Sunday, 6 September 2015

Benarkah Wujud Reformasi Politik Di Malaysia? (kemaskini gambar pada 7 Sep 2015)

Benarkah Wujud Reformasi Politik Di Malaysia?

Dzulkefly Ahmad


[Nota Editor] Makalah ini merupakan teks penuh ucapan Setiausaha Gerakan Harapan Baru (GHB) Dzulkefly Ahmad dalam Forum "Fasa Baru Reformasi Demokratik di Malaysia" anjuran Sahabat Rakyat pada 6hb September 2015 di Restoran DeFortune, Kulai, sempena ulang tahun ke-14 Sahabat Rakyat. Berikut adalah teks asal penuh, penterjemahan dalam bahasa Cina akan dipaparkan kemudian.


Satu Snapshot Gambaran Selepas PRU-13

Penelitian keputusan PRU ke-13, jelasnya membuktikan bahawa laluan ke Putrajaya masih lagi melalui ‘Jalan Lama’ – merentasi kampung dan desa serta kebun-kebun getah dan estet kelapa sawit. Laluan ke Putrajaya, malangnya bukan melalui lebuhraya yang sifatnya urban dan moden. Itulah hakikat yang mesti diketahui semua.

Begitu kesimpulan banyak pihak penganalisis serta pundit politik ketika merumuskan dapatan mereka meneliti keputusan pilihanraya yang mendapat jolokan ‘Ibu segala Pilihanraya’ (Mother of All Elections).

Rumusan ini secara mudah disimpulkan kerana 30% atau kurang dari sepertiga (1/3) yang tinggal di kawasan luar dan pinggir, kelompok penduduk-pengundi ini menghantar lebih 70% (158 dari 222 kerusi parlimen) dari perwakilan di Dewan Rakyat pada 5 Mei 2013 lalu. Umno-BN memenangi 121dari 158 kerusi luar bandar (76%).

Benar tidak dapat dinafikan bahawa Pakatan Rakyat memenangi 51% dari undi popular di seluruh Malaysia dan 53.3% di Semenanjung Malaysia sementara Umno-BN hanya berjaya mendapat 47.4% di seluruh Malaysia dan 45.8% di Semenanjung Malaysia.

Adalah juga benar bahawa Pakatan mendominasi lebih 70% undi kaum Cina, 50.9% kaum India dan 40% undi kaum Melayu secara purata di seluruh Persekutun Malaysia. Adalah juga benar Pakatan kekal menafikan BN 2/3 majoriti di Parlimen Malaysia buat penggal kedua berturut-turut, sementara gagal mempertahankan Kedah.

Benar, Pakatan Rakyat berjaya memperkukuhkan penguasaannya di Selangor dan Pulau Pinang dan menewaskan Umno dalam pertarungan di bandar-bandar sebanyak 14 dari 19 pertandingan. Dengan kata lain, Umno hanya menang 5 kerusi parlimen dalam pertandingan dibandar-bandar.

Namun Pakatan Rakyat hanya paling hebat pun boleh dikatakan sebagai “Juara Kawasan Bandar-Urban” dan Umno-BN diturunkan ranking (relegated) menjadi “Juara Kampung” akan tetapi TETAP akan memerintah Persekutuan Malaysia di Putrajaya selagi isu sistem FPTH (First Pass The Post) yang sarat dengan ‘Ketidakadilan Kerusi’ atau “Gerrymandering” menjadi sebahagian dari sistem pilihanraya di Malaysia ini.

Snapshot ringkas ini memberi gambaran kepada kita bahawa sudah mula terbit perubahan-perubahan awal dalam amalan demokrasi di negara kita ini.

Konstruk Politik Mutakhir – Pola atau Trend ‘POLITIK BARU’

Wajar diakui bahawa peranan pembangkang memainkan peranan menyemak-imbang penguasa politik atau ‘kerajaan hari ini’ (the government of the day) ditanggapi umum sebagai berjaya dan berkesan.

Hakikat ini bermula dengan lebih jelas dan ketara lagi apabila muncul sebuah ‘konstruk politik’ pasca pilihanraya umum ke-12 dan ke-13, yang bolehlah disebutkan sebagai sebuah ‘emerging trend’ ‘2-party system’ atau ‘sistem 2-parti’. Meskipun takrif ini memerlukan pihak pembangkang atau ‘koalisi pembangkang’, untuk menang sekali dalam sesebuah pilihanraya, namun sebutan ‘sistem dua-parti ini’ sudah mula diterima oleh penganilisis politik dan ahli akademik Sains Politik dari dalam dan luar negara. Dengan kata lain, landskap dan konstruk ‘politik lama’ ia itu ‘One-Party Dominant System’ sudah berakhir.

