Sunday, 17 April 2011

Program Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu” 2011 Anjuran Bersama 4 Badan Bukan Kerajaan Johor

Program Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu” 2011
Anjuran Bersama 4 Badan Bukan Kerajaan Johor

Kenyataan Akhbar Pertama

Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu” di negara kita biasanya dianggap sebagai satu hari cuti umum untuk bersuka ria dan beristirehat sahaja. Ramai, terutamanya golongan muda, tidak mengerti bahawa hari yang bermakna ini bermula dari 125 tahun yang lalu iaitu pada 1 Mei 1886, di mana pekerja-pekerja di Chicago, Amerika Syarikat mengadakan pemogokan besar-besaran untuk memperjuangkan masa bekerja 8 jam sehari. Akhirnya, di bawah perjuangan berterusan pekerja-pekerja di Amerika Syarikat dan seluruh dunia, kapitalis di banyak negara terpaksa tunduk kepada tuntutan masa bekerja 8 jam sehari. Ramai golongan muda di negara kita mungkin juga tidak tahu bahawa Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu” hanya diiktiraf oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1972 yang kemudiannya diumumkan sebagai hari cuti pada tahun 1979. Ini dicapai atas perjuangan kesatuan sekerja (terutamanya kesatuan puak kiri) dan Parti Buruh. Oleh yang demikian, Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu” boleh dikatakan satu hari yang melambangkan semangat perjuangan kelas pekerja untuk hak dan kebajikan pekerja.

Demi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang makna sebenar dan asal-usul Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu”, serta menarik prihatin dan mewujudkan perbincangan orang ramai terhadap situasi kelas pekerja atau golongan paling tertindas di negara kita, 4 badan bukan kerajaan di negeri Johor, iaitu Persahabatan Semparuthi, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) Johor, Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (Jawatankuasa Perhubungan Johor Bahru) dan Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM Johor memutuskan untuk mengadakan program sambutan Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu” 2011 di Sekolah Menengah Foon Yew pada 1 Mei 2011. Satu jawatankuasa bersama telah ditubuhkan untuk menjalankan tugas-tugas persediaan. Setelah beberapa perbincangan, dalam mesyuarat pada 10 April 2011 yang lepas, jawatankuasa telah memutuskan “Pekerja Berbilang Kaum Seluruh Negara, Bersatu Dari Perpecahan” sebagai tema program. Aktiviti pada hari tersebut dibahagikan kepada dua, iaitu ceramah dan persembahan dari pukul 2 hingga 5 petang dan bufet dari 5 hingga 6 petang.



Sesiapa yang berminat untuk menyertai program Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu” ini boleh membeli kupon dengan harga RM10 sekeping. Jawatankuasa bersama mengalu-alukan golongan pekerja berbilang kaum untuk menyertai aktiviti ini. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi Cik Fang Pei Fen (016-778 2707), Encik Yen (019-755 0960), Cik Yong (012-690 9506) atau Encik Mohan (017-754 0597), atau datang ke pejabat Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM Johor (8A, Jalan Ronggeng 11, Taman Skudai Baru, 81300 Skudai) untuk mendapatkan maklumat lanjut atau membeli kupon.


Setiausaha Jawatankuasa Bersama 4 Badan Bukan Kerajaan
17 April 2011

0 comments:

通告 Notification




Malaysia Time (GMT+8)