yang lain, untuk mempertahankan pemerintahan selama-lamanya, pemerintah menggunakan peruntukan kerajaan (sebenarnya merupakan cukai yang disumbang oleh rakyat) untuk membantu sekolah rendah Cina (dan Tamil), beri janji atau melaksanakan tuntutan tertentu bangsa Tiong Hua (dan India) agar memancing undi dan sokongan masyarakat Tiong Hua (dan India). Oleh itu, peluang untuk sekolah bahasa Cina (Tamil) memperoleh peruntukan kerajaan dan masyarakat Tiong Hua (India) mencapai tuntutan tertentu adalah lebih tinggi dalam tempoh pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Namun, pembangunan lestari pendidikan Bahasa Cina (Tamil) tidak dapat dijamin.
Kami menuntut:
(1) Menyokong tiga tuntutan yang dikemukakan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) sempena pilihanraya kecil Kajang, iaitu: (i) Mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) secara menyeluruh, (ii) Meluluskan dan memperuntukkan tanah untuk pembinaan Sekolah Menengah Yu Hua, Kajang, dan (iii) Membantu menyelesaikan isu tanah Universiti Kolej New Era di Sepang yang telah berlarutan selama 14 tahun.
(2) Mansuhkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) , dan mengganti dengan satu akta baru yang terbuka dan berbilang yang melayan pendidikan bahasa ibunda semua bangsa dengan samarata, dan mampu menghasilkan modal insan celik pelbagai bahasa bermutu tinggi demi pendidikan negara, pembangunan masyarakat dan perkembangan ekonomi.
(3) Memperuntukkan peruntukan secara sistematik kepada sekolah-sekolah bahasa Cina dan Tamil, serta sekolah bangsa minoriti lain (seperti Iban, Kadazan-Dusun), untuk mengatasi rintangan dan dilema yang dihadapi oleh pendidikan bahasa ibunda bangsa minoriti dalam usaha menghidupkan dan membangunkan sekolahsekolah bahasa masing-masing.
(4) Peruntukkan tanah untuk kesemua 60 buah sekolah bahasa Cina persendirian (Chinese Independent School) supaya sekolah-sekolah ini boleh terus berkembang dengan dana yang dijana daripada tanah yang diperuntukkan.
(5) Menyokong tuntutan masyarakat India untuk membina sekolah menengah Bahasa Tamil.
Pertubuhan-pertubuhan yang endors 联署组织:
Sahabat Rakyat Working Committee (Pertubuhan yang memulakan usaha mendapat sokongan)
人民之友工委会(发起单位)
Bahagian Belia Dewan Perhimpunan China Melaka
马六甲中华大会堂青年团(甲华堂青)
Pemuda Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)
吉隆坡暨雪兰莪中华大会堂青年团(隆雪华青)
Demokrat-demokrat yang endors 联署民主人士:
人民之友工委会(发起单位)
Bahagian Belia Dewan Perhimpunan China Melaka
马六甲中华大会堂青年团(甲华堂青)
Pemuda Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)
吉隆坡暨雪兰莪中华大会堂青年团(隆雪华青)
Demokrat-demokrat yang endors 联署民主人士:
Bock Tai Hee | 莫泰熙 |
Chuah Seong Hoo | 蔡尚諨 |
Dan Ek | 陈益 |
Kho Wan Loy | 许元龙 |
Koh Ban Tong | 许万忠 |
Lim Ming King | 林明镜 |
Lin Choon Tat | 林今达(彼岸) |
Loo Kun Ying | 卢观英 |
Low Toh Nam | 刘道南 |
Tam Foon Meng | 谭力铭 |
Tan Seng Hin | 陈成兴 |
Wong Chiew Huart | 黄招发 |
Yang Tzuo Sern | 杨佐胜 |
Yang Yin Chong | 杨应俊 |
Yen Boon Chen | 阮文琼 |
No comments:
Post a Comment