Adalah diakui bahawa komitmen serta gandingan ketiga-tiga komponen parti pembangkang; Parti Islam SeMalaysia (PAS), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mampu menampilkan satu alternatif ‘kerajaan dalam penantian’ atau ‘the government in waiting’ yakni koalisi politik dengan jolokkan Pakatan Rakyat. Kekuatan Koalisi Pembangkang berbanding Koalisi Barisan Nasional, telah dibuktikan oleh Pakatan Rakyat yang pernah memerintah 5 buah negeri pasca PRU ke-12.

PRU ke-13 lalu menyaksikan bahawa hampir sahaja koalisi politik ini menamatkan pemerintahan kerajaan paling lama di dunia ini. Pada hakikatnya, diukur dengan undi popular (52%) di seluruh Persekutuan, Pakatan Rakyat diakui semua pihak telah mendapat kepercayaan rakyat.

Gerakan Politik Baru Memerlukan Penerusan Muafakat Politik

Kini malangnya, Pakatan Rakyat sudah berakhir. Meskipun menjalankan beberapa tadbir-urus dalam negeri-negeri yang masih diperintah, pada hakikatnya Pakatan Rakyat sebuah Koalisi Politik sudah terkubur. Koalisi Politik ditakrif dengan pemeteraian Dasar-Dasar Bersama yang didukungi dengan keyakinan dan komitmen serta iltizam oleh kesemua parti komponen koalisi.

Rentetan perbalahan yang panjang dan berliku-liku, memperlihatkan bahawa ‘Muafakat Politik’ ini tidak dapat diteruskan. Di sini saya tegaskan bahawa, bagi membangunkan sebuah sistem 2-parti, adalah sangat perlu supaya parti-parti politik di negara ini, benar-benar tahu akan tuntutan dan kekangan yang saling bertindih dan bertembung.

Bukan satu perkara mudah untuk parti-parti politik, khusus yang berteraskan ideology seumpama PAS dan DAP untuk dapat menjalinkan persefahaman politik dan menggariskan dasar-dasar bersama seperti dalam “Common Policy Framework (CPF).

Di sini kematangan dan kebijaksanaan pemimpin dalam menentukan apakah perkara yang boleh bertolak-ansur dan apakah prinsip-prinsp yang tidak boleh mereka berkompromi adalah sangat penting. Perlu saya tegaskan bahawa sebenarnya, lebih banyak perkara-perkara penting yang disepakati boleh dipersetujui bersama dan jadikan Dasar-Dasar Bersama (CPF).

Kalaulah parti-parti politik berani dan sanggup untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negara lebih tinggi dan besar dari kepentingan parti politik mereka atau perkara-perkara yang mereka dakwa sebagai ‘sacred’ atau ‘tidak boleh mereka kompromi’, maka kekuatan dan perpaduan koalisi tersebut akan dapat dipelihara dan dimantapkan lagi.

Sebaliknya kalau komitmen parti-parti politik ini tidak dapat dijamin bahkan lebih mementingkan kepentingan parti dan kononnya ideologi yang mereka ‘tanggapi’ tidak boleh mereka ‘rundingkan’, maka usia dan nasib koalisi ini tidak akan panjang. Di negara-negara lain yang lebih matang dan maju demokrasinya, pembentukan dan pembubaran pakatan-pakatan koalisi politik ini adalah satu perkara biasa, khususnya ketika menghampiri atau selepas pilihanraya.

Di negara kita yang punya pengalaman sejarah yang singkat berbanding demokrasi yang lebih matang dan panjang seumpama India, Amerika dan Eropah, telah juga kita lihat konflik dan perbalahan seperti ini dalam koalisi kebelakangan ini.

Pola Politik Lama–Meninjau Kembali

Satu lagi kebaikan yang secara jelas berlaku dalam pembinaan trend dan pola baru ini juga adalah amalan Umno-BN sebenarnya memperkukuhkan corak ‘Politik Patronage’ atau ‘Politik Perlindungan’. Bahkan inilah trend yang paling sukar mahu dirobohkan sebab rakyat sangat selesa dan sebati dengan ini. Kerana yang sentiasa menang adalah satu parti dan Barisannya, maka mudah untuk kerajaan mengenengahkan ‘doktrin’ atau kercayaan bahawa hanya Umno-BN yang menyelamat rakyat.

Seperkara lagi tentang amalan Politik Lama ialah Politik berteraskan kaum atau ‘Etnic-Based Politics’. Berlatarbelakangkan sejarah negara-bangsa ini yang dijajah oleh pelbagai kolonialis terutama pihak British, maka kaedah ‘Divide and Rule’ juga telah memperkenalkan dan memperkuatkan amalan Politik Perkauman. Maka sejak dari pencapaian Merdeka bahkan sebelumnya, susunatur atau konstruk politik di negara telah menjadi terbina dengan parti-parti politik memperjuangkan kepentingan kaum.

