Wednesday, 22 October 2008

Pengaduan Cheng Terhadap Polis, adalah Tindakan Mempertahankan Hak

Kenyataan Suaram JB pada 22hb Oct 08 Tentang Pendakwaan Polis Terhadap Cheng

Merujuk kepada peristiwa penangkapan (mungkin didakwa)Cheng Lee Whee di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, seksyen 28/kanun keseksaan seksyen 182 akibat tindakannya yang memaparkan kandungan laporan polis tentang kes pengusiran secara paksa di Kampung Baru Plentong Tengah di Portal Polis Kontinjen Johor (www.polisjohor.gov.my) , kenyataan suaram JB seperti di bawah:

1. Suaram JB berpendapat bahawa tindakan pengusiran secara paksa pemaju pada 16hb Oktober adalah satu tindakan menghina mahkamah.

Kampung Baru Plentong Tengah (KBPT) merupakan sebuah perkampungan Melayu seluas 113 ekar yang terletak di kawasan Pasir Gudang, Johor Bahru dan mempunyai seramai kira-kira 280 buah keluarga. Pada tahun 1985, penduduk-penduduk tersebut mengambil inisiatif untuk meneroka hutan rimba untuk membina rumah sendiri. Sejak penerokaan, penduduk kampung telah memohon geran tanah daripada Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru tetapi tiada apa-apa jawapan. Malangnya, kerajaan negeri pula menukarkan pemilikan tanah tersebut kepada pemaju swasta. Pada tahun 1994, setiap keluarga telah membayar RM3000, jumlah RM820 000 kepada pemaju Oakfield Enterprise, sebagai wang deposit untuk membeli tanah tersebut. Tetapi, pada tahun 1996, pemilikan tanah tersebut pula sekali lagi ditukar kepada Bukit Lenang Development Sdn. Bhd dan syarikat ini mula mengambil tindakan mahkamah untuk mengusir peneroka bandar secara paksaan.

Walaupun Syarikat Bukit Lenang mendapat perintah mahkamah untuk merobohkan rumah pada 14hb Ogos, tetapi mahkamah tinggi JB telah menerima kes rayuan penduduk untuk menangguhkan pelaksaaan perintah mahkamah mengenai perobohan rumah, dan telah menetapkan 15hb Oktober untuk pendengaran kes itu. Tarikh pendengaran kes rayuan itu seterusnya ditangguh ke 29hb Oktober. Dalam situasi ini, kami berpendapat bahawa tindakan perobohan rumah dan pengusiran paksa pada 16hb Oktober, atau sebarang hari sebelum 29hb Oktober, adalah tindakan yang menghina mahkamah.

2. Suaram JB berpendapat bahawa tindakan pihak polis yang menggunakan pasukan terlampau besar untuk menolong pihak pemaju melaksanakan perobohan rumah dan pengusiran paksa adalah satu tindakan yang salah.

Mengikut prosedur undang-undang, sebelum perbicaraan dan keputusan tentang kes rayuan penangguhan perobohan rumah dibuat oleh mahkamah tinggi JB, pemaju tidak dibenarkan untuk melaksana perintah mahkamah untuk meroboh rumah. Pihak polis menghantar 553 anggota polis yang terdiri daripada pelbagai unit, termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dilengkapi kereta air cannon, Unit Udara Polis, Unit Marin Polis, Unit Anjing Pengesan, unit Pemusnah Bom, serta helicopter untuk berhadapandengan penduduk kampung yang hanya seramai 200 orang penduduk yang tiada sebarang senjata. Dakwaan pihak polis bahawa “pihak pemaju telah mendapat perintah mahkamah, polis hanya tolong melaksanakan perintah mahkamah” adalah tidak wajar dan tidak munasabah. Tindakan polis yang menyuraikan penduduk dan melakukan tangkapan secara keras dan ganas ke atas penduduk-penduduk yang cuba mempertahankan tempat tinggal mereka dengan tenteram, sebenarnya adalah tindakan yang menolong pemaju melaksanakan pengusiran secara haram dan mencaburi hak asasi penduduk.

