Monday, 8 September 2014

Mahasiswa UM lancar ‘HARTAL’ sokong Azmi Sharom

Mahasiswa UM lancar ‘HARTAL’ sokong Azmi Sharom

Penulis / Sumber: Muzliza Mustafa / The Malaysian Insider

Sidang media Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya di kampus Universiti Malaya, Kuala Lumpur bagi melancarkan ‘HARTAL’ sebagai tanda sokongan kepada Prof Madya Dr Azmi Sharom dan untuk menuntut pemansuhan Akta Hasutan, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 8 September, 2014.
Berikut merupakan rakaman sidang akhbar yang diadakan oleh Persatuan Mahasiswa UM dan Persatuan Kakitangan Akademik UM di Universiti Malaya pada 8hb September 2014. Video ini dirakam oleh kinitv.



Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) melancarkan "HARTAL" pada Rabu ini sebagai sokongan kepada Prof Madya Dr Azmi Sharom yang didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 pada minggu lalu.

Presiden PMUM Fahmi Zainol mengatakan, bantahan itu akan diadakan bersama-sama dengan perhimpunan dan forum Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) yang akan diadakan pada hari yang sama.

"Bantahan ini menuntut pemansuhan Akta Hasutan," kata Fahmi kepada pemberita di kampus UM, Kuala Lumpur.

Kali pertama hartal diadakan di negara ini pada 20 Oktober 1947, dianjurkan gabungan Pusat Tenaga Rakyat (Putera) – All Malayan Council for Joint Action (AMCJA) sebagai bantahan kepada Perlembagaan yang dicadangkan penjajah British. "Hartal" ialah perkataan Gujerati yang bermaksud protes beramai-ramai, biasanya membabitkan penutupan tempat kerja, pejabat, kedai dan mahkamah sebagai satu bentuk keingkaran awam.

Penyelaras kempen himpunan solidariti Azmi Sharom, Vince Tan berkata protes itu ialah hak pelajar dan semua dijemput menyertainya.

"Sekarang minggu orientasi, banyak kelas masih belum bermula. Bagaimanapun, kami isytiharkan tidak akan ada kelas antara pukul 1 dan 4.30 petang bagi membolehkan pelajar kita menyertai program ini dan mendengar ceramah tentang kebebasan bersuara oleh penceramah yang akan dipilih PKAUM," katanya.

Prof. Madya Dr Azmi Sharom didakwa dibawah Akta Hasutan 1948. – Gambar diambil oleh 'The Malaysian Insider' pada 8 September, 2014. 
Tan, pelajar undang-undang tahun akhir UM, berkata: "Ini ialah satu bentuk keingkaran awam (civil disobedience) dan sekiranya kita hendak menunjukkan keingkaran kita, inilah masanya."

Azmi didakwa pada 2 September kerana artikel bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu), dilaporkan sebuah portal berita pada 14 Ogos.

Presiden PKAUM itu didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 15 Ogos. – 8 September, 2014.



Siswa anjur 'hartal' demi Azmi


Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) memutuskan menganjurkan hari 'hartal' (mogok umum) sebagai tanda sokongan terhadap pensyarah undang-undang universiti itu Azmi Sharom yang didakwa menghasut di mahkamah.

Pada 10 September ini mereka tidak akan hadir kuliah dan akan mengambil bahagian dalam perhimpunan tiga jam setengah bermula 1 petang, dinamakan "Solidarity4AzmiSharom".

"Perkara ini (hartal) tidak pernah mempunyai duluan (di UM).

"Ini kali pertama dalam sejarah UM, hartal digunakan bagi menunjukkan persaudaraan," kata Vince Tan, penganjur dan pelajar Azmi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol menganggarkan kira-kira 300 mahasiswa, kebanyakannya daripada fakulti undang-undang, tempat Azmi mengajar, akan turut serta.

Katanya, acara yang disokong oleh Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) itu akan diisi dengan ucapan aktivis pelajar, pensyarah dan sesi soal jawab berkenaan akta hasutan.

Azmi sendiri dijadual hadir.

Fahmi berkata, mereka akan berkumpul di Fakulti Undang-undang, Fakluti Sains dan Fakulti Ekonomi sebelum berarak ke Speaker Corner Universiti Malaya (UM).

“Walaupun (sekarang UM) bukan waktu cuti kuliah, awal semester kelas masih kurang dan inilah waktu terbaik untuk mengadakan acara ini,” katanya.

Hartal merujuk kepada pemulauan kerja besar-besaran sebagai tanda bantahan.

0 comments:

通告 Notification




Malaysia Time (GMT+8)