Maka wujudlah satu amalan politik yang diberi nama ‘Consociationalism’. Istilah ini sememang wujud dalam Sains Politik dam di dalam masyarakat yang sangat terbelah akibat menjadi satu masyarakat multi-racial atau multi-religious. Perundingan dan Formula pihak pemerintah adalah berteraskan perkiraan kepentingan pihak atau kaum masing-masing.

Parti politik diwujudkan untuk melindungi dan memperjuangkan kelompok etnik masing-masing. Maka ini lah trend politik negara ini yang melahirkan parti-parti politik seperti Umno, MCA dan MIC sejak seawal sebelum Merdeka. Rundingan formula Merdeka dan dasar-dasar kerakyatan serta agihan kuasa dalam pemerintahan semua dibuat atas formula ‘Consiciationalism’ ini. Ada juga parti-parti yang cuba merentas garis etnik seperti parti Negara Onn Jaafar atau Parti Gerakan dan juga parti berteraskan Islam seperti Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Dengan perjalanan politik selepas beberapa dekad, amalan ‘Politik Patronage’ dan Politik ‘Rundingan Consociationalism’ telah melahirkan satu konstruk politik yang menjadikan ciri ‘Perkauman’ sebagai akibatnya. Pertentangan dan konflik ras dan kaum ini, menyaksikan episod paling buruk dalam sejarah hitam 13 Mei 1969, yang kononnya adalah akibat pertentangan ras.

Peristiwa ini bukan sahaja mengizinkan pihak penguasa politik memperkuatkan cengkaman masing-masing ke atas kaum mereka, bahkan memperkuatkan lagi amalan politik ras dengan menampilkan dasar-dasar pemerintahan seperti Dasar Ekonomi Baru atau DEB (NEP).

Menjadi lebih malang, dasar-dasar yang bolehlah dikatakan baik ini seumpama membasmikan kemiskinan dan menyusun masyarakat, telah akhirnya disalah-guna atau ‘abused’ oleh penguasa politik. Memendekkan cerita, dengan pelbagai cara salahguna kuasa terutama amalan kronisme dan nepotisme dalam perlaksanaan program ‘Penswastaan’ besar-besar, akhirnya negara semakin terbelah dengan jurang kaya-miskin semakin lebar dan kewujudan kelompok super-kaya di kalangan Melayu-Bumiputera tidak sebenar-benarnya menyelesaikan masalah ‘agihan semula kekayaan’ negara atau ‘redistribution of wealth and income’ secara adil.

Meringkaskan trend politik ini, dalam konteks hari ini adalah untuk kita fahami bagaimana PM Najib Razak boleh mengeluarkan kata-kata seperti ‘Melayu akan dibangsatkan apabila Umno hilang kuasa Putrajaya’! inilah adalah kemuncak keangkuhan Politik Patronage dan Politik Perkauman.

Pola Politik Baru – Reformasi Penambahbaikan

Trend Politik Baru yang tampil selepas kuasa hegemoni Umno-BN dapat dicabar sekaligus menafikan majority 2/3 penguasaan mereka di parlimen sejak PRU-12 dan PRU-13 adalah sangat sihat buat negara ini.

Barisan Alternatif dulunya dan Pakatan Rakyat 1.0 selepas Parlimen ke-12 dan di awal Parlimen ke-13 lalu, telah menyaksikan perubahan pola politik di negara ini. Politik telah menjadi lebih berorientasikan Rakyat atau ‘Rakyat-Centric’. Semua polisi diungkapkan dengan dikaitkan dengan Rakyat sehingga Umno-BN juga terpaksa menggunakan pendekatan yang sama seumpama slogan ‘Rakyat DiDahulukan dan Prestasi DiUtamakan’. Najib juga mengungkapkan slogan 1-Malaysia untuk menangani persepsi buruk terhadap Umno-BN kerana terlalu kuat mengamalkan Politik Ras yang menghampiri Politik Perkauman.

Meringkaskan cerita juga, wujud semacam pola-pola baru. Politik Baru lebih mementingkan Rakyat keseluruhan dan Manifesto semua parti-parti politik mula diolah dan dirangka bagi mencerminkan cita-cita itu.

Dalam Politik Pencerahan ini, Rakyat juga semakin celik informasi dan pengetahuan tentang isu-isu nasional dan skandal-skandal besar negara seperti PKFZ, NFC dan terkini 1-MDB. Tentunya media memainkan peranan besar dan ‘kadar celik politik’ mengizinkan Politik Baru mengambil posisi yang kuat dan hari ini sukar digugat oleh Politik Lama.

