Thursday, 19 December 2013

Negeri Johor yang “Pilu Berkeseorangan”?

Negeri Johor yang “Pilu Berkeseorangan”?

Belum lagi luntur kehangatan topik pengisytiharan Sultan Johor tentang pertukaran cuti hujung minggu negeri dari hari Sabtu dan Ahad ke Jumaat dan Sabtu mulai tahun depan, ahli Exco Johor, YB Ayub bin Rahmat, pula mencadangkan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) menggubal dan menguatkuasakan akta supaya kedai, pasaraya dan tempat hiburan ditutup sementara waktu daripada jam 12 tengah hari sehingga dua petang setiap hari Jumaat.

Cadangan Ayub Rahmat ini telah mendapat bantahan kuat serta-merta di kalangan ADUN-ADUN parti MCA dan DAP. Reaksi orang ramai dalam dunia cyber pula kebanyakannya terkejut dan membantah cadangan tersebut, malah ada juga pengguna internet (netizen) yang berasa khuatir tindakan ini merupakan gejala awal pelaksanaan undang-undang Islam di negeri Johor. Tidak dapat dinafikan bahawa, perubahan tersebut telah mencetuskan banyak imaginasi dan dugaan orang ramai, lebih-lebih lagi ianya berlaku selepas PRU ke-13 di negeri Johor, di mana negeri Johor merupakan tempat asal UMNO.

Pengasas dan Perdana Menteri Pertama Singapura, Lee Kuan Yew, pernah menyuarakan pendapat negatif terhadap pelaksanaan projek Wilayah Pembangunan Kota Iskandar dalam buku barunya yang berjudul “One Man’s View of the World”. Dia berasa bimbang dengan kesungguhan kerajaan Malaysia dalam melaksanakan projek Zon Ekonomi, dan mungkin pelaburan tersebut akan diperhentikan begitu sahaja jikalau projek tersebut tidak begitu lancar. Kini, pandangan Lee Kuan Yew nampaknya telah separuh benar, iaitu pelaksanaan dasar negara kita yang kekurangan kesinambungan dan telah membawa imej negatif, iaitu dasar negara kita sering bertukar-tukar. Disebabkan pertukaran cuti mingguan melibatkan kuasa istimewa Sultan dan agak rumit, maka Perdana Menteri Najib menghormati keputusan pertukaran cuti mingguan Johor. Menurut Najib, kerajaan persekutuan akan menyelidik kesan pertukaran cuti mingguan tersebut terhadap sektor swasta.  

Pada awal bulan Februari 2013, Kerajaan persekutuan bersama-sama kerajaan Singapura telah mengumumkan satu pelan cadangan projek kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur. Projek ini, jikalau siap dibina, akan memendekkan tempoh perjalanan dari 5 - 6 jam pada asalnya kepada 90 minit, dan akan membawa perubahan yang mendadak kepada kehidupan di kedua-dua metropolis tersebut, disertai dengan peluang perniagaan yang luas terbuka. PM Najib pernah berkata bahawa projek ini merupakan “huge game changer”, dan akan mengubah cara berniaga kedua-dua negara yang terlibat.

Mengikut perkembangan begini, Kuala Lumpur dan Singapura pasti akan berinteraksi dengan lebih erat selepas 7 atau 8 tahun, dan merupakan satu keadaan kondusif untuk membina “Greater Kuala Lumpur”. Manakala, Bandaraya Johor Bahru yang digelar sebagai ‘Gerbang Selatan' Malaysia, telah beraksi untuk menukar cuti mingguan kepada hari Jumaat dan Sabtu pada saat ini. Kesannya, hanya empat hari kerja Johor Bahru bertindih dengan hari kerja Singapura. Tindakan begini juga boleh dianggap sebagai “Game Changer” yang telah memutar-belitkan segala peraturan pasaran. Ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan sektor industri dan perniagaan bahawa keupayaan negeri Johor untuk menarik minat pelaburan asing akan merosot, tergelincir dari dunia global, dan kemudiannya kian lama kian berpisah dari dunia perniagaan global. Tambahan pula, pengumuman langkah-langkah mengawal harga rumah dalam Bajet Negara 2014 dan dasar kerajaan yang semakin menerapkan dan berteraskan kepada ajaran Islam, telah mengaburkan lagi masa depan projek Wilayah Pembangunan Kota Iskandar.

Pertukaran cuti mingguan mengubah peraturan umum pasaran perniagaan, membawa kesan kepada operasi kerajaan dan bidang perniagaan, dan juga corak pasaran konsumer; manakala, pelan dan projek besar bertempoh panjang pasti tidak dapat dicapai disebabkan ketidaksinambungan dasar kerajaan .


Tidak dapat dinafikan bahawa, kehidupan masyarakat Singapura dan Johor Bahru yang bagaikan aur dengan tebing sebelum ini pasti akan berubah, susulan daripada pertukaran cuti mingguan Johor. Pertukaran cuti mingguan Johor juga menunjukkan jurang perbezaan fikiran dan budaya kerja di antara dua tempat tersebut, dan nampaknya jauh lagi diibarat sebagai corak Hong Kong dengan Shenzhen. Jikalau kerajaan negeri Johor masih meneruskan dasar yang konservatif lagi berdekat dengan ajaran Islam, pelabur asing dan pengilang pasti akan terus melabur di “Greater Kuala Lumpur”, Melaka ataupun negeri yang lain-lain, sebaik sahaja projek kereta api berkelajuan tinggi siap dibina beberapa tahun lagi. Pada masa itu, Johor terpaksalah mengalami “kepiluan berkeseorangan”.

No comments:

Post a Comment