3. Suaram JB merupakan badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi di Johor. Saudari Cheng Lee Whee, mendapat lepasan ijazah UTM dalam Sains Komputer dengan kelas pertama pada tahun 2004. Selepas lepasan ijazah, saudari Cheng bekerja sebagai programmer dan berprihatin dalam kerja-kerja masyarakat. Saudari Cheng selaku ketua bahagian perkhidmatan hak asasi Suaram JB, dalam peristiwa pengusiran secara paksa tersebut, telah membuat laporan polis pada 16hb Oktober di Balai Polis Permas Jaya (Nombor siri laporan polis J/JAYA/012352/08) dan memaparkan kandungan laporan polis itu di Portal Polis Kontinjen Johor (www.polisjohor.gov.my) atas arahan dari Jawatankuasa Sahabat Suaram Johor dan Setiausaha Bertindak Suaram JB - Nyam Kee Han.

Pihak polis memanggil Cheng untuk mengambil kenyataan pada 17hb Oktober pukul 8.30 malam di Balai Polis Seri Alam, dan seterusnya mengikut DSP Mohd Nor melakukan tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 seksyen 28. Cheng kemudian ditahan dalam lokap Balai Polis Pasir Gudang. Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 seksyen 28 menyatakan: “Mana-mana orang yang melalui percakapan atau tulisan atau dalam apa-apa suratkhabar, majalah berkala, buku, surat pekeliling atau penerbitan bercetak yang lain atau melalui apa-apa cara lain menyebar laporan-laporan palsu atau membuat pernyataan-pernyataan palsu yang mungkin menyebabkan kecemasan awam”, jika sabit kesalahan, hukuman maksimun adalah penjara 3 tahun, atau denda 5 ribu atau kedua-duanya. Pegawai menyiasat (IO) Inspektor Azman memberitahu Cheng supaya menghadap ke mahkamah majistret pada 1hb November 2008 (hari Sabtu) jam 9 pagi. Akan tetapi, Cheng tidak diberitahu mahkamah majistret yang mana dan tidak dihantar surat pendakwaan secara bertulis. Lebih-lebih lagi, mahkamah majistret rehat pada hari Sabtu. Kami membantah terhadap tindakan polis yang zalim dan berasa kesal dengan tindakan polis yang kurang professional.

Dua hari kemudian (19hb Oktober), Timbalan Ketua Polis Johor Dato Tun Hisham dalam sidang media menyatakan bahawa pihak polis akan menggunakan Kanun keseksaan seksyen 182 untuk menyiasat kes ini. Seksyen 182 iaitu “Mana-mana orang yang membekalkan maklumat palsu dengan niat menyebabkan seorang penjawat awam menggunakan kuasa-kuasanya menurut undang-undang dengan memudaratkan orang lain.”, jika sabit kesalahan, hukuman maksimun adalah penjara 6 bulan atau denda 2 ribu atau kedua-duanya. Tetapi sehingga kini, Cheng dan SUARAM JB masih belum menerima sebarang pendakwaan dan saman bertulis.

Sama ada Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 seksyen 28 atau Kanun Keseksaan seksyen 182 akan digunakan untuk mendakwa Cheng masih belum diketahui.

4. Laporan polis dan aduan yang dibuat oleh Cheng bukan merupakan tindakan individunya, malah tindakan itu mewakili Suaram serta seluruh NGO-NGO dan individu-individu lain di negeri Johor mahupun di seluruh Negara yang memperjuangkan hak asasi. Pendakwaan keatas Cheng juga merupakan penindasan terhadap Suaram dan NGO-NGO serta individu-individu lain yang memperjuangkan hak asasi. Kami akan berjuang sampai akhir.

5. Kami mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung, parti-parti politik, persatuan-persatuan dan peguam-peguam yang memberi sokongan kepada Cheng dan Suaram JB. Kami menyeru semua pihak terus prihatin terhadap perkembangan kes ini dan terus memberi sokongan kuat kepada kami.

0 comments:

通告 Notification




Malaysia Time (GMT+8)