Juga peranan pihak ‘Non-Government Organisations’ atau NGOs yang memainkan peranan yang besar dalam membantu pembentukan Politik Baru secara ‘Kuasa Ketiga’ atau ‘The Third Force’. BERSIH, 1.0 hingga 4.0, HINDRAF, BAR COUNCIL, ABIM, JIM-IKRAM, MURSHID, Gerakan dan Aktivisme Mahasiswa dan ratusan lagi NGO memainkan peranan semak-imbang di segi aspek tertentu dan kepakaran mereka dan mengangkat agenda-agenda kempen seperti Anti-Lynas sebagai hanya satu contoh. Banyak yang lain; Anti-GST, TURUN, ANTI-PPPA dsbnya.

Kalau Demokrasi adalah sebuah amalan politik di mana ‘Rakyat membuat pilhan secara bermaklumat’, maka trend hari ini adalah sangat baik dan positif. Ini memberi keyakinan kepada kita semua, seandainya ini berterusan maka proses membuat pelbagai ‘Reformasi Politik’ dan ‘ Reformasi Ekonomi’ bahkan dalam semua bidang kehidupam akan menjadi lebih mudah dan berkesan.

Mampukah kesemua ‘emerging trend’ dalam Politik Baru ini terus diperkuat dan diberdayakan (progression), ataukah ia akan sebaliknya mengalami satu ‘retrogression’ dan berpatah-balik atas sebab-sebab dihambat dan dihalang oleh pihak pemerintah atau rakyat sendiri yang tidak benar-benar mengalami reformasi atau penambahbaikan nilai dan ‘mindsets’ baru untuk terus membawa Reformasi Demokrasi di negara ini secara menyeluruh?

Sama-sama kita saksikan. Ingatan untuk yang belum mahu bertindak…

“Cukup untuk kebobrokan (evil) menjadi berleluasa apabila rakyat teramai yang baik hanya duduk berdiam diri”…Edward Burke (Statesman).


0 comments:

通告 Notification

人民之友对下届大选意见书
英巫文译稿将在此陆续贴出

作为坚守“独立自主”和“与民同在”的立场的一个民间组织,人民之友在上个月对即将来临的第14届全国大选投票,发表了一篇以华文书写的意见书,题为:投票支持"反对国家伊斯兰化的候选人": 反对巫统霸权统治!莫让马哈迪帮派"复辟"!。

这篇意见书的英文译稿,将在近期内在本部落格贴出。马来文译稿将在下个月内贴出。敬请关注!

我们希望,我们在意见书内所表达的对下届大选的立场和观点,能够准确而又广泛地传播到我国各民族、各阶层的人民群众中接受考验,并接受各党派在这次全国大选斗争和今后实践的检验。


The English and Malay renditions of Sahabat Rakyat’s opinions about next election will be published here consecutively

As an NGO which upholds “independent and autonomous” position and "always be with the people" principle, Sahabat Rakyat had released a Chinese-written statement of views with regard to the voting in the upcoming 14th General Election, entitled “Vote for candidates who are against State Islamisation: Oppose UMNO hegemonic rule! Prevent the return to power of Mahathir’s faction!”

The English rendition of this statement will be published in our blog in the near future whereas the Malay rendition will be published next month (November). Please stay tuned!

We hope that our position and views pertaining to the next General Election expressed in the statement will be accurately and widely disseminated and also examined by the popular masses of various ethnicities and social strata through their involvement in the struggle of the next General Election carried out by various political parties and their practices in all fields in future.


Akan datang: Penerbitan penterjemahan pendapat Sahabat Rakyat mengenai pilihan raya ke-14 dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu

Sebagai sebuah pertubuhan masyarakat yang berpendirian teguh tentang prinsip "bebas dan berautonomi" dan “sentiasa berdampingan dengan rakyat jelata”, Sahabat Rakyat telah menerbitkan kenyataan tentang pandangan kami terhadap Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang yang bertajuk "Undilah calon yang menentang Pengislaman Negera: Menentang pemerintahan hegemoni UMNO! Jangan benarkan puak Mahathir kembali memerintah! "

Penterjemahan Bahasa Inggeris kenyataan tersebut akan diterbitkan dalam blog kita dalam waktu terdekat manakala penterjemahan Bahasa Melayu akan diterbitkan pada bulan hadapan.

Kami berharap pendirian dan pandangan kami berkenaan pilihan raya kali ini yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut dapat disebarkan dengan tepat dan meluas untuk diuji dalam kalangan rakyat semua bangsa semua strata sosial melalui penglibatan mereka dalam amalan pelbagai parti politik dalam pertempuran pilihan raya umum kali ini mahupun masa depan.

Malaysia Time (GMT+8)